Cukai rokok naik, kerajaan kaut untung atas sengsara perokok?

Oleh Azamin Amin

Sekali lagi dengan menggunakan alasan yang lazim ‘rokok membahayakan kesihatan’, kerajaan menaikkan duti eksais rokok sebanyak tiga sen sebatang, menjadikan cukai bagi sekotak rokok 20 batang meningkat 60 sen, berkuatkuasa semalam.

Dengan alasan-alasan seperti ramai perokok yang tegar, masalah kesihatan perokok yang semakin meruncing dan gejala rokok di kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa maka kerajaan seperti biasa mencari jalan mudah dan pintas menyelesaikan masalah tersebut dengan menaikkan harga rokok!

Sungguhpun ada kebenaran dan dibuktikan dengan kajian oleh pakar kesihatan namun yang menimbulkan persoalan dan kesangsian ialah apakah dengan kenaikan harga rokok berulang kali ini akan dapat ‘menghapuskan’ ketagihan perokok tegar dan mengurangkan gejala rokok dewasa ini.

Atau secara halus dan tanpa disedari, kerajaan sebenarnya ’suka’ dan sedang mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil daripada ketagihan sebilangan besar rakyat Malaysia terhadap rokok?

Dan kempen kerajaan membasmi gejala rokok ini seperti yang sering diuar-uarkan dalam slogan ‘tak nak!’ hanya sekadar mengelabui atau mengaburi mata rakyat untuk mendapat persetujuan secara kolektif agar kenaikan ini dapat diterima ramai?

Fatwa Kebangsaan telah mewartakan bahawa menghisap rokok ini adalah haram di sisi agama malah dirujuk berpandukan kepada Firman Allah SWT. dalam al-Quran bahawa ‘janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan’ namun Kerajaan Islam Hadhari ini tidak menguatkuasa undang-undang dan tindakan terhadap perokok ini seolah-olah membiarkan gejala ini terus berleluasa agar ‘keuntungan dan kepentingan’ dapat dinikmati bersama?

Tanpa perlu menunggu bajet atau belanjawan negara apatah lagi menunggu tahun hadapan, Kerajaan menaikkan harga rokok sedangkan kali terakhir duti eksais rokok dinaikkan sebanyak satu sen sebatang dalam Bajet 2007 pada 2 September tahun lalu sebanyak satu sen sebatang yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berikutan kenaikan semalam, sekotak rokok 20 batang yang kini berharga RM7.40 dijangka meningkat sehingga RM8.

Kenaikan cukai rokok ini juga membuktikan bahawa kesan kenaikan rokok tahun lalu tidak berjaya mengurangkan ketagihan perokok dan dengan menggunakan alasan yang serupa juga, dijangkakan kerajaan akan secara berterusan menaikkan cukai rokok yang pasti akan merosakkan dan menyukarkan perokok baik dari sudut kewangan dan kesihatan.

Sewajarnya kerajaan perlu mempunyai perancangan secara tersusun untuk mengharamkan terus penjualan rokok ini atau tindakan paling minima ialah membenarkan penjualan rokok di premis terpilih dan bukan dijual dikedai runcit atau dipasaraya yang mudah bagi perokok untuk mendapat bekalan.

Seorang pembaca menimbulkan persoalan sama ada bersungguh dan ikhlas kerajaan dalam memerangi rokok yang telah dibuktikan membahayakan kesihatan ini atau barangkali, kerajaan lebih suka mebiarkan gejala ini berleluasa dan berterima kasih dengan ketagihan perokok ini supaya dapat mengaut keuntungan yang banyak

“Memang benar sama ada dinaikkan atau diturunkan harga, fenomena rokok amatlah sukar dibendung secara total, tetapi membiarkan perokok mendapatkan bekalan rokok dengan mudah adalah satu tindakan kerajaan yang perlu dipersoalkan,” katanya dalam satu laman surat pembaca Harakahdaily.net

“Kerajaan dan umum mengetahui, perokok yang ketagihan akan terus berusaha dengan segala kepayahannya untuk mendapatkan bekalan rokok meskipun harganya terlalu tinggi.

“Setelah tahu ketagihan ini tidak dibendung, kerajaan seolah-olah ‘memanipulasi’ atau pergunakan secukup-cukupnya situasi tersebut,” katanya yang mahu dikenali sebagai Shukri Ariffin.

Kerajaan sepatutnya mengharamkan terus penjualan rokok di negara ini walaupun diakui tindakan dan pendekatan tersebut begitu drastik, kata seorang pembaca yang mahu dikenali sebagai ‘Insan simpati nasib perokok’.

Sebagai contoh, kerajaan disarankan memberi tempoh untuk mengharamkan penjualan rokok tersebut sekurang-kurangnya dalam masa enam bulan atau setahun supaya perokok bersiap sedia untuk menghentikan terus tabiatnya.

“Memang tidak boleh dilakukan secara satu malam namun dengan cara memberi tempoh sekurang-kurangnya perokok telah bersedia menghadapi,” katanya.

Katanya, dalam tempoh tersebut perokok akan menggunakan pelbagai alternatif, rawatan, pengubatan dan kaedah terbaik untuk menghenti tabiat menghisap rokok kerana pada tahun tersebut merupakan tempoh tamat untuk mendapat bekalan rokok.

“Sebenarnya kerajaan masih membiarkan penjualan rokok ini berleluasa kerana tidak mahu kerugian jutaan ringgit hasil derita penagih rokok,” katanya. - mks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular