Pengawasan Jalanraya di Tmn. Cendana Tetap Diteruskan

Ketika ini, pihak polis masih lagi melakukan pengawasan di sekitar Tmn. Cendana untuk memastikan keselamatan orang ramai terjamin. Begitu juga dengan balai polis bergerak yang ditempatkan di persimpangan blok 33.

Perjuangan bangsa semata-mata

Sejak awal lagi saya merasa ragu-ragu mengenai cerita yang saya terima berkenaan kekecohan yang berlaku di kawasan Pasir Gudang terutama sekali kes-kes yang melibatkan kematian dan sebagainya. Samada melalui sms atau cakap-cakap mulut dari beberapa kenalan dan rakan sekerja yang merebak dengan pantas akibat tidak usul periksa kesahihan berita tersebut.

Kesannya kita lihat telah memberi tekanan kepada seluruh masyarakat di sekitar Pasir Gudang terutama di Taman Cendana dan Kota Masai yang dikaitkan dengan beberapa kes balas dendam yang menyebabkan kematian dan kecedaraan serius. Bila ini tersebar maka ramai orang yang takut untuk keluar pada waktu malam dan menyebabkan keadaan lengang selepas jam 6ptg.

Lebih malang lagi ada yang mengambil keputusan balik kampung di samping ada juga yang membeli bekalan makanan secara borong menanti untuk menghadapi waktu malang yang 'dijanjikan'.

Taksub Bangsa

Beberapa sms palsu yang diada-adakan telah menyebabkan kerugian pada peniaga-peniaga melayu juga india. Anda cuba bayangkan bermula jam 6 petang kelibat pembeli berlegar di sekitar beberapa kompleks membeli belah semakin berkurangan. Tiba waktu gelap pula keadaan menjadi lengang.

Menurut beberapa rakan saya yang berniaga di sana mengakui perkara ini dan mereka juga kesal dengan beberapa individu yang sengaja membangkitkan semangat perkauman yang menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di sini.

Sms yang dihantar mengenai kekecohan dan kematian akibat balas dendam tidak berlaku dan polis telah pun menghantar pegawainya untuk menyiasat siapa dalang kepada propaganda ini. Hasilnya beberapa individu ditangkap dan berita penangkapan ini adalah benar berdasarkan maklumat yang saya terima bahawa sms yang dihantar dilihat sengaja membakar sentimen melayu dengan india dan ia ternyata palsu.

Pemimpin turun padang

Beberapa pemimpin pas dan umno telah hadir di Taman Cendana bertujuan mendapat gambaran sebenar perkara ini. Apa yang saya diberitahu kaum india dan melayu masih boleh duduk semeja minum kopi dan menceritakan kekesalan mereka mengenai penyebaran maklumat palsu ini.

Beberapa individu di sini juga tidak menyangkal kemungkinan berlaku campurtangan politik kotor yang mahu menjatuhkan imej seorang pemimpin dan kredibilitinya sebagai wakil kepada rakyat yang dipimpin. Masalah perebutan jawatan dan kepentingan peribadi hendaklah dijauhkan dari minda pemimpin kerana ketamakan mencari keuntungan hasil mendapat kedudukan tertinggi dalam negara adalah satu yang tidak beretika dan merugikan rakyat di bawah pimpinannya.

Islam Penyelamat Seluruh Manusia

Bagi saya, Islam telah memberi landasan yang tersusun dalam menangani isu seperti ini. Kita sebagai ummat Islam disuruh apabila menerima sesuatu berita hendaklah dilihat pada siapa yang memberitakan. Kerana barangkali orang yang memberikan laporan itu munafik.

Saya teringat seorang peguam india yang berceramah telah menyatakan bahawa, "Melayu hari ini akan selamat bila dia ikut al-Quran, masalah sekarang dia orang tak ikut...". Geli hati juga bila mengingatkan perkara ini. Yelah bayangkan orang India pun faham agama Islam ada panduan kenapa tidak melayu?

Di kelantan sebagai contoh, orang yang bukan islam dibenar minum arak tapi hanya dalam kawasan tertutup dan ini sudah pasti memberi kesejahteraan kepada masyarakat. Barangkali individu yang mabuk tidak menggangu orang ramai kerana mereka diasingkan dari masyarakat yang sedang dalam keadaan pertimbangan minda yang normal. Kenapa di kelantan Islam dijadikan panduan? Kenapa tidak di Pasir Gudang? Sama-sama fikirkan.

Selepas 50 tahun: Merdekakah kita?

31 Ogos 2007 membawa makna besar kepada rakyat Malaysia tahun ini. Ia tarikh keramat bagi sebuah negara kerana mencapai usia 50 tahun merdeka. 50 tahun bagi seorang manusia ialah usia matang menuju usia emas. Tentunya pengalaman yang banyak dalam hidup selama ini menjadikan ia lebih matang dan sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan dirinya dalam segala aspek kehidupan. Demikianlah sepatutnya yang berlaku kepada sebuah negara selepas 50 tahun meniti usia. Negara sepatutnya lebih ‘matang’ selepas berpengalaman cukup lama dalam ‘hidupnya’.

Soalan yang berlegar di kepala ialah sudahkah kita benar-benar merdeka dalam ertikata yang sebenarnya selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan? Kemerdekaan itu sendiri apa maksudnya? Dan apa sebenarnya pengisian yang patut diberi kepada sebuah kemerdekaan? Apa pula acara yang sepatutnya dibuat sempena menyambut kemerdekaan? Soalan-soalan yang mesti dijawab, bukan hanya dengan lisan dan tulisan tetapi perlaksanaan. Bukan hanya berteori tetapi amalan. Bukan dengan slogan tetapi tindakan.

Soalan pertama ialah sudahkah kita benar-benar merdeka?

Kalau merdeka itu bermakna bebas dari penjajah dan penjajahan, ia mungkin. Tetapi penjajah tidak mudah menyerahkan negara yang sudah ditaklukinya dengan susah-payah kepada penduduk asal negara tersebut melainkan mempunyai agenda tertentu terhadap negara tersebut. Tentunya ia akan menyerahkan negara itu kepada mereka yang boleh meneruskan cita-cita dan keinginan yang sama dengannya. Penjajahan pula sekarang lebih canggih dari cara konvensional. Penjajahan bukan hanya terhadap tanah, tetapi penjajahan bentuk baru yang di antaranya pemikiran, ekonomi dan politik. Soalnya, bebaskah kita dari bentuk-bentuk penjajahan ini? Kita kadang-kadang membaca tulisan seorang Islam, tetapi yang dihidu dari tulisan itu ialah terjajahnya pemikiran si penulis. Kita melihat budaya sesuatu masayarakat umat Islam, tetapi yang nyata kepada kita, budayanya budaya penjajah. Kita berpolitik, tetapi sistem politiknya ialah sistem warisan penjajah. Kita membuat sistem ekonomi, tetapi yang menonjolnya ialah sistem bukan Islam. Justru, penjajah dan penjajahan rupanya masih berlaku kepada kita, secara sedar atau tidak.

Soalan kedua: Kemerdekaan itu sendiri apa maksudnya?

Pelbagai pandangan, perspektif dan pendapat yang boleh diberi. Dalam sejarah Islam, Rub’i bin Aamir, seorang panglima Islam pernah berkata kepada Rustam, di antaranya: “ Islam mengeluarkan kami dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan Akhirat, dari kezaliman agama kepada keadilan Islam..”

Worldview cukup jelas tentang hakikat kehidupan dari seorang panglima Islam. Demikian juga seperti kata Umar al-Khattab: “Bagaimana kamu boleh memperhambakan manusia sedangkan dia dilahirkan merdeka oleh ibunya.”

Dr Muhamad Said Ramadhan al-Buti, seorang sarjana Islam kontemporari menulis sebuah buku kecil bertajuk Hurriyyatul Insan fi Zilli ubudiyyatihi lillah (Kemerdekaan manusia di bawah perhambaan diri kepada Allah). Konsep kemerdekaan menurut perspektif Islam cukup jelas seperti yang disebut oleh Umar, Rub’i dan Muhammad Said Ramadhan. Kemerdekaan ialah membebaskan hati, akal, minda, pemikiran, budaya, cara hidup dari segala bentuk penjajahan lain dari perhambaan kepada Allah.

Bagaimana pula dengan pengisian yang patut diberi kepada sebuah kemerdekaan?

Cukup mudah untuk disebut. Pengisian kemerdekaan ialah pengisian seperti yang dituntut oleh Allah dan Nabinya. Tetapi perlaksanaannya tentulah cukup sukar. Namun dengan komitmen tinggi dari semua pihak terutamanya pembuat dasar dalam sesuatu negara, ia boleh berlaku. Soalnya, berlakukah ia?

Apa pula acara yang sepatutnya dibuat sempena menyambut kemerdekaan?

Juga cukup mudah untuk disebut. Acara-acara yang sepatutnya dibuat sempena merdeka ialah acara yang boleh membawa rakyat dan warganegara menjadi rakyat yang merdeka dari nafsu, sifat-sifat jahiliah, kebendaan dan perhambaan diri selain Allah. Bentuk program? Fikirkanlan sendiri. Kalau penganjur adalah orang yang merdeka jiwanya, ia akan berusaha mengadakan program yang bersifat demikian, tetapi jika penganjur itu belum merdeka mindanya, jiwanya, nafsunya, maka program-program yang dibuat sudah tentu mengarah kepada bentuk perhambaan kepada selain Allah.

Ustaz Nik Muhammad Nasri

Ahli PAS dinasihat jangan terperangkap provokasi perkauman

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menasihatkan rakyat khususnya ahli PAS supaya tidak mudah terperangkap dengan provokasi perkauman.

Beliau berkata demikian ketika menghubungi Harakahdaily bagi menjelaskan dakwaan menyatakan terdapatnya unsur-unsur perkauman berlaku di Masai.



Menurutnya,pihak polis perlu bertindak segera menyiasat dakwaan yang banyak disebarkan melalui SMS itu dan jika benar maka pihak polis perlu bertindak ke atas pihak tertentu yang dikatakan menjadi punca kepada isu tersebut.

"Jangan hanya kata ada pihak tertentu yang berbuat demikian tetapi siapa pihak itu yang bertindak sedemikian perlu diambil tindakan.Kita tidak mahu ada pihak yang 'baling batu sembunyi tangan',"katanya.

Beliau mengimbau kejadian pada tahun 1987 yang mana kerana provokasi antara Umno dan MCA ketika itu akhirnya pihak lain yang dituduh menjadi punca.

Mahfuz melahirkan kebimbangan jika dakwaan isu perkauman itu hanyalah rekaan pihak tertentu yang mahu menjadi jaguh dengan sengaja untuk diperlihatkan sebagai penyelesai kepada masalah itu.

Dari kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengenai isu tersebut ianya membayangkan bahawa Umno dan BN kini mula untuk menerbitkan persepsi rakyat supaya menyokong kembali Umno/BN, katanya.

Ini kerana setelah mereka melihat kemerosotan sokongan terhadap parti mereka menjelang pilihan raya umum akan datang, dan tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan terdesak untuk mengembalikan sokongan, dakwanya.

Justeru itu beliau menggesa rakyat agar tidak terperangkap dengan isu ini dan tidak termakan dengan provokasi perkauman yang hanya akan menjadikan isu ini lebih parah.

Sebaiknya beliau mencadangkan pihak polis bertindak ke atas pihak tertentu seperti yang didakwa terbabit dengan kejadian ini, dan jika isu ini tidak berlaku, janganlah ia digembar-gemburkan semata-mata untuk tujuan politik, katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyatakan, pihaknya mendapat pelbagai pertanyaan mengenai isu yang didakwa berlaku di Masai.

Katanya pelbagai SMS dihantar mendakwa akan berlakunya huru-hara di Masai dan Pasir Gudang pada 30 Ogos ini.

"Saya telah mengarahkan kepada semua anggota Pemuda PAS di negeri Johor agar tidak mudah panik dan terpengaruh dengan SMS tersebut. Kebimbangan saya adalah ianya adalah merupakan satu episod yang sengaja direka bagi menimbulkan situasi yang tegang di antara kaum kerana kita telah banyak belajar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang sengaja direka untuk kepentingan politik,"katanya.

Semalam, pihak keselamatan telah pun mengadakan pertemuan tergempar dengan parti-parti politik termasuk PAS, badan bukan kerajaan dan ketua-ketua agama bagi menyampaikan hasrat agar semua pihak dapat mengawal keadaan dan menasihatkan kepada semua ahli agar mengambil sikap bertenang, katanya.

Malam ini, satu taklimat khas yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Roslan Ahmad kepada penduduk-penduduk diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Cendana, Pasir Gudang untuk menenangkan keadaan.

Sehingga kini, keadaan di Johor masih lagi terkawal, tidak seperti yang digembar-gemburkan, katanya.

PAS Johor akan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak keselamatan untuk bersama menegakkan keamanan, katanya.

"Paling utama, saya mengharapkan agar semua pihak dapat bertenang dan tidak mudah menyebarkan maklumat yang diragui kesahihannya. Apa yang mampu kita lakukan ketika ini adalah dengan menghadapinya dengan ketenangan dan berserah kepadaNya agar tidak akan terjadi perkara yang tidak diingini,"ujarnya.

Sehubungan itu beliau mendesak agar isu ini tidak dibangkitkan menjadi isu perkauman. - mks.

Sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-50 Anjuran Pas Kawasan Pasir Gudang

AJK Pas Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang mempamerkan kain banting sempena Program Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-50 anjuran Pas Kawasan Pasir Gudang. Program ini akan dilaksanakan di laman Markas Pas Cawangan Taman Saujana, Plentong pada hari Ahad ini, 2 September 2007.

Majlis Memperingati Pemergian Allahyarham Abdul Razak Ahmad

26 Ogos - Parti Keadilan Rakyat telah mengadakan majlis memperingati pemergian pengerusi Perhubungan KeADILan Johor, Allahyarham Abdul Razak Ahmad di Hotel Selesa, Pasir Gudang.




Gambar semasa solat jenazah yang diimamkan oleh Ust. Abdullah Hussin, Ketua Dewan Ulama' Pas Johor. Turut kelihatan adalah ADUN Senggarang, YB Dr. Ramli Kari.

Cinta kepada agama mengatasi cinta kepada negara

Terdapat pihak yang begitu ghairah, apatah lagi hampir menjelangnya hari kemerdekaan negara ke 50 pada 31 Ogos 2007, banyak program atau aktiviti yang dirancang bagi memenuhi agenda sambutan kemerdekaan yang disambut saban tahun.

Kalau pada tahun-tahun lalu sebelum mencecah kali ke 50, banyak aktiviti serta program yang diatur memperlihatkan betapa masyarakat masih terikat dengan elemen-elemen jahiliyyah abad ke dua puluh satu yang ditinggalkan oleh para penjajah dalam menyambut kemerdekaan negara.

Kalau pada tahun-tahun lalu sebelum mencecah kali ke 50, banyak aktiviti serta program yang diatur memperlihatkan betapa masyarakat masih terikat dengan elemen-elemen jahiliyyah abad ke dua puluh satu yang ditinggalkan oleh para penjajah dalam menyambut kemerdekaan negara.

Tetapi kali ini sambutan diadakan secara 'grand' iaitu besar-besaran yang melibatkan wang ringgit yang bukan sedikit jumlahnya, masa, tenaga serta pengorbanan banyak pihak untuk menyatakan kesanggupan mereka menyambut kemerdekaan negara.

Ada yang berkonvoi dengan membawa jalur gemilang, tidak kurang yang memanjat gunung walaupun menghadapi kesukaran semata-mata untuk memacakkan jalur gemilang, ada yang berenang merentasi lautan Inggeris berjam-jam di dalam air laut semata-mata untuk menaik serta mengharumkan nama negara, dan bermacam-macam kaedah atau pendekatan lain yang kesemuanya bermatlamat untuk kebaikan negara.

Tetapi mereka lupa hingga meletakkan kecintaan kepada negara mengatasi cinta manusia kepada agama mereka, kononnya ia berpandukan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud : Cinta kepada negara sebahagian daripada iman.

Sesungguhnya kenyataan di atas yang kadang-kadang menjadi sandaran umat Islam di Malaysia termasuk segelintir pemimpin negara, sebenarnya sudah tersasar jauh, kerana kenyataan di atas bukanlah hadis yang pernah diungkapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w, tetapi ia adalah termasuk dalam katagori hadis palsu seperti yang disebut oleh Imam as-Saghoni dan juga disebut oleh Imam a-'Ajluni dalam kitabnya "Kasyf al-Khofa' wa Muzil al-Albas" jilid yang pertama, mukasurat 413, terbitan Dar at-Turath, Mesir, tanpa tarikh.

Walaupun dari segi maknanya bagus, tetapi ia tidak boleh dijadikan sandaran rujukan kerana ianya adalah hadis palsu, apabila ada orang yang mengamalkan hadis palsu, iaitu hadis yang tidak disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w, maka orang yang kata ia sabda baginda, maka orang itu telah melanggar ketentuan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi : Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka akan disediakan untuknya bangku yang panas (diperbuat daripada api neraka) hadis mutawatir yang diriwayatkan lebih daripada dua puluh orang sahabat Nabi.

Waspada adalah kunci kejayaan seorang muslim

Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh muslim/muslimah yang sayangkan agama mereka, memahami lima perkara yang wajib dipelihara, perkara ini ada ditegaskan dalam kitab-kitab ilmu agama Islam, antaranya tulisan Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya "Usul ad-Dakwah" yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh Pak Natsir dengan judul "Dasar-dasar ilmu Dakwah".

Lima perkara yang wajib dipelihara itu ialah agama, akal, jiwa, harta, kehormatan serta keturunan, namun memelihara negara tidak termasuk salah satu daripadanya.
Ini bukan bermakna, sebagai warganegara tidak perlu menjaga negaranya, kerana orang-orang kafir juga bersungguh dalam menjaga negara mereka walaupun yang lain-lain tergadai.
Rasulullah dalam sirahnya juga ada menyebut semasa beberapa ketika sebelum berhijrah ke Madinah menegaskan di hadapan Kaabah : Wahai Makkah, Wahai Kaabah! Engkaulah negara yang paling aku cinta (kerana baginda dilahirkan di situ), tetapi kalau tidak kerana penduduk-penduduk Makkah mengusir aku keluar, aku tidak akan keluar. – sila lihat kitab-kitab Sirah.

Nabi juga sayangkan negaranya, tetapi baginda bertindak mengikut arahan Allah untuk ke Madinah kerana agama Islam tidak boleh berkembang di Makkah, atas dasar agamalah baginda meninggalkan Makkah.

Agama menjadi perkara utama dalam agenda perjuangan Rasulullah s.a.w, justeru matlamat tidak menghalalkan cara, itulah kaedah yang diguna-pakai dalam disiplin ilmu "Usul Fiqh".
Matlamat serta cara baginda memelihara agama adalah selari dan sekata, tidak seperti sambutan kemerdekaan negara yang disambut oleh pelbagai lapisan masyarakat, agama bukan lagi menjadi matlamat untuk dipelihara.

Sambutan disambut hingga awal pagi dengan penganjuran konsert-konsert para artis termasuk artis wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, percampuran para peminat atau pengunjung antara lelaki dan perempuan dikatakan begitu bebas, akhlak tidak lagi dipelihara, terkadang-kadang solat diabaikan, akhirnya kerana mahu menjaga serta mengharumkan nama negara, agama menjadi mangsa tindakan liar sebahagian besar umat Islam.

Inilah yang dikatakan matlamat menghalalkan cara, walaupun caranya menjejaskan hukum-hukum Islam, namun ia tidak lagi diendahkan oleh individu bernama muslim.
Persoalan agama akan ditanya dalam alam kubur sedangkan negara tidak.

Apa yang ingin dijelaskan, bahawa penulis bukan tidak sayang kepada negara, malah berbangga menjadi warganegara Malaysia, bukan sahaja di peringkat kebangssan, malah kalau keluar negara pun penulis akan kata, saya seorang warganegara Malaysia.

Namun biarlah sambutan kepada negara diberi pertimbangan waras, begitu juga persoalan agama, ia sepatutnya diberi slot secara meluas menerusi program-program TV, radio, akhbar-akhbar, dengan iklan yang beradab, bersopan, beretika sesuai dengan Malaysia sebagai pengerusi OIC, bukan sahaja mampu menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, malah menjadi contoh pelaksanaan hukum-hukum yang ada di dalamnya.

Kerana semua itu akan menjadi saksi ketika kita berada di alam kubur, Malaikat akan datang bertanya, apa agama kamu, siapa imam kamu, ketika itu kita akan jawab, bahawa Islam adalah agamaku, al-Quran adalah imamku, tidak sedikitpun ditanya mengenai negara.
Agak-agaknya sudahkah kita bersedia dengan jawaban-jawaban tersebut, ia hanya boleh dijawab oleh amalan kita, bergantung pula kepada sejauh mana amalan yang kita lakukan semasa hidup di dunia, sama ada amalan Islamkah, Sekularkah, Komuniskah atau isme-isme yang lain.

Kita tidak mahu berbangga dengan anak-anak muda yang sanggup berkorban untuk negara pada masa akan datang, tetapi pada masa mengorbankan aspek agama mereka, dan bangga anak-anak muda kita berjaya dalam hiburan atau sukan, tetapi tidak menjaga solat mereka, akhlak, sopan santun, budi bahasa dan lain-lain, yang kesemua itu melambangkan jati diri kita sebagai orang yang beragama.-Az

Ustaz Zainudin Hashim

Majlis Taklimat Isu Keselamatan di Tmn. Cendana Pasir Gudang bersama pihak Polis

28 Ogos - Satu perjumpaan bersama penduduk blok Tmn. Cendana yang diadakan di sekolah kebangsaan Pasir Gudang Tmn. Cendana telah diadakan dengan dihadiri oleh pihak Polis, Adun Permas Jaya, Dato' S. Balakrishnan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Dato' Khalid Nordin di wakili oleh setiausaha kerjanya. Manakala pihak polis diwakili jurucakapnya, timbalan ketua polis Johor.

Kelihatan Dato' S. Balakrishnan yang duduk di tengah para vip dan anggota polis. Turut kelihatan ketua balai polis pasir gudang, Mr. Victor.

Dalam sesi penerangan ini, pihak polis berjanji akan memastikan keselamatan dan keamanan masyarakat di taman Cendana sentiasa terjamin. Pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sms yang dihantar oleh pihak tertentu yang tidak benar.



Antara penduduk yang hadir ke sesi penerangan tersebut.

Seminar Isu Jenayah Bersama Ahli Parlimen dan rakyat Johor

8 Julai - Satu seminar Isu Jenayah telah diadakan di Hotel Tropikal Inn yang diadakan dengan kerjasama NGO dengan menjemput ahli-ahli parlimen dan wakil-wakil penduduk di sekitar negeri Johor.

Kelihatan Lim Kit Siang, Datin seri Wan Azizah dan para peguam yang memberi penerangan mengenai undang-undang jenayah dan kegagalan polis menangani isu-isu jenayah yang mana isu-isu jenayah amat ketara di negeri Johor sejak kebelakangan ini.


Mojoriti yang hadir adalah di kalangan orang cina yang mana mereka dilihat lebih prihatin dalam menghadapi hal keselamatan mereka. Mana pergi orang melayu?

Generasi muda diajak berpesta menjelang 31 Ogos

gOleh Anwar Ibrahim

Di saat Malaysia menyambut 50 tahun kewujudannya sebagai sebuah negara merdeka kita perlu berdepan dengan persoalan yang paling getir. Mengapakah pada tahun yang penuh dengan acara sambutan gemilang, Malaysia sebenarnya telah menjadi sebuah negara Asia kelas ketiga? Beranikah kita berdepan dengan hakikat tersebut?

Kita terlalu diajak supaya asyik berpesta, terutama di kalangan generasi muda. Wacana bebas dihalang dan media dikongkong oleh golongan kaya yang menjaga kepentingan kelompok kecil penguasa.

h

Malah iklim dan persekitaran bebas yang seharusnya tercerna dari ikrar keramat kemerdekaan diganti dengan puluhan undang-undang yang mengikat rakyat, mahasiswa dan pekerja, meneruskan strategi nakal penjajah membendung kebebasan dan kegiatan rakyat.

Justeru, sempena ulang tahun hari keramat negara merdeka kita sewajarnya merenungkan dengan akal fikiran terbuka sejajar dengan semangat bangsa merdeka dan bermaruah.

Kerana sesungguhnya inilah juga menjadi intipati Pemasyhuran Kemerdekaan 31 0gos 1957 dan paksi gagasan negara Malaysia 1963 - mencipta negara liberal dan demokratik; menjunjung perlembagaan dan keluhuran undang-undang; menjamin kebebasan dan keadilan untuk rakyat.

Salahuddin bimbang PM buka ruang WPI untuk warga asing

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad teramat bimbang dengan kemungkinan besar kewujudan wilayah baru bagi Singapura di Malaysia setelah kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi membuka ruang di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) untuk warga asing.
Wawancara dengan media 15 Ogos 2007
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub memandang berat kebimbangan yang disuarakan Tun Mahathir itu berasas Rang Undang-undang yang telah diluluskan bagi mewujudkan WPI dibentangkan di Parlimen dalam keadaan masa yang suntuk.

Beliau yang ditemui selepas program syarahan Tun Dr Mahathir di Putrajaya semalam menyatakan bahawa ramai di kalangan ahli Parlimen tidak sempat untuk meneliti secara khusus rang undang-undang itu memandangkan ia dilakukan secara tergesa-gesa.

Baginya tindakan kerajaan membuat demikian hanyalah satu helah untuk menidakkan rang undang-undang itu dibahas secara mendalam dan diperhalusi terma-termanya oleh ahli Parlimen.



Meskipun mengakui bahawa rang undang-undang itu diserah kepada semua ahli Parlimen secara keseluruhan, namun ruang yang terhad menyebabkan ianya tidak dapat dibahaskan secara sempurna, kata Salahuddin yang turut ditemani Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS, Abdul Rahman Othman (ARO) semasa mengikuti syarahan Tun Dr Mahathir bersama penulis-penulis blog di Putrajaya semalam.

Program syarahan itu adalah anjuran Majlis Prihatin Malaysia (Prihatin) sebuah NGO yang ditubuhkan para Bloggers bagi mempertahankan hak rakyat yang antara lain kini terancam dengan kelemahan pentadbiran Abdullah.

Turut hadir ialah, isteri bekas PM, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengerusi MTRK, Dato’ Ibrahim Ali; bekas Ketua Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahalel; anak Mahathir, Datuk Marina Mahathir; Pengerusi Penerangan DAP, Ronnie Liu; Bloggers, antaranya ‘Rocky Bru’ (Ahiruddin Attan) dan Sang Kelembai (Zaharin) selain beberapa pensyarah universiti tempatan.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, beliau tertarik dengan semangat anak muda yang mewakili Prowaris satu NGO yang dianggotai anak-anak muda tempatan yang elit yang mahu mendedahkan segala kepincangan pelaksanaan WPI.

dengan ProWaris Menurut Salahuddin, beliau menghulurkan tangan untuk sedia bekerjasama dengan Prowaris dimana beliau sendiri telah menemui orang kuat Prowaris, Feris Omar (gambar) selepas program syarahan Tun Mahathir semalam.

Katanya, Prowaris akan mendedahkan satu dokumen hasil dari penyelidikan mereka berhubung tindakan BN untuk menggadai harta negara melalui projek WPI

Antaranya ialah hak rakyat terutamanya rakyat Johor yang akan terhakis setelah pembinaan WPI ini dilihat hanya akan menguntungkan negara jiran sahaja.

Tanah rakyat yang akan tergadai kepada negara asing melalui pelaksanaan dasar terbuka WPI hanya akan menyebabkan rakyat menumpang di bumi sendiri, katanya.

Salahuddin melahirkan kebimbangan bahawa satu hari nanti WPI akan menjadi satu lagi wilayah baru Singapura di Malaysia, dan ia juga senada dengan kenyataan Tun Mahathir yang melihat Singapura ke dua akan terjadi di WPI.

Terdahulu dalam program syarahan Tun Mahathir itu, wakil Prowaris, Feris Omar yang bangun bagi menyatakan pandangan kepada Tun Mahathir berkata, anak muda kini kesal dengan tindakan kerajaan membenarkan negara jiran, Singapura campur tangan dalam pembinaan WPI.

Beliau (Feris) sendiri sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk menemui Perdana Menteri bagi menyerahkan dokumen dan kajian mereka.

Bagaimanapun katanya pertemuan yang dihasratkan akan berlansung dalam keadaan tertutup itu akhirnya tidak dilayan oleh Perdana Menteri menyebabkan Prowaris kecewa dengan peluang yang diberi kepada Perdana Menteri.

Justeru, Prowaris mengumumkan dokumen yang dibuat atas kajian intelek mereka ini akan dijadikan dokumen umum yang akan dilancarkan dalam masa terdekat untuk mendedahkan kepincangan projek WPI.

Dalam program yang sama, Feris telah menyerahkan dokumen ‘merah’ 20 tuntutan Prowaris berkenaan WPI itu kepada Tun Dr Mahathir.Hadirin menyambut dengan tepukan gemuruh setelah Tun Mahathir menerima dokumen itu.

Terdahulu, Tun Mahathir dalam syarahanya meletakkan kebimbangan dengan dasar yang dibuat kerajaan Abdullah dalam membuka ruang kepada negara asing melabur dan mendapatkan aset dalam pembangunan WPI.

Secara sinis beliau menegur bahawa kepimpinan negara kini terlalu bijak memandangkan untuk membuat pembangunan di WPI perlu mendapatkan ‘izin’ dari Singapura dengan melantik menteri dari negara jiran sebagai penasihat bersama.

Secara sinis juga beliau menyatakan Abdullah bahawa jangan hanya WPI sahaja perlu dibuat dengan ‘izin’ dari Singapura sebaliknya Koridor Utara (NCER) juga bolehlah dibuat dengan meminta izin dari menteri Tahiland atau sebagainya. -mppas


DEB sah dan terbukti gagal, yang tinggal hanya semangat!

Oleh Subky Abdul Latif

EKORAN gelora polemik semangat Dasar Ekonomi Baru yang terbengkalai setelah dilancarkan 37 tahun dulu cuba dihidupkan semula Umno dan berazam untuk mempertahannya.

Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, bahagian Perdana Menteri, meluluskan sebulat suara usul mendesak kerajaan supaya semangat dasar itu dipertahankan. Usul itu adalah kemuncak dari perbahasan pelbagai pihak bagi menilai semula dasar itu.



Apa yang cuba dipertahankan sekarang nampaknya adalah sekadar semangatnya iaitu penyusun semula masyarakat dan membasmikan kemiskinan Bumiputera.

Secara terbuka semangat itu diakui baik malah semangat itu ikut merangsang PAS membentuk kerajaan campuran Perikatan-PAS tahun 1973 dan pembentukan bersama PAS-Perikatan dalam gagasan Barisan Nasional.

PAS kemudiannya dikeluarkan dari BN. Kerajaan BN menanganinya hingga ia gagal dalam suasana yang amat memalukan.

Setelah tempoh pelaksanaannya selama 20 tahun tamat dalam tahun 1990, pentadbiran Dr Mahathir menggantikan dasar yang gagal dan terbengkalai itu dengan suatu yang tidak bernama bagi tempoh 30 dan akhirnya dasar itu dirumuskan dalam apa yang dipanggil Wawasan 2020.

Pentadbiran Dr Mahathir dan Umno selepas 1990 itu tidak lagi menyebut DEB yang gagal mencapai matlamatnya itu.

Tidak siapa dari kalangan Umno dari atas hingga ke bawah mahu mengira bahawa kegagalan DEB mencapai matlamatnya itu sebagai kegagalan kerajaan BN, kegagalan Umno serta kegagalan para pemimpin Umno dan kerajaan.

Bila-bila masa dan di mana-mana pemimpin Umno dan pemimpin kerajaan terus mendakwa Umno-BN mencapai kejayaan besar dan menjadi negara contoh tanpa rasa malu tentang kegagalan DEB itu.

Hingga hari ini orang Melayu dan Bumiputera terus menjadi golongan yang miskin, tidak memberangsangkan baik dalam ekonomi, pendidikan, bahkan mencemaskan dalam bidang sosial dan budaya.

Pemimpin Umno dan kerajaan masih bergaya seperti dulu dalam meuar-uarkan pembangunan ekonomi. Sebelum DEB dan selepas DEB ke mana-mana saja Tun Ghafar Baba mengumumkan peruntukan berjuta-juta. Ada duitkah tak ada duitkah, tiada siapa tahu, tetapi Ghafar membuat pengumuman projek berjuta-juta.

Sekarang selepas RMK9 dilancarkan Perdana Menteri Abdullah Badawi sudah tidak main juta-juta lagi tetapi bilion-bilion. Apa saja projek dalam WPI harganya bilion. Umum pula pembangunan Koridor Utara yang melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, semuanya bilion belaka.

Tetapi apabila dikaji pencapaian DEB kemajuannya dalam masa 20 tahun dari 1970-1990 bak kata filem Nujum Pak Belalang arahan P.Ramlee ‘sikit, sikit.’

Kebanyakan orang Melayu setuju dasar itu baik. Semua orang Malaysia setuju kejayaannya bergantung pada pelaksanaannya, dan semua orang setuju yang pada dasar itu hanya semangat tetapi bukan pencapaian. Pencapaiannya ‘sikit, sikit.’

Yang Umno cuba bangkitkan tentang kehebatan DEB itu sekadar semangatnya. Yang masing-masing cuba pertahankan hanya semangatnya. Bukan pencapaiannya. Pergi setan dengan pencapaian, yang penting dan yang baik ialah semangatnya.

Kerajaan diminta mempertahankan semangatnya, bukan menuntut kerajaan menjayakan matlamatnya di luar tempohnya. Kerajaan mahu melihat RMK9 dan koridor-koridor berjaya dan di mana dalam pelaksanaan RMK9 itu boleh diselitkan semangat DEB itu?

Abdullah Badawi pernah berkata, kita tak mahu tongkat. Kalau dengan tongkat saja pun kerajaan BN tidak berdaya mencapai matlamat DEB, maka bagaimana pula yang tidak bertongkat.

Kalau cara Umno-BN bekerja seperti yang berjalan di bawah empat Perdana Menteri dulu, maka tidak apa yang dapat dibuat oleh kerajaan yang sudah lama ini.

Suara mempertahankan semangat DEB oleh Umno itu sama seperti mereka memperjungkan nasib orang Melayu. Daripada sebelum Umno ditubuhkan hinggalah sekarang Umno mendakwa memperjuangkan nasib orang Melayu. Tapi yang dibuatnya semuanya tidak menjanjikan masa depan yang baik dan selesa bagi orang Melayu.

Tiada apa lagi yang tinggal pada Melayu selain Raja-Raja Melayu. Penolakan Malayanunion dulu adalah kerana mempertahankan Raja-Raja Melayu. British bagi apa yang Dato Onn dan Umno mahu, iaitu Raja-Raja. Tetapi British faraidkan segala isi dan nilai bumi Tanah Melayu itu kepada orang yang memiliki Malaysia selepas merdeka.

DEB cuba membahagikan 30 peratus dari kek baru selepas DEB dilancarkan kepada Bumiputera. Teorinya begitulah. Tetapi hakikatnya bahagian 30 peratus itu juga diagih untuk semua kerana semuanya adalah sama dan sama-sama berdaulat.

Tidakkah DEB itu sendiri sudah sudah jadi barang lama? Walaupun tempohnya berakhir 17 tahun lalu, tetapi sudah banyak yang baru selepas itu. Maka yang baru 17 tahun berlalu itu seperti memasuki ke alam lama. Tidak terfikirkah mempertahankan semangat DEB – bukan pencapaiannya – seperti menilai brang-barang lama. Barang-barang peninggalan lama dinlai dan dihargai kerana ada nilai kebaikannya.

Penilaian itu bukan untuk dinikmati sebagai barang keperluan semasa, tetapi ia untuk disimpan dalam muzium. Apabila semangat itu dipertahan, dengan menempatkannya dalam muzim, maka orang akan datang dapat mengetahui bahawa yang baik bagi DEB itu ialah semangatnya, bukan pencapaiannya.

Apabila Abdullah mengambil alih pentadbiran, beliau melancar program Islam Hadhari. Katanya, Islam Hadhari bukan agama baru, tetapi adalah program untuk memajukan umat Islam supaya mereka dapat hidup setanding dengan penganut agama lain di dunia.

Ia disokong semua orang walaupun ia ada menggunakan kalimah Islam. Mengikut maksud al-Quran, Yahudi dan Nasara tidak akan reda apa juga yang datang dari Islam kecualilah mengikut kemahuan mereka itu. Islam Hadhari kononnya disokong semua. Kita tidak tahu tentang orang Yahudi di Malaysia, tetapi Nasara memang banyak dan berkembang. Mereka pun tidak membantah Islam Hadhari.

Islam Hadhari adalah untuk memajukan orang Islam. Orang Islam di Malaysia adalah Bumiputera. Kalau Islam Hadhari itu satu konsep mengangkat martabat orang Islam, kira-kira sama dengan maksud dan semangat pelancaran DEB, maka apa perlunya membangkitkan semua isu DEB dan semangat kemurniannya.

DEB dipertikai kaum lain. Tetapi Islam Hadhari tidak dipertikai semua, kecuali PAS saja yang mempertikainya. Apa salahnya Islam Hadhari itu dikembang dan digembleng kiranya ia benar-benar mahu memajukan pembangunan?

Apabila Islam Hadhari sudah ada, hendak dibangkit semua semangat DEB, maka di mana lemahnya Islam Hadhari hinggamemaksa Umno Kepala Batas terpaksa mahu menghidupkan semua semangat DEB? Islam Hadari adalah benda baru. Ia seperti tidak dapat menampung kemahuan dan keperluan orang Melayu. Maka Islam Hadhari juga perlu ditampung DEB?

Atau adakah Islam Hadhari juga sudah tidak boleh sampai ke mana-mana?

Dasar Pendidikan Negara??

Melalui agenda Pendidikan, Perhimpunan Agung MCA ke-54 di Melaka pada 19 Ogos lalu, memutuskan parti itu akan berhabis-habisan berjuang agar semua murid SRK (C) akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda (CINA). Dan matlamat mereka hampir pasti tercapai kerana kerajaan pimpinan Umno tidak ada kuasa menolak tuntutan mereka lebih-lebih lagi pilihan raya di ambang mata.

Syabas diucapkan kepada pejuang-pejuang politik dan bahasa Cina. Dalam politik orang Cina berjaya, demikian juga dalam pendidikan. Bahasa Cina akan kekal relevan kepada masyarakat itu di Malaysia. Sains dan Matematik boleh diajar dalam bahasa Cina. Syabas sekali lagi.

Malangnya, di negara yang dianggap sesetengah pihak ini sebagai negara ketuanan Melayu, Sains dan Matematik tidak boleh diajar dalam bahasa Melayu (Malaysia). Umno diam membisu. Orang Umno Johor yang sesekali memberontak kerana dasar ini terbukti tidak menguntungkan anak-anak Melayu terutama di pedalaman, juga mati akal selepas pemimpin besar mereka meminta mereka diam.

Maka berkuburlah bahasa Melayu dalam ilmu penting seperti Sains dan Matematik. Pejuang bahasa Melayu pun nampaknya sudah letih, sudah capek. Mereka seolah-olah hampir mati di padang pasir Sahara, tanpa air berhari-hari lamanya.

Melayu tanpa bahasanya, berakhirlah satu lagi episod sedihnya. Seorang rakan saya yang bukan Melayu tetapi beragama Islam berkata, orang Melayu sudah ditelanjangkan segala-galanya. Semuanya sudah punah. Ekonomi Melayu hampir 0 (zero), akhlak Melayu hampir 0, pelajaran pun Melayu hampir 0.

Satu perkara yang masih tinggal dan disegani pada orang Melayu adalah Islamnya. Jika Islamnya tercabut, orang Melayu betul-betul sudah 0, mungkin sudah jadi macam Red Indian di Amerika Utara!

Petikan dari Harakahdaily.net

Sibuk kibar bendera, solat bagaimana?

Oleh Muhammad Hanafi

aSekarang negara sibuk dengan perayaan dan pesta sambut kemerdekaan. Di Melaka pada hari ini (17 Ogos) jam 8.30 malam akan dilancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Bendera oleh PM Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk memenuhi hasrat ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ KM Melaka berharap perhimpunan ini dapat menghimpunkan 100,000 orang (hebat, hebat, hebat) maka dikerahkan segala kakitangan kerajaan hadir. Mereka diwajibkan hadir, jika tidak nama akan diambil.

Satu perkara yang amat merisaukan saya pembabitan pelajar sekolah dalam perhimpunan ini, termasuk anak-anak saya. Murid-murid diminta berkumpul di sekolah masing-masing jam 6.00 petang kemudian bertolak ke Padang Pahlawan, Banda Hilir. Sesetengahnya diminta berjalan beramai-ramai.

Mengapa babitkan budak sekolah? Majlis bermula jam 8.30 malam tetapi mereka sudah berhimpun untuk bergerak jam 6.00 petang. Persoalan di sini bagaimana anak-anak ini akan menunaikan solat maghrib dalam lautan orang ramai itu? Orang dewasa yang taat mungkin dapat mencari ruang untuk solat (mungkin solat di tepi jalan atau di surau berdekatan), tetapi bagaimana ribuan anak-anak itu?

Saya berpendapat alangkah moleknya jika majlis itu dapat dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah di atas Dataran Pahlawan itu. Mungkin PM boleh jadi imam manakala KM jadi bilal. Jika ini diadakan, tentulah puluhan ribu orang Islam yang hadir dapat solat dengan selesa. Buatlah macam di Kelantan, di mana MB Tuan Guru Nik Abdul Aziz jadi imam solat.

Saya juga khuatir nasib anak-anak jika majlis berakhir lewat, misalnya jam 11.00 atau 12.00 tengah malam. Mungkin perjalanan balik mereka telah diatur oleh guru dan ibu bapa tetapi bagaimana nasib mereka yang terlepas pandang atau ibu bapa yang masih bekerja. Atau mereka yang ketinggalan bas. Bagi saya adalah tidak wajar membiarkan anak-anak, terutama remaja perempuan di luar sana. Keadaan ini mengundang pelbagai hal.

Sehubungan itu saya merayulah kepada pemimpin negara, pada majlis-majlis lain pada masa akan datang, janganlah paksa anak-anak sekolah jika ia diadakan pada sebelah malam. Jangan ajar anak keluar malam, nanti jika sudah ketagih keluar malam dan membuat perkara mungkar tentulah pemimpin akan dipertanggungjawabkan di dunia dan juga di akhirat.

Wahai pemimpin, bagaimana kamu mahu menjawab di akhirat nanti jika ada anak-anak terheret dalam gejala tidak sihat pada malam pesta yang kamu anjurkan itu. Sama-samalah kita saling ingat mengingati antara satu sama lain seperti yang terkandung dalam Surah Asr. - lanh


Turunkan harga minyak, agih untung Petronas untuk basmi kemiskinan - Anwar

KUALA LUMPUR,20 Ogos (Hrkh) - Jika menang pilihan raya umum akan datang, Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim berjanji kepada rakyat untuk menurunkan harga minyak yang semakin membebankan serta menekan kos sara hidup, di samping mengagihkan keuntungan Petronas untuk membasmi kemiskinan.



Demi memastikan kemenangan tersebut, beliau menyarankan kepada seluruh rakyat mengembleng tenaga dan bekerjasama bagi merealisasikan matlamat tersebut.

“Apa yang perlu adalah semua bekerja keras untuk memastikan kemenangan pada pilihanraya akan datang," katanya ketika berucap di Pahang baru-baru ini.

“Sudah tentu, semua golongan tidak mengira Melayu, Cina dan India akan mendapat manafaatnya untuk dikongsi bersama,” jelasnya.

Menurut Suara KeADILan online, beliau sebelum itu turut menyentuh isu kepentingan menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang jelas merugikan semua pihak serta menguntungkan kroni tertentu dan perlu digantikan dengan Agenda Ekonomi Nasional yang mempunyai dasar yang lebih adil dalam pengagihan ekonomi negara kepada semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Beliau yang digandingkan dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memberi ceramah di hadapan 5,000 orang hadirin di Jengka 4, Pahang.

Anwar dalam ucapannya turut menyelar tindakan kerajaan pimpinan Abdullah Badawi membeli jet VVIP baru bernilai RM400 juta menggunakan wang rakyat sedangkan jet yang sedia ada masih boleh dipakai.

Beliau menegaskan berkali-kali dalam ucapannya bahawa rakyat sekarang sudah semakin pandai dan tidak tahan lagi dengan keburukan kerajaan UMNO/BN.

Dalam masa yang sama,Anwar membidas Naib Ketua Pemuda Umno Khairy yang didakwanya menyalahguna kuasa untuk mengaut kekayaan dalam usia yang begitu muda.

Anwar dengan tegas mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Khairy di atas beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat Khairy terhadapnya.

Katanya, beliau mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyaman Naib Ketua Pemuda Umno itu.

Anwar dalam ucapannya turut menafikan kehadiran beliau dalam arena politik tanah air adalah untuk merampas jawatan menteri dan sebagainya.

Menurut Anwar, beliau telah melalui kehidupan di dunia yang tidak pernah dirasai oleh orang lain, dari layanan sebagai Pemangku Perdana Menteri hinggalah kepada layanan seperti binatang, diaibkan dan di penjarakan selama enam tahun dimana makanan pun dibaling kepadanya seperti memberi makanan kepada binatang.

“Saya telah melalui kehidupan daripada kehidupan mewah sebagai pemangku perdana menteri hinggalah kepada kehidupan hina di penjara,” katanya yang dipetik daripada Suara Keadilan online.-Az

-hrkh

Mana yang lebih ARCHAIC Pak Rashid?


Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman adalah seorang personaliti yang padat dengan kontroversi. Walaupun beliau duduk mempengerusikan sebuah badan yang sepatutunya adil dan tidak memihak kemana-mana namun seringkali ucapan dan kenyataan beliau mencerminkan kecenderungan beliau kepada pihak-pihak tertentu.

Pengumuman penggunaan dakwat kekal semasa hari mengundi oleh Rashid mendapat tempat dalam akhbar tempatan hari ini. Cuma seperti biasa Rashid mengunakan peluang sidang akhbarnya untuk memperkecilkan pihak-pihak tertentu tanpa menghiraukan kedudukan beliau yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong sepatutnya sentiasa dilihat tidak memihak ke mana-mana dan membela nilai dan prinsip demokrasi.

Kata Rashid sebagaimana dipetik oleh The Star:

The ARCHAIC method would be used to satisfy some quarters that claimed fraud had taken place. This is merely to stop certain quarters from using the issue as a political gimmick or to tarnish the image of the commission.

Bermakna Rashid mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal ini adalah satu kaedah ketinggalan zaman tetapi diperkenalkan juga oleh kerana kononnya pihak-pihak tertentu menuduh wujudnya penipuan dalam proses pemilihan. Rashid menganggap penggunaan dakwat ini nanti akan menghapuskan apa yang beliau anggap dakyah pihak tertentu yang cuba mencetuskan kerahuan terhadap proses pilihanraya dalam negara.

Takkanlah kisah adanya pengundi yang mengundi lebih dari sekali, pengundi yang telah meninggal dunia bangkit mengundi dan pengundi yang bukan pemegang kad pengenalan mengundi melalui kad pengenalan pengundi lain itu semuanya bohong dan palsu belaka! Saya sendiri berpengalaman melihat di hadapan Pusat Mengundi di Kolej Sunway dalam DUN Seri Setia semasa Pilihanaraya Umum 2004 lalu betapa seorang pengundi berdaftar disitu tidak dapat mengundi apabila mendapati namanya telah digunakan oleh orang lain untuk mengundi.
Hamba Allah itu telah dinasihatkan membuat laporan polis dan saya percaya ini bukan satu kes tetapi terdapat beratus malah beribu pengalaman dan kes seumpama ini berlaku seluruh negara.

Rashid samada tidak tahu (sesuatu yang mustahil) atau pura-pura buat tak tahu. Lalu tuntutan oleh NGO BERSIH agar dakwat kekal ini diperkenalkan sebagai langkah mengatasi penipuan seumpama ini seharusnya dialu-alukan dan diberi pandangan yang positif.

Kata Rashid penggunaan dakwat ini ARCHAIC atau ketinggalan zaman (masih digunakan di Indonesia dan India). Bagi saya ia terpaksa digunakan walaupun ARCHAIC oleh kerana pihak SPR tidak berupaya membendung gejala pengundi hantu seumpama di atas. Biarlah ARCHAIC asalkan ia berupaya menjamin pilihanraya yang benar-benar bebas dan adil.

Dan sebenarnya Rashid tidak sedar salah satu amalan yang masih digunakan oleh SPR sehingga kini dan terus dipertahankan oleh Rashid itulah yang sebenarnya ARCHAIC iaitu UNDI POS untuk anggota polis dan tentera. Kaedah ini sesuai ketika negara berada dalam keadaan darurat , iaitu antara tahun 1948 sehingga 1960 (pengundian pertama 1955, diikuti 1959 PRU pertama), selepas 1960 negara dikira aman, tambah-tambah di alaf baru ini, namun amalan ARCHAIC yang tidak masuk akal ini terus dilaksanakan oleh SPR.

Berek-berek polis pun sudah moden dan canggih malah berada di tengah masyarakat, tiada lagi ancaman keselamatan terhadap mereka. Mengapa mereka masih diarahkan mengundi secara tertutup melalui kaedah ARCHAIC UNDI POS ini?

Malah kalau kita perhatikan Pilihnaraya Palestin yang buminya penuh kacau dan tegang itupun anggota keselamatannya yang beruniform dan memegang senjata, mengudni bersama orang awam yang lain, apakah bumi Malaysiaku Gemilang ini lebih kacau dari Palestin?
Apa pun syabaslah tuntutan rakyat agar SPR semakin terus akhirnya diakui. Kita berharap selepas ini UNDI POS contohnya juga akan dihapuskan, mudah-mudahan Malaysia yang telah 50 tahun Merdeka ini akan menjadi negara demokrsi contoh kepada seluruh negara membangun yang lain.

n32.blogspot.com

Tanggungjawab siapa?

Petikan dari laman web Hizbut Tahrir. Untuk renungan..

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) menggugurkan pendakwaan terhadap penyanyi Siti Noor Idayu Abd Moin berkaitan kes berpakaian menjolok mata dan menggalakkan maksiat di sebuah kelab malam. Penyanyi itu, 22, berkata Jaip mengambil keputusan tersebut selepas satu pertemuan Sabtu lepas. "Dalam mesyuarat itu, (Jaip) membuat keputusan menggugurkan pertuduhan sebab ia tidak mempunyai cukup bukti untuk meneruskan pendakwaan," kata Siti Noor Idayu.Dalam pertemuan itu, katanya, pegawai-pegawai Jaip turut menasihatkannya berpakaian sopan untuk persembahan pada masa depan. Penyanyi itu bagaimanapun berkata dia akan tetap berpakaian seperti sebelumnya."Saya tidak fikir pakaian saya terlalu menjolok mata atau seksi. Bukannya saya pakai bikini. Saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh saya lakukan," katanya. Jaip menahan Siti Noor Idayu dan beberapa lagi ketika serbuan di sebuah kelab malam di Tambun pada 3 Julai lepas. Jabatan agama tersebut setakat ini gagal dihubungi untuk ulasan.
Sumber : www.thestar.com [6/8/2007]

Ulasan :Tindakan JAIP menggugurkan pendakwaan itu adalah sesuatu yang amat mendukacitakan. Tidak mungkin mereka kekurangan saksi untuk pendakwaan memandangkan hal itu berlaku di hadapan khalayak ramai. Ini menunjukkan bahawa JAIP seolah-olahnya tidak bertegas di dalam menguatkuasakan hukum-hakam berpakaian menutup aurat di kalangan orang-orang Islam khususnya wanita.Namun, apa yang lebih mendukacitakan lagi, artis tersebut yang seolah-olah telah mencapai ‘kemenangan’ sempat mengatakan bahawa dia akan tetap berpakaian sedemikian. Ini adalah kerana dia berpendapat bahawa pakaiannya mendedahkan sebahagian atas tubuhnya itu tidak ‘salah’.Masalah ini berpunca daripada standard yang diletakkan kepada tatacara berpakaian. Kebanyakkan standard yang digunakan oleh sebahagian kaum muslimin dan sebahagian besar artis sebenarnya tidak bersandarkan kepada dalil syara’. Kehidupan mereka hanya bersandarkan kepada akal semata-mata. Sedangkan akal bersifat lemah dan terhad tidak mampu untuk menentukan samada sesuatu itu terpuji atau tercela. Terpuji atau tercela hanya ditentukan melalui dalil dan nas-nas syara’. Kerana itulah kerosakkan berlaku di mana-mana di dalam semua aspek kehidupan.

Sila rujuk http://www.mykhilafah.com/modules.php?name=News&file=article&sid=47

Remaja Islam Dalam Sebuah Negara Merdeka



Golongan remaja mewakili peratusan tertinggi penduduk di Malaysia. Peranan dan tanggungjawab remaja sebagai generasi pemimpin pada masa akan datang sesungguhnya memberi impak yang besar kepada pembangunan negara.

Golongan remaja di Malaysia biasanya terdiri dari kumpulan umur antara 14-21 tahun. Dalam hal ini, ahli-ahli sains sosial mempunyai pandangan yang berbeza dalam mengkategorikan had umur mereka.

Walau bagaimanapun, di peringkat ini, cabaran dari sudut sikap dan perilaku mereka sering kali dianggap negatif dan memudaratkan.

Malah pada masa yang sama masyarakat juga telah menghukum mereka sebagai golongan yang mendatangkan masalah kepada negara dan juga telah mencemarkan nama negara Malaysia yang telah merdeka.

Apakah maksud kemerdekaan? Menurut Kamus Dewan, merdeka membawa maksud bebas, lepas, berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain.

Dalam hal ini, jika kita menelusuri data-data mengenai penglibatan remaja kita dalam masalah sosial sangat membimbangkan. Adakah ini mencerminkan ciri-ciri remaja dalam sebuah negara merdeka?

Remaja Islam sebenarnya mempunyai tempat yang tinggi dalam masyarakat dan negara.

Ini berdasarkan hak yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada setiap diri insan sebagaimana disebutkan di dalam al Quran yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”. (al Isra: ayat 70)

Untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut marilah kita renungkan dan hayati isu-isu yang melibatkan golongan remaja kita pada hari ini terutamanya remaja Islam.

Penagihan dadah serta pil Ecstasy

Sebanyak 45 peratus golongan penagih dadah didapati mula terlibat secara tidak aktif sewaktu zaman persekolahan.

Perangkaan tahun 1996 menunjukkan 71 peratus remaja di antara usia 13 hingga 18 tahun sudah mula menghisap rokok, 80 peratus penagih bermula dengan merokok dan kemudian menghisap ganja, mengambil pil khayal dan seterusnya menagih dadah yang lebih berbahaya. (Lokman Moidin, “Prihatin kepada remaja untuk masa depan negara”).

Ada sesetengah daripada remaja pada hari ini menghidu gam, minum air daun ketum atau dikenali sebagai `air biak', ganja serta menghisap pit.

Pada tahun 1997 sahaja, kementerian mendapati 16.7 peratus remaja kita merokok. ''Kaki minum di kalangan remaja kita pada tahun 1996 sahaja sebanyak 9.0 peratus. (Datuk Dr. Chua Jui Meng, “Gejala sosial bawa kemudaratan -- Kesihatan remaja berada pada tahap membimbangkan”, 1998).

Manakala pengambilan Pil ecstasy di kalangan remaja juga semakin membimbangkan. Ini berdasarkan kepada siri penangkapan remaja-remaja di pusat hiburan mendapati pil-pil ecstasy boleh didapati dengan mudah di sana.

Remaja harus menyedari bahawa pil ini sangat merbahaya dan merosakkan kesihatan individu yang mengambilnya.

Menurut Dr. Mazlan Mahmud, Pakar Perubatan Penagihan, Jabatan Psikiatri Hospital Muar, Johor (Utusan Malaysia, 2002) mengatakan, Pil ini mengandungi dadah amfetima yang boleh merencat bahagian otak yang mengawal nafsu makan.

Keadaan ini menyebabkan seseorang itu mengalami kurang selera makan. Selain daripada itu, Pil ecstasy juga akan menyebabkan seseorang menjadi lebih aktif pada peringkat awal pengambilan dan ini akan menyebabkan berat badan individu terbabit menurun mendadak.

Keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya individu tersebut berhenti daripada mengambil pil itu.

Dalam masa beberapa minggu selepas itu, individu tersebut akan menjadi letih, banyak tidur, berasa runsing, susah hati dan kuat makan.

Pada masa ini pula seseorang individu akan mengalami peningkatan berat badan secara mendadak dan keadaan ini akan mendorong individu itu mengambil pil ecstasy semula sehingga menyebabkannya terjebak dengan penagihan.

Untuk pengetahuan umum, Pil ecstasy juga boleh menyebabkan peningkatan perasaan seksual seseorang. Mereka akan berasa lebih seronok dan berahi.

Malah nafsu seks mereka boleh menjadi tidak terbatas iaitu mereka tidak berasa takut untuk melakukan seks secara rambang atau mendapat penyakit berjangkit.

Seks Bebas


Menurut Dr. Maryani Md. Nor dari Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), seks bebas boleh diterjemahkan sebagai perhubungan seks tanpa ikatan nikah yang sah kini menjadi isu serius yang melanda remaja masa kini.(Rosmah Dain, “Seks Bebas – Isu Serius Melanda Remaja Malaysia”).

Keadaan ini ada kaitannya dengan penyebaran teknologi maklumat yang begitu berleluasa serta ditambah pula dengan iman yang rapuh dalam diri para remaja islam pada hari ini.

Fenomena video lucah, serta bahan-bahan bacaan lucah begitu mudah didapati di pasaran.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang hebatnya. Harus disedari bahawa perlakuan seks bebas merupakan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.

Oleh itu, di dalam Islam bagi mereka yang tidak dapat menahan keinginan, Islam menggalakkan umatnya menggunakan saluran lain seperti berkahwin atau berpuasa.

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana negara seluruh dunia. Di Amerika Syarikat misalnya dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun.

“Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah”.

Halijah berkata, antara sebab-sebab mengapa remaja di negara ini terdorong terlibat dalam hubungan seks bebas ialah akibat permintaan dan `godaan' yang lebih banyak dan kompleks berbanding remaja pada generasi lalu.

Di samping itu, pengaruh daripada rakan sebaya terutamanya di kalangan remaja lelaki juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya.

Dalam pada itu, pengaruh persekitaran yang begitu kondusif turut menggalakkan perlakuan seksual seperti itu. Kehidupan anak-anak yang terlalu terkongkong atau tidak rapat dengan ibu bapa atau keluarga, boleh menyebabkan anak-anak ingin meneroka sesuatu yang negatif.

Selain itu kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini. Halijah berkata, antara kesan-kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan.

Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian.

Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan,” katanya.

Hubungan seks bebas juga membawa risiko penyakit kelamin. Menurut anggaran WHO, setiap tahun, seorang daripada 20 remaja di dunia dijangkiti penyakit kelamin yang mana daripada sejumlah 333 juta kes baru penyakit kelamin, 111 juta kes berlaku di kalangan mereka yang berusia di bawah 25 tahun.

Hubungan seks bebas yang tiada perlindungan boleh menyebabkan peningkatan kepada risiko keguguran di kalangan remaja yang masih mentah yang bukan sahaja membahayakan nyawanya juga paling tidak selamat ialah akan meningkatnya kes penyakit kelamin dan berjangkit seperti gonorea, sifilis dan lebih berbahaya iaitu AIDS.

Antara punca yang dikenal pasti berlakunya permasalahan ini ialah kurangnya ilmu pengetahuan tentang penjagaan kesihatan berhubung tentang seks di kalangan remaja dan juga pengamal perubatan yang tidak mahir.

Berdasarkan Kaji Selidik Penyakit dan Kesihatan Negara (bawah Kementerian Kesihatan) memperlihatkan bahawa penglibatan remaja dalam hubungan seks di luar perkahwinan di Malaysia adalah 1.8 peratus pada tahun 1996.

"Jumlah yang paling tinggi adalah di kalangan pelajar perempuan iaitu 2.5 peratus berbanding dengan pelajar lelaki hanya 1.2 peratus sahaja”.

Jenayah



Walaupun Malaysia pada hari ini telah pun menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50, namun timbul persoalan adakah negara kita sudah bebas sepenuhnya daripada kegiatan jenayah yang sememangnya tidak wujud lagi dalam sebuah negara yang merdeka.

Malahan kejadian jenayah di Malaysia pada hari ini semakin menjadi-jadi. Pembunuhan kejam berlaku di sana sini, samun, pecah rumah, rogol dan sebagainya.

Penglibatan para remaja dalam kegiatan jenayah juga sangat membimbangkan. Hasil kajian yang dibuat oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengenai pembabitan remaja Melayu di ibu kota dalam kejadian jenayah sungguh mengejutkan.

Ini kerana remaja Melayu seakan menjadi jaguh dalam kebanyakan kategori jenayah yang berlaku di ibu negara sama ada yang dilapor atau tidak oleh media massa negara ini.

Kajian itu merumuskan bahawa remaja Melayu begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk keseronokan.

Ini menunjukkan bahawa betapa rapuhnya iman remaja pada hari ini sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar batasan kemanusiaan.

Remaja dan Black Metal

Dalam kesibukan negara hendak menjadikan negara ini sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia, Malaysia sekali lagi dikejutkan oleh pendedahan wujudnya pengaruh Black Metal di kalangan pelajar sekolah, menengah dan ada diantaranya adalah daripada golongan professional.

Apa yang lebih memeranjatkan banyak pihak, budaya negatif ini bukan sahaja berlaku di sekolah menengah sahaja, malahan ada murid-murid sekolah rendah juga dilaporkan terlibat dengan gejala yang tidak sihat ini.

Dalam era globalisasi, teknologi maklumat merupakan satu komponen globalisasi itu sendiri yang sangat dominan dan paling berpengaruh.

Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini bukan sahaja mendatangkan impak yang bermanfaat, malahan turut sama menyebar luaskan unsur-unsur yang tidak sihat seperti pengaruh Black Metal ini.

Perbuatan seperti membakar Al-Quran, kencing atas Al-Quran, meminum darah kambing hitam, tidak sedarkan diri, mendengar muzik dan lagu yang tiada mesej dan bermacam-macam lagi.

Apakah ini bentuk kehidupan remaja Islam kini? Sehingga sanggup memperlekehkan kemuliaan Al-Quran.

Tidak keterlaluan jika dikatakan pengaruh Black Metal lebih dahsyat dari pengaruh budaya rock, punk, hippies, skin head dan banyak lagi yang kesemuanya diimport dari barat.

Di manakah erti kemerdekaan kepada muda-mudi Islam ini jika mereka masih terpengaruh dengan budaya karut marut tersebut.

Remaja dan Masalah Buli

Dalam sebuah negara merdeka, setiap rakyat tidak kira tua atau muda perlu mempunyai rasa kekitaan dan sayang menyayangi di antara satu sama lain.

Setiap warganegara perlu ada kesedaran terhadap hak-hak orang lain. Justeru itu, fenomena buli membuli dalam masyarakat Malaysia tidak seharusnya berlaku.

Realitinya dalam masyarakat kita pada hari ini, khususnya para remaja begitu sinonim dengan kejadian buli khususnya remaja sekolah. Lihat sahajalah beberapa kejadian yang telah berlaku sebelum ini.

Kejadian di Persiaran Gurney, Pulau Pinang bukan sahaja memilukan malah telah menyebabkan seluruh masyarakat marah.

Keluarga mangsa menjadi trauma akibat kejadian tersebut sehingga tidak akan memaafkan mereka yang menyebabkan kematian Allahyarham Asrin Mohsin.

Apa yang menjadi masalah ialah kebanyakan mangsa buli ini pula tidak berani tampil untuk mendedahkan kejadian buli yang berlaku sama ada kepada ibu bapa atau pihak sekolah.

Keadaan ini menyukarkan lagi usaha pihak sekolah untuk menyelesaikan masalah buli dan ini secara tidak langsung akan menyebabkan pembuli semakin berleluasa.

Apakah yang menyebabkan remaja sekolah ini menjadi semakin liar, ganas sehingga sanggup membunuh rakan sendiri? Siapakah yang perlu dipersalahkan masyarakat, guru atau ibu bapa?

Remaja dan Lari dari Rumah

Sejak tahun 2003, dilaporkan sebanyak 16,020 orang remaja bawah umu 17 tahun lari dari rumah. Daripada jumlah tersebut sebanyak 9,415 orang telah dijumpai semula.

Kebanyakan gadis-gadis bawah umur ini lari dari rumah atas factor mengikut teman lelaki dan juga tidak mahu dikongkong oleh ibu bapa mereka.

Statistik polis mendedahkan sebanyak 2,540 lari bersama teman lelaki, 1,857 terpengaruh dengan rakan, 1,592 lari kerana masalah keluarga dan 1,371 lari kerana mahukan kebebasan.

Daripada jumlah tersebut, remaja Melayu paling ramai terlibat iaitu sebanyak 10,489 kes berbanding dengan bangsa lain.

Bagi remaja Melayu faktor utama yang menyebabkan remaja lari dari rumah disebabkan oleh pengaruh rakan manakala remaja Cina disebabkan oleh masalah keluarga.

Remaja dan Idola Popular

Masyarakat Islam selalunya merujuk kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w sebagai rujukan sama ada dari segi amalan, kelakuan atau dikatakan sebagai cara hidup.

Tanpa disedari mereka sebenarnya telah menjadikan junjungan mulia sebagai idola. Manakala kita sebagai masyarakat Islam Malaysia yang hidup dalam sebuah negara merdeka, tidak ramai yang menjadikan tokoh-tokoh pejuang negara sebagai idola.

Mengapakah kita tidak berminat untuk menjadi seperti mereka yang telah berjuang bermati-matian mempertahankan negara sehingga kita dapat melepaskan diri dari belenggu penjajahan.

Apa yang berlaku dalam masyarakat kita khususnya remaja Islam masa kini meminati artis pujaan mereka dan sekaligus menjadikan artis tersebut sebagai idola mereka tanpa mengambil kira apakah sumbangan artis tersebut kepada negara dan agama.

Apakah nilai-nilai murni artis tersebut yang boleh dijadikan tauladan. Apa yang mereka tahu sekadar meminati nyanyian atau lakonan artis sahaja.

Begitu sempit pemikiran remaja Islam pada hari ini. Siapa sebenarnya yang layak menjadi idola kepada remaja-remaja ini? Tokoh korporat, negarawan, sasterawan, ahli sukan atau artis yang berada dalam lingkungan budaya popular?

Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan remaja Islam seratus peratus kerana jika diperhatikan sama ada di media cetak atau media elektronik, pendedahan mengenai perjuangan atau peranan cerdik pandai Islam, negarawan, sasterawan atau golongan ahli korporat kurang didedahkan.

Apa yang mendominasi media cetak dan elektronik masa kini adalah kehidupan golongan artis dan cerita-cerita hiburan semasa yang banyak melalaikan remaja dan mempengaruhi remaja untuk hidup dalam dunia glamour sebagai seorang artis.

Remaja dan Sambutan Kemerdekaan

Kuala Lumpur sememangnya menjadi tumpuan warga kota yang ingin menyambut detik-detik bersejarah menjelangnya 31 Ogos. Masing-masing begitu sabar menunggu detik 12 tengah malam yang menyaksikan kejayaan negara membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Apabila tiba detik 12 malam, percikan bunga api pun dinyalakan, acara hiburan yang berbentuk konsert serta parti-parti anjuran individu atau kafe-kafe di ibukota mula beroperasi bagi memeriahkan lagi malam sambutan kemerdekaan.

Tidak cukup dengan itu ada yang mengadakan pesta seks, pesta arak, rempit, berkaraoke sampai pagi, berpeleseran, dan sebagainya. Siapa yang paling ramai terlibat? Sudah tentulah golongan remaja Islam.

Inilah senario yang berlaku saban tahun di Malaysia. Sungguh berlainan sekali dengan masyarakat zaman dulu yang menyaksikan percikan api peluru musuh, masyarakat kini menyaksikan percikan bunga api sebagai satu kejayaan.

Walau apapun sambutan yang dibuat, bagi masyarakat Malaysia masa kini, pengisian malam kemerdekaan mesti disertakan dengan acara hiburan.

Malahan acara hiburan begitu mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat, berbanding ceramah kemerdekaan atau menonton dokumentari berkaitan jerih perih penjajahan.

Bagi golongan remaja khususnya remaja Islam, itulah caranya mereka mengisi kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini.

Golongan remaja Islam misalnya merupakan golongan yang paling ramai menunjukkan sokongannya terhadap program-program pengisian sambutan kemerdekaan seperti tadi.

Bagi mereka, itulah penghayatan erti kemerdekaan tanpa mengetahui bahawa sambutan kemerdekaan bukan sekadar laungan penuh semangat tetapi diri mereka juga perlu tampil dalam pakej lengkap sebagai anak bangsa yang merdeka.

Apa yang membimbangkan ialah jika anak-anak muda ini terus hanyut dibawa arus kealpaan dan terpengaruh dengan budaya asing, siapa yang akan mempertahankan negara suatu hari nanti?

Cara yang terbaik dalam menangani sesuatu masalah adalah dengan adanya gabungan beberapa faktor yang saling berkaitan antara satu sama lain.

Antara cara yang paling utama dalam menangani sesuatu masalah yang dianjurkan oleh Islam adalah melalui pengukuhan ikatan akidah.

Ikatan akidah menuntut kita supaya meyakini bahawa Tuhan sekalian alam ialah Allah S.W.T yang maha berkuasa ke atas makhluknya.

Segala perintah dan suruhan Tuhan wajib ditaati. Dia yang Maha Mengetahui. Melalui ikatan akidah juga, kita tahu dari mana kita datang, kenapa kita datang ke dunia ini dan ke mana akhirnya hidup ini.

Dengan cara ini, para remaja akan mampu menghadapi segala masalah atau segala cabaran dengan penuh bijaksana dan kesabaran kerana meyakini Allah berkuasa ke atas segala-galanya.

Selain itu, remaja harus sentiasa melakukan kegiatan kerohanian agar sentiasa tenang dan tenteram dalam hatinya.

Para remaja mestilah sentiasa mendirikan sembahyang, mendampingi al-Quran, berkunjung ke masjid agar dapat mendampingi orang yang terpuji akhlaknya, berpeluang mendekati orang yang berilmu dan mendengar ceramah agama.

Dengan ini remaja akan sentiasa ingat siapa diri mereka dan apa yang mereka harus lakukan untuk bekalan di masa depan. Dalam hal ini remaja perlu tahu bahawa ilmu keduniaan yang mereka miliki tidak akan menjamin seseorang itu terpelihara daripada anasir-anasir luar.

Pendidikan agama juga perlu seiring supaya perjalanan hidup seseorang individu muslim sentiasa terarah ke jalan yang diredhai Allah sw.t.

Remaja juga harus mencari mereka yang baik akhlaknya serta ilmunya untuk dijadikan model ikutan serta sumber rujukan untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka.

Begitu juga apabila memilih kawan. Kawan sebenarnya memainkan peranan dalam hidup seseorang individu. Ini kerana jika seseorang itu silap memilih kawan, kemungkinan untuk seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan adalah lebih tinggi.

Kawan adalah orang yang kedua dalam hidup seseorang individu selepas ibu bapa. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan remaja pada hari ini lebih percaya kepada kawan daripada ibu bapa sendiri.

Para remaja juga tidak boleh menjadikan tempat hiburan sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah.

Ini kerana pada zaman moden ini, para remaja Islam khususnya lebih suka mencari ketenangan dan menyelesaikan masalah dengan mengunjungi kelab-kelab malam, dan kelab-kelab hiburan di sekitar ibu kota.

Remaja pada hari ini lebih selesa mengunjungi pusat hiburan daripada mengunjungi majlis agama atau masjid-masjid. Ini kerana mereka merasakan masjid itu hanyalah tempat untuk bersolat sahaja.

Mereka tidak mengetahui bahawa masjid merupakan tempat yang paling sesuai untuk bertafakur dan memohon petunjuk daripada Allah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Kesimpulan

Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, remaja pada hari ini harus insaf bahawa dalam proses Bina Negara kita berdepan dengan persaingan yang sengit.

Negara yang maju dan negara yang membangun, banyak ditentukan oleh kualiti diri remaja dan kualiti ilmunya, Remaja harus selalu bertanya apakah sumbangan dirinya terhadap negara, bukan hanya bertanya apakah sumbangan negara terhadap dirinya.

Sumber asal: http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=6411
Disunting Oleh: Jabatan Pembangunan Remaja dan Mahasiswa, Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang

Pesanan Karam sing Walia: "Inilah UMNO, Tangan bersalut najis, masih bertanya siapa yang berak"

Cegah kejahatan perlu pengorbanan

MANUSIA adalah makhluk Allah yang memiliki fitrah ke arah melakukan kebaikan dan menerima kebenaran. Di sisi yang lain pula manusia sering terjebak dalam kancah kekufuran dan kemaksiatan pula akibat daripada keinginan nafsu syahwat yang lahir daripada godaan dunia dan hasutan syaitan dan iblis.

Kegoncangan jiwa ini bukan saja berlaku kepada mereka yang kufur, malah ia juga boleh berlaku di kalangan umat Islam yang lemah keimanan dan ketaqwaannya.

Sifat manusia itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana sifat bahimiyah (kehaiwanan) yang ada pada diri manusia sering memerangkapnya kepada desakan dan pengaruh nafsu syahwat. Menurut Iman al-Ghazali dari segi fitrahnya sifat bahimiyah ini penting kerana sifat ini mendorong manusia mencapai kesihatan badan melalui keperluan kepada makanan, kediaman, tidur, seks dan perkara yang diperlukan oleh jasad (tubuh badan).

Masalah timbul apabila manusia memperhambakan dirinya kepada tuntutan biologisnya semata-mata didorong pula oleh nafsu syahwat yang tidak dapat dikawal.

Dalam ilmu psikologi Barat berlaku pertentangan di antara Teori Psikoanalisis dengan Teori New Freudian mengenai persoalan tingkah laku manusia. Psikoanalisis menganggap bahawa semua bentuk tingkah laku manusia adalah bertitik tolak daripada keperluan dan tuntutan biologi (jasmaniah) insan yang amat kuat dipengaruhi keinginan seks seperti mana yang diteorikan oleh Sigmund Freud.

Sebaliknya, golongan (aliran) kedua pula menekankan manusia sebenarnya memiliki kebebasan memilih dan berupaya untuk menentukan apa yang diingini serta membentuk masa depannya.

Erick Fromm (lahir 1900) seorang ahli psikologi Jerman aliran New Freudian menolak psikoanalis, yang cenderung menyamakan manusia dengan binatang kerana menurut Fromm, binatang tidak pernah peduli dan mengerti tentang kebebasan.

Fromm yang analisisnya lebih berpusat kepada humanisme percaya manusia adalah makhluk yang menghitung dan memiliki kebebasan untuk menentukan masa depan dirinya. Psikologi Islam pula melihat manusia dalam realiti kehidupannya adalah makhluk yang memiliki ‘sistem nafsani’ yang terdiri dari qalb, fitrah, `aql, ruh dan bashirah.

Keseluruhan sistem ini mampu melahirkan tingkah laku, sikap, perangai, cara berfikir dan perasaan (emosi) pada diri insan. Justeru manusia memiliki kecenderungan ke arah melakukan sama ada perkara yang ma’aruf atau perkara mungkar.

Jika kita melihat kepada dimensi rohani, maka manusia sebenarnya boleh digerakkan kepada kesedaran dan tanggungjawab yang mampu mengangkat martabat kemuliaannya sebagai insan. Di sinilah pentingnya aktiviti dan gerakan dakwah dilaksanakan oleh umat Islam bagi menyeru amal maaruf nahi mungkar.

Mungkar adalah sesuatu perkara atau perbuatan yang tidak disukai dan diingkari hati nurani atau jiwa manusia. Ia bermaksud kejahatan, kederhakaan kepada Allah SWT atau perbuatan yang dibenci syarak. Maaruf pula berasal dari istilah ma’rifah adalah segala sesuatu yang disukai oleh hati dan apabila melakukannya ia membawa kepada ketenteraman dan kedamaian hati serta diredha Allah SWT.

Sifat orang mukmin ialah mengerjakan yang maaruf dan pada masa sama meninggal yang mungkar.

Kewajipan melaksanakan amal maaruf nahi mungkar adalah satu kewajipan yang telah dipikulkan kepada umat Islam sebagaimana terkandung dalam surah Ali-Imran, ayat 104 yang bermaksud, “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh membuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”.

Amal maaruf nahi mungkar adalah bersifat mencegah iaitu mencegah berlakunya mungkar (kejahatan) secara terbuka. Ia dorongan kepada manusia untuk membangkitkan iman dalam hati supaya manusia menjauhi apa juga bentuk kemungkaran. Dalam usaha mulia ini kekuatan rohani manusia dibangunkan agar terarah dan suka kepada yang maaruf dan membenci kemungkaran dikembangkan melalui kekuatan iman dan taqwa.

Melalui perintah dalam surah Ali-Imran, ayat 104 itu, maka wujudlah aktiviti “ad-dakwah ila al-khair”, iaitu ajakan atau seruan kepada melakukan kebaikan. Inilah semangat yang dibangkitkan oleh al-Quran kepada umat Islam agar melaksanakan tugas menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kejahatan.

Mukmin lelaki dan perempuan adalah bertanggungjawab dan bantu membantu dalam melaksanakan amal maaruf nahi mungkar selari dengan maksud yang terkandung dalam surah At-Taubah, ayat 71, “Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian daripada mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar”.

Sebaliknya orang munafik lelaki dan perempuan itu menjadi penolong sesama mereka dalam perkara mungkar, “Orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh berbuat mungkar dan melarang membuat makruf” (At-Taubah:67),

Sayyib Qutb dalam Fiqh Dakwah menyatakan al-Quran itu adalah kitab dakwah yang memiliki ruh pembangkit. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Dasar-Dasar Ilmu Dakwah menegaskan bahawa tugas dakwah menjadi perkara yang dituntut ke atas setiap Muslim sama ada secara individu atau secara berorganisasi.

Golongan da’i (pendakwah) adalah golongan yang diberikan kemuliaan oleh Allah SWT kerana pengorbanan mereka melaksanakan kerja dakwah: ”Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada mengesakan dan mematuhi perintah Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang Islam yang berserah bulat-bulat kepada Allah” ( Al-Fussilat:33)

Dakwah satu tugas mulia dan suci yang perlu dijalankan dengan penuh hikmah dan bijaksana melalui contoh teladan (akhlak) yang baik oleh para da’i.

Ini amat perlu diperhatikan oleh pendakwah kerana dirinya menjadi pusat perhatian mad’unya dan masyarakat amnya. Dakwah itu sendiri memiliki sasarannya iaitu “hati” manusia kerana hatilah tempat masuknya hidayah Allah SWT.

Secara skala kecilnya, seruan dakwah boleh diamalkan dalam konteks menyuruh dan mengajak kalangan ahli keluarga, jiran dan sahabat handai melakukan kebaikan atau menunaikan amal ibadat. Dakwah dalam skop dan skala yang lebih besar ialah melaksanakan amal maaruf nahi mungkar sehingga tertegaknya Daulah Islamiyah.

Dakwah jenis ini biasanya digerakkan melalui organisasi Islamiah yang memiliki uslub dan manhaj yang lebih teratur dan bersistematik. Pelbagai pendekatan dan bentuk dakwah wujud adalah disebabkan timbul berbagai bentuk atau ragam pemahaman terhadap kalimat, kaedah, sasaran dan matlamat dakwah itu sendiri.

Berdasarkan hadis diriwayatkan Muslim ada tiga cara seseorang itu mampu bertindak apabila melihat sesuatu kemungkaran berlaku di depan matanya iaitu mengubah kemungkaran itu sama ada dengan tangannya (kuasanya), dengan lidahnya (lisan) dan membenci dalam hati.

Apa yang mesti difahami ialah usaha dakwah tidak boleh dibuat melalui uslub “keganasan” kerana cara ini adalah di luar daripada ajaran Islam. Dakwatul haq (dakwah yang benar) mestilah bersumberkan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW bukannya berasaskan hawa nafsu dan fikiran semata-mata.

Sebagai kesimpulan, usaha menarik manusia kepada amal maaruf nahi mungkar bukannya kerja yang senang kerana ia penuh dengan ujian serta memerlukan pengorbanan dan komitmen cukup tinggi.

Usaha ini perlu dilakukan dengan bijaksana dan berhikmah menepati apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Jalaluddin Rachmat menyenaraikan lima tanda yang boleh dijadikan panduan kepada para da’i mengenai dakwah yang dibuatnya adalah efektif (pada hakikatnya pemberian taufiq dan hidayah adalah hak Allah juga).

Kelima-lima tanda itu ialah: Ia dapat menimbulkan kefahaman (pengertian) kepada mad’u; Ia dapat menimbulkan rasa senang (tidak menyakit atau menyulitkan); Ia mampu mempengaruhi sikap mad’u; Ia mampu membina hubungan yang baik dan mesra dengan mad’u dania mampu menimbulkan tindakan atau perubahan sikap atau tingkah laku.

-Penulis ialah lulusan Sarjana dari UIAM dan kini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan.

Pemuda, Muslimat, Ulama perlu bertaut erat demi kejayaan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Keseriusan PAS menghadapi pilihan raya terbukti dengan kesungguhan ahlinya menghadiri program dianjurkan Badan Perhubungan PAS dan Kawasan di setiap negeri. Ini terbukti apabila di seluruh negara jentera gerak kerja pilihan raya PAS mula dilancarkan secara berperingkat-peringkat oleh pemimpin parti.

Ingatan demi ingatan selain dorongan semangat terus dilontarkan supaya jentera PAS mempunyai kekuatan minda untuk berhadapan dengan musuh utamanya, Umno.

Berdepan dengan pilihan raya tidak cukup setakat memberi motivasi dan semangat. Lebih penting daripada itu, jentera pilihan raya perlu mempunyai kesediaan fizikal dan mental.

Dalam kesibukan jentera PAS menyusun gerak kerja pilihan raya, kedengaran suara di belakang tabir rasa tidak puas hati dengan kesediaan saf Pemuda di setiap Kawasan dan Negeri.

"Pemuda tidak mahu melakukan kerja-kerja seperti semakan daftar pemilih, semua mengharapkan Muslimat.

"Mereka cuma hendak berdemonstrasi di jalanan, kalau demo sekalipun kerja berkempen, semak daftar pemilih tidak dilakukan boleh menang ke? "luah seorang AJK Muslimat Kawasan.

Ini antara luahan Muslimat Kawasan yang tidak senang dengan alasan Pemuda apabila enggan bekerjasama membuat semakan daftar pemilih.

Desakan itu memang perlu tetapi apa ertinya kelantangan Pemuda mendesak SPR sedangkan kerja mendekati pengundi tidak dilakukan? Bolehkah PAS meraih kemenangan mudah dengan hanya melakukan demonstrasi besar-besaran, tanpa kerjasama Pemuda dan Muslimat untuk menghadapi pilihan raya?

Semua ahli politik dan rakyat Malaysia sedang menghitung hari demi hari. Menunggu pengumuman pilihan raya. Tidak sabar bagaikan menunggu `bayi' pertama dilahirkan.

Ada pihak mendakwa pilihan raya akan dilakukan selepas keputusan perbicaraan model Altantuya Sarriibuu. Ada pula mengatakan awal Oktober, akhir November dan Februari 2008.

Apapun, PAS perlu melakukan gerak kerja pilihan raya dengan cekap tanpa prejudis terhadap sayap kanan dan kiri parti atau individu dalam PAS.

Jangan jadikan masalah dalaman parti sebagai penghalang untuk melakukan gerak kerja pilihan raya. Musuh utama PAS adalah Umno. Bukan Muslimat, bukan Pemuda dan individu dalam PAS.

Bukan saja Pemuda dan Muslimat perlu bergading bahu tetapi Ulama turut bersama melakukan gerak kerja dengan cara berbeza.

Mereka yang pakar ceramah perlu berceramah mendedahkan segala kerakusan dan kebobrokan pimpinan Umno memerintah selama 50 tahun merdeka.

Mereka yang ahli menabur kebajikan perlu diteruskan tanpa mengira bangsa dan agama. Setiap ahli PAS mempunyai peranan masing-masing. Jika peranan itu dilakukan dengan hati terbuka tanpa hasad dengki, insya-Allah kemenangan akan tercapai.

Diakui Muslimat mempunyai jati diri yang kuat tidak mudah lentur walaupun dimaki oleh musuh PAS, jentera Umno.

Mereka sanggup berpanas, berhujan, tinggalkan anak-anak kecil semata-mata mahu melihat kemenangan PAS. Penat berkempen balik ke rumah anak-anak dan suami menanti hidangan.

Itulah realitinya. Ditakdirkan Pemuda tidak mahu bekerjasama dengan Muslimat untuk gerak kerja pilihan raya, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mendekati hati rakyat.

Mungkin tinggal 100 hari menjelang pilihan raya. Terlalu pendek bak kata pepatah, `air dah paras hidung', tak sempat hendak buat apa-apa.

Dengan kesempatan yang sedikit ini, kerja perlu diteruskan. Buangkan segala hasad dengki, tidak mahu bekerjasama, rendah diri dan jangan prasangka buruk terhadap peranan orang lain.

Muslimat, Pemuda dan Ulama perlu bersatu hati bekerja bersama-sama. Jangan menuding jari ke arah orang lain tetapi tudinglah jari ke arah diri sendiri. Baru boleh tahu sejauh mana keberkesanan kerja kita. - lanh

Hakikat sebenar kehidupan

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita kematian lima beranak di Kluang Johor yang mati dalam satu kebakaran yang sangat menyayatkan hati. Seluruh negara memberikan tumpuan kepada tragedi ini dalam suasana kerajaan sedang bersedia untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke lima puluh.

Lihatlah laporan-laporan yang disiarkan dalam media cetak sepanjang hari semalam. Utusan Malaysia dengan tajuk “Miskin punca rentung -- Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut” membayangkan kepada kita bertapa kesempitan hidup yang dihadapi oleh keluarga mangsa dan rakyat pada hari ini.


Apabila saya dihubungi oleh Timbalan Yang Di Pertua PAS Kluang yang tinggal berhampiran dengan lokasi kejadian, saya beranggapan bahawa kemungkinan kebakaran tersebut tidak melibatkan kehilangan nyawa kerana sebelum daripada peristiwa ini, terdapat sebuah rumah yang terbakar hangus di kampung yang sama . Namun apabila saya tiba di sana saya terkejut apabila kehadiran masyarakat terlalu ramai dan barulah saya tahu kebakaran tersebut telah mengorbankan lima nyawa.

Saya lahir, membesar dan menetap di Kluang sehingga ke hari ini. Pada mulanya saya tidak terasa peristiwa ini besar impaknya mungkin kerana saya tinggal di sini sehinggalah apabila ramai yang menghantar SMS dan menghubungi saya selepas peristiwa ini disiarkan dalam Buletin 1.30 tengahari di TV3.

Pimpinan PAS Kawasan Kluang yang peka dengan kejadian seperti ini sentiasa silih berganti daripada awal pagi sehinggalah ke lewat petang berada di tempat kejadian.

Ada beberapa perkara yang perlu kita lihat secara mendalam terhadap peristiwa ini melalui pengamatan saya apabila berada di tempat kejadian dan menerusi berita yang dilaporkan dalam media.

i. Allahyarham Kasmuri Jasman bekerja sebagai kakitangan syarikat Malaysian Mosaics Sdn Bhd di Kluang manakala Allahyarham Sufiah Abdul Karim bekerja sebagai pembantu kedai makan.

ii. Pendapatan Kasmuri adalah sebanyak RM 1,800 sebulan.

iii. Kasmuri mempunyai tujuh orang anak dengan tiga daripadanya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

iv. Mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa dua bilik dengan kadar sewa RM200 sebulan.

v. bekalan elektrik ke rumah itu baru dipotong lima hari kerana Kasmuri tidak dapat menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM800.

vi. Sejak lima hari lalu keluarga itu menggunakan api lilin untuk menerangi rumah dan dikatakan menjadi punca kepada kebakaran.

Pada pengamatan saya, Allahyarham Kasmuri adalah seorang suami yang dan ayah yang bertanggungjawab dan prihatin kepada isteri dan anak-anak. Dalam kesempitan hidup untuk menyara isteri dan anak-anak, Kasmuri tidak menjadikan semua itu sebagai alasan untuk menyekat anak-anak meneruskan pengajian di peringkat yang tinggi.

Tiga orang anak-anaknya berada di institusi pengajian tinggi tempatan iaitu anak sulungnya, Faezah, 20, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang; Salahuddin, 19, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Batu Pahat dan Juliana, 18, pelajar kolej matrikulasi di Pulau Pinang.

Sebagai seorang ayah yang ingin melihat kejayaan anak-anak dalam pendidikan dan kehidupan masa hadapan, bergelap pada malam hari kerana tidak mampu membayar bil elektrik yang tertunggak sebanyak RM 800 bukanlah satu masalah kepadanya. Bukan saya menyokong tindakannya untuk tidak membayar bil elektrik tetapi saya berbangga kerana beliau sanggup berkorban untuk anak-anaknya. (tiba-tiba air mata saya mengalir kerana teringat kepada aruah ayah saya yang sanggup berhutang untuk memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran)

Itu adalah kisah pengorbanan seorang ayah yang akhirnya terkorban dengan apa yang dikorbankannya. Begitu juga dengan Allahyarham Sufiah Abdul Karim yang terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan semata-mata untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh suaminya. Ketaatan kepada suami dan kasih sayang kepada anak-anak menjadi dorongan kepadanya untuk menjadi isteri dan ibu yang tabah dalam menghadapi ujian hidup.

Inilah sebenarnya kisah kehidupan rakyat dalam negara kita. Berapa ramai lagikah yang akan menerima nasib yang sama. Hidup rakyat semakin hari semakin tertekan. RM 1,800 bukanlah satu nilai yang tinggi pada masa ini. Harga barangan melambung tinggi, kos pendidikan semakin tinggi dan kos kehidupan semakin naik. Kos pembiayaan anak-anak di menara gading semakin tinggi sedangkan biasiswa semacam tidak ada lagi.

Bayangkan, dengan pendapatan RM 1,800 dianggap sebagai miskin, bagaimana pula dengan pendapatan rakyat yang rendah daripada itu?

Thursday, August 9, 2007

TRAGEDI DI KAMPUNG TENGAH KLUANG, JOHOR

Hari ini kita dikejutkan dengan berita kematian lima sekeluarga yang terbunuh dalam satu kebakaran rumah berkembar yang berlaku di Kampung Tengah Kluang di negeri Johor.

Mereka yang terbunuh adalah Kasmuri Jasman, 44, isterinya Sufiah Abdul Karim, 41, dua anak lelaki mereka, Hishamuddin, 13, dan Nizammuddin, 9, serta anak perempuan, Nurul Macella, 8.

Kesemua mayat telah ditemui berada dalam rumah tersebut. Mayat Kasmuri yang rentung dijumpai bersama mayat anaknya, Hishammuddin di dalam bilik air rumah kayu setingkat itu.
Mayat Hishammuddin dijumpai tersorok di bawah singki bilik air itu. Mayat Sufiah dijumpai menindih anak bongsunya, Nurul Macella manakala mayat Nizammuddin di sisi mereka.

Pimpinan PAS Kawasan Kluang diketuai oleh Yang Di Pertuanya, Tuan Haji Zainudin Gadzali, Mohd Nor Mohamad (TYDP), Nor Ain Sakib (NYDP), Khairul Anuar Ahmad Kamil (Ketua Pemuda PAS Kawasan) dan beberapa pimpinan PAS yang lain telah hadir ke lokasi seawal pagi bagi melihat sendiri kejadian yang sangat menyedihkan ini.

Difahamkan bahawa sudah beberapa hari keluarga tersebut bergelap kerana bekalan elektrik telah dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana masalah tunggakan pembayaran. Jiran tetangga mangsa memberitahu bahawa Allahyarham Kasmuri terpaksa melewatkan pembayaran bil yang tertunggak kerana ingin menjelaskan bayaran-bayaran yuran anak-anak beliau terutamanya yang sedang menuntut di menara gading.

Tiga anak pasangan malang itu iaitu Salahuddin, lingkungan 20-an menuntut di Kolej Universiti Tun Hussein Onn (Kuittho); Faizah Nor, lingkungan 20an di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Juliana, 19, penuntut matrikulasi di Universiti Sains Malaysia (USM).

PAS Kawasan Kluang merakamkan ucapan takziah kepada anak-anak dan keluarga mangsa dan berharap peristiwa ini dapat diterima dengan redha.

Haji Zainuddin ketika ditemui diperkarangan rumah tersebut berkata kebakaran mungkin berpunca daripada lilin yang digunakan oleh mangsa kerana ketiadaan bekalan elektrik.

Beliau berkata, inilah yang sebenarnya dihadapi oleh rakyat ketika ini yang dihimpit dengan masalah ekonomi.

“Saya percaya bahawa Allahyarham Kasmuri terpaksa merelakan bekalan elektriknya dipotong semata-mata ingin menyelesaikan masalah perbelanjaan anak-anaknya yang menuntut di pusat pengajian tinggi” katanya.

“Inilah nilai pembangunan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat yang terpaksa mengikat perut sedangkan terdapat pemimpin yang hidup dalam kemewahan” katanya lagi.
Kesemua jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belahan Tampuk, Rengit, Batu Pahat selepas selesai proses bedah siasat petang tadi.
Berita oleh : Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang.
Pasukan Bomba sedang menyiasat punca sebenar kebakaran

Murid sekolah tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri lokasi kebakaran setelah mendapat maklumat daripada guru di sekolah.

Orang ramai bertali arus hadir ke tempat kejadian sehingga ke lewat petang tadi.


Sumber : Minda Kembara


Terdapat ralat dalam alat ini

Diari

Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular