Perang Siber: Sah, Azalina Bermimpi Di Siang Hari !!

Lucu benar bila mendengar kenyataan keramat Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu Datuk Azalina Othman Said perihal "Perang Siber" bagi menangkis fitnah terhadap pemimpin kerajaan. Sesungguhnya Azalina masih mentah dengan alam siber, namun memikirkan mahu menunjukkan hasrat murninya itu maka beliau bercakap seolah-olah dirinya itu terlalu hebat. Bukankah sesuatu yang tidak masuk akal, apabila perang siber ingin dilancarkan terhadap blog-blog serta penulis siber yang kononya banyak menabur fitnah dan memberi gambaran buruk terhadap kerajaan.

Persoalannya, mengapakah baru sekarang mereka ini beriya-iya benar untuk bertindak. Walhal perkara ini sepatutnya dilakukan sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat lagi. Isu perang siber dalam politik Malaysia ditandai oleh pemecatan Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Dalam masa tidak sampai dua bulan, beratus laman web Reformasi muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Ketika itu laman Mahazalim dan Mahafiraun antara yang paling popular. Populariti mereka begitu besar kerana mereka menyiarkan berita-berita semasa dan terkini mengenai kejadian reformasi dan juga kemudiannya perbicaraan Anwar Ibrahim.

Ketika media massa utama melakukan saringan berita, laman-laman ini menyiarakan sepenuhnya maklumat dari persepsi Reformasi.

UMNO menyedari vakum ruang siber ini dan cuba memenuhi tuntutannya. Terdapat tiga kumpulan utama yang cuba memenuhi vakum UMNO di ruang siber ini.

Kumpulan pertama ialah melalui UMNO Online (pada masa itu dilayari melalui http://www.umno.org.my/ dan kemudiannya ditukar kepada umno-online.com). Penggerak laman rasmi UMNO ini ketika asalnya diketuai oleh Rosnah Majid kemudiannya diketuai oleh seorang bekas wartawan Berita Harian. Tujuan asal laman ini bukan untuk perang siber tetapi sekadar menjadi laman web rasmi UMNO.

Kumpulan kedua ialah melalui kumpulan Datuk Ibrahim Ali (ketika itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Kumpulan ini mewujudkan beberapa laman web anonymous atau tanpa nama sebenar. Beberapa kakitangan kumpulan ini dibayar gaji sepenuh masa bagi menyerang pembangkang. Antara hasil kerja mereka termasuklah laman web petualang negara, 50 dalil, Freedom Malaysia dan mahataksub.

Kumpulan ketiga ialah melalui sekumpulan penyokong UMNO yang sememangnya telah bergelumang di alam siber. Kumpulan kemudiannya memperkenalkan identiti mereka sebagai antireformasi. Mereka ini mempunyai laman-laman web juga tanpa nama secara persendirian dan hanya berinteraksi melalui satu yahoo group dinamakan antireformasi.

Antara laman web mereka ketika itu ialah Pejuangbangsa (sudah mati), Politik Islam, Doa Anwar, Nihaz Online dan banyak lagi yang semuanya sudah tamat tanpa nesan selepas penubuhan Kelab Maya UMNO.
Antara ketiga-tiga kumpulan ini nyata kumpulan antireformasi banyak memberi masalah kepada laman-laman reformasi dan Pas menjelang pilihan raya 1999.

UMNO-Online ketika itu tidak memberi kesan yang besar kerana ia bertindak seumpama akhbar arus perdana. Dengan kata lain, apa yang ada dalam akhbar itulah juga berita dalam UMNO Online. Jika ada kekecualian pun hanyalah sedikit sebanyak liputan dalaman aktiviti UMNO dan kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO peringkat bawah.

Kumpulan kedua tidak gagal sepenuhnya. Namun mereka tidak juga berjaya kerana ia hanya bersifat kutukan, khabar angin dan dakwaan tanpa fakta.

Mengapa kumpulan yang tidak menerima sebarang imbuhan, tidak mengenali semua orang antara mereka, tidak mempunyai organisasi kukuh dan naungan politik atasan serta tidak pernah dipanggil bermesyuarat dengan bahagian penerangan UMNO ini menjadi begitu berjaya dan dikenali ramai ketika itu?

Jawapannya ialah kepercayaan terhadap kepimpinan, kesungguhan, kebenaran dan fakta. Mereka ini terdiri daripada penulis dan pemikir yang melihat penyelesaian kepada peperangan siber ialah perdebatan ilmiah dan logik dengan pembangkang ketika itu.

Isu-isu popular sama ada dari segi agama, politik, orang Melayu dan perlembagaan dijawab secara rasional dan logik. Malahan apa sahaja isu Anwar Ibrahim ketika itu juga dijawab secara logik dan rasional kerana mereka percaya kepada kebenaran yang dibuat oleh Kerajaan dan UMNO ketika itu. Boleh dikatakan hampir apa sahaja isu-isu yang cuba ditimbulkan oleh penyokong Reformasi dan Pas ketika itu dijawab oleh kumpulan ini.

Namun mereka juga tidak berjaya dengan hebat berbanding laman web reformasi. Ini kerana kekangan waktu sambilan mereka.

Selepas pilihan raya umum 1999, kumpulan ini membentuk Kelab Maya UMNO (KMU). Sumbangan mereka pada 1999 mendapat perhatian Dr. Mahathir. Pada tahun 2000 kumpulan ini mengadakan perjumpaan tertutup dengan Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak itu kumpulan ini kemudiannya menubuhkan satu portal berita politik http://www.kmu.net.my/ mempunyai hubungan rapat dengan Penerangan UMNO dan UMNO-Online. Jika diteliti antara tahun 2000 - 2004, perang politik di siber bukan lagi masalah besar kepada UMNO. Laman-laman popular pembangkang seperti Tranungkite dan Harakahdaily tidak lagi menguasai alam politik siber Malaysia secara total.

Detik kemerosotan kekuatan siber UMNO sebenarnya bermula lebih awal dari 2004 namun tidak memberi kesan yang agak besar dan ketara ketika itu. Oleh kerana kumpulan KMU dianggotai oleh mereka yang tidak matang dalam politik organisasi dan terdiri daripada orang-orang muda yang mudah bergelegak, maka sedikit demi sedikit mereka mulai menjadi mangsa politiking dalaman.

Pertukaran Ketua Penerangan UMNO dari Datuk Mustapha Mohamad kepada Tan Sri Megat Junid ketika itu membolehkan usaha mengenepikan KMU dijalankan secara sistematik. Tindakan mereka lebih mudah kerana Megat Junid ketika itu tidak melihat siber sebagai satu alat penting dalam penerangan UMNO. Beliau lebih cenderung kepada penulis-penulis buku politik seperti Syed Husin (Pak Habib).

[Untuk rekod ia kerja mengenepikan KMU bukan dilakukan oleh Tan Sri Megat sebaliknya oleh beberapa individu dalam ibu pejabat UMNO yang berselindung di sebalik Setiausaha Kerja UMNO ketika itu, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Individu ini ada yang "ditangkap" oleh ahli KMU kerana berkempen memburuk-burukkan Azalina Othman Said di siber menjelang pemilihan Puteri UMNO yang pertama. Pendedahan ini dibuat menerusi nombor IP individu tersebut].

Namun usaha ini tidak dilakukan menyeluruh kerana ketika itu laman web KMU merupakan laman web UMNO dan BN paling popular mengatasi semua laman web rasmi dan tidak rasmi parti yang lain. Apatah lagi kerana UMNO tidak perlu menyumbang sesen pun kepada kelab ini kecuali membenarkan satu ruang di PWTC dan satu talian internet digunakan.

Portal KMU terus bergerak aktif dengan ahli hampir 2000 orang dari seluruh negara. Laman ini akan dingati kerana mempertahankan Azalina ketika beliau diasak oleh Agendadaily.com. Laman tersebut juga akan dingati kerana mempertahankan Menteri Besar Selangor ketika diasak oleh Ahmad Lutfi dan Hassan Ali; mempertahankan Kementerian pendidikan dan tan Sri Musa Mohamad; mempertahankan Datuk Hishamuddin Tun Hussien Onn.

KMU juga akan dingati kerana mempertahankan Abdullah Ahmad Badawi ketika diasak oleh Pas dan ketika orang dalam UMNO sendiri meragui kewibawaannya. Lebihnya, KMU pasti akan dingati kerana mempertahankan UMNO dan Dr. Mahathir dalam dunia siber selama hampir 6 tahun.

KMU juga merupakan penggerak di sebalik kursus Cyber War Puteri UMNO yang Azalina bangga-banggakan itu. Dari Modul kursus sehinggalah kepada pelaksanaannya dikendalikan sepenuhnya oleh "budak-budak KMU".

Apa terjadi kepada KMU? Selepas pilihan raya umum 2004, bukan KMU sahaja malah ramai jentera UMNO dan ahli UMNO yang bekerja keras mengembalikan maruah yang tercalar pada 1999 tidak dihargai.

Mereka semua tidak meminta wang, kontrak mahu pun jawatan. Hanya kata penghargaan dan terima kasih sahaja. Namun yang muncul hanyalah kenyataan-kenyataan kemenangan besar BN dan UMNO kerana Abdullah Ahmad Badawi dan pasukan tingkat 4nya terutama menantu kesayangan beliau Khairy jamaluddin.

Sungguhpun ramai yang berkecil hati namun ia bukanlah masalah besar bagi KMU. Budak-budak KMU sudah biasa bekerja tetapi orang lain dapat nama. Ia bukan masalah besar kepada mereka.

Selepas pilihan raya 2004 juga, server KMU dan peralatannya dikeluarkan dari tingkat 37 yang kemudiannya ditukar menjadi pejabat Khairy Jamaluddin dan Akademi Pemuda. Tiada sepatah ucapan terima kasih pun diterima dari mana-mana pemimpin UMNO. Arahan keluar juga dilakukan menerusi pihak ketiga.

Portal KMU masih menyanjung Pak Lah dan UMNO sehinggalah pemilihan UMNO 2004. Ketika ini bermulalah kritikan keras terhadap usaha Pak Lah menjadikan menantu beliau sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO. Zaki Zahid dikatakan menelefon semua ketua Perhubungan UMNO Negeri untuk menyampaikan amanat Pak Lah supaya pastikan Khairy menang tanpa bertanding.

Kemudiannya, KMU, yang dianggotai oleh ramai siswazah Melayu yang berada dalam pelbagai bidang perkhidmatan tinggi kerajaan dan swasta, mula merasakan dasar dan polisi baru Abdullah hanya akan merugikan orang Melayu dan juga ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

Kritikan-kritikan keras yang dilemparkan ini bermakna bermulalah saat-saat kehambaran jentera peranng UMNO di dalam siber. Sebahagian mereka juga mula tidak berpuas hati dengan pengendalian NSTP dan cubaan akhbar tersebut memburu-burukkan bekas Perdana Menteri itu.

Apabila Dr. Mahathir sendiri mula mengkritik Abdullah, KMU seolah-olah mendapat semangat baru untuk terus mengkritik Abdullah atas kepercayaan dan fakta yang ada. Dalam masa tidak sampai 2 tahun selepas Pilihan Raya Umum 2004, KMU berkubur.

Para penggerakknya menggugurkan nama Kelab Maya UMNO bagi mengelakkan konflik dengan UMNO. Mereka juga menggugurkan domain http://www.kmu.net.my/ kepada http://www.mykmu.net/.

Hakikatnya, Mykmu masih merupakan antara portal politik bahasa Malaysia yang utama.
Setiausa Politik PM, Vincent Lim pernah cuba mengatasi kekosongan ini melalui sebuah blog. Bagaimanapun blog tersebut juga sudah mati. Azalina cuba mengisi kekosongan KMU dengan menubuhkan KPMU.Net. Malangnya, kekosongan ini gagal diisi kerana mereka tidak mampu berhujah dengan fakta. Lebih bermasalah ialah kritikan terhadap UMNO datang dari bekas Presiden UMNO sendiri.

Justeru tulisan-tulisan mereka tidak ke mana kecuali sekadar menyerang peribadi orang lain termasuk bekas Perdana Menteri.

Sekarang ini muncul pula isuhot.com yang cuba mengisi kekosongan tersebut. Muncul beberapa minggu lalu, tidak banyak harapan boleh diberi. Hanya masa yang akan menentukan.

Kesimpulan

Jika Azalina masih berbangga dengan GTPuteri beliau sebagai bukti kekuatan pengalaman beliau dalam Perang Siber, MT UMNO bolehlah melupakan sahaja kejayaan dalam siber yang mereka impikan. Sesiapa yang mengetahui kedudukan Gtputeri dalam senarai laman web popular dahulu tentu ketawa mendengar kenyataan Azalina.

Akhirnya jika mahu menang dalam perang siber, perkara pertama perlu dilakukan ialah memperbetulkan UMNO dan Kerajaan sendiri. Tanpa kepercayaan bahawa apa yang berlaku sekarang ini betul dan berada pada landasan tepat, maka tiada apa yang mampu membantu UMNO.Kebenaran adalah perkara utama untuk menang.

Jika beribu penulis siber dihasilkan oleh UMNO untuk menangkis serangan penulis siber pro-reformasi, pasti ianya tidak akan berjaya. Ini kerana penulis siber yang dibentuk oleh UMNO adalah mereka yang telah dibutakan mata dan hati mereka untuk menyatakan kebenaran. Sedangkan penulis siber yang sedia ada hari ini menulis dengan sepenuh hati dengan rasa keihklasan untuk melihat kebenaran terwujud dimuka bumi ini.

Maka itu, tidak perlulah Azalina bersemangat benar untuk melatih penulis siber. Kerja sebagai penulis siber bukanlah satu kerja mudah yang boleh dilakukan sesuka hati tanpa menjiwai apa yang dinukilkan sebenar. Sudah cukuplah UMNO dengan penulis siber sensasi mereka seperti Ab Jalil Backer, Nihaz Mohd Yusoff, Rockybru ,A M Ubaidah ,Cuit Sikit ,Din Huluselangor , tunkuaisha, Husin Lempoyang ,Biggum Dogmannsteinberg cybertroopers.net, Dr Putera ,Sangkelembai 2006 dan ramai lagi sebelum ini.

Namun, mengapakah mereka benar-benar terdesak kini untuk melawan penulis siber yang menghentam kerajaan. Mungkinkah kerana isu Altantuya dan Najib, atau mungkin kes Johari Baharom, ataupun mungkin juga kes yang melibat Tan Sri Musa Hassan iaitu Ketua Polis Negara yang disambung kontraknya oleh Pak Lah supaya beliau menyelesaikan tugasanya memerangi jenayah di negara ini. . Mungkin juga Azalina sebenarnya sedang bermimpi disiang hari agaknya. Sama-samalah kita fikirkan. Bravo Bloggers !!

oleh: cucumatkilau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular