Umno hanya memperalatkan ulama – Ustaz Hamid
Ustaz Abdul Hamid Derani, 39, satu nama yang cukup popular dalam Umno. Beliau banyak membantu Umno Kelantan selepas merosot teruk pada pilihan raya 1999. Dilahirkan di Wakaf Bharu, Tumpat. Pernah belajar di sekolah agama di Beta Hilir, dan berguru dengan ulamak terkenal, Haji Muhamad Awang. Kemudian belajar di Madrasah Tarbiah Diniah di Pasir Tumbuh. Menyambung lagi pengajian di Madrasah Darul Falah di Terayung, Pahang. Tempoh pengajian agama bermula 1982 sehingga 1989.
Selepas berkahwin beliau berhijrah ke Johor. Berkhidmat sebagai pendakwah bebas. Tinggal di Johor selama lapan tahun iaitu di Kampung Desa Jaya, Majidee. Hubungan rapat dengan pemimpin Umno memudahkan beliau mendapat tauliah dengan Jabatan Agama Johor. Beliau juga mengendalikan kelas mengajar al Quran. Namun, pada 23 Jun lalu beliau telah membuat keputusan nekad kembali kepada perjuangan sebenar. Ikuti temubual bersamanya, baru-baru ini.
Punca ustaz tertarik dengan Umno?
Saya melihat apabila berdakwah dalam politik Umno kita tidak mempunyai banyak risiko. Kebajikan juga terjamin pada peringkat awal. Saya ditugas mengajar di masjid dan madrasah. Di Johor berbeza, ceramah politik secara langsung tidak ada, cuma ada ceramah agama sempena program Israk Mikraj, Maulidul Rasul dan Hijrah diadakan di balai-balai raya yang dikuasai Umno. Di Johor balai raya dibina di kawasan masjid. Pemimpin Umno cawangan terdiri daripada imam, bilal dan tok siak. Puratanya ketua-ketua Umno ialah kakitangan masjid. Ini menyebabkan saya tertarik dengan Umno ketika berada di Johor.
Berbeza dengan Umno di Kelantan?
Ya berbeza, kerana rata-rata pemimpin Umno Kelantan bukan kakitangan masjid. Mereka sebahagian besar orang gedebe (ada pengaruh) dan korporat. Lain di Johor mereka terdiri daripada pak haji, imam dan bilal. Kedudukan Umno di Johor nampak lebih muafakat. Umno cawangan di Johor yang menggerakkan aktiviti agama.
Peranan ustaz ketika bersama Umno Johor?
Saya memang memegang banyak jawatan dalam bidang keagamaan secara sukarela. Jadi imam di madrasah, mengajar kelas-kelas agama di rumah ketua-ketua masyarakat, urus jenazah dan kematian. Mengetuai tahlil dan berdakwah di mana sahaja. Imam di Desa Jaya ketika itu ialah ketua cawangan Umno. Saya menyertai Umno secara rasmi pada 1995. Jawatan ketika itu sebagai AJK Umno cawangan tersebut.
Pernah berkempen di pentas Umno?
Sewaktu di Johor tidak banyak ceramah politik yang dianjurkan. Umno saya lihat tidak punyai masalah kerana pembangkang tidak ada. Bila menjelang pilihan raya, hanya sekadar buka pejabat dan sedia makan minum sahaja. Poster pembangkang pun tidak kelihatan.
Bila balik ke Kelantan?
Kembali ke Kelantan pada 1999. Pada awalnya saya mencari Dato’ Ibrahim Ali di Pasir Mas. Ketika itu Ibrahim bertugas sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya memberitahunya sedia berceramah di pentas Umno. Ceramah saya mendapat respon Umno Pasir Mas. Kemudian Ibrahim lantik saya sebagai penceramah Umno di situ. Selepas itu Umno lain pula panggil saya ceramah. Mereka menjemput saya ceramah di kawasan masing-masing. Mereka tertarik hujah saya melawan politik PAS terutamanya membalas hujah Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakub. Saya juga acap kali dipanggil berceramah di Machang oleh ketua bahagiannya, Dato’ Ismail Mamat.
Bagaimana boleh diminati Dato’ Mustapa Mohamed?
Saya diperkenalkan oleh Ketua Penerangan Umno Jeli kepada Mustapa. Pertama kali saya berceramah di Kampung Gunung, Jeli pada Julai 1999. Selepas itu saya dilantik sebagai penceramah tetap Umno Jeli. Dalam sebulan tidak kurang 20 kali saya berceramah di situ sehinggalah pilihan raya 1999. Saya juga pernah berceramah di Kedah dan Pulau Pinang. Ketika itu belum mendapat elaun tetap lagi. Saya hanya diberi elaun tetap pada tahun 2000.
Hubungan agak rapat?
Ketika Dato’ Pa kalah pada pilihan raya 1999, tidak ada orang hendak datang kepadanya. Sayalah yang membantunya menyusun pelbagai program keluar masuk kampung. Dato’ Pa isytihar saya sebagai penceramah khas untuk membantunya di Jeli. Hubungan dengannya rapat. Ketika beliau balik dari Kuala Lumpur, sayalah yang menjemput di airport. Elaun yang diberi agak besar bermula Mac 2000 sehinggalah pilihan raya 2004. Saya diberitahu elaun itu termasuk sumbangan dari Bernas dan syarikat saham. Saya ditugaskan melatih penceramah Umno di kalangan imam, bilal, warga emas, pemuda dan Puteri sehingga ada yang boleh berceramah.
Darul Falah (kediaman Mustapa) menjadi tempat saya tinggal. Dalam seminggu tiga hari saya bermalam di situ. Saya seperti adiknya sendiri. Ketika Dato’ Pa menjadi Ketua Penerangan Umno Malaysia, saya mengikutnya ke mana sahaja. Saya dilantik pula sebagai penceramah Umno Malaysia dan berceramah di seluruh negara.
Selepas itu?
Pada malam diisytiharkan menang pada pilihan raya 2004, Dato’ Pa memberitahu orang ramai, antara faktor kemenangannya kerana jasa saya yang berceramah di mana sahaja di Jeli. Dato’ Pa menang dengan majoriti besar. Bagaimanapun tidak lama selepas itu saya tidak lagi diperlukan. Kuliah agama saya pun tidak diatur lagi. Selepas itu elaun pun tidak dibayar secara tetap. Jumlahnya juga sudah dikurangkan. Bayaran akhir dibuat sehingga 2005.
Ustaz diketepikan?
Saya mulai faham, saya hanya diperlukan sewaktu kalah sahaja, dan bila dah menang dilupakan. Elaun saya dipotong dan akhir ditiadakan langsung. Beliau tidak cakap hendak potong elaun saya. Saya hendak jumpa dengannya pun menjadi semakin payah. Saya sedar tidak dihiraunya lagi.
Kepuasan sebagai pendakwah Umno?
Saya berdakwah pada awalnya dengan hasrat membaiki kelemahan pemimpin. Namun idea itu tidak boleh dipraktikkan. Kalau bercakap agama dengan lantang disifatkan pula sebagai keras atau fanatik. Kalau ucapan tidak mendewa-dewa pemimpin kita tidak akan dipanggil lagi. Masih terikat daripada menyebut perkataan sebenar dalam agama. Kita tidak boleh menyebut kelemahan pemimpin Umno. Akhirnya saya merasa bersalah dengan Allah.
Misalnya senamrobik yang dianjurkan setiap bahagian Umno. Bercampur gaul lelaki dan wanita dengan bebas. Ini jelas bercanggah dengan Islam. Di mana ada wanita yang berpakaian ketat. Saya tidak berani menegur takut digugurkan jawatan. Saya terpaksa redha dengan apa yang berlaku, biar pun menjurus ke arah mungkar. Mereka tidak ambil kira pandangan ahli agama. Pandangan Biro Agama Umno tidak dihiraukan.
Bagaimana situasi sekarang?
Sekarang mulai sedar, Umno cuma memperalatkan golongan ulama. Hujah agama yang kita kemukakan bukan untuk dijadikan amalan kepada pemimpin Umno. Istilah dakwah hanya untuk menghadapi pilihan raya dan bukan sampai akhirat. Umno tidak berminat mempraktik dakwah yang digunakan. Sekarang saya lihat Umno tidak ikhlas dan tidak jujur. Sebab itulah saya lebih rela untuk berkhidmat kepada perjuangan sebenar. Pemimpin PAS jauh lebih ikhlas.
Kelemahan Umno?
Dalam Umno perpecahan sehingga merosakkan parti. Saya lihat pertembungan lebih berkisar perkara peribadi sehingga dibawa ke mahkamah. Keduanya, pemimpin-pemimpin Umno yang sudah tidak mempunyai kuasa langsung dilupakan. Seolah-olah jasanya sebelum ini tidak ada. Inilah kelemahan utama. Lihat apa yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang. Bila ketua baru naik, ketua lama dihina. Pelbagai penghinaan dan fitnah ditabur. Sedangkan perkara itu tidak berlaku dalam sejarah Islam.
Puncanya?
Kerana tidak ikhlas kepada perjuangan. Keduanya meletak kebendaan di hadapan.
Islam Hadhari pula bagaimana?
Konsep itu seumpama daun, langsung tidak melibatkan dahan, batang dan akar pokok. Tidak merubahkan perkara dasar. Sepatutnya kena berubah dari akar umbi terlebih dahulu. Pemimpin mesti terlebih dahulu perlu jujur dan ikhlas. Sepatutnya kita perlu mencari keredhaan dalam setiap dasar yang digubal. Kerajaan sepatutnya bersih dan memberi keadilan kepada semua bangsa. Inilah yang dituntut sebuah kerajaan Islam.
-harakah
1 ulasan:
NI MESTI PASAL TAK DAPAT DUIT NI @ BILA TOK PA DAH MENANG...USTAZ NI DEMAND YANG BUKAN2....BILA ORANG TAK NAK BAGI DIA BUAT LA CERITA......PIRAHHHHHH MABUKKKK
Catat Ulasan