Awas, tanpa tauliah anda tak boleh jadi imam solat fardhu!

Oleh Mohd Sabri Said

sNIBUNG TEBAL, 31 Julai (Hrkh) - Awas kepada seluruh umat Islam di Malaysia! Kalau anda tidak ada tauliah, jangan cuba atau memandai untuk menjadi imam solat fardhu di mana-mana surau atau masjid.

Begitulah yang boleh disimpulkan apabila kerajaan Islam Hadhari pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kini seolah membawa umat Islam ke arah ajaran baru yang membahayakan iaitu seseorang tidak boleh menjadi imam tanpa tauliah.


Jika tidak ditauliah, anda tidak boleh menjadi imam walaupun diajak oleh kariah di surau atau masjid berkenaan.

Dan jika tiada imam lantikan daripada Pejabat Agama, maka sesiapa pun tidak boleh mengimami solat-solat di surau atau masjid sekaligus membiarkan waktu solat berlaku tanpa didirikan solat secara jemaah.

Dan akhirnya, jika anda tetap untuk mengimamkan solat jemaah walaupun dengan niat untuk berjemaah, memakmurkan masjid atau surau walau disuruh oleh kariah di sesebuah surau dan masjid maka akhirnya anda akan ditangkap polis dan didakwa di mahkamah!

Demikian senario mutahihr yang berlaku. Ikuti pertemuan wartawan Harakahdaily dengan mangsa bekas Imam yang ditangkap kerana mengimamkan solat fardhu di Seberang Perai Selatan baru-baru ini.

Imam dan Bilal Masjid Jamek Tasek Chempedak, Simpang Empat, Seberang Perai Selatan (SPS), Haji Shabudin Haji Ismail, 65 dan Haji Zakaria Rejab ,60, yang disoal siasat penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Isnin lepas kerana kesalahan mengingkari arahan Pejabat Agama menganggap diri mereka diperangkap untuk menakutkan masyarakat supaya akur terhadap pelantikan imam baru, Haji Zakaria Saad.

Masalahnya sekarang, imam yang dilantik jarang ada di kariah dan jika ada pun jarang ke masjid tambahan lagi malam yang ada kuliah agama.

"Pejabat Agama patut panggil imam yang dilantik supaya lebih agresif dan amanah menjalankan tugasnya bukan menahan kami yang cuba menyelamatkan keadaan apabila ketiadaan imam yang bertauliah," ujar Haji Shabudin terhadap soalan penguatkuasa kenapa beliau terus jadi imam sedangkan jawatan yang disandangnya selama 10 tahun ditamatkan 27 Julai lepas.

Katanya, beliau menjadi imam pada malam selepas dipecat bukan kehendaknya bahkan kehendak makmun kerana imam yang dilantik tidak 'nampak batang hidung'.

Rupanya malam itu satu perangkap untuk mengaitkan dirinya kerana melanggar arahan Pejabat Agama kononnya imam yang bertauliah sahaja boleh mengimamkan sembahyang sama ada sembahyang lima waktu atau fardhu Jumaat.

Bilal masjid yang turut ditahan untuk disoal siasat di Balai Polis Simpang Empat, Haji Zakaria Rejab hairan dirinya juga dipersalahkan kerana pernah menjadi imam sembahyang lima waktu di masjid berkenaan.

Padahal dulu tegasnya, perbuatan seumpama itu tidak pernah timbul sebaliknya digalakkan bagi melahirkan generasi yang boleh ke hadapan untuk memimpin ummah.

"Imam bukan jawatan 'glamour' tapi tanggungjawab yang berat. Ia bukan sahaja bertindak memimpin ummah ketika mengadap Allah SWT tetapi juga bertindak mengawasi masyarakat agar tidak melanggari suruhan agama, " terangnya lagi.

Semasa disoal siasat pun sambungnya, beliau memberitahu penguatkuasa Pejabat Agama supaya lebih menitik beratkan golongan yang tidak sembayang daripada mengawasi golongan yang tunduk dengan perintah ilahi.

Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) pada 23 Julai lalu dalam mesyuarat bilangan 3/2007 telah memutuskan untuk menamatkan jawatan imam, Haji Shabudin Haji Ismail dan surat pemecatan diterima pada tengahari hari Jumaat 27 Julai.

Setiausaha Maipp, Haji Sazali Haji Husein bukan sahaja menandatangani surat pemecatan itu bahkan sebelum ini juga bertindak mempamerkan kepada masyarakat di situ tentang notis arahan yang dikeluarkan oleh Maipp.

Antara 10 arahan tersebut ialah dilarang mengadakan solat jemaah dua imam secara serentak, dilarang mengadakan solat zohor sama ada berjemaah atau berseorangan semasa solat Jumaat atau selepas solat Jumaat.

Dilarang imam yang tidak dilantik dan tidak ditauliahkan oleh Maipp atau diberi kebenaran khas oleh Maipp untuk mengimamkan solat Jumaat atau solat fardhu yang lain.

Di larang menjemput penceramah yang tidak bertauliah atau tidak mendapat kebenaran Maipp, di larang mengatur atau mengendalikan ceramah, kuliah, usrah dan apa-apa aktiviti dalam atau di kawasan masjid tanpa kebenaran bertulis daripada Pengerusi Jawatankuasa Qariah Masjid.

Dilarang mengadakan aktiviti ibadah atau lain-lain program dalam bentuk atau cara yang boleh disifatkan mengganggu jemaah lain dalam masjid, dilarang menggunakan masjid lama Tasek Chempedak seperti arahan surat (22PADSPS/Q/6) bertarikh 20 Jun 2007.

Dilarang menimbulkan unsur-unsur kacau ganggu sehingga boleh menimbulkan ketidak selesaan, pertelingkahan, perpecahan dan lain-lain kepada anak qariah, dilarang menyebarkan fitnah, buruk sangka termasuk menghasut anak -anak qariah di dalam masjid dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Qariah melalui mesyuarat jawatankuasa.

Kedua-dua mangsa Kerajaan Islam Hadhari itu ditahan sekitar jam 7.00 malam di kediaman masing- masing 29 Julai lalu dan dibawa dengan kenderaan penguatkuasa Maipp menuju ke Balai Polis Simpang Empat untuk disoal siasat.

Mereka akhirnya dibebaskan jam 10.30 malam dengan jamin mulut dan kes mereka akan didengar di Mahkamah Jawi pada 24 Ogos nanti jam 9.00 pagi. - mks.

Lagi Krisis Blog

Saya agak tertarik dalam mengulas isu ini, kerana ia memperlihatkan beberapa kelemahan dan “kepeningan” yang dialami oleh kebanyakan pihak. Satu analogi mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah BLOG atau WEB LUCAH! Saya beranggapan bahawa blog-blog jenis ini sangat membanjiri alam maya tanpa mengira negara.

Amaran kepada penulis blog
Oleh Norfatimah Ahmad dan Jalal Ali Abdul Rahim

Pengendali bangkit isu perkauman, hina agama akan kena tindakan tegas : Najib KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak (gambar) malam tadi menegaskan pengendali dan penulis laman blog yang membangkitkan isu berbau perkauman atau menghina agama tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebebasan menulis atau memberi pandangan ada hadnya dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana pihak mengganggu gugat perpaduan negara serta menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

“Mereka mesti bertanggungjawab sepenuhnya kepada laman web mereka dan tidak menganggap sikap toleransi kerajaan sebagai lesen untuk menyiarkan apa saja atas nama kebebasan bersuara tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

“Kerajaan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2007 dan majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2006 di sini.

Kelmarin, Umno membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi terhadap laman web Malaysia Today kerana menyiarkan komen sensitif berhubung isu kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, Islam dan perkauman.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dilaporkan berkata, komen orang ramai yang disiarkan laman web itu pada 11 Julai lalu melanggar undang-undang dan menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Penuh dari Berita Harian…
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Mukadepan/20070724232625/Article/

25 Julai : Raja Petra disiasat polis isu 'hina Agong, Islam'

Pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin hari ini memberi keterangan ekoran laporan polis oleh Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada Isnin lepas yang mendakwanya menyiarkan komen sensitif dalam laman blog itu.

Penulis blog berusia 57 tahun itu berada di balai polis Dang Wangi untuk diambil keterangan mulai pukul 12.15 tengah hari hingga 7.15 petang. Beliau tiba di ibu pejabat polis tersebut dengan diiringi isterinya Marina Lee Abdullah, 51.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman mengesahkan kepada pemberita, Raja Petra dipanggil untuk memberi keterangan berhubung komen orang ramai yang disiarkan dalam Malaysia Today pada 11 Julai lepas yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama, kaum dan menghina institusi Yang di-Pertuan Agong.

Marina memberitahu pemberita di perkarangan balai polis itu, suaminya menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Supritenden pada pukul 8 pagi supaya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan.

Raja Petra yang ditemui sebaik selesai memberi keterangan, berkata beliau dipanggil memberi keterangan berhubung penyiaran komen pembaca di laman webnya yang didakwa menghina institusi Raja Berperlembagaan dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.Katanya beliau dipanggil sebagai saksi bagi siasatan laporan itu dan kes disiasat mengikut Sekyen 112 Akta Hasutan.

Turut berada di balai polis itu Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Tian Chua, Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa serta orang ramai pada pukul 11 pagi.

Raja Petra pernah dipanggil untuk memberi keterangan tahun lepas berhubung satu artikelnya dalam laman blog itu.

Malaysia Today diwujudkan sejak Ogos 2004. – BERNAMA

Ulasanku

Saya agak tertarik dalam mengulas isu ini, kerana ia memperlihatkan beberapa kelemahan dan “kepeningan” yang dialami oleh kebanyakan pihak. Satu analogi mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah BLOG atau WEB LUCAH! Saya beranggapan bahawa blog-blog jenis ini sangat membanjiri alam maya tanpa mengira negara.

Lihatlah sendiri, apabila isu sensitiviti perkauman berlaku, ramai yang bangkit menentang kononnya akan menimbulkan perpecahan di dalam masyarakat dan mengancam keselamatan negara. Di sini kita boleh bezakan di antara mempersendakan pengHARAMan Allah SWT yang semakin diabaikan.

Lihatlah sendiri, sekiranya seseorang itu melanggar undang-undang negara, ramai yang beriya-iya mengecam tindakan tersebut. Tetapi apakah tindakan bagi mereka yang mempersendakan pengHARAMan Allah SWT?! Allah SWT mengharamkan pornografi di dalam setiap saluran, tetapi ia langsung tidak diambil endah oleh masyarakat hari ini.

Di manakah kita? Islam yang semakin dihina dan dicerca secara dalam tidak dihiraukan, sebaliknya sekiranya seorang manusia dihina atau dikritik, semua bangkit dengan marah-marah membabi buta dan membuta tuli!

Adakah kita berjuang dengan keMELAYUan kita atau ISLAM? Adakah MELAYU yang dikehendaki oleh Allah SWT atau ISLAM? Ingatlah, hari ini MELAYU tidak lagi sinonim dengan ISLAM. Seorang MELAYU langsung tidak dipandang sekiranya ISLAM di dada dibuang! Fikirkan.

Isu blogger:Umno-BN kian celaru

Saya mengecam tekanan terbaru dari pihak kerajaan dan polis terhadap pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Tindakan ke atas Raja Petra ini bermula dengan laporan polis dan disusuli oleh ucapan-ucapan mengkritik pengendali blog oleh beberapa pimpinan Umno termasuk Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Ini merupakan siri terbaru tekanan terhadap pengendali laman web dan blog selepas penahanan setiausaha saya Nathaniel Tan baru-baru ini.

Saya menyeru agar pihak polis menggunakan masa mereka untuk menyiasat dakwaan rasuah melibatkan pelbagai pimpinan kerajaan yang disiarkan di Malaysia Today dan membanteras jenayah yang sudah menjadi-jadi.

Sudah begitu banyak laporan yang dibuat terhadap pimpinan kerajaan dahulu dan sekarang yang tidak disiasat langsung, tetapi laporan terhadap pengendali laman web mendapat tindakan segera polis.

Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang bersifat terbuka dan memandang ke hadapan, bukannya yang masih terikut-ikut dengan budaya politik lama dan tidak dapat menerima realiti teknologi hari ini.

Ketika pemimpin Umno hebat menuntut pengendali blog untuk bertanggungjawab di atas penulisan mereka, saya menyeru pemimpin Umno dan polis agar jangan lupa amanah mereka kepada rakyat. - mks.

-Harakah.

BN terdesak, pindah lebih 30 ribu pengundi ke Pantai Timur!

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Hrkh) - Sah! Barisan Nasional (BN) sedang berusaha habis-habisan demi memastikan kemenangan mereka 'by hook or by crook' dalam pilihan raya umum kelak.

Terbaru, Harakahdaily dimaklumkan bahawa kira-kira 32,000 pengundi yang tinggal di luar Kelantan dan Terengganu telah berjaya didaftarkan untuk mengundi di kedua-dua negeri berkenaan dalam pilihan raya yang akan diadakan kelak.

ImageMenurut Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Wan Yusuff, esok (24 Julai 2007) merupakan hari akhir bagi setiap pemilih membuat semakan, tuntutan atau bantahan berhubung pameran pemilih tambahan (DPT) yang dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 18 Julai lalu.

Katanya, terdapat usaha pihak tertentu yang bukan di kalangan Barisan Alternatif berusaha mendaftar dan membawa masuk pengundi yang tinggal di luar untuk didaftarkan sebagai pengundi di Kelantan dan Terengganu.

"Berdasarkan rekod DPT suku kedua 2007 itu, langkah terdesak pihak tertentu itu dikatakan berjaya membawa masuk pengundi yang bermaustautin di luar iaitu kira-kira 12 ribu orang ke Kelantan dan 20 ribu orang ke Terengganu.

"Buat masa ini, bahagian urusetia Jabatan Pilihan raya PAS Kelantan dan Terengganu mengambil tindakan membantah jika berlaku peristiwa seumpama itu,"katanya sewaktu menghubungi Harakahdaily.

Justeru katanya, sewajarnya pimpinan PAS di negeri-negeri lain ialah memastikan jentera PAS membuat semakan dan bantahan dalam masa sehari sahaja lagi, sekiranya benar pengundi berkenaan tidak bermastautin di alamat serta lokaliti yang berdaftar.

Perkara ini katanya, amat penting bagi memastikan pengundi sebenar sahaja yang layak menentukan politik Kelantan dan Terengganu. - mks.

Pusat ‘suburkan’ maksiat, Kelantan galakkan solat

KOTA BHARU, 16 Julai (Hrkh) – Bagi kerajaan Pusat, setiap program diadakan, tidak sah kalau tidak diserikan dengan persembahan artis. Sebaliknya di Kelantan setiap program dianjurkan mesti berpaksi kepada agama.

Misalnya kempen menghijaukan bumi dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini, turut dilibatkan artis. Inilah perkara asas yang menyuburkan lagi gejala keruntuhan moral.

Sedangkan di Kelantan aktiviti seperti itu disekat, dan sebaliknya program yang menjurus kepada kesedaran agama diutamakan.

Malam tadi kempen Bulan Sembahyang dilancarkan sempena sambutan bulan Rejab. Program itu diadakan sejak 13 tahun lalu bagi mendekatkan masyarakat kepada amalan agama.Image

Pelancarannya disempurnakan Menteri Besar di Balai Islam. Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil dan pegawai kerajaan.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, amalan solat perlu dihayati sepenuhnya dan bukan sekadar menjadi tradisi sahaja.

“Ini kerana sebelum ini dilihat amalan solat hanya menjadi tradisi sekadar mahu melepaskan tangggungjawab fardhu ain sahaja dan bukannya untuk dihayati.

“Sedangkan solat menjadi paksi kepada agama. Semua aktiviti kehidupan manusia mesti diselaraskan dengan amalan sembahyang,” katanya.

Menurutnya bagi mereka yang tidak menghayati sepenuhnya amalan sembahyang, ia tidak mampu menjadi benteng mencegahkan daripada melakukan perkara mungkar.

Katanya, mereka tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan letih dan semakin jauh daripada Allah Taala serta bertambah dekat kepada syaitan.

Kata beliau juga amalan sembahyang yang dihayati sepenuhnya akan dapat membantu pasukan keselamatan mengurangkan kadar jenayah.

“Ini kerana amalan solat akan mencegah seseorang melakukan perkara mungkar. Sekiranya ia dihayati betul-betul, kerajaan tidak perlu lagi menambah bilangan anggota pasukan keselamatan,” katanya.Image

Beliau juga berharap masyarakat Orang Asli yang sudah menganut Islam mampu menjadi bilal dan imam kepada seluruh masyarakat Islam.

“Saya berhasrat pada sambutan Bulan Sembahyang akan datang, biarlah Orang Asli menjadi bilal dan orang Cina pula sebagai imam. Biarlah saya menjadi makmun kepada mereka,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood berkata, amalan sembahyang mampu menjadi benteng kepada manusia daripada terlibat dengan gejala sosial.

Pelancaran program itu turut diserikan dengan persembahan multimedia, pentomen dan nasyid. Dewan Besar Balai Islam penuh sesak dengan orang ramai. - mj

Peminat Bandi Hampa

Suasana di kompleks pusat bandar malam semalam sedikit muram dengan hujan yang turun renyai-renyai sejak dari petang. Beberapa kumpulan remaja berteduh di lobby dan selebihnya bersidai di bahagian luar bangunan sambil rancak berbual dengan kenalan mereka.

Saya melangkah untuk masuk ke dalam bangunan dan saya dapati keadaan lengang. Sahlah bilamana saya melihat pentas utama tiada apa-apa persiapan. Baik drum, gitar,mahupun mic masih menjadi khayalan para hadirin yang mengeluh dengan pemandangan pentas yang benar-benar di luar jangkaan mereka.

Saya melangkah keluar untuk meninjau di satu sudut sekumpulan lagi remaja berpakaian serba hitam baik lelaki mahupun perempuan. Masing-masing rancak berbicara dan ada yang mengeluh bilamana artis pujaan mereka tidak lagi muncul-muncul. Keresahan dapat dilihat jelas dari riak wajah mereka.

Setelah beberapa minit saya menunggu sambil meninjau keadaan orang ramai yang setia menunggu itu lantas saya beredar dengan kesyukuran yang teramat sangat. Saya yakin bahawa kensert tersebut telah lama dibatalkan tanpa diberitahu kepada umum.

Dalam hati, saya katakan biarlah mereka hampa sekarang kerana ketidakhadiran artis pujaan mereka daripada hampa ketika berhadapan dengan Allah kelak. Kenapa tidak mereka gunakan masa muda untuk mencari ilmu agama yang dapat menyelamatkan mereka dari keresahan yang tidak berkesudahan di padang mahsyar nanti? Sama-samalah kita berusaha menyelamatkan mereka InsyaAllah.

Beza Akhbar Melayu dengan Cina

Setiap kali Umno bermesyuarat agung maka setiap kali itulah isu-isu bangsa dan agama akan dibakar dan dilonjak-lonjakkan apinya. Cuba kita perhatikan ucapan-ucapan perwakilan semasa Perhimpunan Agung Umno umpamanya. Ketika itulah masing-masing bersaing utnuk menunjukkan siapakah yang paling jaguh ultra dan ekstrim pekikkan perkaumannya.
Itulah Umno dulu, kini dan selamanya.

Dalam akhbar The Sun hari ini dilaporkan betapa Ketua Umno bahagian Tebrau, Maulizan Bujang, yang juga ADUN Tiram, semasa berucapa dalam mesyuarat Umno bahagiannya telah menyeru pihak kerajaan agara mengambil tindakan dan menutup akhbar-akhbar berbahasa Cina yang dikatakan tidak bertanggungjawab di dalam laporannya.

Ucapan Maulizan yang berapi-api itu dikatakan mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan. Beliau mengatakan sejak kebelakangan ini walaupun masyarakat Melayu di Tebrau kelihatan berdiri teguh di belakang BN tetapi sokongan masyarakat Cina kelihatan semakin menurun.

Ini menurutnya diakibatkan oleh peranan media Cina yang telah mensensasikan isu-isu tertentu sehingga menjadi isu perkauman. Beliau memberi contoh masalah jenayah di Johor. Katanya sekumpulan masyarakat Cina telah berhimpun di hadapan kediaman resmi MB Johor baru-baru ini untuk menyerahkan memorandum bantahan berkenaan kes rogol dan rompak baru-baru ini. Mangsanya seorang Cina manakala penjenayahnya orang Melayu.
Oleh itu kata beliau kerajaan seharusnya mengajar akhabr-akhbar ini agar jangan bermain dengan api dengan cara mengambil tindakan terhadap mereka termasuklah membatalkan tersu lesennya.

Setahu saya isu yang dibangkitkan di Johor itu bukannya isu perkauman. Kebetulan ianya digerakkan oleh Dewan Perniagaan Cina Johor dan NGO-NGO lain. Ianya bukan kerana mangsanya Cina dan pelakunya Melayu. Tetapi ianya berkait rapat dengan kegagalan kerajaan menjamin keselmatan masyarakat Johor bukan sekadar orang-orang Cina sahaja.
Dan kita lihat ekoran dari bantahan terbuka itukerajaan telah mengerahkan pertambahan anggota pasukan polis do Johor beserta dengan tambahan kereta peronda dan pemadnunya sekali.

Tiba-tiba Umno di Johor mahu tindakan diambil terhadap akhbar-akhbar Cina. Sebenarnya inilah beza akhbar Cina dan Melayu (termasuklah dalam hal-hal tertentu akhbar berbahsa Inggeris). Akhbar Melayu walaupun kononnya mewakili fikiran dan denyut nadi bangsa Melayu tetapi sebenarnya tidak lebih dari akhbar propoganda Umno dan BN. Mereka laporakan apa yang POLITICAL MASTERS atau tuan-tuan politik mereka mahu, manakala keluhan dan rungutan rakyat sering ditenggelamkan.

Sedangkan akhbar berbahasa Cina lebih progresif, proaktif dan terbuka. Walaupun ada diantaranya dimiliki oleh parti-parti komponan BN namun sidang pengarangnya memiliki ruang-ruang kebebasan yang langsung tidak dipunyai oleh alat propoganda Umno yang bertopengkan akhbar-akhbar Melayu perdana.

Saya pasti banyak lagi isu akan dibakar dan disensasikan oleh Umno dalam musim mesyuarat agung mereka ini. Kerana sesungguhnya ketika musim inilah Umno benar-benar kelihatan bagai parti Melayu, kalau diluarnya Melayu hanya tinggal pada nama partinya sahaja.

-Roslan SMS

Pakej insentif keterlaluan lelong WPI

PAS Johor mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan menawarkan Pakej Insentif dan Sokongan (incentive and support pakage – ISP) yang terlalu mewah kepada pelabur-pelabur di WPI khususnya dari Singapura.

“Pakej Insentif ini menjadikan seolah-olah WPI dijual secara lelong kepada warga pelabur, Malaysia seolah-olah terlalu mengharapkan Foreign Direct Invesment (FDI) masuk ke WPI sedangkan keadaan ini bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan ekonomi negara ini terus berkembang dan FDI terus meningkat," kata Dr Mohd Ramli Md Kari (PAS - Senggarang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, baru-baru ini.

Katanya lagi, menurut statistik United Nation Conference On Trade and Development (UNCTAD) dalam ‘Invesment Brief 2007’, mendedahkan keadaan sebenar apabila Malaysia dilapor menerima FDI antara yang terkecil di rantau Asia pada 2006.

Katanya lagi, antara ISP yang ditawarkan kepada pelabur WPI adalah pengecualian pembayaran cukai korporat selama 10 tahun, sedangkan menurut kebiasaannya pengecualian pembayaran cukai korporat adalah sebanyak 28 peratus setahun bagi tempoh lima tahun.

Pengambilan pekerja asing tanpa had, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT), katanya jelas membelakangkan 80,000 siswazah menganggur dalam negara yang sebahagian besarnya dari jurusan ICT.

"Jangan sampai terjadi umpama bidalan Melayu, ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kehausan’," tegasnya.

Ramli turut menyentuh pengecualian dari Peraturan Foreign Invesment Committee (FIC) bagi warga asing yang membolehkan mereka membeli hartanah kediaman yang melebihi RM250,000 tanpa perlu mendapat kelulusan FIC, bahkan mereka juga dibenarkan memiliki sebanyak tiga unit hartanah kediaman dalam satu-satu masa.

"Pakej insentif ini juga menghapuskan syarat ekuiti 30 peratus penyertaan bumiputra dalam syarikat asing yang beroperasi di negara ini, bermakna syarikat asing boleh memiliki ekuiti 100 peratus dalam syarikat yang beroperasi di Malaysia tanpa perlu memperuntukkan kuota bumiputra.

“Penghapusan kouta ini sebenarnya akan melambatkan lagi pencapaian sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputra seperti yang digariskan dalam DEB," ujarnya.

Kerajaan, tambah beliau perlu mengambil kesempatan melalui peruntukan WPI sebanyak RM47 bilion untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputra dalam ekonomi negara dan bukan sebaliknya.

“Pakej Insentif ini juga menghapuskan syarat Guna Tenaga (pekerja) yang sebelum ini menetapkan syarat setiap syarikat asing yang beroperasi di negara ini hendaklah melantik dan melatih rakyat negara ini di semua peringkat jawatan," ujarnya.

Berapa Jumlah Pelaburan KWSP Dalam SJIC

Dr Mohd Ramli juga memohon penjelasan berhubung pegangan saham institusi-institusi awam dalam WPI.

Ini kerana Khazanah Nasional yang menerajui pembangunan WPI telah menubuhkan South Johor Investment Corporation (SJIC) dengan 60 peratus sahamnya dimiliki Khazanah Nasional manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) masing-masing memiliki 20 peratus saham dalam SJIC.

“Persoalannya, berapakah jumlah wang yang dilaburkan KWSP untuk memegang 20 peratus saham dalam SJIC ini, adakah KWSP sudah menjalankan kajian kemungkinan daya maju projek-projek yang akan diceburi oleh SJIC dalam WPI," soal beliau.

Menurutnya, jika kajian kemungkinan dan daya maju projek telah dilakukan, berapakah jangkaan unjuran pulangan yang akan diperolehi KWSP.

"Persoalan ini perlu dikemukakan kerana wang KWSP adalah wang simpanan hari tua milik warga pekerja negara ini yang tidak sepatutnya digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira untung ruginya terlebih dahulu," tegas beliau.

Nasib Tanah Rezab Melayu dalam WPI

Nasib yang bakal menimpa 16,997 hektar Tanah Rezab Melayu (TRM), yang sebahagiannya adalah tanah Felda apabila WPI menjadi sebuah bandaraya metropolitan turut dibangkit wakil PAS dalam sidang Dun Johor baru-baru ini.

Menurut Dr Mohd Ramli, dalam Plan Komprehensif WPI tidak dinyatakan dengan jelas pendekatan untuk mengekalkan pemilikan TRM.

Beliau juga mahu tahu status tanah-tanah milik bumiputera dan Melayu yang bukan berstatus TRM apabila WPI dibangunkan.

“Setelah isu ini dibangkitkan oleh rakyat Johor, barulah MB Johor pada 14 April 2007 menyatakan kerajaan bercadang untuk menubuhkan Amanah Hartanah (property trust) bagi membolehkan masyarakat bumiputra bersama-sama menyertai pemilikan harta di WPI walau pun pada nilai yang rendah," ujarnya.

Bagaimanapun, Dr Ramli mahu kerajaan negeri menjelaskan modus operandi amanah harta itu kerana tidak mahu melihat nasib orang Melayu dan bumiputra di WPI sama seperti Melayu dan bumiputra di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi yang terpinggir oleh pembangunan.

“Kita mahu melihat pegangan pemilikan hartanah orang Melayu dan bumiputra terus kekal walaupun tanah-tanah mereka dibangunkan," ujarnya.

-harakah

Umno hanya memperalatkan ulama – Ustaz Hamid

Ustaz Abdul Hamid Derani, 39, satu nama yang cukup popular dalam Umno. Beliau banyak membantu Umno Kelantan selepas merosot teruk pada pilihan raya 1999. Dilahirkan di Wakaf Bharu, Tumpat. Pernah belajar di sekolah agama di Beta Hilir, dan berguru dengan ulamak terkenal, Haji Muhamad Awang. Kemudian belajar di Madrasah Tarbiah Diniah di Pasir Tumbuh. Menyambung lagi pengajian di Madrasah Darul Falah di Terayung, Pahang. Tempoh pengajian agama bermula 1982 sehingga 1989.

Selepas berkahwin beliau berhijrah ke Johor. Berkhidmat sebagai pendakwah bebas. Tinggal di Johor selama lapan tahun iaitu di Kampung Desa Jaya, Majidee. Hubungan rapat dengan pemimpin Umno memudahkan beliau mendapat tauliah dengan Jabatan Agama Johor. Beliau juga mengendalikan kelas mengajar al Quran. Namun, pada 23 Jun lalu beliau telah membuat keputusan nekad kembali kepada perjuangan sebenar. Ikuti temubual bersamanya, baru-baru ini.

Punca ustaz tertarik dengan Umno?

Saya melihat apabila berdakwah dalam politik Umno kita tidak mempunyai banyak risiko. Kebajikan juga terjamin pada peringkat awal. Saya ditugas mengajar di masjid dan madrasah. Di Johor berbeza, ceramah politik secara langsung tidak ada, cuma ada ceramah agama sempena program Israk Mikraj, Maulidul Rasul dan Hijrah diadakan di balai-balai raya yang dikuasai Umno. Di Johor balai raya dibina di kawasan masjid. Pemimpin Umno cawangan terdiri daripada imam, bilal dan tok siak. Puratanya ketua-ketua Umno ialah kakitangan masjid. Ini menyebabkan saya tertarik dengan Umno ketika berada di Johor.

Berbeza dengan Umno di Kelantan?

Ya berbeza, kerana rata-rata pemimpin Umno Kelantan bukan kakitangan masjid. Mereka sebahagian besar orang gedebe (ada pengaruh) dan korporat. Lain di Johor mereka terdiri daripada pak haji, imam dan bilal. Kedudukan Umno di Johor nampak lebih muafakat. Umno cawangan di Johor yang menggerakkan aktiviti agama.

Peranan ustaz ketika bersama Umno Johor?

Saya memang memegang banyak jawatan dalam bidang keagamaan secara sukarela. Jadi imam di madrasah, mengajar kelas-kelas agama di rumah ketua-ketua masyarakat, urus jenazah dan kematian. Mengetuai tahlil dan berdakwah di mana sahaja. Imam di Desa Jaya ketika itu ialah ketua cawangan Umno. Saya menyertai Umno secara rasmi pada 1995. Jawatan ketika itu sebagai AJK Umno cawangan tersebut.

Pernah berkempen di pentas Umno?

Sewaktu di Johor tidak banyak ceramah politik yang dianjurkan. Umno saya lihat tidak punyai masalah kerana pembangkang tidak ada. Bila menjelang pilihan raya, hanya sekadar buka pejabat dan sedia makan minum sahaja. Poster pembangkang pun tidak kelihatan.

Bila balik ke Kelantan?

Kembali ke Kelantan pada 1999. Pada awalnya saya mencari Dato’ Ibrahim Ali di Pasir Mas. Ketika itu Ibrahim bertugas sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya memberitahunya sedia berceramah di pentas Umno. Ceramah saya mendapat respon Umno Pasir Mas. Kemudian Ibrahim lantik saya sebagai penceramah Umno di situ. Selepas itu Umno lain pula panggil saya ceramah. Mereka menjemput saya ceramah di kawasan masing-masing. Mereka tertarik hujah saya melawan politik PAS terutamanya membalas hujah Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakub. Saya juga acap kali dipanggil berceramah di Machang oleh ketua bahagiannya, Dato’ Ismail Mamat.

Bagaimana boleh diminati Dato’ Mustapa Mohamed?

Saya diperkenalkan oleh Ketua Penerangan Umno Jeli kepada Mustapa. Pertama kali saya berceramah di Kampung Gunung, Jeli pada Julai 1999. Selepas itu saya dilantik sebagai penceramah tetap Umno Jeli. Dalam sebulan tidak kurang 20 kali saya berceramah di situ sehinggalah pilihan raya 1999. Saya juga pernah berceramah di Kedah dan Pulau Pinang. Ketika itu belum mendapat elaun tetap lagi. Saya hanya diberi elaun tetap pada tahun 2000.

Hubungan agak rapat?

Ketika Dato’ Pa kalah pada pilihan raya 1999, tidak ada orang hendak datang kepadanya. Sayalah yang membantunya menyusun pelbagai program keluar masuk kampung. Dato’ Pa isytihar saya sebagai penceramah khas untuk membantunya di Jeli. Hubungan dengannya rapat. Ketika beliau balik dari Kuala Lumpur, sayalah yang menjemput di airport. Elaun yang diberi agak besar bermula Mac 2000 sehinggalah pilihan raya 2004. Saya diberitahu elaun itu termasuk sumbangan dari Bernas dan syarikat saham. Saya ditugaskan melatih penceramah Umno di kalangan imam, bilal, warga emas, pemuda dan Puteri sehingga ada yang boleh berceramah.

Darul Falah (kediaman Mustapa) menjadi tempat saya tinggal. Dalam seminggu tiga hari saya bermalam di situ. Saya seperti adiknya sendiri. Ketika Dato’ Pa menjadi Ketua Penerangan Umno Malaysia, saya mengikutnya ke mana sahaja. Saya dilantik pula sebagai penceramah Umno Malaysia dan berceramah di seluruh negara.

Selepas itu?

Pada malam diisytiharkan menang pada pilihan raya 2004, Dato’ Pa memberitahu orang ramai, antara faktor kemenangannya kerana jasa saya yang berceramah di mana sahaja di Jeli. Dato’ Pa menang dengan majoriti besar. Bagaimanapun tidak lama selepas itu saya tidak lagi diperlukan. Kuliah agama saya pun tidak diatur lagi. Selepas itu elaun pun tidak dibayar secara tetap. Jumlahnya juga sudah dikurangkan. Bayaran akhir dibuat sehingga 2005.

Ustaz diketepikan?

Saya mulai faham, saya hanya diperlukan sewaktu kalah sahaja, dan bila dah menang dilupakan. Elaun saya dipotong dan akhir ditiadakan langsung. Beliau tidak cakap hendak potong elaun saya. Saya hendak jumpa dengannya pun menjadi semakin payah. Saya sedar tidak dihiraunya lagi.

Kepuasan sebagai pendakwah Umno?

Saya berdakwah pada awalnya dengan hasrat membaiki kelemahan pemimpin. Namun idea itu tidak boleh dipraktikkan. Kalau bercakap agama dengan lantang disifatkan pula sebagai keras atau fanatik. Kalau ucapan tidak mendewa-dewa pemimpin kita tidak akan dipanggil lagi. Masih terikat daripada menyebut perkataan sebenar dalam agama. Kita tidak boleh menyebut kelemahan pemimpin Umno. Akhirnya saya merasa bersalah dengan Allah.

Misalnya senamrobik yang dianjurkan setiap bahagian Umno. Bercampur gaul lelaki dan wanita dengan bebas. Ini jelas bercanggah dengan Islam. Di mana ada wanita yang berpakaian ketat. Saya tidak berani menegur takut digugurkan jawatan. Saya terpaksa redha dengan apa yang berlaku, biar pun menjurus ke arah mungkar. Mereka tidak ambil kira pandangan ahli agama. Pandangan Biro Agama Umno tidak dihiraukan.

Bagaimana situasi sekarang?

Sekarang mulai sedar, Umno cuma memperalatkan golongan ulama. Hujah agama yang kita kemukakan bukan untuk dijadikan amalan kepada pemimpin Umno. Istilah dakwah hanya untuk menghadapi pilihan raya dan bukan sampai akhirat. Umno tidak berminat mempraktik dakwah yang digunakan. Sekarang saya lihat Umno tidak ikhlas dan tidak jujur. Sebab itulah saya lebih rela untuk berkhidmat kepada perjuangan sebenar. Pemimpin PAS jauh lebih ikhlas.

Kelemahan Umno?

Dalam Umno perpecahan sehingga merosakkan parti. Saya lihat pertembungan lebih berkisar perkara peribadi sehingga dibawa ke mahkamah. Keduanya, pemimpin-pemimpin Umno yang sudah tidak mempunyai kuasa langsung dilupakan. Seolah-olah jasanya sebelum ini tidak ada. Inilah kelemahan utama. Lihat apa yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang. Bila ketua baru naik, ketua lama dihina. Pelbagai penghinaan dan fitnah ditabur. Sedangkan perkara itu tidak berlaku dalam sejarah Islam.

Puncanya?

Kerana tidak ikhlas kepada perjuangan. Keduanya meletak kebendaan di hadapan.

Islam Hadhari pula bagaimana?

Konsep itu seumpama daun, langsung tidak melibatkan dahan, batang dan akar pokok. Tidak merubahkan perkara dasar. Sepatutnya kena berubah dari akar umbi terlebih dahulu. Pemimpin mesti terlebih dahulu perlu jujur dan ikhlas. Sepatutnya kita perlu mencari keredhaan dalam setiap dasar yang digubal. Kerajaan sepatutnya bersih dan memberi keadilan kepada semua bangsa. Inilah yang dituntut sebuah kerajaan Islam.


-harakah

PBT Perlu Sensitif Isu Keruntuhan Moral Remaja


Karnival Pasir Gudang telah berlangsung di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang baru-baru ini. Apa yang menyedihkan adalah program ini akan dicemari dengan pertandingan karaoke dan konsert oleh penyanyi rock Bandi Amuk.

Sama-samalah kita buat bantahan dengan apa yang termampu samada dalam bentuk risalah penerangan, memo bantahan dsb. Nak harapkan umno? Mereka pun 2 x 5.

Lihatlah personaliti artis ini. Adakah beliau layak menjadi ikon anak-anak kita? Sama-sama fikirkan...

Aku Mahu Pulang -Amuk

Islam Hadhari Kurang Satu Prinsip

Perbincangan berkenaan Islam Hadari tadi ( pada 10 Julai 2007 bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi ) mengenengahkan pembentang Prof Dr Abd Shukor (Malaysia), Prof. Dr Qutub Sano ( UIA), Sheikh Prof. Dr Abd Latif Al-Farfur ( Syria ) , Prof. Dr Abd Majid Al -Najar dan Dr Muhammad Sharif ..

Dari semua pembentangan kelihatan hanya kertas pembentangan Prof. Dr Shukor dan Prof Qutub Sano yang benar-benar menyentuh tajuk model Islam Hadari di perkenalkan oleh Malaysia. Adapun pembentang-pembentang lain kelihatan (melalui dari kertas kerja mereka) tidak begitu menepati tajuk yang diberikan (iaitu berkenaan Islam Hadari itu sendiri) lalu mereka banyak menyentuh hal ketamadunan dan kemajuan diri umat Islam secara umum.

Hanya dua pembentang kertas kerja yang menggunakan nama ‘Islam Hadari', iaitu Dr Abd Shukor dan Dr Sano. Manakala yang lain pula menggunakan nama-nama lain seperti al-Manhaj Al-Hadari dan lain-lain. Dr Sano dengan amat jelas membantah tindakan suara-suara yang tidak bersetuju dengan istilah Islam Hadari dan kandungannya.

Kebanyakan ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia yang hadir termasuk Sheikh Prof. Dr Wahbah Mustafa Az-Zuhayli, kelihatan tiada masalah dengan kandungan untuk memajukan umat Islam sebagai sebuah masyarakat yang kehadapan dan ‘Hadari'. Cuma Syeikh Wahbah meminta untuk diperincikan perbezaan kemajuan hadarah Barat dan Islam agar kita tidak terkeliru dengan hadarah mana yang dibawakan.

Tiba-tiba suasana agak berlainan sedikit apabila Sheikh Mufti Taqi Uthmani, ulama besar dari Pakistan mengatakan bahawa semua kertas yang dibentang berkenaan ‘Islam Hadari' ini kekurangan satu perkara yang paling asas jika ingin dalam melaksanakan model kemajuan umat Islam ini, iaitu Pelaksanaan undang-undang Islam di dalam sebuah Negara umat Islam. Pandangan ini juga dikongsi oleh ulama besar Iran iaitu Ayyatollah Muhammad Ali At-Taskhiri.

Bagaimanapun, saya menjangkakan plan Islam Hadari ini bakal diluluskan oleh Majlis Kesatuan Fiqh walaupuan terdapat ahli majlis yang meminta topik ini diperluaskan lagi perbincangan di waktu akan datang. Ini kerana, keputusan dijangka akan menumpukan kepada isi kandungan plan kemajuan umat Islam. Keputusan dijangka diketahui di akhir persidangan.

Dr Yusof Al-Qaradawi

Antara ulama terkenal yang menulis kertas kerja untuk pembentangan di persidangan ini adalah Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang menulis berkenaan Zakat, walau bagaimanapun, beliau tidak kelihatan sejak dari majlis perasmian oleh Perdana Menteri semalam. Ulama lain seperti Sheikh Abdullah bin Beih, Sheikh Dr Abd Salam Al-‘Abbadi ( Jordan), pakar ekonomi Prof. Dr Shawqi Dunya ( Mesir), Sheikh Dr Ajil Nashmi ( Kuwait), Sheikh Prof. Dr Ali Muhydin Al-Qurra Daghi (Qatar), Prof. Dr Rawwas Qal'ah Ji ( Kuwait), Sheikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Syria), Sheikh Dr. Abd Latif Farfur (Syria), Sheikh Mufti Taqi Uthmani ( Pakistan) dan ramai lagi turut serta dalam persidangan kali ini.

Demikian sedikit coretan buat rakan-rakan yang mencintai para ulama Islam dan kajian ilmiah mereka.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Pada saya pula Islam Hadhari memang kurang satu prinsip asas dan lebih satu prinsip asas yang lain. Prinsip asas yang lain itu adalah "Pencernaan elemen maksiat dalam masyarakat melayu Islam melalui hiburan."



700 juta Lagi Wang Rakyat Hangus

BN mengambil masa lima tahun untuk menyedari pembinaan pelupusan sampah menggunakan teknologi insinerator berasaskan gasification adalah terlalu mahal! Baru semalam, TPM mengumumkan projek ini dibatalkan.

Pembangkang dan penduduk Broga sendiri telah membangkitkan isu ini sejak September 2002.

Alasan yang diberikan oleh TPM untuk membatalkan projek ini ialah kos yang terlalu mahal. RM 1.5 b untuk pembinaan loji, tidak termasuk kos operasi yang dijangka RM 50 juta setahun atau RM 91 per tan sampah. Mengikut kerajaan, loji ini jika siap, akan memproses 1,500 tan sampah sehari dan 1,000 lori akan menaiki bukit Broga yang agak curam membawa sampah dari Lembah Kelang! Bayangkan!

Dari awal lagi projek ini tidak viable - samada dilihat dari segi lokasi, analisa kos maupun teknologi.

brAhli Parlimen Seputeh serta saya sendiri, telah membangkitkan isu ini seawal 2002 di mana pada waktu itu, saya diberi maklum, perjanjian belum ditandatangani dan hanya pada peringkat rundingan. (Lihat catitan Parlimen pada 8 dan 9 September 2002. Tarikh-tarikh persidangan lain tidak sempat saya semak)

Kerajaan berkeras, termasuk Najib.

Hari ini, akibat pembatalan tertangguh ini, kita terpaksa membayar di antara RM 500 juta hingga RM 700 juta, tertakluk kepada perundingan. Oh! sebegitu mudah wang kita semua dilupus sampahkan oleh pemimpin-pemimpin BN!!!

Dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menguruskan projek ini dari awal, diberi tugas berunding dengan pemaju untuk pampasan ini. Kementerian yang telah membantu membuat keputusan yang silap, diminta berunding???

Mana maruah Menteri berkenaan? Mana maruah Kerajaan? Mana maruah Perdana Menteri?

700 juta hangus, Perdana Menteri kita masih boleh berseronok main golf? Ah! kitalah yang naif, rakyat Malaysia.

Hj Husam, Kg Kota

KAJANG, 7 Julai (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Selangor didakwa telah memindahkan lokaliti 1,402 pengundi dari kawasan Hulu Langat dan Kajang ke Serdang dan Bangi, Selangor supaya dapat mengurangkan sokongan dan undian kepada Barisan Alternatif (BA) pada pilihanraya umum akan datang.

Tindakan ini telah dilakukan secara sembunyi pada tahun 2005, setahun selepas pilhanraya umum 2004 tanpa pengetahuan para pengundi yang terlibat dan dijangka akan mengakibatkan kekeliruan termasuk mengulangi sejarah 'kekecohan' pada hari pengundian berikutan daftar pemilih yang berbeza pada saat akhir seperti yang pernah berlaku di Gombak, Selangor.

Yang Dipertua PAS Serdang Dr Shafie Abu Bakar berkata pemindahan tersebut jelas sekali bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Artikel 113 yang membenarkan sebarang perubahan sempadan dilakukan hanya 8 hingga 10 tahun selepas satu-satu persempadanan semula dibuat di mana-mana kawasan di Malaysia.

"Persempadanan semula yang terbaru ialah pada Mei 2003 dan SPR hanya boleh buat pada 2011 tetapi setelah PAS buat penyelidikan dan siasatan, didapati SPR melakukannnya secara sembunyi pada tahun 2005," katanya ketika membaca kenyataan media membantah tindakan SPR tersebut di pejabat Parti KeADILan Rakyat Kajang dekat sini pagi tadi.

Kenyataan itu turut ditandatangani secara bersama Yang Dipertua PAS Hulu Langat, Haji Razaly Hassan; Ketua PKR Kajang, Lee Kim Sin dan Ketua PKR Bangi, Hamidi Hassan yang masing-masing turut serta dalam sidang media tersebut.

Kata Shafie, pemindahan tersebut melibatkan 40 lokaliti yang antaranya merangkumi para pengundi daripada tujuh buah taman perumahan iaitu Taman Kajang Raya, Taman Berjaya, Taman Koperasi LLN, Taman Semarak, Taman Pasir Mas dan Taman Kajang Mewah.

Daripada 1,402 pengundi yang terlibat dalam perpindahan sulit SPR ini, 676 terdiri daripada pengundi Cina, 598 pengundi Melayu dan 128 daripada keturunan India.

Katanya, bantahan terhadap pemindahan itu telah pun dibuat pada 2 Februari 2006 kepada SPR manakala SPR mengambil masa setahun untuk menjawab dan menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.

BN perkudakan SPR hingga cabul Perlembagaan Malaysia

SPR mengakui tindakan pemindahan tersebut dengan menggunakan ungkapan 'Pembetulan Kedudukan Alamat/Lokaliti' dan 'Urusan Belah Bahagi Tahun 2005' seolah-olah bermaksud bahawa persempadan semula pada tahun 2003 itu tidak betul dan mempunyai kesilapan sedangkan ianya digunakan pada pilihan raya 2004, kata Shafie.

"Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan SPR ini dan mahu diperbetulkan semula dengan segera, jika tidak BA akan membawa kes ini ke Mahkamah," katanya.

"Dan kita juga akan memaklumkan dan memberi penerangan kepada para pengundi tentang gerak kerja 'sulit' SPR yang mahu menyusahkan para pengundi pada hari pengundian nanti.

"Bila timbul kesulitan, para pengundi akhirnya tidak pergi mengundi menyebabkan sokongan kepada pembangkang termasuk juga parti pemerintah akan berkurangan," katanya.

Dalam masa sama, Razali mahu para pengundi sentiasa mendapat maklumat terkini tentang apa jua gerak kerja yang dilakukan SPR kerana beliau berpendapat, sikap tidak ambil peduli masyarakat telah menyebabkan SPR sewenang-wenangnya melakukan perancangan licik bagi menyulitkan para pengundi dan cuba 'melenyapkan' sokongan terhadapa parti alternatif.

"Media bertanggunjawab mendedahkan kepincangan SPR yang dilihat 'diperkudakan' oleh Kerajaan Barisan Nasional," kata YDP Hulu Langat itu lagi.

Seorang peguam Nasar Khan yang turut hadir dalam sidang media itu, turut membacakan peruntukan Perlembagaan Malaysia menunjukkan SPR secara jelas mencabuli akta persempadan semula dan beliau bersama pimpinan PAS serta PKR sedang dalam proses tindakan susulan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.-Az

Sumber: Harakahdaily.net

Tarik balik surat sekat siar ucapan pembangkang

KUALA LUMPUR 3 Julai – Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menarik balik surat yang menghalang stesen televisyen swasta menyiarkan ucapan ahli Parlimen pembangkang di Parlimen.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, SKMM tidak sepatutnya mengeluarkan surat berkenaan kerana ia bertentangan dengan dasar kementerian.

‘‘Bukan polisi kita mengarah stesen televisyen menghentikan penyiaran ucapan ahli Parlimen pembangkang,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen hari ini.

Pada bulan lalu, Pengerusi SKMM, Datuk Dr. Halim Shafie dilaporkan telah mengeluarkan surat mengarah stesen televisyen menghentikan penyiaran ucapan pemimpin pembangkang di Parlimen.

Keng Yaik berkata, arahan tersebut telah disampaikannya menerusi sepucuk surat semalam dan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menambah, tindakan tersebut mungkin berpunca kerana wujud kekeliruan berhubung soal penyiaran laporan persidangan Parlimen menerusi televisyen.

‘‘Walaupun penyiaran laporan persidangan Parlimen masih tidak dibenarkan kerana persidangan Parlimen belum disiarkan secara langsung tetapi telah menjadi kebiasaan kepada stesen-stesen televisyen awam dan swasta menyiarkan klip-klip persidangan pada rancangan berita atau program Parlimen Hari Ini di TV1,” katanya.

Keng Yaik menambah, beliau sebenarnya tidak mengetahui mengenai surat tersebut kerana berada di luar negara dan hanya mengetahuinya apabila membaca surat khabar.

Amal salih penerang kegelapan dalam kubur

Tajdid Iman
Bersama Dr Juanda Jaya

KETIKA Amirul Mukminin Khalifah Umar al-Khattab RA mengalami sakratul maut, beliau meminta kepada anaknya supaya meletakkan pipinya di atas tanah. Umar menangis sambil berkata: “Semoga Allah mengampuniku, Wahai Tuhan Pemilik Kerajaan yang tidak akan hilang, kasihanilah orang yang kerajaannya hilang.”

Mati diimpikan oleh orang beriman adalah mati yang membawa kepada kehidupan baru. Hidup dalam pelukan rahmat Tuhannya. Seperti firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu menyangka bahawa orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup, di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.” – Surah Ali ‘Imran: Ayat 169.

Terbunuh di jalan Allah bermakna mati syahid ketika berperang fi sabilillah. Bagaimanakah pula halnya dengan hamba Allah yang mati di atas katilnya? Yang menderita sakit atau orang mati tanpa sempat mengucapkan kata-kata perpisahan kepada keluarganya? Adakah mereka mendapat nikmat hidup di sisi Allah sama seperti orang mati syahid?

Sebenarnya mereka juga akan mendapat kenikmatan tidak kurang hebatnya berbanding saudara mereka yang syahid itu. Ini dinyatakan menerusi sabda Rasulullah yang bermaksud: “Jika salah seorang di antara kalian mati, maka tampak kepadanya tempat tinggalnya setiap pagi dan petang. Jika ia ahli syurga maka ia termasuk penghuni syurga dan jika ia ahli neraka maka ia termasuk penghuni neraka. Lalu dikatakan: “Inilah tempat tinggalmu hingga Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ibnu Umar berkata: “Perumpamaan orang mukmin saat roh dikeluarkan daripada jasadnya adalah seperti orang yang keluar dari dalam penjara ke alam bebas. Ketika dia meninggal dunia ditampakkan kepadanya kurniaan Allah dan kemuliaan-Nya yang tak pernah dilihatnya di dunia. Tentu dia tidak mahu kembali lagi ke dunia seperti dia tidak mahu kembali ke dalam perut ibunya.”

Mengaku diri tidak takut mati adalah pembohongan yang nyata. Siapa yang tidak gerun berhadapan dengan pertuduhan yang mempunyai bukti dan saksi kukuh. Tiada tipu helah yang dapat dilakukan, walaupun ketika hidup dia terkenal sebagai seorang yang petah bercakap, pandai berbelit lidah, memutar balik fakta dengan pembohongannya tetapi di alam barzah nanti, wajah mayatnya pucat itu jelas menunjukkan tiada berguna lagi lidah fasih berhujah.

Tangannya menunjukkan kuasa ketika di dunia terikat kapan sendiri. Kaki yang kukuh menginjak kepala orang miskin itu kini jadi umpan kala dan ular berbisa. Wajah yang dulu berseri hingga ramai manusia suka memandang dan memuji rosak binasa oleh semut tanah menyakitkan apabila mereka mula menggigit, mengunyah perlahan-lahan daging di tulang pipinya, berpindah ke mulut busuk lantaran suka mengumpat, naik ke tulang hidung yang sombong, kedua biji mata yang gatal dan bernafsu itu kini binasa oleh tikus tanah yang kelaparan. Tulang-tulang rusuk dihimpit bumi yang marah oleh kezaliman yang dilakukannya dahulu. Jika semua manusia boleh mendengar jeritan orang diseksa di dalam kuburnya, nescaya tiada lagi kehidupan di muka bumi ini.

Masihkah ada rasa takut lebih dahsyat daripada ketakutan melalui malam pertama di dalam kubur? Bagaimana dengan rasa sedih menghantui mayat terbuang sendirian? Di manakah isterinya, anak dan saudara mara mengasihi? Mereka tentu sibuk membahagi harta ditinggalkan. Bagaimana perasaaan lelaki mengetahui isterinya melupakan cinta mereka berdua?

Kisah cinta yang terkubur bersama jasad tiada layak untuk dicintai lagi. Bukankah ramai lelaki lain yang boleh menjadi calon penggantinya nanti? Adakah kesedihan lebih dahsyat daripada menyaksikan semua orang yang menangis itu meninggalkannya sendirian tanpa teman dan pertolongan?

Perasaan sedih dan takut boleh menggoncangkan hati siapa saja di dunia ini, tetapi kita boleh mengubat kesedihan dan mengawal ketakutan itu jika kita masih hidup.

Bagaimana jika kita sudah mati? Siapa yang akan menolong kita daripada seksaan perasaan sebegitu?

Hanya amal mampu menjadi teman ketika takut dan sedih. Mata yang membaca al-Quran, lidah yang berzikir, tangan yang bekerja kerana Allah dan kaki tegak kerana iman. Semuanya menjadi cahaya di kegelapan kubur. Di dalamnya ada pemandangan syurga ataupun neraka. Hingga ke hari kebangkitan yang dijanjikan.

Perang Siber: Sah, Azalina Bermimpi Di Siang Hari !!

Lucu benar bila mendengar kenyataan keramat Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu Datuk Azalina Othman Said perihal "Perang Siber" bagi menangkis fitnah terhadap pemimpin kerajaan. Sesungguhnya Azalina masih mentah dengan alam siber, namun memikirkan mahu menunjukkan hasrat murninya itu maka beliau bercakap seolah-olah dirinya itu terlalu hebat. Bukankah sesuatu yang tidak masuk akal, apabila perang siber ingin dilancarkan terhadap blog-blog serta penulis siber yang kononya banyak menabur fitnah dan memberi gambaran buruk terhadap kerajaan.

Persoalannya, mengapakah baru sekarang mereka ini beriya-iya benar untuk bertindak. Walhal perkara ini sepatutnya dilakukan sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat lagi. Isu perang siber dalam politik Malaysia ditandai oleh pemecatan Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Dalam masa tidak sampai dua bulan, beratus laman web Reformasi muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Ketika itu laman Mahazalim dan Mahafiraun antara yang paling popular. Populariti mereka begitu besar kerana mereka menyiarkan berita-berita semasa dan terkini mengenai kejadian reformasi dan juga kemudiannya perbicaraan Anwar Ibrahim.

Ketika media massa utama melakukan saringan berita, laman-laman ini menyiarakan sepenuhnya maklumat dari persepsi Reformasi.

UMNO menyedari vakum ruang siber ini dan cuba memenuhi tuntutannya. Terdapat tiga kumpulan utama yang cuba memenuhi vakum UMNO di ruang siber ini.

Kumpulan pertama ialah melalui UMNO Online (pada masa itu dilayari melalui http://www.umno.org.my/ dan kemudiannya ditukar kepada umno-online.com). Penggerak laman rasmi UMNO ini ketika asalnya diketuai oleh Rosnah Majid kemudiannya diketuai oleh seorang bekas wartawan Berita Harian. Tujuan asal laman ini bukan untuk perang siber tetapi sekadar menjadi laman web rasmi UMNO.

Kumpulan kedua ialah melalui kumpulan Datuk Ibrahim Ali (ketika itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Kumpulan ini mewujudkan beberapa laman web anonymous atau tanpa nama sebenar. Beberapa kakitangan kumpulan ini dibayar gaji sepenuh masa bagi menyerang pembangkang. Antara hasil kerja mereka termasuklah laman web petualang negara, 50 dalil, Freedom Malaysia dan mahataksub.

Kumpulan ketiga ialah melalui sekumpulan penyokong UMNO yang sememangnya telah bergelumang di alam siber. Kumpulan kemudiannya memperkenalkan identiti mereka sebagai antireformasi. Mereka ini mempunyai laman-laman web juga tanpa nama secara persendirian dan hanya berinteraksi melalui satu yahoo group dinamakan antireformasi.

Antara laman web mereka ketika itu ialah Pejuangbangsa (sudah mati), Politik Islam, Doa Anwar, Nihaz Online dan banyak lagi yang semuanya sudah tamat tanpa nesan selepas penubuhan Kelab Maya UMNO.
Antara ketiga-tiga kumpulan ini nyata kumpulan antireformasi banyak memberi masalah kepada laman-laman reformasi dan Pas menjelang pilihan raya 1999.

UMNO-Online ketika itu tidak memberi kesan yang besar kerana ia bertindak seumpama akhbar arus perdana. Dengan kata lain, apa yang ada dalam akhbar itulah juga berita dalam UMNO Online. Jika ada kekecualian pun hanyalah sedikit sebanyak liputan dalaman aktiviti UMNO dan kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO peringkat bawah.

Kumpulan kedua tidak gagal sepenuhnya. Namun mereka tidak juga berjaya kerana ia hanya bersifat kutukan, khabar angin dan dakwaan tanpa fakta.

Mengapa kumpulan yang tidak menerima sebarang imbuhan, tidak mengenali semua orang antara mereka, tidak mempunyai organisasi kukuh dan naungan politik atasan serta tidak pernah dipanggil bermesyuarat dengan bahagian penerangan UMNO ini menjadi begitu berjaya dan dikenali ramai ketika itu?

Jawapannya ialah kepercayaan terhadap kepimpinan, kesungguhan, kebenaran dan fakta. Mereka ini terdiri daripada penulis dan pemikir yang melihat penyelesaian kepada peperangan siber ialah perdebatan ilmiah dan logik dengan pembangkang ketika itu.

Isu-isu popular sama ada dari segi agama, politik, orang Melayu dan perlembagaan dijawab secara rasional dan logik. Malahan apa sahaja isu Anwar Ibrahim ketika itu juga dijawab secara logik dan rasional kerana mereka percaya kepada kebenaran yang dibuat oleh Kerajaan dan UMNO ketika itu. Boleh dikatakan hampir apa sahaja isu-isu yang cuba ditimbulkan oleh penyokong Reformasi dan Pas ketika itu dijawab oleh kumpulan ini.

Namun mereka juga tidak berjaya dengan hebat berbanding laman web reformasi. Ini kerana kekangan waktu sambilan mereka.

Selepas pilihan raya umum 1999, kumpulan ini membentuk Kelab Maya UMNO (KMU). Sumbangan mereka pada 1999 mendapat perhatian Dr. Mahathir. Pada tahun 2000 kumpulan ini mengadakan perjumpaan tertutup dengan Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak itu kumpulan ini kemudiannya menubuhkan satu portal berita politik http://www.kmu.net.my/ mempunyai hubungan rapat dengan Penerangan UMNO dan UMNO-Online. Jika diteliti antara tahun 2000 - 2004, perang politik di siber bukan lagi masalah besar kepada UMNO. Laman-laman popular pembangkang seperti Tranungkite dan Harakahdaily tidak lagi menguasai alam politik siber Malaysia secara total.

Detik kemerosotan kekuatan siber UMNO sebenarnya bermula lebih awal dari 2004 namun tidak memberi kesan yang agak besar dan ketara ketika itu. Oleh kerana kumpulan KMU dianggotai oleh mereka yang tidak matang dalam politik organisasi dan terdiri daripada orang-orang muda yang mudah bergelegak, maka sedikit demi sedikit mereka mulai menjadi mangsa politiking dalaman.

Pertukaran Ketua Penerangan UMNO dari Datuk Mustapha Mohamad kepada Tan Sri Megat Junid ketika itu membolehkan usaha mengenepikan KMU dijalankan secara sistematik. Tindakan mereka lebih mudah kerana Megat Junid ketika itu tidak melihat siber sebagai satu alat penting dalam penerangan UMNO. Beliau lebih cenderung kepada penulis-penulis buku politik seperti Syed Husin (Pak Habib).

[Untuk rekod ia kerja mengenepikan KMU bukan dilakukan oleh Tan Sri Megat sebaliknya oleh beberapa individu dalam ibu pejabat UMNO yang berselindung di sebalik Setiausaha Kerja UMNO ketika itu, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Individu ini ada yang "ditangkap" oleh ahli KMU kerana berkempen memburuk-burukkan Azalina Othman Said di siber menjelang pemilihan Puteri UMNO yang pertama. Pendedahan ini dibuat menerusi nombor IP individu tersebut].

Namun usaha ini tidak dilakukan menyeluruh kerana ketika itu laman web KMU merupakan laman web UMNO dan BN paling popular mengatasi semua laman web rasmi dan tidak rasmi parti yang lain. Apatah lagi kerana UMNO tidak perlu menyumbang sesen pun kepada kelab ini kecuali membenarkan satu ruang di PWTC dan satu talian internet digunakan.

Portal KMU terus bergerak aktif dengan ahli hampir 2000 orang dari seluruh negara. Laman ini akan dingati kerana mempertahankan Azalina ketika beliau diasak oleh Agendadaily.com. Laman tersebut juga akan dingati kerana mempertahankan Menteri Besar Selangor ketika diasak oleh Ahmad Lutfi dan Hassan Ali; mempertahankan Kementerian pendidikan dan tan Sri Musa Mohamad; mempertahankan Datuk Hishamuddin Tun Hussien Onn.

KMU juga akan dingati kerana mempertahankan Abdullah Ahmad Badawi ketika diasak oleh Pas dan ketika orang dalam UMNO sendiri meragui kewibawaannya. Lebihnya, KMU pasti akan dingati kerana mempertahankan UMNO dan Dr. Mahathir dalam dunia siber selama hampir 6 tahun.

KMU juga merupakan penggerak di sebalik kursus Cyber War Puteri UMNO yang Azalina bangga-banggakan itu. Dari Modul kursus sehinggalah kepada pelaksanaannya dikendalikan sepenuhnya oleh "budak-budak KMU".

Apa terjadi kepada KMU? Selepas pilihan raya umum 2004, bukan KMU sahaja malah ramai jentera UMNO dan ahli UMNO yang bekerja keras mengembalikan maruah yang tercalar pada 1999 tidak dihargai.

Mereka semua tidak meminta wang, kontrak mahu pun jawatan. Hanya kata penghargaan dan terima kasih sahaja. Namun yang muncul hanyalah kenyataan-kenyataan kemenangan besar BN dan UMNO kerana Abdullah Ahmad Badawi dan pasukan tingkat 4nya terutama menantu kesayangan beliau Khairy jamaluddin.

Sungguhpun ramai yang berkecil hati namun ia bukanlah masalah besar bagi KMU. Budak-budak KMU sudah biasa bekerja tetapi orang lain dapat nama. Ia bukan masalah besar kepada mereka.

Selepas pilihan raya 2004 juga, server KMU dan peralatannya dikeluarkan dari tingkat 37 yang kemudiannya ditukar menjadi pejabat Khairy Jamaluddin dan Akademi Pemuda. Tiada sepatah ucapan terima kasih pun diterima dari mana-mana pemimpin UMNO. Arahan keluar juga dilakukan menerusi pihak ketiga.

Portal KMU masih menyanjung Pak Lah dan UMNO sehinggalah pemilihan UMNO 2004. Ketika ini bermulalah kritikan keras terhadap usaha Pak Lah menjadikan menantu beliau sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO. Zaki Zahid dikatakan menelefon semua ketua Perhubungan UMNO Negeri untuk menyampaikan amanat Pak Lah supaya pastikan Khairy menang tanpa bertanding.

Kemudiannya, KMU, yang dianggotai oleh ramai siswazah Melayu yang berada dalam pelbagai bidang perkhidmatan tinggi kerajaan dan swasta, mula merasakan dasar dan polisi baru Abdullah hanya akan merugikan orang Melayu dan juga ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

Kritikan-kritikan keras yang dilemparkan ini bermakna bermulalah saat-saat kehambaran jentera peranng UMNO di dalam siber. Sebahagian mereka juga mula tidak berpuas hati dengan pengendalian NSTP dan cubaan akhbar tersebut memburu-burukkan bekas Perdana Menteri itu.

Apabila Dr. Mahathir sendiri mula mengkritik Abdullah, KMU seolah-olah mendapat semangat baru untuk terus mengkritik Abdullah atas kepercayaan dan fakta yang ada. Dalam masa tidak sampai 2 tahun selepas Pilihan Raya Umum 2004, KMU berkubur.

Para penggerakknya menggugurkan nama Kelab Maya UMNO bagi mengelakkan konflik dengan UMNO. Mereka juga menggugurkan domain http://www.kmu.net.my/ kepada http://www.mykmu.net/.

Hakikatnya, Mykmu masih merupakan antara portal politik bahasa Malaysia yang utama.
Setiausa Politik PM, Vincent Lim pernah cuba mengatasi kekosongan ini melalui sebuah blog. Bagaimanapun blog tersebut juga sudah mati. Azalina cuba mengisi kekosongan KMU dengan menubuhkan KPMU.Net. Malangnya, kekosongan ini gagal diisi kerana mereka tidak mampu berhujah dengan fakta. Lebih bermasalah ialah kritikan terhadap UMNO datang dari bekas Presiden UMNO sendiri.

Justeru tulisan-tulisan mereka tidak ke mana kecuali sekadar menyerang peribadi orang lain termasuk bekas Perdana Menteri.

Sekarang ini muncul pula isuhot.com yang cuba mengisi kekosongan tersebut. Muncul beberapa minggu lalu, tidak banyak harapan boleh diberi. Hanya masa yang akan menentukan.

Kesimpulan

Jika Azalina masih berbangga dengan GTPuteri beliau sebagai bukti kekuatan pengalaman beliau dalam Perang Siber, MT UMNO bolehlah melupakan sahaja kejayaan dalam siber yang mereka impikan. Sesiapa yang mengetahui kedudukan Gtputeri dalam senarai laman web popular dahulu tentu ketawa mendengar kenyataan Azalina.

Akhirnya jika mahu menang dalam perang siber, perkara pertama perlu dilakukan ialah memperbetulkan UMNO dan Kerajaan sendiri. Tanpa kepercayaan bahawa apa yang berlaku sekarang ini betul dan berada pada landasan tepat, maka tiada apa yang mampu membantu UMNO.Kebenaran adalah perkara utama untuk menang.

Jika beribu penulis siber dihasilkan oleh UMNO untuk menangkis serangan penulis siber pro-reformasi, pasti ianya tidak akan berjaya. Ini kerana penulis siber yang dibentuk oleh UMNO adalah mereka yang telah dibutakan mata dan hati mereka untuk menyatakan kebenaran. Sedangkan penulis siber yang sedia ada hari ini menulis dengan sepenuh hati dengan rasa keihklasan untuk melihat kebenaran terwujud dimuka bumi ini.

Maka itu, tidak perlulah Azalina bersemangat benar untuk melatih penulis siber. Kerja sebagai penulis siber bukanlah satu kerja mudah yang boleh dilakukan sesuka hati tanpa menjiwai apa yang dinukilkan sebenar. Sudah cukuplah UMNO dengan penulis siber sensasi mereka seperti Ab Jalil Backer, Nihaz Mohd Yusoff, Rockybru ,A M Ubaidah ,Cuit Sikit ,Din Huluselangor , tunkuaisha, Husin Lempoyang ,Biggum Dogmannsteinberg cybertroopers.net, Dr Putera ,Sangkelembai 2006 dan ramai lagi sebelum ini.

Namun, mengapakah mereka benar-benar terdesak kini untuk melawan penulis siber yang menghentam kerajaan. Mungkinkah kerana isu Altantuya dan Najib, atau mungkin kes Johari Baharom, ataupun mungkin juga kes yang melibat Tan Sri Musa Hassan iaitu Ketua Polis Negara yang disambung kontraknya oleh Pak Lah supaya beliau menyelesaikan tugasanya memerangi jenayah di negara ini. . Mungkin juga Azalina sebenarnya sedang bermimpi disiang hari agaknya. Sama-samalah kita fikirkan. Bravo Bloggers !!

oleh: cucumatkilau

Cukai rokok naik, kerajaan kaut untung atas sengsara perokok?

Oleh Azamin Amin

Sekali lagi dengan menggunakan alasan yang lazim ‘rokok membahayakan kesihatan’, kerajaan menaikkan duti eksais rokok sebanyak tiga sen sebatang, menjadikan cukai bagi sekotak rokok 20 batang meningkat 60 sen, berkuatkuasa semalam.

Dengan alasan-alasan seperti ramai perokok yang tegar, masalah kesihatan perokok yang semakin meruncing dan gejala rokok di kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa maka kerajaan seperti biasa mencari jalan mudah dan pintas menyelesaikan masalah tersebut dengan menaikkan harga rokok!

Sungguhpun ada kebenaran dan dibuktikan dengan kajian oleh pakar kesihatan namun yang menimbulkan persoalan dan kesangsian ialah apakah dengan kenaikan harga rokok berulang kali ini akan dapat ‘menghapuskan’ ketagihan perokok tegar dan mengurangkan gejala rokok dewasa ini.

Atau secara halus dan tanpa disedari, kerajaan sebenarnya ’suka’ dan sedang mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil daripada ketagihan sebilangan besar rakyat Malaysia terhadap rokok?

Dan kempen kerajaan membasmi gejala rokok ini seperti yang sering diuar-uarkan dalam slogan ‘tak nak!’ hanya sekadar mengelabui atau mengaburi mata rakyat untuk mendapat persetujuan secara kolektif agar kenaikan ini dapat diterima ramai?

Fatwa Kebangsaan telah mewartakan bahawa menghisap rokok ini adalah haram di sisi agama malah dirujuk berpandukan kepada Firman Allah SWT. dalam al-Quran bahawa ‘janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan’ namun Kerajaan Islam Hadhari ini tidak menguatkuasa undang-undang dan tindakan terhadap perokok ini seolah-olah membiarkan gejala ini terus berleluasa agar ‘keuntungan dan kepentingan’ dapat dinikmati bersama?

Tanpa perlu menunggu bajet atau belanjawan negara apatah lagi menunggu tahun hadapan, Kerajaan menaikkan harga rokok sedangkan kali terakhir duti eksais rokok dinaikkan sebanyak satu sen sebatang dalam Bajet 2007 pada 2 September tahun lalu sebanyak satu sen sebatang yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berikutan kenaikan semalam, sekotak rokok 20 batang yang kini berharga RM7.40 dijangka meningkat sehingga RM8.

Kenaikan cukai rokok ini juga membuktikan bahawa kesan kenaikan rokok tahun lalu tidak berjaya mengurangkan ketagihan perokok dan dengan menggunakan alasan yang serupa juga, dijangkakan kerajaan akan secara berterusan menaikkan cukai rokok yang pasti akan merosakkan dan menyukarkan perokok baik dari sudut kewangan dan kesihatan.

Sewajarnya kerajaan perlu mempunyai perancangan secara tersusun untuk mengharamkan terus penjualan rokok ini atau tindakan paling minima ialah membenarkan penjualan rokok di premis terpilih dan bukan dijual dikedai runcit atau dipasaraya yang mudah bagi perokok untuk mendapat bekalan.

Seorang pembaca menimbulkan persoalan sama ada bersungguh dan ikhlas kerajaan dalam memerangi rokok yang telah dibuktikan membahayakan kesihatan ini atau barangkali, kerajaan lebih suka mebiarkan gejala ini berleluasa dan berterima kasih dengan ketagihan perokok ini supaya dapat mengaut keuntungan yang banyak

“Memang benar sama ada dinaikkan atau diturunkan harga, fenomena rokok amatlah sukar dibendung secara total, tetapi membiarkan perokok mendapatkan bekalan rokok dengan mudah adalah satu tindakan kerajaan yang perlu dipersoalkan,” katanya dalam satu laman surat pembaca Harakahdaily.net

“Kerajaan dan umum mengetahui, perokok yang ketagihan akan terus berusaha dengan segala kepayahannya untuk mendapatkan bekalan rokok meskipun harganya terlalu tinggi.

“Setelah tahu ketagihan ini tidak dibendung, kerajaan seolah-olah ‘memanipulasi’ atau pergunakan secukup-cukupnya situasi tersebut,” katanya yang mahu dikenali sebagai Shukri Ariffin.

Kerajaan sepatutnya mengharamkan terus penjualan rokok di negara ini walaupun diakui tindakan dan pendekatan tersebut begitu drastik, kata seorang pembaca yang mahu dikenali sebagai ‘Insan simpati nasib perokok’.

Sebagai contoh, kerajaan disarankan memberi tempoh untuk mengharamkan penjualan rokok tersebut sekurang-kurangnya dalam masa enam bulan atau setahun supaya perokok bersiap sedia untuk menghentikan terus tabiatnya.

“Memang tidak boleh dilakukan secara satu malam namun dengan cara memberi tempoh sekurang-kurangnya perokok telah bersedia menghadapi,” katanya.

Katanya, dalam tempoh tersebut perokok akan menggunakan pelbagai alternatif, rawatan, pengubatan dan kaedah terbaik untuk menghenti tabiat menghisap rokok kerana pada tahun tersebut merupakan tempoh tamat untuk mendapat bekalan rokok.

“Sebenarnya kerajaan masih membiarkan penjualan rokok ini berleluasa kerana tidak mahu kerugian jutaan ringgit hasil derita penagih rokok,” katanya. - mks.

Perlunya remaja hidup dalam lingkaran syarak

FAKTOR syarak dalam kehidupan Islam bermaksud memberikan batasan dan pedoman supaya jalur kehidupan berada dalam batasnya. Jalur syarak juga mentertibkan insan supaya terus berada dalam fitrah. Kehidupan yang fitrah adalah kehidupan yang serasi dan syarak dan ia membawa barakah. Keyakinan manusia kepada faktor yang nyata dengan pedoman faktor yang ghaib akan membimbing manusia ke jalan hidup yang sebenarnya.

remajapotpet.jpgAgama mengaturkan kehidupan yang baik untuk manusia. Syarak adalah sendi utama mempedoman manusia jalan yang di redhai atau sebaliknya. Faktor manusia tidaklah mutlak untuk memberikan kawalan dan pedoman. Faktor Ilahi menunjukkan pedoman yang terbaik untuk manusia. Menjadi manusia yang hidup berteraskan syarak menjadikannya hamba yang sentiasa patuh, akur, taat dan tunduk kepada-Nya. Kepatuhan dan ketaatan kepada manusia dan peraturan ada batasnya. Kepatuhan dan ketaatan kepada Allah adalah telus kepada-Nya dan tidak ada hijab yang menghalangnya. Walaupun apa yang kita lakukan manusia lain mungkin tidak mengetahui tetapi di sisi Allah ia diketahui.

Untuk menjadi seorang remaja Islam yang baik dan beriman mematuhi faktor syarak adalah suatu tuntutan dan kewajipan. Faham tentang batas dosa dan pahala, tahu tentang batas halal dan haram, mengerti tentang situasi fasad dan mungkar, maklum tentang wajib dan harus memberikan remaja pedoman yang terbaik dalam hidup. Menjadi remaja menyebabkan banyak cabaran yang menunggu. Sekadar pertimbangan akal dan nafsu semata tidak ada jaminan jalur syarak dipatuhi. Sekadar ukuran logik dan rasional saja tidak memadai jalan syarak diikuti. Sekadar berpandukan orang ramai melakukan maka tiada salahnya remaja melakukannya belum ada jaminan ia selari dengan syarak.

Remaja harus yakin bahawa keyakinan kepada jalur syarak memberikan landasan keimanan yang teguh. Iman yang teguh menghubungkan remaja kepada Penciptanya dan Pengatur alam dan kehidupan ini. Ia bukan bermakna remaja tidak menggunakan pertimbangan akal. Akal hanya alat yang belum tentu sempurna apa yang difikir dan dibuat tanpa pedoman syarak. Pertimbangan akal mungkin boleh menyuluh remaja ke jalan yang betul dan belum tentu membimbing jalan yang benar. Kebenaran ada pada jalan syarak kerana darinya manusia melakukan sesuatu berasaskan huhum-hakam dan peraturan Allah.

Secara akal memang betul dijadikan lelaki dan perempuan dengan sifatnya berpasang-pasang. Secara akal fitrah teruna dan dara memiliki perasaan cinta dan sayang yang tinggi. Secara akal juga memang perempuan memiliki daya tarikan yang tinggi terhadap lelaki. Haiwan juga sedemikian. Jantan dan betina dijadikan berpasang-pasang. Naluri nafsu dan keinginan tidak mengira tempat dan keadaan. Kadang-kadang bunuh membunuh menjadi kelaziman.

Pada remaja Allah berikan akal bagi membolehkan proses berfikir berlaku. Pada remaja Allah kurniakan hati untuk memberikan timbangan yang baik terhadap salah benarnya sesuatu. Faktor manusiawi yang ada pada remaja membolehkan remaja mencontohi sesuatu daripada yang lebih dewasa dan lebih arif tentang hukum hakam. Faktor manusiawi juga membolehkan remaja mendapat pedoman dari ibu bapa dan guru tentang salah benarnya sesuatu. Dari situ jiwa keinsanan wujud dan pedoman keihsanan lahir.

Faktor syarak tidak harus dianggap sebagai sifatnya menghalang dan membelenggu. Sifat alam dan sifat manusia mempunyai batasan. Bintang-bintang dan planet, sistem solar dan bimasakti, perjalanan galaksi dan sistem radiasi mempunyai batasan dan landasan. Alam dan planet yang banyak diurus di bawah sunatullah atau ketentuan Allah. Manusia dan kehidupan sekitarnya diurus berasaskan fitrah. Sunatullah dan fitrah memiliki kesalingan. Mempelajari secara mendalam sunah Allah memberikan manusia pedoman tentang kehidupan yang fitrah.

Sifat alam dan isinya sentiasa patuh dan taat kepada sunatullah. Sifat manusia memiliki jiwa hamba yang tinggi yang juga patuh dan taat kepada Allah. Bila keadaan ini berlaku di bawah jalur syarak bayangkan tangan-tangan yang mentadbir rumah tangga berada di tahap yang amat fitrah. Suami akan merasakan para isterinya adalah amanah Allah dan amanah waris wala’nya. Anak-anak bakal berada di bawah didikan, asuhan dan lindungan ibu dan bapa yang pengasih dan penyayang. Mereka merasakan anak-anak adalah harta yang amat berharga. Nantinya anak-anak apabila menjadi insan soleh dan solehah, ia bakal menghubungkan yang pergi dengan yang tinggal.

Tangan-tangan yang memimpin jabatan dan pemerintahan akan merasakan bahawa kepimpinan dan urus tadbir adalah suatu amanah. Amanah itu tidak saja terhadap manusia yang dipimpin dan diurus tetapi yang lebih utama ialah terhadap Allah s.w.t..

Oleh sebab itu kedapatan hari ini anak-anak yang cicir disebabkan ibu bapa tidak merasakan anak itu sebagai harta atau aset. Harta yang bersifat benda dianggap paling utama. Sedangkan harta yang bersifat benda memang perlu dicari kerana ia rahmah dan nikmat Allah tetapi anak-anak itu sendiri adalah harta yang tidak ternilai yang menunggu kasih sayang dan perhatian untuk dididik dan diasuh dengan teladan dan ilmu.

Oleh sebab itulah kedapatan orang-orang terlibat dalam urus tadbir dan kepimpinan tidak bersifat amanah, terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa kerana tidak merasakan faktor syarak itu penting sebagai benteng menentukan hak dan batil, adil dan zalim serta fasad dan mungkar.

Bila ia berlaku keluarga akan pincang, masalah sosial di kalangan remaja akan berlaku, faham kebendaan akan subur, tempiasan nafsu nafsi berlaku tanpa batas akibat pupusnya rasa takwa terhadap Pencipta. Ketakutan manusia sesama manusia boleh dielakkan dan boleh dicari jalan keluar. Tetapi keimanan manusia kepada Allah menyebabkan manusia ada benteng. Benteng syarak inilah yang memandu manusia memilik jalan yang baik dan jalan yang sebaliknya.

Apabila remaja lazim dengan hidup berasaskan syarak, ia dapat menentukan batasan benar dan salah serta baik dan buruk akan sesuatu. Baik di rumah, mahupun di sekolah atau melalui pergaulan hidup sehari-hari, remaja yang beriman akan sentiasa menjadikan batas syarak sebagai pedoman. Perlanggaran kepada batas syarak berlaku boleh menyebabkan banyak akibat yang terjadi.

Bila remaja terlibat dalam amalan salah guna dadah, bermakna remaja ini sudah melampaui batas halal dan haram. Penglibatan sebahagian remaja dalam zina menunjukkan sempadan syarak dilanggar kerana tidak ada kesedaran dosa dan pahala. Bila remaja terlibat dalam kegiatan Mat Rempit menunjukkan batas undang-undang dilanggar dan batas malu hilang.

Sebab itu Islam memilih pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Kaedah syarak terkandung kaedah mencegah. Bayangkan apa yang berlaku pada hari ini ibarat nasi sudah menjadi bubur. Kesedaran syarak, kepentingan iman dan takwa adalah asas-asas pencegahan supaya remaja sentiasa berada dalam keadaan fitrah. Tanpa keinsafan syarak remaja akan terus hanyut dan jalan kembali ke pantai hidup sukar sekali dan kerosakan generasi terus berlaku.

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur.

Jadilah orang yang menegak keadilan

“WAHAI orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada kamu tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (al-Maidah: 8.)

HURAIAN

Menegakkan keadilan dan kebenaran adalah ciri-ciri orang yang beriman. Inilah merupakan ikatan perjanjian yang telah diikat Allah dengan manusia muslim. Allah memerintahkan kita agar bersikap adil dalam membuat pertimbangan dan hukuman. Jangan sekali - kali di atas sentimen kasih dan benci, kita membuat pertimbangan yang salah dengan tidak menegakkan keadilan.

Larangan tegas ini diingatkan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman seperti yang berlaku ke atas muslimin lantaran sikap ingin membalas dendam dan marah terhadap kaum musyrikin Mekah yang telah menghalang mereka memasuki Masjidil Haram.

Sikap adil dalam membuat pertimbangan dan hukuman, arahan dan perlaksanaan adalah manifestasi takwa yang tinggi. Keadilan adalah lambang ketakwaan dan martabat diri yang mulia dan Allah amat mengetahui sikap dan pendirian seseorang dalam membuat pertimbangan dan pelaksanaan.

KESIMPULAN

Jiwa manusia tidak dapat mendaki kemuncak pengawalan perasaan khusus dalam membuat pertimbangan dan hukuman melainkan jiwa tersebut berinteraksi secara langsung dengan Allah bukannya kerana sesuatu tujuan yang lain. Orang yang bertakwa meletakkan neraca pertimbangannya menurut kehendak Allah dan rasul-Nya dan tidak berdasarkan hawa nafsu dan keinginan-keinginan yang lain.

CERAMAH PERDANA

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular