KAJANG, 7 Julai (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Selangor didakwa telah memindahkan lokaliti 1,402 pengundi dari kawasan Hulu Langat dan Kajang ke Serdang dan Bangi, Selangor supaya dapat mengurangkan sokongan dan undian kepada Barisan Alternatif (BA) pada pilihanraya umum akan datang.

Tindakan ini telah dilakukan secara sembunyi pada tahun 2005, setahun selepas pilhanraya umum 2004 tanpa pengetahuan para pengundi yang terlibat dan dijangka akan mengakibatkan kekeliruan termasuk mengulangi sejarah 'kekecohan' pada hari pengundian berikutan daftar pemilih yang berbeza pada saat akhir seperti yang pernah berlaku di Gombak, Selangor.

Yang Dipertua PAS Serdang Dr Shafie Abu Bakar berkata pemindahan tersebut jelas sekali bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Artikel 113 yang membenarkan sebarang perubahan sempadan dilakukan hanya 8 hingga 10 tahun selepas satu-satu persempadanan semula dibuat di mana-mana kawasan di Malaysia.

"Persempadanan semula yang terbaru ialah pada Mei 2003 dan SPR hanya boleh buat pada 2011 tetapi setelah PAS buat penyelidikan dan siasatan, didapati SPR melakukannnya secara sembunyi pada tahun 2005," katanya ketika membaca kenyataan media membantah tindakan SPR tersebut di pejabat Parti KeADILan Rakyat Kajang dekat sini pagi tadi.

Kenyataan itu turut ditandatangani secara bersama Yang Dipertua PAS Hulu Langat, Haji Razaly Hassan; Ketua PKR Kajang, Lee Kim Sin dan Ketua PKR Bangi, Hamidi Hassan yang masing-masing turut serta dalam sidang media tersebut.

Kata Shafie, pemindahan tersebut melibatkan 40 lokaliti yang antaranya merangkumi para pengundi daripada tujuh buah taman perumahan iaitu Taman Kajang Raya, Taman Berjaya, Taman Koperasi LLN, Taman Semarak, Taman Pasir Mas dan Taman Kajang Mewah.

Daripada 1,402 pengundi yang terlibat dalam perpindahan sulit SPR ini, 676 terdiri daripada pengundi Cina, 598 pengundi Melayu dan 128 daripada keturunan India.

Katanya, bantahan terhadap pemindahan itu telah pun dibuat pada 2 Februari 2006 kepada SPR manakala SPR mengambil masa setahun untuk menjawab dan menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.

BN perkudakan SPR hingga cabul Perlembagaan Malaysia

SPR mengakui tindakan pemindahan tersebut dengan menggunakan ungkapan 'Pembetulan Kedudukan Alamat/Lokaliti' dan 'Urusan Belah Bahagi Tahun 2005' seolah-olah bermaksud bahawa persempadan semula pada tahun 2003 itu tidak betul dan mempunyai kesilapan sedangkan ianya digunakan pada pilihan raya 2004, kata Shafie.

"Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan SPR ini dan mahu diperbetulkan semula dengan segera, jika tidak BA akan membawa kes ini ke Mahkamah," katanya.

"Dan kita juga akan memaklumkan dan memberi penerangan kepada para pengundi tentang gerak kerja 'sulit' SPR yang mahu menyusahkan para pengundi pada hari pengundian nanti.

"Bila timbul kesulitan, para pengundi akhirnya tidak pergi mengundi menyebabkan sokongan kepada pembangkang termasuk juga parti pemerintah akan berkurangan," katanya.

Dalam masa sama, Razali mahu para pengundi sentiasa mendapat maklumat terkini tentang apa jua gerak kerja yang dilakukan SPR kerana beliau berpendapat, sikap tidak ambil peduli masyarakat telah menyebabkan SPR sewenang-wenangnya melakukan perancangan licik bagi menyulitkan para pengundi dan cuba 'melenyapkan' sokongan terhadapa parti alternatif.

"Media bertanggunjawab mendedahkan kepincangan SPR yang dilihat 'diperkudakan' oleh Kerajaan Barisan Nasional," kata YDP Hulu Langat itu lagi.

Seorang peguam Nasar Khan yang turut hadir dalam sidang media itu, turut membacakan peruntukan Perlembagaan Malaysia menunjukkan SPR secara jelas mencabuli akta persempadan semula dan beliau bersama pimpinan PAS serta PKR sedang dalam proses tindakan susulan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.-Az

Sumber: Harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular