Pakej insentif keterlaluan lelong WPI

PAS Johor mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan menawarkan Pakej Insentif dan Sokongan (incentive and support pakage – ISP) yang terlalu mewah kepada pelabur-pelabur di WPI khususnya dari Singapura.

“Pakej Insentif ini menjadikan seolah-olah WPI dijual secara lelong kepada warga pelabur, Malaysia seolah-olah terlalu mengharapkan Foreign Direct Invesment (FDI) masuk ke WPI sedangkan keadaan ini bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan ekonomi negara ini terus berkembang dan FDI terus meningkat," kata Dr Mohd Ramli Md Kari (PAS - Senggarang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, baru-baru ini.

Katanya lagi, menurut statistik United Nation Conference On Trade and Development (UNCTAD) dalam ‘Invesment Brief 2007’, mendedahkan keadaan sebenar apabila Malaysia dilapor menerima FDI antara yang terkecil di rantau Asia pada 2006.

Katanya lagi, antara ISP yang ditawarkan kepada pelabur WPI adalah pengecualian pembayaran cukai korporat selama 10 tahun, sedangkan menurut kebiasaannya pengecualian pembayaran cukai korporat adalah sebanyak 28 peratus setahun bagi tempoh lima tahun.

Pengambilan pekerja asing tanpa had, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT), katanya jelas membelakangkan 80,000 siswazah menganggur dalam negara yang sebahagian besarnya dari jurusan ICT.

"Jangan sampai terjadi umpama bidalan Melayu, ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kehausan’," tegasnya.

Ramli turut menyentuh pengecualian dari Peraturan Foreign Invesment Committee (FIC) bagi warga asing yang membolehkan mereka membeli hartanah kediaman yang melebihi RM250,000 tanpa perlu mendapat kelulusan FIC, bahkan mereka juga dibenarkan memiliki sebanyak tiga unit hartanah kediaman dalam satu-satu masa.

"Pakej insentif ini juga menghapuskan syarat ekuiti 30 peratus penyertaan bumiputra dalam syarikat asing yang beroperasi di negara ini, bermakna syarikat asing boleh memiliki ekuiti 100 peratus dalam syarikat yang beroperasi di Malaysia tanpa perlu memperuntukkan kuota bumiputra.

“Penghapusan kouta ini sebenarnya akan melambatkan lagi pencapaian sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputra seperti yang digariskan dalam DEB," ujarnya.

Kerajaan, tambah beliau perlu mengambil kesempatan melalui peruntukan WPI sebanyak RM47 bilion untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputra dalam ekonomi negara dan bukan sebaliknya.

“Pakej Insentif ini juga menghapuskan syarat Guna Tenaga (pekerja) yang sebelum ini menetapkan syarat setiap syarikat asing yang beroperasi di negara ini hendaklah melantik dan melatih rakyat negara ini di semua peringkat jawatan," ujarnya.

Berapa Jumlah Pelaburan KWSP Dalam SJIC

Dr Mohd Ramli juga memohon penjelasan berhubung pegangan saham institusi-institusi awam dalam WPI.

Ini kerana Khazanah Nasional yang menerajui pembangunan WPI telah menubuhkan South Johor Investment Corporation (SJIC) dengan 60 peratus sahamnya dimiliki Khazanah Nasional manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) masing-masing memiliki 20 peratus saham dalam SJIC.

“Persoalannya, berapakah jumlah wang yang dilaburkan KWSP untuk memegang 20 peratus saham dalam SJIC ini, adakah KWSP sudah menjalankan kajian kemungkinan daya maju projek-projek yang akan diceburi oleh SJIC dalam WPI," soal beliau.

Menurutnya, jika kajian kemungkinan dan daya maju projek telah dilakukan, berapakah jangkaan unjuran pulangan yang akan diperolehi KWSP.

"Persoalan ini perlu dikemukakan kerana wang KWSP adalah wang simpanan hari tua milik warga pekerja negara ini yang tidak sepatutnya digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira untung ruginya terlebih dahulu," tegas beliau.

Nasib Tanah Rezab Melayu dalam WPI

Nasib yang bakal menimpa 16,997 hektar Tanah Rezab Melayu (TRM), yang sebahagiannya adalah tanah Felda apabila WPI menjadi sebuah bandaraya metropolitan turut dibangkit wakil PAS dalam sidang Dun Johor baru-baru ini.

Menurut Dr Mohd Ramli, dalam Plan Komprehensif WPI tidak dinyatakan dengan jelas pendekatan untuk mengekalkan pemilikan TRM.

Beliau juga mahu tahu status tanah-tanah milik bumiputera dan Melayu yang bukan berstatus TRM apabila WPI dibangunkan.

“Setelah isu ini dibangkitkan oleh rakyat Johor, barulah MB Johor pada 14 April 2007 menyatakan kerajaan bercadang untuk menubuhkan Amanah Hartanah (property trust) bagi membolehkan masyarakat bumiputra bersama-sama menyertai pemilikan harta di WPI walau pun pada nilai yang rendah," ujarnya.

Bagaimanapun, Dr Ramli mahu kerajaan negeri menjelaskan modus operandi amanah harta itu kerana tidak mahu melihat nasib orang Melayu dan bumiputra di WPI sama seperti Melayu dan bumiputra di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi yang terpinggir oleh pembangunan.

“Kita mahu melihat pegangan pemilikan hartanah orang Melayu dan bumiputra terus kekal walaupun tanah-tanah mereka dibangunkan," ujarnya.

-harakah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular