Realiti Kehidupan Melayu di Pasir Gudang.
Kongsi Kesengsaraan
Kelmarin, saya, Syed Othman, Tn. Hj. Aminulhuda, Rosli dan Rahim(YDP) telah bergerak ke beberapa buah rumah di Kg. Aman dan Kg. Saujana Baru bagi memberi bantuan kepada beberapa keluarga yang memerlukan. Ada di antara mereka yang telah uzur dan hidup dalam keadaan yang menyedihkan. Di sini kami cuba menyalurkan bantuan hasil dana-dana yang diterima dari pihak yang ikhlas menginfakkan hartanya untuk tujuan kebajikan.
Terpencil dan Usang
Saya dengan beberapa sahabat lain telah mengunjungi sebuah kawasan perkampungan yang daif. Realitinya beginilah nasib yang menimpa rakyat malaysia di negeri Johor ini. Ketika negara megah atau dengan kata yang dipopularkan oleh umno iaitu 'gemilang' dengan sambutan merdeka di ibu negara pada 31 ogos yang lalu tetapi rakyat masih merempat di bumi sendiri.
Sebelum ini kami pernah datang ke sini untuk memberi bantuan berikutan bencana banjir yang berlaku tahun lepas. Tetapi kali ini tuan rumah telah keluar mungkin menghadiri pertandingan kompang yang kami lewati dalam perjalanan ke sini tadi.
Jika anda perasan, rumah ini dibina di gigi air. Maka tidak hairanlah bilamana hujan sedikit lebat, air sungai akan melimpah dan rumah ini akan dinaiki air.
Saya juga diberitahu bahawa keluarga ini mempunyai lima orang anak yang kesemuanya tidak bersekolah. Tiada bantuan, tiada belas kasihan, yang ada hanyalah hiburan sekali sekala di hujung minggu dengan paluan kompang anak-anak muda yang melupakan sedikit kesengsaraan hidup sebuah kampung di pinggir bandar sebuah bandaraya yang dikenali dengan nama Johor Bahru ini.
Saya kesal dengan sikap segelintir pemimpin di kampung-kampung yang pentingkan diri sendiri sehinggakan tidak sesekali cuba membela kepentingan masyarakat di bawah tanggungjawabnya. Mereka dilihat tidak ikhlas dalam menanggung jawatan yang dipegang sebaliknya menjadikan jawatan sebagai kemudahan untuk mendapatkan apa yang diingini.
Dan akhirnya tibalah masa pemimpin yang mereka sujud selama ini menyingkirkan mereka dari tanah yang mereka duduki selama ini. Atas alasan kemajuan, maka mereka diberi notis hingga hujung tahun ini dan yang pasti pampasan RM 2000 dikira sudah memadai untuk disumbatkan ke mulut penduduk di sini.
Kutip barangan kitar semula
Saya seperti tidak mempercayai wujud satu tahap di mana seorang ibu dengan anak-anaknya menolak basikal dan memunggah tong-tong sampah mencari barangan terpakai yang boleh dijadikan sumber untuk mendapat sesuap nasi. Keluarga Melayu. Betul! Melayu. Semakin layu di bawah pemerintahan melayu.
Ketika ketua negara hidup bermewah-mewah dengan jet rasmi dan kerusi empuk di mahligai air mata rakyat, namun masih ada lagi rakyat yang dibiarkan hidup melarat di bumi sendiri.
Di rumah pula, atas kekurangan pengetahuan agama, mereka membenarkan anak perempuan mereka tidur sebumbung dengan tunangnya. Saya bukanlah nak bersangka buruk tapi memandangkan bangsa melayu sekurang-kurangnya masih ada adat-adat yang wajar diikuti.
Projek Naik Taraf Masjid
Kami juga turut singgah ke sebuah masjid yang sedang dalam proses peruntuhan sebelum pembinaan semula yang dibiayai kerajaan negeri. Seperti biasa projek diberi kepada kroni dengan percent komisyen yang tertentu bagi dirinya. Ketua Wanita ini telah awal-awal lagi menyedut peruntukan dari kerajaan. Apa yang tinggal hanyalah beberapa bahagian yang akan digunakan oleh kontraktor untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan. Saya pasti kita akan lihat projek ini tidak bernilai 200 ribu akan tetapi akan menjadi seperti masjid bernilai 100 ribu sahaja (patutlah mereka berebut-rebut nak jawatan sampai bergaduh dalam mesy. bahagian).
Sumbangan Kewangan diperlukan
Buat akhirnya, saya merayu andai kiranya ada sahabat-sahabat yang ingin memberi sumbangan kepadagolongan yang benar-benar miskin dan daif di sekitar kawasan Pasir Gudang, kami amat mengalu-alukan anda. Kami percaya ramai lagi yang memerlukan bantuan dan kami akan meneruskan kerja-kerja kebajikan ini atas dasar tanggungjawab sosial dan sebagai khalifah di dunia ini.
Salurkan sedikit dari rezeki yang Allah kurniakan kepada anda ke dalam dana ini di atas nama Pas Kawasan Pasir Gudang dan Maklumkan kepada Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang, Sdr. Syed Othman di nombor 013-7511818.
2 ulasan:
Perbanyakkan tulisan yang seperti ini. Dan kalau boleh kurangkan artikel berita copy paste yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan DPPPG.
Sebab bagi saya, tujuan utama blog sesebuah organisasi ditubuhkan adalah untuk memberitahu peristiwa yang berlaku di sekitarnya. Maka, para pengundi kawasan Pasir Gudang insyaAllah boleh mengetahui sama ada orang yang bakal mereka pilih nanti sewaktu pilihanraya benar-benar berkerja untuk rakyat atau pun tidak.
Terima kasih atas teguran sdr. tawel. Satu teguran yang membina dan wajar diambil perhatian.
Catat Ulasan