Jadikan jenayah isu utama pilihan raya
Keadaan jenayah yang berleluasa di negara ini sudah berada pada peringkat keterlaluan. Statistik dan punca berlaku jenayah sudah menjadi alasan membosankan. Banyak pelakuan jenayah tidak dilaporkan kerana orang umum yakin polis tidak ada penyelesaian. Keselamatan rakyat tanggung jawab utama kerajaan. Apa juga cerita mengenai pembangunan dan wawasan negara maju tidak bermakna jika jenayah berterusan. Tekanan kepada media supaya berita jenayah tidak dibesarkan tidak membawa makna. Seluruh negara merasai perit jenayah. Baru-baru ini ia tertumpu ke Johor Bharu hinggakan orang ramai melakukan demonstrasi. Malangnya dikaitkan pula dengan isu perkauman. Kekuatan polis segera ditambah ke sana. Ibu negeri Johor itu amat strategik dan penting bagi negara terutama usaha membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Tetapi memberi perhatian kepada usaha membendung jenayah semata-mata kerana projek pembangunan adalah kurang wajar. Jenayah seperti merompak, menyamun dan pecah rumah mesti dibasmikan demi kepentingan rakyat. Keselamatan rakyat adalah tanggung jawab pertama kerajaan. Jika jenayah tidak dapat dikawal, maka jelas kerajaan sudah gagal. Rakyat mesti faham perkara ini dan tidak boleh dibiarkan begitu saja. Seruan supaya rakyat bersama membasmi jenayah walaupun ada kewajaran tetapi jika salah diberi penekanan membawa erti bahawa kerajaan tidak perlu memikul tanggung jawab. Hakikatnya rakyat tidak mempunyai banyak upaya menghalang jenayah. Setakat memasang alat penggera dan berpakat dengan jiran berjaga malam, bolehlah dilakukan, tetapi itupun tidak akan dapat menangani jenayah, lebih-lebih lagi jenayah sudah berleluasa dan besar pula kesnya. Apa faktor yang menyebabkan timbul ancaman jenayah ini? Orang ramai tidak dapat mengkaji. Yang boleh membuat kajian dan mencari sebabnya adalah kerajaan. Kerajaan wajar menggemblengkan universiti berkaitan membuat penyelidikan. Secara rambang jenayah meningkat kerana kebanjiran pendatang asing. Kedua, akibat penagihan dadah. Ketiga, faktor ekonomi apabila penjenayah tidak berupaya meraih keselesaan hidup dalam suasana ekonomi sekarang. Semua faktor ini berkait dengan dasar kerajaan. Mengapa negara ini begitu mudah dibolosi pendatang tanpa izin? Mengapa pula masalah ini datang dari Indonesia, tidak daripada Thailand atau Filipina yang juga berjiran. Mengapa Indonesia? Tetapi yang melakukan jenayah bukan saja orang Indonesia, penjenayah tempatan juga banyak. Dari segi kaum, terdapat kongsi gelap Cina yang merompak kedai emas atau sindiket curi kereta. Di kalangan Melayu dikaitkan dengan penagihan dadah, satu masalah yang tidak pernah selesai, satu lagi kegagalan kerajaan. Di kalangan kaum India, aktiviti jenayah juga membimbangkan. Ia dikaitkan dengan kegagalan negara menyediakan peluang pekerjaan. Kerajaan mesti menumpukan perhatian utama memberi keselamatan rakyatnya. Perlu kesungguhan dan kreativiti mencari jalan penyelesaian. Di sinilah juga peranan parti pembangkang termasuk PAS. Mereka mesti aktif menyedarkan orang ramai betapa masalah jenayah ini adalah soal politik yang menunjukkan kegagalan BN. Justeru, pilihan raya akan datang, walaupun banyak isu lain seperti rasuah dan ekonomi, soal jenayah ini adalah yang utama. Ia mesti menjadi sebahagian manifesto pembangkang. Menangani cabaran jenayah datang dalam dua bentuk. Pertama dari segi meningkatkan penguatkuasaan, iaitu pasukan polis mesti dibanyakkan dan diperkasakan. New York pernah menjadi sasaran jenayah paling dahsyat di dunia, tetapi kehadiran pasukan polis yang berkuantiti dan berkualiti menyebabkan ia dapat diatasi. Berjalan di New York lebih selamat daripada di Johor Bharu. Sesuatu yang tidak patut berlaku. Tetapi penguatkuasaan saja tidak mencukupi. Ia perlu diiringi azam politik yang turut dikaitkan dengan ekonomi. Pendatang tanpa izin mesti ditangani dengan tegas. Kekuatan imigresen, pasukan polis marin dan tentera laut perlu ditingkatkan. Alasan pantai Malaysia panjang tidak boleh melemahkan usaha tegas. Bagaimanapun, sekali lagi penguasaan saja tidak mencukupi. Satu perspektif baru perlu dilihat juga berkaitan dengan ekonomi yang menggunakan pekerja asing. Jika pekerja asing memperoleh pekerjaan di negara ini, dan sibuk melakukannya, maka tidaklah mereka terdorong untuk melakukan jenayah. Tetapi ada dimensi di mana soal jenayah ini berada di luar kawalan negara. Kelemahan ekonomi Indonesia mendatangkan kesan kepada kita. Maka sekali lagi kerajaan mempunyai peranan dan kemampuan untuk mencari penyelesaian kreatif yang melibatkan hubungan luarnya dengan Indonesia. Kalau masalah jenayah warga Indonesia benar-benar mengancam, maka puncanya mesti dicari di tanah air mereka. Pelaku jenayah bukan saja warga Indonesia. Ia dilakukan juga warga Malaysia, baik kerana penagihan dadah atau faktor ekonomi. Masalah dadah boleh diselesaikan. Ia tidak mustahil untuk diselesaikan. Sehingga kini tidak dapat diselesaikan kerana tiada kesungguhan. Singapura pun menghadapi masalah Melayu mereka terbabit dengan penagihan dadah. Tetapi akhirnya mereka dapat menyelesaikan masalah itu. Walaupun mereka kecil, tetapi besarnya Malaysia tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak mengatasinya. Faktor ekonomi mesti dipandang serius. Pembangunan masih tidak melata dan menimbulkan jurang lebih luas. Jenayah yang berleluasa menunjukkan kepincangan usaha pembangunan. Setakat menaikkan gaji kakitangan awam dan berusaha mengawal inflasi tidak mencukupi. Ketika mana mereka yang berjaya dalam bidang akademik mendapat peluang mencukupi, mereka yang kurang kemampuan dalam hal ini akan terpinggir. Fenomena Mat Rempit adalah manifestasi peminggiran golongan ini. Mereka tersepit antara warga Malaysia yang berjaya dengan pendatang asing yang mengambil pekerjaan di peringkat bawahan masyarakat. Soal ekonomi juga berkait dengan masalah jenayah yang datang dari kaum India. Mereka juga tersepit antara orang Melayu yang mendapat peluang banyak dengan kaum Cina yang mempunyai kemampuan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan