Sibuk kibar bendera, solat bagaimana?

Oleh Muhammad Hanafi

aSekarang negara sibuk dengan perayaan dan pesta sambut kemerdekaan. Di Melaka pada hari ini (17 Ogos) jam 8.30 malam akan dilancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Bendera oleh PM Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk memenuhi hasrat ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ KM Melaka berharap perhimpunan ini dapat menghimpunkan 100,000 orang (hebat, hebat, hebat) maka dikerahkan segala kakitangan kerajaan hadir. Mereka diwajibkan hadir, jika tidak nama akan diambil.

Satu perkara yang amat merisaukan saya pembabitan pelajar sekolah dalam perhimpunan ini, termasuk anak-anak saya. Murid-murid diminta berkumpul di sekolah masing-masing jam 6.00 petang kemudian bertolak ke Padang Pahlawan, Banda Hilir. Sesetengahnya diminta berjalan beramai-ramai.

Mengapa babitkan budak sekolah? Majlis bermula jam 8.30 malam tetapi mereka sudah berhimpun untuk bergerak jam 6.00 petang. Persoalan di sini bagaimana anak-anak ini akan menunaikan solat maghrib dalam lautan orang ramai itu? Orang dewasa yang taat mungkin dapat mencari ruang untuk solat (mungkin solat di tepi jalan atau di surau berdekatan), tetapi bagaimana ribuan anak-anak itu?

Saya berpendapat alangkah moleknya jika majlis itu dapat dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah di atas Dataran Pahlawan itu. Mungkin PM boleh jadi imam manakala KM jadi bilal. Jika ini diadakan, tentulah puluhan ribu orang Islam yang hadir dapat solat dengan selesa. Buatlah macam di Kelantan, di mana MB Tuan Guru Nik Abdul Aziz jadi imam solat.

Saya juga khuatir nasib anak-anak jika majlis berakhir lewat, misalnya jam 11.00 atau 12.00 tengah malam. Mungkin perjalanan balik mereka telah diatur oleh guru dan ibu bapa tetapi bagaimana nasib mereka yang terlepas pandang atau ibu bapa yang masih bekerja. Atau mereka yang ketinggalan bas. Bagi saya adalah tidak wajar membiarkan anak-anak, terutama remaja perempuan di luar sana. Keadaan ini mengundang pelbagai hal.

Sehubungan itu saya merayulah kepada pemimpin negara, pada majlis-majlis lain pada masa akan datang, janganlah paksa anak-anak sekolah jika ia diadakan pada sebelah malam. Jangan ajar anak keluar malam, nanti jika sudah ketagih keluar malam dan membuat perkara mungkar tentulah pemimpin akan dipertanggungjawabkan di dunia dan juga di akhirat.

Wahai pemimpin, bagaimana kamu mahu menjawab di akhirat nanti jika ada anak-anak terheret dalam gejala tidak sihat pada malam pesta yang kamu anjurkan itu. Sama-samalah kita saling ingat mengingati antara satu sama lain seperti yang terkandung dalam Surah Asr. - lanh


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular