Pusat ‘suburkan’ maksiat, Kelantan galakkan solat

KOTA BHARU, 16 Julai (Hrkh) – Bagi kerajaan Pusat, setiap program diadakan, tidak sah kalau tidak diserikan dengan persembahan artis. Sebaliknya di Kelantan setiap program dianjurkan mesti berpaksi kepada agama.

Misalnya kempen menghijaukan bumi dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini, turut dilibatkan artis. Inilah perkara asas yang menyuburkan lagi gejala keruntuhan moral.

Sedangkan di Kelantan aktiviti seperti itu disekat, dan sebaliknya program yang menjurus kepada kesedaran agama diutamakan.

Malam tadi kempen Bulan Sembahyang dilancarkan sempena sambutan bulan Rejab. Program itu diadakan sejak 13 tahun lalu bagi mendekatkan masyarakat kepada amalan agama.Image

Pelancarannya disempurnakan Menteri Besar di Balai Islam. Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil dan pegawai kerajaan.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, amalan solat perlu dihayati sepenuhnya dan bukan sekadar menjadi tradisi sahaja.

“Ini kerana sebelum ini dilihat amalan solat hanya menjadi tradisi sekadar mahu melepaskan tangggungjawab fardhu ain sahaja dan bukannya untuk dihayati.

“Sedangkan solat menjadi paksi kepada agama. Semua aktiviti kehidupan manusia mesti diselaraskan dengan amalan sembahyang,” katanya.

Menurutnya bagi mereka yang tidak menghayati sepenuhnya amalan sembahyang, ia tidak mampu menjadi benteng mencegahkan daripada melakukan perkara mungkar.

Katanya, mereka tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan letih dan semakin jauh daripada Allah Taala serta bertambah dekat kepada syaitan.

Kata beliau juga amalan sembahyang yang dihayati sepenuhnya akan dapat membantu pasukan keselamatan mengurangkan kadar jenayah.

“Ini kerana amalan solat akan mencegah seseorang melakukan perkara mungkar. Sekiranya ia dihayati betul-betul, kerajaan tidak perlu lagi menambah bilangan anggota pasukan keselamatan,” katanya.Image

Beliau juga berharap masyarakat Orang Asli yang sudah menganut Islam mampu menjadi bilal dan imam kepada seluruh masyarakat Islam.

“Saya berhasrat pada sambutan Bulan Sembahyang akan datang, biarlah Orang Asli menjadi bilal dan orang Cina pula sebagai imam. Biarlah saya menjadi makmun kepada mereka,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood berkata, amalan sembahyang mampu menjadi benteng kepada manusia daripada terlibat dengan gejala sosial.

Pelancaran program itu turut diserikan dengan persembahan multimedia, pentomen dan nasyid. Dewan Besar Balai Islam penuh sesak dengan orang ramai. - mj

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular