WPI dan wilayah baru Singapura di Malaysia, kedudukan rakyat dimana?
Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bimbang dengan kemungkinan besar kewujudan wilayah baru bagi Singapura di Malaysia setelah kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuka ruang di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) untuk warga asing dipandang berat oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. Menurut Salahuddin, kebimbangan yang disuarakan Tun Mahathir itu berasas memandangkan Rang Undang-undang bagi mewujudkan WPI dibentangkan di Parlimen dalam keadaan masa yang cukup suntuk. Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian yang ditemui selepas program syarahan Tun Dr Mahathir di Putrajaya semalam menyatakan bahawa ramai di kalangan ahli Parlimen tidak sempat untuk meneliti secara khusus rang undang-undang itu memandangkan ia dilakukan secara tergesa-gesa. Baginya tindakan kerajaan membuat demikian hanyalah satu helah untuk menidakkan rang undang-undang itu dibahas secara mendalam dan diperhalusi terma-termanya oleh ahli Parlimen. Meskipun mengakui bahawa rang undang-undang itu diserah kepada semua ahli Parlimen secara keseluruhan, namun ruang yang terhad menyebabkan ianya tidak dapat dibahaskan secara sempurna, kata Salahuddin yang turut ditemani Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS, Abdul Rahman Othman (ARO) semasa mengikuti syarahan Tun Dr Mahathir di Putrajaya. Program syarahan itu adalah anjuran Majlis Prihatin Malaysia (Prihatin) sebuah NGO yang ditubuhkan bagi mempertahankan hak rakyat yang antara lain kini terancam dengan kelemahan pentadbiran Abdullah. Turut hadir ialah, isteri bekas PM, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengerusi MTRK, Dato' Ibrahim Ali; bekas orang kuat Proton, Tan Sri Tengku Mahalel; anak Mahathir, Marina Mahathir; Pengerusi Penerangan DAP, Ronnie Liu; Bloggers, antaranya 'Rocky Bru' (Ahiruddin Attan) dan Sang Kelembai (Zaharin) selain beberapa pensyarah universiti tempatan. Mengulas lanjut Salahuddin berkata, beliau tertarik dengan semangat anak muda yang mewakili Prowaris satu NGO yang dianggotai anak-anak muda tempatan yang elit yang mahu mendedahkan segala kepincangan pelaksanaan WPI. Menurut Salahuddin, beliau menghulurkan tangan untuk sedia bekerjasama dengan Prowaris dimana beliau sendiri telah menemui orang kuat Prowaris, Feris Omar selepas program syarahan Tun Mahathir semalam. Katanya, Prowaris akan mendedahkan satu dokumen hasil dari penyelidikan mereka berhubung tindakan BN untuk menggadai harta negara melalui projek WPI Antaranya ialah hak rakyat terutamanya rakyat Johor yang akan terhakis setelah pembinaan WPI ini dilihat hanya akan menguntungkan negara jiran sahaja. Tanah rakyat yang akan tergadai kepada negara asing melalui pelaksanaan dasar terbuka WPI hanya akan menyebabkan rakyat menumpang di bumi sendiri, katanya. Salahuddin melahirkan kebimbangan bahawa satu hari nanti WPI akan menjadi satu lagi wilayah baru Singapura di Malaysia, dan ia juga senada dengan kenyataan Tun Mahathir yang melihat Singapura ke dua akan terjadi di WPI. Terdahulu dalam program syarahan Tun Mahathir itu, wakil Prowaris, Feris Omar yang bangun bagi menyatakan pandangan kepada Tun Mahathir berkata, anak muda kini kesal dengan tindakan kerajaan membenarkan negara jiran, Singapura campur tangan dalam pembinaan WPI. Beliau (Feris) sendiri sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk menemui Perdana Menteri bagi menyerahkan dokumen dan kajian mereka. Bagaimanapun katanya pertemuan yang dihasratkan akan berlansung dalam keadaan tertutup itu akhirnya tidak dilayan oleh Perdana Menteri menyebabkan Prowaris kecewa dengan peluang yang diberi kepada Perdana Menteri. Justeru, Prowaris mengumumkan dokumen yang dibuat atas kajian intelek mereka ini akan dijadikan dokumen umum yang akan dilancarkan dalam masa terdekat untuk mendedahkan kepincangan projek WPI. Dalam program yang sama, Feris telah menyerahkan dokumen 'merah' 20 tuntutan Prowaris berkenaan WPI itu kepada Tun Dr Mahathir.Hadirin menyambut dengan tepukan gemuruh setelah Tun Mahathir menerima dokumen itu. Terdahulu, Tun Mahathir dalam syarahanya meletakkan kebimbangan dengan dasar yang dibuat kerajaan Abdullah dalam membuka ruang kepada negara asing melabur dan mendapatkan aset dalam pembangunan WPI. Secara sinis beliau menegur bahawa kepimpinan negara kini terlalu bijak memandangkan untuk membuat pembangunan di WPI perlu mendapatkan 'izin' dari Singapura dengan melantik menteri dari negara jiran sebagai penasihat bersama. Secara sinis juga beliau menyatakan Abdullah bahawa jangan hanya WPI sahaja perlu dibuat dengan 'izin' dari Singapura sebaliknya Koridor Utara (NCER) juga bolehlah dibuat dengan meminta izin dari menteri Tahiland atau sebagainya. Sumber: Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan