Sumbangan Pakaian Seragam Sekolah kepada Anak-Anak Bencana Banjir


24 Disember - Dewan Pemuda Pas dibawah jawatankuasa Pas Tmn. Saujana hari ini telah berjaya menyumbang baju seragam, kasut dan beg sekolah kepada 7 orang murid yang mengalami bencana banjir baru-baru ini. Penyerahan dilakukan di Markaz Pas Tmn. Saujana dengan kehadiran Ketua Dewan Pemuda sejurus selesai program gotong-royong di Kg. Saujana Baru pagi tadi.


Mereka dibawa oleh Ketua Cawangan Pas Tmn. Saujana, En. Rosli B. Awang ke sebuah pusat membeli-belah berdekatan di sini. Menurut beliau murid-murid ini tidak mempunyai pakaian seragam dan kasut untuk ke sekolah. Atas rasa simpati dan prihatin maka beliau merasakan bahawa mereka patut diberi perhatian yang sewajarnya.

Gotong-Royong Membersihkan Rumah Mangsa Banjir


24 Disember 2006 - Dewan Pemuda Pas kali ini membantu mengemas rumah seorang mangsa banjir di Kg. Saujana Baru yang dipenuhi lumpur sejak 3 hari yang lalu. Kedua-dua suami isteri tidak mampu untuk membersihkan perkakasan yang dipenuhi lumpur berikutan usia yang semakin lanjut dan uzur.


Dengan inisiatif Ketua Pemuda, Syed Othman semua AJK diarah bersama-sama membersihkan rumah warga tua tersebut. Kerjasama yang diberikan amat memberangsangkan. Lebih-lebih lagi apabila seorang lagi pemuda yang baru berhijrah ke Pasir Gudang turut sama membantu.


Buat akhirnya, Dewan Pemuda berharap agar kerja-kerja amal sebegini dapat dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat demi kesejahteraan masyarakat dan negara amnya. Airmata warga tua yang menitis ketika bersalaman dengan semua AJK yang terlibat menzahirkan rasa terharu dan syukur kerana masih ada yang mengambil berat terhadap dirinya.

Sumbangan kepada Mangsa Banjir di Kg. Saujana Baru, Kg. Baru Plentong.



23 Disember 2006 - Dewan Pemuda Pas dengan Kerjasama Pas Kawasan Pasir Gudang telah bersama-sama mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Plentong hari ini. Hasil dari peruntukan yang dikeluarkan oleh Pas Pusat, Pas berjaya memanfaatkan dengan memberi sumbangan beras dan gula. Walaupun sumbangan yang diberikan oleh Pas tidak seberapa namun itulah yang termampu dilakukan.

Namun apa yang dikesalkan ialah pihak yang berwajib masih tidak memberi apa-apa bantuan sehingga hari ini. Itu pun belum lagi dibangkitkan soal kelemahan mereka dalam persediaan menghadapi bencana seperti ini. Jika tidak dari usaha orang awam sekitar yang bertungkus-lumus memberi bantuan sudah pasti keadaan akan menjadi lebih teruk.

Di sini kami ingin meminta agar pihak yang berwajib perlu melakukan post-mortem ke atas jabatan masing-masing dan mencari jalan penyelesaian kepada kekurangan yang tampak jelas di mata rakyat sepanjang insiden ini berlaku. Ini penting demi menjaga kepentingan rakyat di negara ini khususnya di negeri Johor ini.

Bantuan Mangsa Banjir di Tmn. Saujana dan Bandar Seri Alam.


19 Disember 2006 - Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang hari ini telah turun memberi bantuan kepada lebih 500 orang mangsa banjir di sekitar Plentong dimana 300 mangsa dari Tmn. Saujana dan 200 lagi dari Bandar Seri Alam. Selain dari menyediakan pengangkutan ke penempatan sementara, mangsa juga diberi sumbangan peralatan dapur gas dan beberapa perkakasan memasak.



Mangsa bencana penduduk Tmn. Saujana telah ditempatkan di Balairaya yang berhampiran. Semasa lawatan kali kedua kira-kira selepas solat isyak, Ajk Pemuda Pas bergegas membawa sedikit sumbangan makan malam kepada semua mangsa yang terpaksa berpindah ke sini bermula tengahari tadi.

Ceramah Ust. Badrul Amin di Tmn. Saujana


17 November 2006 - Bekas Tahanan ISA, Ust. Dr. Badrul Amin menyampaikan ceramah dengan dihadiri oleh tidak kurang dari 500 penyokong Pas di sini hari ini. Antara isu yang dibangkitkan adalah isu Pembinaan Mahligai Adun Klang, SMS mengenai Kristianisasi di Perak, Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, dan Kekejaman ISA.

Majlis Ihtifal PASTI Al-'Irfan Kaw. Pasir Gudang 2006

5 November 2006, Politeknik Johor Bahru - Seramai lebih 200 murid Pasti 6 tahun telah menerima sijil bagi sessi pengajian tahun 2006 ini.


En. Syed Othman B. Syed Abdullah selaku Penasihat Pasti menyampaikan sijil kepada murid pasti 6 tahun. Kelihatan di sebelah kanan, En. Haini B. Harun selaku pengerusi Pasti Kawasan Pasir udang.

Majlis diselang-selikan dengan persembahan nasyid dari murid-murid Pasti yang mewakili sejumlah 9 buah pasti di kawasan Pasir Gudang. Selain itu, hadirin juga dihidangkan dengan Pertunjukan Fesyen Busana Muslimin/Muslimah, Deklamasi Sajak dan Bercerita.

Infaq Faqir Miskin 1427H - Tmn. Saujana



Ketua Pemuda DPP menyerahkan sumbangan kepada seorang dari beberapa ibu tunggal yang dijemput menghadiri majlis ini.

Jumlah keseluruhan faqir miskin yang disenaraikan adalah 25 keluarga. Mereka semua diberi sekampit beras dan sedikit keperluan memasak seperti minyak masak dan gula.


Infaq Fakir Miskin 1427H di Seri Alam Tasek

Sebahagian dari keluarga yang menerima bantuan.



Iftar Jama'i Pasir Gudang-Tebrau 1427H

Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang dan Tebrau telah berjaya menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Berjemaah (Iftar Jama'i) di Pejabat Pas Kawasan Pasir Gudang hari ini. Majlis tersebut kemudiannya diikuti oleh solat Maghrib,Isyak dan Tarawih Berjamaah. Setelah selesai solat tarawih, hadirin mendengar tazkirah dari Ust. Roslan dan Ust. Kassim Ibrahim.


Infaq Fakir Miskin 1427H di Tmn. Air Biru


Pas Cawangan Tmn. Air Biru telah menjemput Dewan Pemuda dan Pas Kawasan Pasir Gudang bersama-sama menyerahkan sumbangan ramadhan kepada golongan faqir miskin sekitar Tmn. Air Biru.




Program Infaq Faqir Miskin di Tmn. Cendana Kali ke-2



Sekali lagi AJK Dewan Pemuda dan Pas Kawasan Pasir Gudang telah berjaya turun kepada masyarakat di sekitar Tmn. Cendana untuk bersama-sama menyampaikan sumbangan berupa wang dan barangan keperluan harian kepada golongan faqir miskin di sini.

Walaupun dengan nilai yang tidak seberapa namun inilah komitmen yang berjaya ditunjukkan kepada masyarakat bahawa Pas begitu perihatin dengan keadaan dan nasib masyarakat setempat khususnya kepada golongan yang daif seperti ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah berkata ketika ditanya mengenai apakah tindakan pihak berwajib dalam memberi bantuan yang sepatutnya kepada mereka, beliau mengulas, hanya segelintir sahaja yang menerima bantuan manakala yang lain masih tidak mendapat apa-apa jawapan.

"Ada di antara mereka telah membuat permohonan dari pihak berwajib namun belum menerima jawapan. Namun begitu masih ada yang tak tahu ke mana tempat untuk mereka rujuk jadi kami mengambil tanggungjawab ini untuk menolong mereka di samping memberi penerangan kepada mereka pendekatan yang sepatutnya mereka ambil", tambahnya lagi.


Sumbangan yang disampaikan kepada lebih 13 buah rumah penduduk di sini berhasil dengan gerakerja pertama yang dilaksanakan oleh anggota Pas cawangan Tmn. Cendana sendiri yang diketuai oleh Sdr. Kelana dalam menjejaki kediaman golongan yang daif seperti ini. Beliau mengulas apabila diajukan soalan mengenai keadaan sebenar penduduk di sini, "Sebenarnya masih banyak lagi keluarga yang daif yang amat memerlukan bantuan tapi apa yang kami dapat senaraikan setakat ini adalah masih dianggap belum menyeluruh. InsyaAllah senarai ini akan dikemaskini dan kami meminta agar sumbangan dapat dikutip lagi memandangkan stok hasil fidyah dan Infaq yang diterima dari pelbagai golongan masih di tahap minimum."

Di akhir program tersebut, Ketua Dewan Pemuda meminta agar program ini dilaksanakan lagi pada minggu hadapan dan meminta AJK yang terlibat membuat persediaan yang sepatutnya.



Program Infaq Faqir Miskin Ramadhan 1427H


Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang dengan kerjasama dari Pas Kawasan telah menyerahkan bantuan kepada 11 keluarga faqir miskin di Tmn. Cendana pagi ini.


Sumbangan beras adalah hasil dari pembayaran fidyah dan sumbangan masyarakat di sekitar pasir gudang. Alhamdulillah dengan sumbangan dari AJK dan ahli sendiri Dewan Pemuda Pas berjaya menyerahkan kesemua barangan yang diamanahkan oleh penyumbang-penyumbang.


Golongan faqir miskin yang kami kunjungi terdiri dari ibu-ibu tunggal yang terpaksa menyara anak-anak yang ramai. Kehidupan mereka amat daif dan setiap hari terpaksa bekerja samada menolong jiran berniaga, mengambil upah menjual ikan, dan mengambil upah menjaga anak kecil. Ada di antara mereka yang sudah uzur namun mereka cekal untuk meneruskan kehidupan dengan tulang empat kerat mereka semata-mata untuk mendapatkan sesuap nasi dan menyara perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka. Sedih juga bila mendengar ada ibu tunggal yang tidak mendapat apa-apa bantuan dari pihak berwajib walaupun telah memohon.


Program ini akan diteruskan sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga usaha ini akan terus mendapat sokongan dari pelbagai pihak dan kami mengalu-alukan segala sumbangan dari orang ramai yang bersimpati dengan perkara ini. Bagi pihak Dewan Pemuda, kami tidak memberi bantuan berdasarkan parti apa yang disokong tapi kepada sesiapa sahaja yang benar-benar daif dan memerlukan.


Hari Keluarga Merdeka 2006


Dewan Muslimat Pas dengan kerjasama Dewan Pemuda dan Pas Kawasan Pasir Gudang telah berjaya menganjurkan Hari Keluarga Merdeka di Pejabat Pas Cawangan Tmn. Saujana. Seramai lebih 80 orang yang terdiri daripada ahli Pas dan juga masyarakat tempatan telah hadir bersama keluarga masing-masing di dalam program tahunan ini. Di sini, kita dapat melihat bahawa komitmen muslimat Pas dalam mengukuhkan lagi ikatan ukhuwwah antara ahli jemaah dan masyarakat khususnya di kawasan Pasir Gudang.


Antara acara yang berlangsung pada hari tersebut adalah Pertandingan Futsal dengan penyertaan dari AJK Dewan Pemuda Pas dan juga golongan remaja tempatan. Selain itu, acara mencari harta karun berkeluarga juga mencuri perhatian setiap yang hadir. Di samping itu, pertandingan si kecil meniup belon terbesar juga menyerikan lagi suasana program ini. Tidak ketinggalan aktiviti untuk muslimat seperti menggubah tembikai, mengasingkan campuran beras dan kacang, dan termasuk juga pertandingan bayi comel.

Adalah diharapkan dengan kejayaan penganjuran program ini dari pihak Dewan Muslimat Pas dapat membakar semangat Dewan Pemuda dan Pas sendiri untuk lebih aktif dalam urusan kemasyarakatan sebegini yang secara tidak langsung menolak pandangan umum mengenai persoalan kemampuan Muslimat Pas dalam perjuangan Islam yang suci ini.

Edar Risalah Malam Merdeka 2006


Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang pada malam sambutan Merdeka yang lalu telah turun ke Tmn. Rinting untuk mengedarkan risalah yang berkaitan gejala sosial remaja hari ini. Budaya Hedonisme didapati semakin berakar di kalangan masyarakat dengan penganjuran Malam Sambutan Merdeka yang dicemari dengan konsert-konsert yang melalaikan.

Di manakah peranan kerajaan dalam menangani masyarakat yang sedang mabuk dengan hiburan yang berpanjangan sehingga melupakan tanggungjawab kepada agama dan negara? Hari ini masyarakat dahaga dengan hiburan sehingga setiap ceruk di sini mengadakan pesta mereka tersendiri. Kita lihat di Tmn. Mawar sendiri mereka mengadakan konsert band yang mengganggu keharmonian masyarakat sekeliling. Mereka tidak menghiraukan azan yang berkumandang dari surau yang berhampiran malah bermaharajalela hingga ke dinihari.

Apa yang menyedihkan lagi bilamana anak-anak muda dalam lingkungan belasan tahun mengenakan pakaian yang menjolok mata serta tidak melambangkan ciri-ciri Islam sebagai pegangan dan cara hidup. Lihatlah saja anak-anak muda ini dengan cara berpakaian yang dipengaruhi oleh budaya barat yang akhirnya kita bimbang akan membawa kepada kerosakan akhlak dan aqidah mereka. Kita inginkan bakal-bakal pemimpin yang berakhlak mulia dan bukan yang dididik dengan hiburan dan akhlak yang tercemar seperti ini.

Justeru itu Dewan Pemuda Pas di sini menyatakan tentangan terhadap program-program sebegini yang jelasnya tiada nilai di sisi masyarakat apatah lagi kepada agama. Selain dari itu kami menyeru agar pemimpin-pemimpin komuniti tidak mengambil remeh akan perkara ini dengan menganggap ianya dibolehkan dengan alasan untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat. Banyak lagi pendekatan yang kita boleh gunakan contohnya kita adakan program ceramah motivasi berunsur kemasyarakatan dimana kita panggil profesional yang berwibawa yang dapat menyuntik nilai-nilai murni dalam masyarakat dan juga nilai-nilai di sebalik kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Selain itu di dalamnya kita selitkan hiburan alternatif seperti nasyid yang membawa kepada pematuhan diri kepada ajaran agama Islam.

Perlu ditekankan di sini bahawa masyarakat yang terbaik bermula dengan keluarga yang mempunyai nilai agama yang tinggi. Dalam agama kita ditekankan akan konsep tolong-menolong, berbuat baik sesama jiran tetangga, tidak mengadu-domba dan memfitnah, dan nilai-nilai insaniah lain yang amat relevan dengan masyarakat hari ini dan akan datang. Berlainan dengan konsep Hiburan Barat yang ternyata menyimpang dari matlamat hidup manusia yang semestinya membuat persediaan untuk menanti hari kematian yang mendatang pada bila-bila masa. Adakah kita akan bersedia? Tidak. Kita tidak akan bersedia jika perkara sebegini masih menjadi kebiasaan dalam masyarakat di sekitar kita. Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab dalam membentuk masyarakat di negara yang tercinta ini. Sedarlah.

Himpunan Umat Islam Membantah Forum Kumpulan Artikel 11 Di Johor Bahru


Johor Bahru: Seramai 500 umat Islam berdemonstrasi di hadapan Hotel Selesa pada 22/7/2006 membantah seminar IFC yang diadakan di hadapat hotel tersebut.

Ulasan:Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang berasa kesal dimanakah sensitiviti umat Islam seluruh negeri Johor ketika seminar yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam di anjurkan di Negeri Johor. Ini kerana bantahan seminar tersebut hanya disertai 500 orang sahaja. Mengikut fakta jumla umat Islam di Pasir Gudang sahaja, hampir 18, 000 orang. Dimanakah umat Islam ini? Adakah mereka tidak sensitif dengan isu ini? Ataupun kerja ini hanya layak dibuat oleh orang PAS sahaja?



Pada 21/7/2006 Dewan Pemuda PAS bersama sdr Mazlan Aliman selaku Naib Ketua Pemuda Pas Pusat telah membuat laporan polis terhadap kumpulan Artikel 11 yang mendesak supaya kumpulan ini membatalkan progam mereka yang bakal diadakan pada tarikh 22/7/2006 di Hotel Selesa. Kumpulan ini cuba menyentuh hal urusan Umat Islam dan kita bimbing akan mencetus huru-hara. Persoalannya kenapa berita ini hanya diterbitkan di akhbar berbahasa Cina sahaja? Di manakah akhbar-akhbar lain seperti Utusan Malaysia, Berita Harian? Adakah mereka tidak perihatin dengan isu ini sedangkan mereka ini adalah dikalangan umat Islam.














Sekapur Sirih

Bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang dapat melancarkan blog ini dengan jayanya hasil sokongan daripada sahabat-sahabat. Dengan adanya blog ini maka hasrat Dewan Pemuda untuk memaparkan isu-isu semasa khususnya yang berlaku di Pasir Gudang. Blog ini amat penting bagi menyampaikan maklumat -maklumat yang selama ini tidak dipaparkan di Media. Selama ini kita menganggap bahawa Pasir Gudang merupakan kawasan yang tidak pernah menghadapi sebarang masalah sedangkan tedapat beberapa isu yang akan kami (Dewan Pemuda) akan dedahkan kepada masyarakat umum demi kebaikan bersama.

Kami juga mengalu-alukan anda memberi sebarang maklumat yang berlaku di sekitar Kawasan Pasir Gudang. Semoga dengan adanya blog ini masyarakat luar akan mendapat maklumat terkini dan memantapkan lagi perjuangan Parti Islam Se-Malaysia dalam membela agama suci Islam.

Sekian,

Syed Othman,
Exco Hal Ehwal Pengguna
Dewan Pemuda Pas Johor
Merangkap Ketua Dewan Pemuda Pas
Kawasan Pasir Gudang,

* Sebarang pertanyaan atau cadangan bolehlah dihantarkan kepada Ketua Dewan Pemuda melalui email (
dppkpg@gmail.com) atau boleh terus telefon atau smskan ke no 013-7511818. Sumbangan anda didahulukan dengan ucapan terima kasih.


Penggunaan Aplikasi Multimedia

Untuk melayari bahagian audio dan video di laman ini, anda perlu menginstall Flash Player.

Pasang Flash Player disini.






Player ini adalah copyright Adobe. Untuk maklumat lanjut layari http://www.adobe.com

Terdapat ralat dalam alat ini

Diari

Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular