Sdr. Halim di Tmn. Air Biru

Ceramah Exco Negeri Selangor

Sdr. Syed Othman di Ceramah PKR Tmn. Air Biru

Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Negeri Johor Meriah






Juara Bola Sepak - Pasti Kluang
Juara Bola Jaring - Pasti Muar

"Undi tidak yakin untuk guling BN" -Anwar

Khamis, 22 Mei 2008
PEMPIMPIN Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata satu undian tidak yakin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, adalah 'pilihan terbaik' untuk menggulingkan parti yang memerintah negara itu.

'Anda gunakan cara berperlembagaan untuk membuktikan sokongan majoriti dewan rakyat untuk mengetengahkan usul bagi mengalahkan perdana menteri itu,' kata Datuk Seri Anwar kepada wartawan di Singapura semalam.

Datuk Seri Abdullah, 68 tahun, kini menghadapi lebih banyak tekanan untuk meletakkan jawatan selepas parti campuran kerajaan yang dipimpin beliau, Barisan Nasional (BN), kalah teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Keputusan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, 82 tahun, untuk keluar daripada Umno Isnin lalu adalah satu daripadanya.

Datuk Seri Anwar, yang memimpin pakatan tiga parti pembangkang utama Malaysia dan memerlukan 30 kerusi lagi dalam parlimen untuk mendapatkan kuasa majoriti, pula sedang cuba memujuk lebih ramai anggota parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat, yang memenangi lima daripada 13 negeri dalam pilihan raya lalu.

Beliau, yang mengaku sudah memperolehi sokongan diperlukan bagi menjadi perdana menteri, bagaimanapun berkata beliau tidak akan berkhidmat dalam jawatan itu melebihi sedekad.

'Jika anda tidak dapat membawa perubahan bermakna dalam masa 10 tahun dalam jawatan, sudah tiba masanya untuk beredar,' kata Datuk Seri Anwar.

TUN DR MAHATHIR KELUAR , EZAM JOINT UMNO ???

Thursday, May 22, 2008
Umno: Ezam sahkan minggu depan

Muda Mohd Noor (Malaysia Kini)| May 22, 08 1:54pm

Teka-teki sama ada bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor bakal menyertai Umno akan terjawab sewal-awalnya minggu depan.

Ketika dihubungi Malaysiakini melalui SMS hari ini, Ezam berkata beliau sedang berada di luar negeri.

Dalam jawapannya, Ezam berkata, beliau akan kembali ke tanahair Selasa ini.

Menurutnya, beliau akan membuat kenyataan mengenai perkara tersebut selepas kembali ke tanahair.

SMS beliau berbunyi: Saya di luar negara. Kembali Selasa. Kena buat kenyataan selepas kembali. Wassalam.

Ezam diminta mengulas laporan yang menyatakan beliau akan menyertai Umno selepas mendapat lampu hijau daripada pucuk pimpinan parti tersebut.

Difahamkan, Ezam juga akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak), sebuah badan yang ditubuhkannya tidak lama selepas dibebaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2003.

Desas-desus mengenai kemungkinan Ezam menyertai Umno telah tersebar luas melalui Internet, khususnya sejak minggu ini.

Manakala akhbar berbahasa Inggeris The Star memetik sumber-sumber yang berkata Ezam telah mengadakan perbincangan dengan presiden dan timbalan presiden Umno untuk kembali kepada parti itu selepas keluar pada 1998.

Ceramah Maulidurrasul Ust. Azman Shapawi di Bandar Seri Alam Jln. Tasek

Antara Kesempitan Perkauman Dengan Keluasan Prinsip Islam

Sejak kebelakangan ini tepikan slogan membela bangsa kedengaran hebat sekali. Soal warisan bangsa, semangat dulu kala dan cerita datuk nenek lama dibangkitkan semula. Keris yang disimpan mungkin ada yang ingin kembali menciumnya, sirih pinang mungkin ada yang ingin kembali mengunyahnya, zapin dan joget mungkin ada yang ingin kembali ditarikannya.

Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolang bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada dizalimi pihak yang lain.

Nabi s.a.w sendiri memuji sikap tolong menolong sesama kaum. Baginda s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun baginda juga memberikan amaran kepada sikap ‘asabiyyah iaitu perkauman atau berpuak yang membawa kepada kezaliman. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Apakah bezanya antara keluasan prinsip Islam dengan kesempitan perkauman? Jawapannya secara umum; seseorang yang dilahirkan berbangsa melayu, tidak mampu menukar dirinya menjadi arab. Seorang yang dilahirkan berbangsa cina tidak mungkin dapat menjadi melayu. Seseorang yang dilahirkan berbangsa india tidak mungkin mampu menukar dirinya menjadi cina.

Walaupun mungkin dia boleh menyamar, atau membuat tafsiran yang berbagai dalam menukar identiti dirinya, namun hakikat diri dari segi nasab keturunan tidak mungkin dapat diubah. Hal ini berbeza dengan soal pegangan akidah Islam. Di mana, seseorang walaupun apa bangsanya, boleh menjadi muslim lagi mukmin. Bahkan dia boleh mejadi muslim yang terbaik, walaupun dia daripada bangsa paling hina pada pandangan masyarakat, tetapi Islam tidak mendiskriminasikannya.

Maka, Bilal bin Rabah r.a. seorang yang berkulit hitam, berasal dari status hamba abdi yang dihina telah menduduki tempat yang tinggi dalam Islam. Sehingga setiap muslim apabila menyebut sahaja azan untuk solat akan teringat sejarah Bilal yang bertugas sebagai muazzin (tukan azan) Nabi s.a.w. Sehingga orang melayu memanggil ‘tok bilal’ kepada tukang azan.

Sabda Nabi s.a.w: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama.

Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan berbagai pihak atas sentimen kepuakan.

Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperolehi sedekah Islam –temasuk dari zakat wajib dan wang baitul mal- walau siapapun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin.

Di sudut ikatan nasab pula, seorang cina atau melayu atau india tidak boleh menjadi arab, tetapi mereka boleh menjadi Islam. Apatah lagi, prinsip-prinsip Islam itu mementingkan keadilan tanpa pernah mengenal batasan warna kulit, rupa dan kedudukan.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Maka, orang melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau mak yong dan joket, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen.

Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam.

Persis seperti apa yang Allah ingatkan suku Aus dan Kharaj di Madinah. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih seribu tiga ratus yang lalu kepada orang arab: “Dahulunya bangsa arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.

Demi Allah! Tiada di tanahair arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.

Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia.

Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sebelum itu, saya selalu ulangi apa yang ‘Umar bin al-Khattab ucap ketika membuka Baitul Muqdis, setelah umat Islam berjaya membebaskan kota suci itu: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maaf jika saya sebutkan, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan bangsa melayu jika dilihat pada realiti hari ini secara perbandingan? Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri.

Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’.

Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’.

Begitulah kita seadanya. Silap hari bulan, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’. Mungkin kita mempunyai kejayaan menjadi bangsa yang memliki ‘penagih dadah yang teramai’, ‘pengidap HIV AIDS yang terbanyak, berjaya memenuhi semua jawatan mat rempit dan mat lepak dan segala macam kedudukan yang bangsa lain dalam negara ini kosongkan agar dapat kita penuhi tanpa persaingan. Itulah realitinya, suka atau tidak!

Kalau muncul sesiapa yang kononnya pejuang bangsa, kita pun tidak pasti, adakah dia ikhlas, atau untuk merebut kerusi pilhanraya? Sebabnya, yang bercakap tentang kepentingan bangsa itulah juga yang melonggokkan keseronokan kepada anak muda melayu sehingga mereka hanyut dan menjadi pemuja orang politik yang telah memberi kebebasan yang ‘seronok giler’ kepada mereka.

Mereka juga kadang-kala yang menindas sesama bangsa kerana kepentingan kocek sendiri, kemudian apabila datang muncul berkempen mereka berlagak menjadi pejuang bangsa, bahkan agama. Siapa yang menjadi “ali baba?”, ”siapa yang menjual tanah melayu?” siapa yang mendiskriminasi sesama melayu? Sebahagiannya, mereka inilah.

Sementara melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrim sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.

Saya katakan; masa depan orang melayu tidak akan dapat dijamin oleh semua slogan dan kempen-kempen bermusim ini. Penyelesaian yang sebenar adalah semua pihak di kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa di negara ini hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Penafsiran terhadap Islam ini hendaklah bebas dari kepentingan kerusi, parti, bangsa, puak, mazhab, aliran dan segalanya. Hanya Islam yang tulen, seperti mana hari ia diturunkan oleh Allah. Itulah penyelamat arab zaman dahulu, dan itulah penyelamat melayu!

Bukan Islam ala melayu yang mewajibkan Marwan bin Ah Seng mengubah nama bapa kerana bapanya cina dan Ah Seng bukan nama arab. Tetapi dapat pula menerima Marwan bin Awang, kerana Awang bangsa melayu sekalipun Awang bukan nama arab.

Bukan yang sibuk dengan orang lain hendak menggunakan nama Allah –pada hal Allah mengizinkan-, tetapi tidak pula sibuk membaiki penerangan akidah.

Bukan yang hanya meletakkan nama Islam untuk politik, tetapi gagal mengislamkan lidah ketika berkempen politik.

Bukan hanya yang menggunakan nama Islam untuk mengutip zakat, tetapi melupai amanah Islam dalam membahagikan zakat.

Begitulah seterusnya. Islam tulen, seperti zaman salaf dalam akidah dan ibadah, dan melihat keluasan agama dalam urusan umum kehidupan. Islam yang akan menjadikan kita umat dakwah dan pembawa risalah keagungan agama, bukan yang hanya memikir pembinaan bangunan tetapi membiarkan keruntuhan akidah dan akhlak.

Seperti kata al-Nadwi yang selalu saya ulangi: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Seperti orang arab pada hari ini menjadi lemah dan hina kerana meninggalkan Islam tulen, demikian nasib kita akhirnya jika tidak kembali kepada sumber agung Islam; al-Quran dan al-Sunnah.

Soalnya, bersediakah Melayu berubah dalam masa 4 tahun ini?

Ahmad Lutfi Othman
Fri | May 16, 08 | 11:05:14 am MYT
Menjelang hari mengundi 8 Mac lalu, kami terpaksa memilih untuk menerbitkan Harakah, sama ada selepas pilihan raya seperti jadual asal ataupun mempercepatkannya, dan pilihan kedua ini bertujuan supaya ia dapat menjadi membantu menjadi bahan kempen terakhir yang berkesan.

Walaupun agak penat, kerana kami juga mengusahakan siri tabloid percuma Kempen, namun akhirnya saya memutuskan untuk menerbitkannya lebih awal, dengan alasan "apa sangat yang kita nak ulas selepas keputusan pilihan raya 2008 diumumkan".

Kebetulan selang masa penerbitan Harakah ketika itu adalah tiga minggu, bukannya dua minggu seperti lazim. Sebenarnya ramai peminat Harakah agak keliru dengan jadual penerbitan kami disebabkan umum mempunyai kefahaman bahawa lidah rasmi PAS ini diterbitkan dua minggu seminggu, walhal ia dibenarkan terbit dua kali sebulan.

Cuba perhatikan baik-baik, dua kali sebulan berbeza dengan dua minggu sekali. Kalau kami terbit dua minggu sekali, bermakna dalam setahun Harakah akan diedarkan sebanyak 26 kali (iaitu 52 minggu bahagi 2), tetapi Kementerian Dalam Negeri hanya mengizinkan dua kali sebulan, iaitu sebanyak 24 kali (yakni 12 bulan kali 2).

Serangan hendap..

Bermain-main dalam kepala saya, keputusan malam 8 Mac itu nanti dipercayai tidak akan membawa apa-apa kejutan, yang bagi seorang wartawan, bukan satu scoop yang perlu diburu. Maknanya, daripada hanya menanti untuk membuat ulasan biasa terhadap result berkenaan, lebih baik kami mencari bahan-bahan terbaik untuk turut membuat "serangan hendap" di minit-minit akhir, paling kurang dapat juga membantu parti mempengaruhi pengundi.

Namun, risiko saya tetap ada. Kalau berlaku kejutan, pembaca terpaksa menunggu tiga minggu lagi untuk mendapatkan Harakah kerana kami telah mengawalkan penerbitannya. Justeru, hidangan Harakah selepas pilihan raya tentulah agak hambar dan tidak panas lagi kerana sekadar menjadi pencatat sejarah.

Pastinya, seperti saya, tidak ramai menjangka tsunami politik melanda malam 8 Mac itu. Tiada petanda awal menunjukkan BN akan ditolak sebegitu rupa. Kawan-kawan di Jitra langsung tidak membayangkan PAS akan mencetuskan kejutan, malah beberapa hari sebelum pilihan raya, ada yang terus bersungut dengan kesungguhan bekerja petugas parti. Rupanya penggiat parti pembangkang belum dapat menghidu satu gelombang besar bakal melanda persada politik negara walhal majoriti rakyat sudah bersedia untuk berubah. Diam-diam berisi.

Tidak setuju tajuk Harakah

Ramai aktivis dan pimpinan PAS (termasuk lapisan tertinggi) juga tidak senang dengan tajuk utama yang saya pilih untuk Harakah yang diterbitkan sempena tahun baru, tidak sampai dua bulan sebelum Parlimen dibubarkan, atas alasan pengundi yang mungkin sudah cenderung untuk memangkah PAS akan memikirkan semula pendirian mereka selepas membaca tajuk Harakah itu.

Ya, apa tajuk Harakah sehingga dilihat boleh "menggerunkan" pengundi? Saya memilih "2008: TAHUN TUKAR KERAJAAN". Saya dapat memahami kerisauan mereka itu. Ramai beranggapan rakyat belum berani untuk menumbangkan kerajaan BN, mereka sekadar mahu menamatkan keangkuhan Umno-BN, sekali gus meletakkan pembangkang pada kedudukan yang kebih kuat.

Bagaimanapun saya tertarik dengan tema "Tahun Tukar Kerajaan" itu bagi menanamkan rasa yakin diri buat petugas parti yang rata-rata dilihat belum bersedia sepenuhnya untuk mengaktifkan gerak kerja kempen pilihan raya sedangkan semua maklum ia boleh diadakan bila-bila masa sahaja. Apa pun segala teguran dan peringatan itu saya terima dengan baik.

Sememangnya ramai beranggapan suasana ketika Parlimen dan Dun dibubarkan berbeza dengan situasi 1999, pilihan raya kali ini, terutama di peringkat awal kempen, seperti "biasa-biasa sahaja". Majoriti aktivis PAS meletakkan target sekadar "mempertahankan Kelantan, menawan balik Terengganu, dan menambah bilangan ahli Parlimen".

Tidak kurang yang meramalkan apakah KeADILan masih boleh survive? Bagaimana dengan nasib Anwar Ibrahim jika partinya kecundang lagi? DAP pula memang dijangka mendapat sokongan lebih ramai pengundi bukan Melayu, tetapi siapa berani mempertaruhkan ia bakal membuat kejutan luar biasa. Justeru, ramai juga pimpinan kanannya yang bertanding dua kerusi, Parlimen dan Dun, sekali gus.

PAS seperti lazimnya masih meletakkan fokus utama di kawasan majoriti Melayu. Justeru, ada calon dipindahkan ke kawasan dianggap selamat (antaranya Naib Presiden, Mohamad Sabu yang berpindah dari Kuala Kedah ke Kuala Terengganu), dengan tanggapan "pengundi Cina mencurigai Parti Islam, dan pengundi India sukar menderhaka kepada BN".

Salah Mahathir juga

Persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilakar Dr Mahathir Mohamad selepas Umno malu besar pada 1999 adalah dengan membanyakkan kawasan campuran, manakala negeri-negeri Melayu langsung tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen. Mahathir lebih yakin dengan pengundi Cina dan India.

Persempadanan gerrymandering di Kedah memang bertujuan untuk "membunuh" antara lain, Mohamad Sabu di Kuala Kedah, Mahfuz Omar di Pokok Sena, Ustaz Nasharudin Mat Isa di Yan, Ustaz Taib Azamuddin di Baling. Ramuannya mudah sahaja. Masukkan lokaliti mengundi yang ramai pengundi Cina dan India ke kawasan Parlimen yang dimenangi tokoh-tokoh PAS itu. Sedangkan formula yang sama juga menikam balik Umno-BN; semua kerusi campuran di Kedah dimenangi PAS dan KeADILan dengan majoriti yang memeranjatkan.

Zam, bekas Menteri Penerangan mungkin mempunyai pengalaman menarik bertanding di Sungai Petani yang boleh dikongsi bersama!

Dalam senyap pengundi Cina padu bertekad untuk menghukum BN. Sesungguhnya mereka memang berazam kuat untuk melakukannya. Pengundi India lebih terbuka meluahkan protes. Kelab Penyokong PAS mendapat sambutan di mana-mana, slogan Makkal Sakhti bergema membelah awam. Dan menariknya ia tidak terbatas di wilayah tertentu sahaja. Mereka seperti sehati sejiwa, sehinggakan perisikan polis cawangan khas (SB) pun tidak menduga keangkuhan BN bakal menuju titik akhir. Saya yakin Anwar Ibrahim sendiri terkejut dengan suara keramat rakyat yang tiba-tiba meletakkannya kembali dekat dengan Seri Perdana.

Rupanya, dalam kamus politik bagi mereka yang mahu membentuk sejarah, tiada istilah putus asa atau kecewa. Lihat saja beberapa tokoh yang sedia bertanding di mana-mana, misalnya Khalid Samad, yang pernah mencuba di Kelantan, Perlis dan Johor, namun akhirnya menang "di halaman" sendiri, Shah Alam.

Khalid Ibrahim, baru beberapa hari diaibkan dan dipersenda di Ijok, diulang tayang bicaranya yang tersasul semasa kempen pilihan raya kecil itu, tiba-tiba beliau menang dua kerusi sekali gus, dan diangkat menteri besar negeri termaju. Begitu juga dengan nasib Lim Guan Eng yang tidak pernah serik didera penguasa sehingga hilang segala pencarian dan lebih mengejutkan, tuah Mohamad Nizar Jamaluddin, yang hampir tidak dikenali sebelum namanya dicalonkan PAS sebagai Menteri Besar Perak, mewakili komponen parti paling kecil yang menang.

Hanya protes

Dalam pada itu, ada pihak mengingatkan bahawa kemenangan tidak terduga ini lebih difaktorkan oleh unsur protes terhadap BN dan kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi, bukannya tanda sokongan jitu buat Pakatan Rakyat. Majoriti pengundi "mahu mengajar Umno-BN dan Pak Lah" yang dilihat mengkhianati mandat besar rakyat pada 2004.

Pengundi Melayu pernah menolak Umno pada 1999 tetapi kembali mengundinya pada 2004. Maknanya, mereka belum "putus kasih" dengan Umno, sekadar mahu mengingatkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan. Dan pada pilihan raya lalu, di banyak kawasan majoriti pengundi Melayu, Umno belum disisihkan.

Di Perak dan Selangor, semua Adun pembangkang kecuali seorang, adalah wakil rakyat Umno, dan jumlahnya mengatasi Adun Melayu PAS dan KeADILan. Malah, PAS turut kalah di beberapa kerusi yang pernah dimenanginya pada 1999, di dua negeri berkenaan, selain Kedah. Saya kira pihak yang melakukan bedah-siasat terhadap keputusan pilihan raya 2008 harus melihat hal ini secara mendalam. Mengapa pengundi Melayu di kawasan tradisi PAS belum bersedia melakukan perubahan menyeluruh?

Justeru, tempoh maksimum empat tahun sebelum pilihan raya ke-13 adalah era kritikal buat Pakatan Rakyat, terutama PAS, bagi memikat hati pengundi Melayu, di samping mengekalkan sokongan pengundi Cina dan India. Dr Mahathir beberapa kali mengingatkan ahli Umno bahawa sekiranya kerajaan lima negeri bukan milik BN itu menunjukkan teladan pemerintahan yang memuaskan hati rakyat, bukan sahaja peluang BN untuk mengambil alih musnah, malah negeri-negeri lain turut jatuh ke tangan Pakatan.

Saya kira motif Mahathir adalah untuk menakutkan ahli Umno agar kepimpinan Abdullah dijatuhkan segera, sedangkan ada pihak lebih bimbang kemampuan kita untuk mempertahankan kemenangan, terutama bagi menarik sokongan Melayu. Keikhlasan dan kejujuran mungkin tidak memadai jika kita kekurangan penggerak strategik yang berwawasan, atau sukar meletakkan posisi paling tepat. Atau terus berfikiran pembangkang walhal tanggungjawab besar kini adalah untuk mengisi kemenangan, dengan keterbatasan tenaga dan sumber yang ada?

Sememangnya kebobrokan pemerintahan Umno-BN terdahulu kian terdedah dan ramai ahli serta penyokongnya berebut-rebut mengisi borang keahlian parti-parti Pakatan Rakyat. Kepimpinan Umno pula terus bercakaran, terutama menjelang persidangan agung hujung tahun ini, tetapi ia tidak semestinya mengakibatkan parti berkenaan lumpuh menyerah kalah. Umno masih mempunyai sumber untuk digemblengkan untuk meraih kembali sokongan jika kita terleka atau tersilap mengatur langkah.

Saya kerap tersasar ketika membuat unjuran mengenai kecenderungan mengundi rakyat Malaysia. Di kala pihak lain meramalkan pengundi bukan Melayu akan "memberontak", saya sukar mempercayainya sehinggalah melihat ceramah Anwar dibanjiri mereka secara luar biasa.

Selalunya pengundi Cina tidak mudah menunjukkan "belang" mereka, tetapi ia berbeza semasa tempoh kempen baru-baru ini. Mereka turun beramai-ramai menunjukkan sokongan, memberikan tepukan bergemuruh dan tidak kurang pula yang berpesan kepada juru kempen PAS: "Tak usah buang masa berkempen kepada kami, pergilah pujuk orang Melayu, bimbang nanti kami saja yang sokong, pengundi Melayu tidak!"

Ketika orang melihat pengundi Melayu mudah dijinakkan selepas Pakatan menguasai negeri, saya tetap bimbang kita tidak berupaya dalam waktu singkat memperkukuhkan jaringan organisasi parti. Bagi saya, lebih baik disuntik sedikit perasaan risau daripada terlena "syok sendiri". Selagi pengundi Melayu belum dapat dipujuk menjadi penyokong kuat PAS-KeADILan, dan menghayati perjuangan kedua-dua parti itu, bagi saya, kedudukan Pakatan masih rapuh.

Bersambung ...

Ceramah Sdr. Khairul Faizi di Bandar Seri Alam, Jalan Tasek

Program Memperkasa Parti [Pengumuman]

Pensyarah: TPJ Aminulhuda
Tempat: Tmn. Saujana
Masa: 7mlm (Solat Maghrib Berjamaah) ~ 10mlm
Tarikh: 12 Mei 2008

Semua ahli diminta hadir dan sebarkan.

Pinjaman Wang Berlesen Mudarat kepada orang melayu dan juga kaum lain



Bantuan kepda warga India Di Kota Puteri Megah Ria





Rai Petugas Pilihanraya DUN Permas dan Parlimen Pasir Gudang










Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang

Tarikh: 11/5/2008
Masa: 8pg- 12t/hari
Tempat: Pejabat Pas Kawasan Pasir Gudang

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular