Kempen Selamatkan Johor Daripada Muflis 2012

Mengejutkan! Sebagai salah sebuah negeri yang dianggap maju di Malaysia dengan jumlah pelaburan berbilion setahun, kenyataan di atas mungkin disangka keterlaluan. Tetapi inilah realiti yang harus diterima oleh rakyat johor.

1. Bagaimana Johor boleh muflis?
Antara penyebabnya ialah hutang Johor Corporation (JCorp) yang berjumlah RM 4.032 billion.


2. Apa kaitan JCorp dengan kerajaan Negeri Johor?
JCorp merupakan salah sebuah GLC dalam kerajaan negeri.


3. Bagaimana hutang JCorp boleh menyebabkan Johor muflis?
Pada 2002, JCorp telah menerbitkan Bon (surat hutang) berjumlah RM4.032 billion dengan Kerajaan Negeri Johor sebagai penjaminnya. Tempoh matang bon-bon tersebut adalah pada 2007, 2009 dan 2012. Dalam sidang DUN Johor 8 September 2009, JCorp telah menebus bayar sebanyak RM393.76 juta (bon yang matang 2007) dan RM694.98 juta (bon yang matang 2009). Jumlah baki bon yang perlu ditebus pada 31 Julai 2012 adalah RM3.58billion!

4. Bolehkah JCorp membayar hutangnya menjelang 2012?
Keuntungan sebelum cukai JCorp adalah lebih kurang RM600 juta setahun. Diulang "sebelum cukai". Ini bermakna menjelang 2012 , dijangkakan JCorp hanya akan mampu menyediakan RM1.5 billion bagi menebus bayar bon.

5. Apa implikasi kepada kerajaan negeri?
Sebagai penjamin, kerajaan negeri harus menanggung beban hutang JCorp yang tidak mampu dibayar sebanyak RM2 billion. Kegagalan untuk berbuat demikian, kerajaan negeri boleh diheret ke mahkamah dan diisytiharkan MUFLIS!

6. Bolehkah kerajaan negeri menampung hutang JCorp sebanyak RM2 billion?
Dengan keadaan belanjawan defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan) yang dialami oleh kerajaan negeri dan nisbah kecairan tunai yang kecil sekitar RM201.53 juta (tunai RM36.37 juta & pelaburan RM165.16 juta), untuk menampung kos pentadbiran sahaja kerajaan negeri dijangkakan mampu bertahan selama 3 bulan.

Apakah cara atau jalan yang digunakan oleh kerajaan BN Johor bagi menyelamatkan keadaan? Menjual aset-aset ataupun hartanah strategik milik rakyat Johor. Antara hartanah yang dipercayai telah dijual ialah:
1. Menara Pejabat Plaza Kotaraya dijual kepada Iskandar Investment Berhad (IIB)
2. Tapak CIQ Stulang juga dijual kepada IIB
Malah jika anda sering melalui jalan Kota Tinggi - Bandar Tenggara, anda mungkin perasan papan tanda Johor Tenggara Oil Palm (JTOP) telah digantikan dengan papan tanda Tradewind. Apakah ini juga bermakna JTOP juga telah dijual?

Selepas ini apa pula yang akan dijual?
Aset atau hartanah milik kerajaan negeri dan JCorp adalah sebenarnya milik khazanah dan pusaka rakyat Johor dan bukannya milik UMNO/BN!

Jom kita jayakan Kempen Selamatkan Johor Daripada Muflis 2012 bersama Pemuda PAS Johor untuk menyerahkan kepada Baginta Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar.

Agendanya adalah :

1. Perlancaran Kempen
2. Road-Show seluruh daerah
3. Kempen tandatangan seluruh Johor.
4. Tentukan tarikh mengadap Sultan
5. Serah Memorandum Rakyat Johor kepada Baginda Sultan

Tuan-tuan setuju ? Jumpa di sanaaa......

http://kentong-suhaizan.blogspot.com/

Berani Ke Najib Nak Pecat Ku Li?

Laporan malaysiakini menyebut Umno masih meneliti kandungan ucapan seorang pemimpin veterannya Tengku Razaleigh Hamzah yang menyertai perhimpunan menuntut royalti minyak Kelantan di Kota Bharu semalam.


Katanya, beliau masih belum menerima kandungan ucapan tersebut bagi menentukan tindakan sepatutnya ke atas ahli parlimen Gua Musang itu.
.
"Kita sedang meneliti, belum dapat apa yang diperkatakan oleh Tengku Razaleigh jadi bagi tempoh masa kepada kita untuk dapatkan laporan apa yang diucapkannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya lagi, kandungan ucapan Tengku Razaleigh itu juga akan dibincangkan lanjut oleh parti.

"Pendirian kita, mesti patuh kepada disiplin parti. Tetapi macam mana pun kita akan bincang perkara ini," tambahnya lagi.

Beliau yang juga presiden BN menjelaskan, keputusan untuk memberi wang ehsan kepada rakyat Kelantan dibuat berdasarkan tanggungjawabnya sebagai kerajaan.

"Apa yang berhubung dengan rakyat kelantan, kita akan bagi. Kita tak lari daripada tanggungjawab kita. Tapi kita mesti buat apa-apa berdasarkan perlembagaan," katanya.


YBM Tengku Razaleigh Hamzah adalah pengasas Petronas. Beliau telah menyatakan adalah menjadi kewajipan Petronas membayar royalti sebanyak 5% kepada kerajaan Kelantan.

Ucapan beliau telah dilakukan dihadapan rakyat Kelantan yang berpuluh ribu ramainya menyertai Majlis Solat Hajat di Kota Bahru malam kelmarin.

Dan kini Najib menyatakan Umno masih meneliti kandungan ucapan Tg. Razaleigh. Apa lagi, cuba ler hadapkan Ku Li ke Lembaga Disiplin UMNO. Ada berani?

Bakar gereja : PAS selar campur tangan Hishammuddin

PAS menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melarang polis mengambil keterangan daripada Naib Presiden PKR, Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle, baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya.

“Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, walaupun Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan kes berkenaan di bawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegitu, ujarnya lagi, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak polis untuk mendakwa suspek.

Idris mengambil contoh dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini di mana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.

“Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja, beliau tidak dipanggil memberikan keterangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, PAS mendesak supaya polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat.

Menurutnya, jika perkara itu dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.

Tambahnya, PAS bertegas agar polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak.

Jika benar, katanya ahli Umno terlibat merancang perbuatan itu, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara.

Harakahdaily

PAS Seru Ahli dan Penyokong Solat Hajat Untuk Kelantan dan Perak


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru ahli dan penyokong untuk melakukan Solat hajat secara serentak diseluruh negara pada esok malam 28 Januari 2010, selepas waktu Isyak.


Program ini khusus bagi memohon kepada Allah swt semoga rakyat Kelantan mendapat hak mereka dalam tuntutan royalti dan Negeri Perak mendapatkan semula Menteri Besar yang dirampas jawatannya oleh Umno-Barisan Nasional tahun lepas.


Program ini boleh diadakan dimasjid surau serta markas-markas PAS sebagai menunjukan keprihatinan kita kepada rakyat di kedua-dua negeri yang tertindas ini. PAS yakin doa-doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan Allah dan kezaliman dapat ditumpaskan.

PAS menyakini bantuan Allah dan sesekali kita tidak akan berputus harap sehinggalah Allah memberikan kemenangan kepada rakyat yang ditindas ini.


Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

JURU DAKWAH YANG TIDAK GENTAR


Kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menyebabkan bangkitnya kemarahan orang-orang badwi di sekitar Madinah untuk mencemuh dan mengungkit-ngungkit dendam lama yang sebelumnya sudah terpendam. Namun tanpa curiga sedikit pun Rasulullah memberikan sambutan baik atas kedatangan sekelompok pedagang Arab yang menyatakan keinginan sukunya hendak mendengar dan memeluk Islam. Untuk itu mereka meminta para jurudakwah dikirimkan ke kampung suku itu. Rasulullah s.a.w meluluskan. Enam orang sahabat yang alim diutus untuk melaksanakan tugas tersebut. Mereka berangkat bersama para pedagang Arab itu.

Di kampung Ar-Raji, dalam wilayah kekuasaan suku Huzail, para pedagang itu tiba-tiba melakukan pengurangan atas keenam sahabat Rasulullah s.a.w, sambil berseru meminta bantuan kaum Huzail. Keenam pendakwah itu dengan pantas menghunus senjata masing-masing dan siap mengadakan perlawanan, setelah insaf bahawa mereka tengah dijebak.
Para pedagang yang licik tadi berteriak, "Sabar saudara-saudara. Kami tidak bermaksud membunuh atau menganiayai kalian. Kami cuma mahu menangkap kalian untuk kami jual ke Makkah sebagai budak belian. Keenam sahabat Rasulullah s.a.w itu tahu nasib mereka bahkan lebih buruk daripada terbunuh dalam pertarungan tidak berimbang itu. Kerana mereka segera bertakbir seraya menyerang dengan tangkas.

Terjadilah pertempuran seru antara enam pendakwah berhati tulus dengan orang-orang yang beringas yang jumlanya jauh lebih besar. Pedang mereka ternyata cukup tajam. Beberapa orang lawan telah menjadi korban. Akhirnya tiga sahabat tertusuk musuh dan langsung gugur. Seorang lagi dibaling batu beramai-ramai hingga tewas. Bakinya tinggal dua orang; Zaid bin Addutsunah dan Khusaib bin Adi.
Apalah daya dua orang pejuang, betapa pun lincahnya perlawanan merek, menghadapi begitu banyak musuh yang tangguh ? Selang beberapa saat sesudah jatuhnya empat sahabat tadi, kedua orang itu dapat dilumpuhkan dan belenggu. Lalu mereka diangkut menuju pasar budak di Makkah. Zaid dibeli oleh Shafwan bin Umayyah. Ayah Shafwan, Umayyah bin Khalaf, adalah majikan Bilal dan Amir bin Fuhairah. Umayyah terkenal sangat kejam kepada budak-budaknya. Bilal pernah disalib di atas pasir dan dijemur di tengah teik matahari dengan badan ditindihi batu. Untung Bilal ditebus oleh Saiyidina Abu Bakar Assidiq dan dimerdekakan. Orang Habsyi ini kemudian terkenal sebagai sahabat dekat Rasulullah s.a.w. dan diangkat sebagai Muazin, tukang azan.

Dalam perang Badar, Umayyah bin Khalaf berhadap-hadapan dengan bekas budaknya itu. Dan Bilal berhasil membunuhnya dalam pertempuran yang sengit satu lawan satu. Adapun Khubaib bin Adi diambil oleh Uqbah bin Al-Harits dengan tujuan yang sama seperti maksud Shafwan membeli Zaid bin Abdutsunah. Iaitu untuk membalas dendam kebencian mereka kepada umat Islam.
Maka oleh orang-orang Quraisy, Zaid diseret menuju Tan'im, salah satu tempat untuk miqat umrah. DI sanalah Zaid akan dijalani hukuman pancung, buatkan sesuatu yang ia tidak pernah melakukannya, iaitu terbunuhnya Umayyah bin Khalaf, ayahanda Shafwan. Menjelang algojo menetak parangnya, pemimpin kaum Musyrikin Abu Sufyan bertanya garang, "Zaid bedebah, apakah engkau senang seandainya di tempatmu ini Muhammad, sedangkan engkau hidup tenteram bersama keluargamu di rumah ?"

"Janganlah begitu," bantah Zaid dengan keras. "Dalam keadaan begini pun aku tidak rela Rasulullah tertusuk duri kecil di rumahnya."
Abu Sufyan menjadi marah. "Bereskan," teriaknya kepada algojo. Dalam sekelip mata, sebilah parang berkilat di tengah terik matahari dan darah segar menyembur keluar. Zaid bin Abdutsunah gugur setelah kepalanya dipotong, menambah jumlah penghuni syurga dengan seorang syuhada' lagi. Di hati Abu Sufyan dan orang-orang Quraisy lainnya timbul kehairanan akan kesetiaan para sahabat kepada Muhammad. Sampai tergamam di bibir Abu Sufyan ucapan kagum, "Aku tidak perna menemukan seorang yang begitu dicintai para sahabat seperti Muhammad."

Sesudah selesai pemancungan Zaid, datang pula rombongan lain yang menyeret Khubaib bin Adi. Sesuai dengan hukum yang berlaku di seluruh Tanah Arab, kepada pesalah yang dijatuhi qisas mati diberikan hak untuk menyampaikan permintaan terakhir. Demikian juga Khubaib. Juru dakwah yang bestari ini meminta izin untuk solat sunnah dua rakaat. Permohonan tersebut dikabulkan. Dengan khusyuk dan tenang, seolah-olah dalam suasana aman tenteram tanpa ancaman kematian, Khubaib melaksanakan ibadahnya sampai selesai. Setelah salam dan mengangkat dua tangan, ia berkata, "Demi Allah. Andaikata bukan kerana takut disangka aku gentar menghadapi maut, maka solatku akan kulakukan lebih panjang."

Khubaib disalib dahulu lalu dihabisi sepertimana dilaksanakan ke atas Zaid bin Abdutsunah. Jasadnya telah lebur sebagaimana jenazah lima sahabatnya yang lain. Namun semangat dakwah mereka yang dilandasi keikhlasan untuk menyebarkan ajaran kebenaran takkan pernah padam dari permukaan bumi. Semangat itu terus bergema sehingga makin banyak jumlah pendakwah yang dengan kekuatan sendiri, atas biaya peribadi, menyelusup keluar-masuk pedalaman berbatu-batu karang atau berhutan-hutan belantara buat menyampaikan firman Tuhan menuju keselamatan

PAS Kutuk Penangkapan ISA, Mahu 10 tahanan dibicarakan

Kenyataan Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk pengunaan Akta ISA terhadap 10 orang suspek pengganas termasuk beberapa pelajar asing dari luar negara. Salah seorang yang ditahan juga adalah rakyat tempatan.

PAS bertegas menolak penggunaan Akta ISA dan mahu 10 tahanan ini dibicarakan dimahkamah terbuka. Keengganan Menteri Keselamatan Dalam Negeri mendedahkan nama 10 suspek berkenaan menimbul kecurigaan kepada rakyat.

Sewajarnya identiti mereka didedahkan bagi menunjukan pihak Kerajaan benar-benar membuat tangkapan dan membuat siasatan penuh ke atas mereka. Penahanan dibawah Akta ISA tidak memberikan apa-apa jawapan kepada rakyat, kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar bersalah atau sengaja dikambing hitamkan demi untuk menunjukan Menteri keselamatan Dalam Negeri menjadi hero dalam membantu Amerika yang kini giat memburu Pengganas antarabangsa.

Malaysia sebelum ini terkenal sebagai negara transit kepada pendatang tanpa izin, transit kepada aktiviti pengedaran dadah, transit kepada aktiviti pelacuran, transit kepada aktiviti penjualan bayi, transit kepada pengubahan wang haram, transit kepada aktiviti cetak rompak dan negara transit kepada pengganas. Tetapi itu semua tidak bermakna Kerajaan boleh menangkap orang sesukahati tanpa membuktikan mereka bersalah dimahkamah.

Adalah satu kezaliman jika orang yang dituduh itu tidak bersalah tetapi ditahan dibawah akta ISA dan terpaksa melalui musim-musim penderaan yang mengerikan untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 2 tahun di Kamunting atau di Kluang.

PAS yakin, dengan tindakan terbaru ini jelas rakyat sudah melihat bukti bahawa Malaysia adalah negara Polis, dan Menteri yang juga ahli Politik Barisan Nasional bebas menahan sesiapa sahaja tanpa perlu membuktikan kesalahan mereka. Maka, tidak mustahil juga akta ini akan digunakan suatu hari nanti kepada pemimpin-pemimpin Politik atau rakyat yang tidak bersetuju dengan parti Menteri tanpa perlu dibuktikan kesalahan mereka.

Ops Lalang dan penangkapan pemimpin Reformasi membuktikan perkara berkenaan. Sehingga kini mangsa yang telah bebas tidak tahu apakah kesalahan mereka hingga terpaksa merengkok dalam penjara dan disiksa. Pihak Polis juga hingga kini gagal membuktikan kesalahan mereka dan jelas segala pertuduhan yang dibuat semasa penahanan adalah fitnah.

PAS mendesak Kerajaan mendakwa 10 tahan ini bersama tahanan-tahanan sedia ada dimahkamah dan mansuhkan akta ISA.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Projek Runtuh Di Terengganu Bukti Wang Ehsan Tidak Berkat, Kelantan Jangan Terima

Kenyataan Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), menyelar tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang masih enggan membayar wang royalti Kepada Kelantan tetapi memaksa Kelantan menerima wang ehsan bernilai RM 20 juta pada Mac ini.

Pengakuan Kerajaan BN bahawa memang terdapat pengeluaran minyak di Blok PM302 iaitu kawasan perairan bertindih Kelantan-Thailand membuktikan bahawa penafian mereka selama ini adalah satu pembohongan. Dakwaan bahawa wang ehsan diberikan kerana hasil yang diperolehi di Blok PM302 menguatkan lagi bukti ketidak jujuran Mustapha Mohamad kepada rakyat Kelantan.

BN juga menafikan hak Kelantan terhadap hasil minyak bagi telaga di Pelantar Bintang yang bertindih dengan negeri Terengganu. Walaupun pakar Geologi telah mengesahkan ianya hak Kelantan, tetapi demi kerakusan mereka, BN sanggup berbohong.

Dalam mana-mana uruniaga dan perjanjian dengan Petronas, terma ‘wang ehsan’ tidak pernah wujud. Hanya terma ‘wang royalti’ sahaja yang ada. Kerajaan BN culas dalam hal ini dan mengunakan ‘terma ‘wang ehsan’ seolah-olah Kelantan meminta sedekah walhal sumber minyak itu keluar dari perut bumi Kelantan.

PAS yakin jika wang ehsan ini dibawa masuk ke Kelantan, ianya adalah sumber yang tidak berkat kerana diberikan atas niat politik iaitu mahu meraih undi Kelantan kepada BN.

Wang yang tidak berkat ini jika digunakan akan memberikan mudarat dimasa hadapan. Kita sudah melihat contoh yang nyata terhadap apa yang berlaku di Terengganu setelah menerima wang ehsan. Pelbagai projek dijalankan, tetapi hasilnya yang kita lihat pada tahun lepas sahaja amat memeranjatkan.

Beberapa bangunan yang dibina mengunakan wang ehsan telah runtuh antaranya, Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Masjid Kampung Puteh, Dewan Sek.Men. Wakaf Tapai dan menara telekomunkasi di Besut dilaporkan tumbang.

Pusat Akuatik di Batu Burok, Kuala Terengganu pula bocor dan Siling Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Seberang Takir runtuh.

Inilah bukti hasil ketidakikhlasan wang ehsan, dimana kerajaan negeri kini terpaksa menangung kerugian yang besar dan duit rakyat hangus begitu sahaja.

PAS berharap momento tragedi ini menjadi peringatan kepada rakyat Kelantan dan seluruh negara bahawa Allah juga tidak redha dengan ketidakikhlasan Umno-BN yang sanggup menafikan hak rakyat demi untuk kepentingan mereka.

PAS menyeru Ahli dan penyokong untuk bersama-sama bersolat hajat diseluruh negara malam ini dan berharap agar Kelantan mendapat hak mereka.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penarangan PAS Pusat

Warga OKU Berbangsa India, Warga Emas Jalani Pintasan Jantung Antara Yang Dibantu Pusat Aduan Rakyat Pasir Gudang

Pada 23 Januari 2009, Pusat Aduan Rakyat kawasan Pasir Gudang dengan kerjasama DPP kawasan Pasir Gudang telah mengadakan ziarah mesra dan bantuan kebajikan kepada beberapa buah keluarga di kawasan perumahan sekitar Permas Jaya, Pasir Gudang. Ziarah melibatkan 6 buah keluarga berbangsa India dan seterusnya 6 buah keluarga berbangsa Melayu. Bantuan disampaikan oleh Yang DiPertua PAS Pasir Gudang dibantu oleh Ahli Jawatankuasa yang hadir. Berikut adalah gambar yang dapat pihak kami lampirkan.


YDP Kawasan Pasir Gudang menyampaikan bantuan kepada sebuah keluarga India-Cina




Kedatangan disambt baik oleh warga OKU kaum India



Warga emas yang baru sahaja selesai menjalani rawatan pintasan jantung turut diziarahi




Sekian

Jawatankuasa Wang Ehsan: Awang Adek dan Umno Khianat


KUALA LUMPUR, 25 Jan: PAS menyelar tindakan Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang mendakwa bahawa sebuah jawatankuasa yang turut disertai wakil kerajaan negeri Kelantan akan ditubuhkan bagi menentukan jenis projek dan kaedah penyaluran wang ehsan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, kenyataan Awang Adek itu dilihat cuba menunjukan bahawa Kelantan seolah-olah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa tersebut.

"Kenyataan putar belitnya jelas menyimpang jauh dengan pendirian Kelantan yang menolak idea Wang Ehsan bagi mengantikan Wang Royalti bagi isu minyak dinegeri itu," katanya.

Sebagai orang Kelantan jelasnya, Awang Adek sewajarnya mempunyai rasa kebersamaan dengan rakyat untuk pertahankan hak dan sumber negeri Kelantan bukannya mengkhianati rakyat.

Tindakan Awang Adek juga jelasnya telah menggagalkan kempen Umno Juara Rakyat di Kelantan.

"Maka PAS mengingatkan Awang Adek yang menjadi Timbalan Menteri dari pintu belakang pejabat Perdana Menteri agar tidak memainkan wayang pacak yang enggan dilihat oleh rakyat. Tuntutan rakyat Kelantan jelas, bayar wang royalti bukan wang ehsan," katanya lagi.

Sekiranya Kelantan menerima wang ehsan hari ini jelasnya, maka sampai bila-bila pun ianya akan kekal wang ehsan sama seperti yang diterima BN Terengganu.

"Maka rakyatlah yang akan rugi kerana berbilion wang royalti yang jadi hak negeri telah dirompak oleh Kerajaan Persekutuan. Ketahuilah, rakyat Kelantan bukannya peminta sedekah sampai perlukan duit ehsan, rakyat Kelantan berhak dapat Royalti," jelasnya lagi.

PAS katanya berharap dengan keputusan tegas Kerajaan Negeri itu, isu wang ehsan tidak lagi relevan untuk dibangkitkan.

Tegasnya, sekiranya wang ehsan itu masuk ke Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) maka ianya adalah wang haram dari segi semangat federalisme

PAS jelasnya yakin, Umno akan mengunakan wang itu sepenuhnya bagi menjalankan kempen Umno Juara Rakyat di kelantan dengan menaja wakil rakyat dan Umno Bahagian mengadakan program bersama rakyat.

PAS juga yakin rakyat Kelantan memahami perkara itu, dan sesekali tidak akan membiarkan Kelantan menjadi seperti Terengganu yang kembali kepada BN setelah wang ehsan ditaburkan.

Sehubungan itu PAS menggesa Jabatan Audit Negara memeriksa akaun JPP yang ditubuhkan oleh BN disemua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, kerana rakyat jelasnya mahu tahu berapa banyak duit mereka dibazirkan oleh 'Kerajaan haram BN' ini.

Harakahdaily

Media berniat jahat isu ‘cah keting’-Nik Aziz

Niat jahat media di sebalik ‘cah keting’

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas media yang menurutnya telah memperbesar-besarkan isu “cah keting” atau tikam belakang dalam parti itu sedangkan fenomena itu turut wujud dalam parti-parti politik lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata media juga telah salah tafsir saranannya dalam kuliah Jumaat minggu lalu supaya umat Islam mendoakan perlindungan daripada tuhan supaya parti itu dijauhi niat manusia yang ingin berbuat khianat atau menikam belakang.

Beliau percaya semua itu dilakukan dengan tujuan dan niat jahat untuk menimbulkan konflik dalam parti itu.

“Tindakan itu memperlihatkan seolah-olah tidak berlaku cah keting kepada pihak parti politik lain, termasuk Umno sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, di Kota Baharu.

Pada Sabtu lalu, Mursyidul Am PAS itu mengakui budaya “cah keting” wujud di mana-mana, termasuk dalam PAS sendiri dan ia bukanlah merupakan perkara baru dalam mana-mana pertubuhan politik.

- Bernama


Berdakwah satu Kepuasan

Oleh: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

1. Dewan Pemuda PAS Pusat baru sahaja selesai menyempurnakan lawatan kerjanya yang pertama ke negeri Sabah bagi sessi ini .

2. Selain pertemuan dengan anggota pemuda PAS Sabah , mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat Sabah [ SEPAKAT ] dan menyampaikan kuliah serta ceramah , kami juga turun ke padang menyempurnakan misi dakwah .

3. Pengalaman saya sepuluh tahun yang lalu masih segar dalam ingatan bagaimana kami dari team Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang turun mengedar risalah dan dakwah kepada masyarakat sempena sambutan tahun baru . Pada waktu itu , saya rasa sungguh malu dan segan melakukan aktiviti sebegini . Seolah - olah semua orang memandang ke arah saya . Akhirnya saya hulurkan risalah dan kemudiannya terus lari meninggalkan mereka terpinga - pinga menerima risalah .

4. Peringkat awal , saya sendiri berasa tidak selesa , janggal dan kerdil untuk menyertai operasi dakwah sebegini . Takdir Allah swt pada sekitar tahun 2004 sewaktu menyertai operasi dakwah dan amar makruf nahi mungkar ke Teluk Chempedak Kuantan , saya di beri pengalaman berharga oleh Allah swt yang akhirnya menjadikan saya lebih yakin , berani , gembira dan puas dengan aktiviti dakwah seperti ini .

5. Pengalaman berharga yang saya maksudkan itu ialah apabila salah seorang pasangan muda lelaki dan perempuan sedang bercekerama di celah batu besar di Teluk Chempedak menerima risalah yang saya hulurkan [ berjudul : Jauhi Gejala Sosial yang Negatif ] dan kemudiannya mengekori saya tanpa disedari oleh saya sendiri sehingga selesai operasi dan saya mahu pulang ke rumah , mereka memintas dan menahan kenderaan saya .

6. Permulaannya saya jangka mereka mahu belasah saya . Rasa berdebar dan resah tetapi bersedia menerima apa jua kemungkinan . Saya hanya seorang diri pada masa itu berpisah dari kumpulan untuk pulang ke rumah . Rupa - rupa pasangan anak muda tadi menerpa saya untuk meminta maaf sambil menangis dan mencium tangan meminta saya membimbing mereka ke jalan yang benar .

7. Semenjak itu , saya yakin , seronok , gembira dan puas jika sesekali berkesempatan menyertai operasi dakwah sedemikian dan ianya bertolak dari beberapa nokhtah nilai :

a] Saya dapat berinteraksi langsung dengan sasaran dakwah [ madu'u ] yang sebenar .
b] Islam dibawa keluar dari 4 penjuru dinding masjid dan surau .
c] Gembira dapat membantu insan yang leka dan lalai agar insaf dan sedar .
d] Mempertingkatkan skil dakwah dan memperhalusi method / uslub dakwah
e] Menghubungkan saya dengan pelbagai ragam dan karenah masyarakat
f] Menunaikan perintah Allah swt dalam berdakwah
g] Bangga dan puas apabila madu'u insaf dan bertaubat malah saya sendiri turut insaf

8. Insyaallah , Dewan Pemuda PAS akan terus mengaktifkan aktiviti dakwah dengan mempelbagaikan method . Satu kursus kejurulatihan dakwah akan diadakan untuk melatih petugas - petugas dakwah agar lebih seni , halus dan berkesan dalam membuat sentuhan dakwah kepada ummah .

9. Malah satu cabaran baru akan ditangani oleh Dewan Pemuda PAS kini ialah dakwah kepada golongan non muslim . Saya sifatkan ianya baru bagi Dewan Pemuda PAS kerana ini adalah pengalaman yang belum pernah diterokai secara rasmi dan serius sebelum daripada ini . Matlamatnya ialah untuk memberi gambaran yang positif mengenai Islam setelah sebahagian besar non muslim mengalami Islamophobia .

10. Kita adalah pendakwah bukan penghukum ! , pendekatan berasaskan prinsip ini akan digerakkan sepenuhnya . Insyaallah , pada 23 dan 24 hb January ini saya bersama Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan kembara dakwah melalui jalan keretapi dari Kuala Lumpur , Melaka , dan Johor dengan pelbagai aktiviti di sepanjang persinggahan atau stesen selama 2 hari . Siapa nak ikut ... jom dakwah !


CO KD Seri Inderapura dihadap kemahkamah tentera,macam mana pula Jet F5E
Bekas CO KD Seri Inderapura milik TLDM yang terbakar pada 8 okt lalu akan dihadapkan kemahkamah Tentera dipengkalan TLDM lumut. Menurut Panglima tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar seorang Pegawai pemerintah perlu dipertanggunhjawab dengan apa yang berlaku keatas kapalnya termasuk menentukan aset hak milik negara berada dalam keadaan selamat.

Tahniah pada TLDM yang mengekal dan membudayakan ketua mesti pikul tanggungjawab,Ini suatu amalan dan budaya yang akan memastikan seorang ketua akan melaksanakan tugas dengan baik,adil dan beramanah. Amalan ini akan dapat mengelak dari berlakunya penyelewengan,penyalahgunaan kuasa serta menghindari dan membenteras amalan rasuah. Tapi bukanlah bermakna orang diperingkat bawah boleh buat salah, tetapi amalan ini untuk pastikan ketua akan bertanggunjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya termasuk untuk pastikan orang bawah bekerja dengan betul dan amanah.

Tapi kenapakah amalan ini hanya diamal kan dalam angkatan tentera kususnya TLDM,Tidak pulak berlaku dalam TUDM bila injen Jet F5E hilang. Sedangkan isu kehilangan enjin Jet F5E sangat memalukan negara,kerana ini menunjukan soal tahap keselamatan negara yang berkaitan dengan sektor dan industri pertahanan tersangat buruk.

Sepatut bekas Panglima TUDM dan bekas Menteri Pertahanan yang wajar dihadapkan kemahkamah tentera atau mahkamah awam kerana mereka menyembunyikan kehilangan ini dari pengetahuan umum selama dua tahun.Sebaliknya AG hanya mengumumkan hasil siasatan Polis tiada pegawai kanan atasan TUDM dan KEMENTAH yang terlibat dalam kehilangan enjin Jet.Hanya yang terlibat yang berpangkat sarjan. Kalau ikut kes KD Inderapura pegawai pemerentah KD yg dipertanggungjawab,takkan dalam TUDM sarjan yang jadi pegawai yang bertanggungjawab terhadap Jet F5E.Pelik sungguh, agaknya di kementerian pertahanan yang bertanggungjawab hanya budak pejabat atau pun prebet tentera yang jadi Menteri pertahanan.

Saya mohon penjelasan dari menteri pertahanan siapakah pegawai pemerentah kem TUDM waktu dimana enjin Jet F5E hilang.Adakah pegawai pemerentah tersebut dihadapkan kemahkamah tentera sepertimana kes kebakaran kapal KD Inderapura.

Artikel oleh: Mahfuz Omar

Kemangkatan Sultan: Pimpinan dan ahli PAS rafak takziah

KUALA LUMPUR, 23 Jan: PAS merakamkan ucapan takziah kepada kepada kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi awang dalam satu kenyataan berkata, PAS mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkanroh baginda bersama orang-orang yang soleh.

"Seluruh kepimpinan dan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan takziah kepada KDYMM Sultan Johor dan kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada hari Jumaat 22 Januari 2010.

"Patik sekalian berdoa moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan baginda di kalangan orang-orang yang soleh," katanya.

Selain itu PAS negeri Johor juga turut merafak takziah kepada kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar.

"Saya bagi pihak PAS negeri Johor, mengucapkan banyak-banyak takziah kepada keluarga Diraja Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

"Saya juga memohon doa moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda," kata Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Bin Mohamad.

Beliau berkata demikian sewaktu dihubungi ketika sedang dalam perjalan ke istana untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum pagi tadi.

Pada masa sama, beliau turut merakam ucapan tahniah kepada Tengku Ibrahim Ismail telah dimasyhurkan secara rasminya sebagai Sultan Johor dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Singgahsana Istana Besar Johor Bahru pada 10.31 pagi tadi.

"PAS Johor juga mengucapkan tahniah kepada Tengku Ibrahim yang telah ditabal sebagai Sultan Johor yang baharu.

"Semoga beliau akan memerintah Johor dengan penuh keadilan, kesaksamaan dan mementingkan kesejahteraan rakyat jelata seperti Almarhum Ayahanda baginda," katanya.

Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada pukul 7.15 malam tadi di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini, malam tadi. Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada pukul 2 petang hari ini.

Rakyat jelata boleh memberikan penghormatan terakhir di Istana Besar dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi sementara orang kenamaan dari pukul 11 pagi hingga petang.

Harakahdaily

Ikhwan umum Dr Muhammad Badi' mursyidul am baru

Sumber: Harakahdaily
KAHERAH, 20 Jan: Ikhwan Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun. Beliau adalah Mursyid Am kelapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Mursyid Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1928.

Dr Muhammad Badi’ (GAMBAR) menggantikan Mursyid Am KeTujuh, Ustaz Mahdi Akef yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun.

Dr Muhammad Badi’ dilahirkan pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir.

Beliau adalah anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan tiga orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha.

Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin kelapan dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.

PAS Diterima Baik Kaum Cina, Tok Guru Dipandang Tinggi


Kuala Lumpur: PAS kini diterima baik oleh bukan Islam dengan imej yang sangat baik kerana keperibadian dan kesederhanaan pemimpinnya terutama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Demikian ujar bekas Naib Presiden Gerakan, Dato’ Dr Tan Kee Kwong kepada Harakah dalam satu wawancara ekslusif bersama beliau baru-baru ini.

“Saya lihat, walaupun pemimpin tinggi BN banyak komen (kritik) terhadap Tok Guru (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat), tetapi kita lihat hidup dia, dia sangat mesra.”

“Hidup dia (Tok Guru) sangat sederhana berbanding dengan pemimpin UMNO yang guna ‘sport car’ dan sebagainya mewah. Walaupun UMNO kritik, tetapi kita orang cina sangat suka dengan dia (Tok Guru) dan kami sokong dia,” kata Dr Tan yang juga bekas Timbalan Menteri Tanah Dan Koperasi pada tahun 1999 hingga 2004.

Ujar Dr Tan, jika satu ketika dahulu kaum Cina memendang Tok Guru dan PAS sebagai ‘negatif’ namun, pandangan tersebut hari ini telah berubah kepada positif.

“Pandangan orang Cina kepada PAS semakin baik, malah dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, kita dapat lihat orang Cina dan India sanggup membawa bendera PAS mereka genbira, pakai baju Tok Guru kerana ingin member sokongan kepada PAS.

"Ini satu perubahan yang sehingga kini kekel kerana bagi kaun CIna masa depan mereka sudah tiada jika Umno-BN terus memerintah. ujar beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti KeADILan Rakyat (KeADILan).

Menurut Dr. Tan, sejak dahulu sewaktu jadi Ahli Parlimen, beliau telah mengenali AJK PAS Pusat, Dr kamaruddin Jaffar dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kerana baginya mereka ini sangat baik dan mereka ini sangat mesra.

"Saya rasa apa yang penting bagi PAS ialah, mereka masa akan datang perlu mempamerkan bahawa Malaysia sebuah negara Islam yang Moderate. Ini perlu, dan lepas ini hal-hal isu Allah kita dah lihat kenyataan PAS ini tiada masalah," katanya lagi.

PAS banyak berubah kepada jauh lebih baik, dan parti ini kata Dr. Tan telah menjalankan Islam yang betul, namun beliau juga mahu pemimpin PAS yang lain lebih banyak berinteraksi dengan pelbagai kaum untuk memperkukuhkan hubungan.

Zambry bertemu Najib di Arab Saudi: Petanda Pertanda bubar DUN Perak

Oleh MOHD NUR AMIN

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta semua jentera Pemuda PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya supaya bersedia dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan di umumkan bila-bila masa sahaja. Rakyat Negeri Perak dan pegawai kerajaan tentu lega dengan pembubaran DUN Perak ini di lakukan segera demi keharmonian dan kesejahteraan yang akan kembali pulih. DPPN Pk melihat banyak petanda-petanda bahawa pembubaran DUN Perak ini akan di lakukan dalam tempoh yang terdekat kerana pentadbiran kerajaan negeri semakin lumpuh.

Dengan pertemuan yang telah di lakukan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohd Najib Razak semasa di Arab Saudi baru-baru ini, sudah tentu akan membawa khabar berkaitan krisis rampasan kuasa oleh Kerajaan Negeri kudeta Barisan Nasional (BN) di Perak. Datuk Seri Zambry yang sanggup tidak hadir ke Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang di pengerusikan oleh Raja Muda Perak baru-baru ini di lihat ada perkara lebih penting yang akan di bincangkan dengan Datuk Seri Najib di Arab Saudi.

DPPN Pk juga telah mendapat sumber maklumat berkaitan majlis mengadap yang telah diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bersama Seri Paduka Sultan Perak awal November yang lalu menghangatkan lagi suasana pembubaran DUN Perak kelak. Pada awal Februari ini pula telah menandakan setahun rampasan kuasa oleh Datuk Seri Zambry bersama kerajaan negeri kudetanya. Disebabkan itulah Datuk Seri Zambry akan menyenaraikan pencapaian 11 bulan pentadbirannya berbanding 11 bulan pemerintahan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

DPPN Pk melihat suasana ini cukup untuk rakyat menilai sendiri krisis yang telah berlaku di Perak. Datuk Seri Zambry yang terdesak juga telah cuba mengawal media-media Cina untuk memastikan kaum Cina akan menyokong BN walaupun MCA yang masih tidak dapat di pulihkan. DPPN Pk meminta dan merayu kepada rakyat supaya kezaliman dapat di hapuskan dan keadialan dapat di tegakkan.


MOHD NUR AMIN
Pemangku Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Perjuangan PAS: Tarbiyyah , Dakwah dan Siasah

Oleh Hj Nasrudin Hassan
Masih ada mereka yang tidak memahami , bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah , bida'ah , sesat , tidak mengikut sunnah , bercanggah dengan syariat , hanya mementingkan politik dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS .

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke 'gaung dalam' yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam . [1]

[1] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam . Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR .


Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku , bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya ( matlamat ) [1] .

Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara' .

Kepimpinan Ulama' , Jawatan Kuasa Disiplin Parti , Muktamar Tahunan , Mesyuarat Dewan Harian , Mesyuarat Bulanan , Mesyuarat Khas , Liqa' Fikri , Tamrin , Mukhayyam , Kuliah Haraki , Usrah Mingguan , Konvensyen PAS Negeri , Ijtimak Pilihanraya , Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi .

Jika terdapat perbedaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain , ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah. Secara umumnya , wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :

* Tarbiyyah dan Pengkaderan ( pembinaan dan pembentukan )
* Dakwah ( penerangan )
* Siasah ( politik )

Tarbiyyah dan Pengkaderan . Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS . Tarbiyyah digerak dan diaktifkan untuk membina :

* Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahlis sunnah wal Jamaah
* Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri
* Syakhsiyyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah saw.

Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :

* Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa .
* Organisasi yang mantap dan hebat.
* Tindakan yang strategic dan berkesan .

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS , Lajnah Tarbiyyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS , bermula dari peringkat Pusat , Negeri , Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan – dewan seperti Dewan Ulama' ,

Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama. Aktiviti asas bagi melaksanakan cita – cita tarbiyyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah dipelbagai peringkat ( kepimpinan atau ahli ) , tamrin , liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach .

Kini PAS melalui Dewan Pemudanya pula menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda yang akan berfungsi bersama pelbagai modulnya untuk mengkaderkan kepimpinan pelapis yang berwibawa menepati karisma seorang pemimpin Islam yang soleh.

Dakwah Ilallah ( Penerangan ) Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam , dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat principal sifatnya. [2] Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis/FRU yang sering digunakan oleh musuh – musuh Islam yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat , dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan . Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh , dipenjara , dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka .

Namun segalanya tidak menghalang PAS dari terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.Tugas dakwah ini digalas oleh semua , dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing – masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing - masing. Maudhu' ( kandungan ) dakwah PAS sangat jelas [3] , menepati apa yang diajar oleh Allah swt.

PAS mendekati semua lapisan masyarakat . Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu . Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan. Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat .

Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :

1 : Dakwah Ammah ( umum ) Kuliah Agama , Forum , SeminarCeramah Umum , Muzakarah , DebatMotivasi , DemonstrasiPenerbitan Buku , Penerbitan akhbar , Edaran VCD , Edaran Risalah ,Talk Show , Dialog dll

2 : Dakwah Fardiyyah . ( khas ) Pertemuan TertutupZiarah dan DakwahAktiviti Amal Kebajikan Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik .

Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya , PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat , demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud , PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang – undang dan peraturan Islam itu.

Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya , namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan. Siasah ( politik ) Islam adalah agama yang syumul , merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi saw. [4]

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam . Malah UMNO dan BN telah menyuburkan bumi Malaysia ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang telah dihalalkan melalui mazhab Islam Hadharinya.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah , dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut. Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ianya sah untuk bergerak di sisi undang – undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksana tanpa kuasa politik. Justeru itu , penglibatan dibidang politik ( siasah ) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci .

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS , tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil. Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan perjuangan sucinya yang diasaskan sejak tahun 51 yang lalu memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti , bukan beralaskan emosi dan sentiment perbedaan kumpulan.

Saya selalu menegaskan kepada umum , jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah , sila nyatakan ! Jika ianya berbentuk dakwaan , sila kemukan bukti ! Kita mencari kebenaran . Andai benar atau ada , PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat , saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu , janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti , dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.

[1] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah : 1 : Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hokum – hukumnya menuju keredhaan Allah . 2 : Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .

[2] ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون
" dan hendaklah ada dikalangan kamu ummat yang berdakwah kearah kebaikan , menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan." Surah ali – imraan : 104
[3] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha : 1 . Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan . 2 . Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .
[4] فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع الدين أصل و السلطان جارس " Agama adalah tapak dan pemerintah ( kedaulatan ) adalah pengawal , suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang ." – al Imam Ghazali dalam Ihya' Ulumiddin

Rakyat di tinggalkan tanpa PM dan TPM


Negara sedang menghadapi ancaman pergaduhan kaum dan agama. Apa yang membimbangkan rakyat ialah kerajaan seperti hilang kawalan. Setiap kali jaminan kerajaan (KDN) dan POLIS bahawa keadaan terkawal maka setiap kali itulah juga ada kejadian baru seperti pencerobohan terhadap pejabat peguam majalah Herald dan simbahan cat berwarna merah di sebuah Gereja di Kota Tinggi berlaku semalam.


Kejadian simbahan cat merah di Gereja Kota Tinggi dan pencerobohan pejabat peguam majalah Herald menunjukkan keadaan negara dalam bahaya. Malang sekali bagi rakyat Malaysia apabila kerajaan seperti tiada langkah yang berkesan dan konkrit dalam mengatasi masalah perhubungan antara kaum dan agama, sedangkan selama ini kerajaan sering melaungkan negara-negara luar begitu kagum melihat formula Malaysia dalam mengurus rakyat pelbagai kaum dan agama. Ternyata peristiwa mutakhir ini menunjukkan kerajaan tiada suatu formula dan pelan induk yang jelas untuk melahirkan masyarakat yang saling hormat-menghormati dan saling memahami antara kaum dan agama.


Kerajaan ternyata tidak serius dalam menanggani permasalahan ini dan ini dibuktikan apabila PM dan TPM meninggalkan rakyat dan negara dan berada di luar negara di waktu negara dalam krisis. Saya tahu pemergian mereka adalah juga tugas untuk negara. Walaupun saya percaya TPM akan pulang dalam sehari dua ini, tapi bagi saya tidak wajar berlaku sama ada negara dalam keadaan tenang atau tegang kedua-dua pemimpin utama tiada dalam negara walaupun satu hari dalam satu masa. Apatah lagi seorang PM bila negara berada dalam keadan tegang kerana isu perkauman dan keagamaan tidak wajar meninggalkan negara. Ini menunjuk tiada penyelarasan dan kesepakatan serta ketidak sehaluan antara kedua pemimpin utama. Rakyat di dahulukan tidak diterjemahkan dan direalisasikan sebaliknya rakyat di tinggalkan untuk pergaduhan hasil provokasi politik yang di penuhi dengan kebusukkan politik.


"RAKYAT DI DAHULUKAN VS RAKYAT DI TINGGALKAN"
" MALAYSIA TANPA PM DAN TPM"

DATUK HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS.

Terdapat ralat dalam alat ini

Diari

Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular