Ahli PAS dinasihat jangan terperangkap provokasi perkauman
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menasihatkan rakyat khususnya ahli PAS supaya tidak mudah terperangkap dengan provokasi perkauman.
Beliau berkata demikian ketika menghubungi Harakahdaily bagi menjelaskan dakwaan menyatakan terdapatnya unsur-unsur perkauman berlaku di Masai.
Menurutnya,pihak polis perlu bertindak segera menyiasat dakwaan yang banyak disebarkan melalui SMS itu dan jika benar maka pihak polis perlu bertindak ke atas pihak tertentu yang dikatakan menjadi punca kepada isu tersebut.
"Jangan hanya kata ada pihak tertentu yang berbuat demikian tetapi siapa pihak itu yang bertindak sedemikian perlu diambil tindakan.Kita tidak mahu ada pihak yang 'baling batu sembunyi tangan',"katanya.
Beliau mengimbau kejadian pada tahun 1987 yang mana kerana provokasi antara Umno dan MCA ketika itu akhirnya pihak lain yang dituduh menjadi punca.
Mahfuz melahirkan kebimbangan jika dakwaan isu perkauman itu hanyalah rekaan pihak tertentu yang mahu menjadi jaguh dengan sengaja untuk diperlihatkan sebagai penyelesai kepada masalah itu.
Dari kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengenai isu tersebut ianya membayangkan bahawa Umno dan BN kini mula untuk menerbitkan persepsi rakyat supaya menyokong kembali Umno/BN, katanya.
Ini kerana setelah mereka melihat kemerosotan sokongan terhadap parti mereka menjelang pilihan raya umum akan datang, dan tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan terdesak untuk mengembalikan sokongan, dakwanya.
Justeru itu beliau menggesa rakyat agar tidak terperangkap dengan isu ini dan tidak termakan dengan provokasi perkauman yang hanya akan menjadikan isu ini lebih parah.
Sebaiknya beliau mencadangkan pihak polis bertindak ke atas pihak tertentu seperti yang didakwa terbabit dengan kejadian ini, dan jika isu ini tidak berlaku, janganlah ia digembar-gemburkan semata-mata untuk tujuan politik, katanya.
Sementara itu dalam satu kenyataan Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyatakan, pihaknya mendapat pelbagai pertanyaan mengenai isu yang didakwa berlaku di Masai.
Katanya pelbagai SMS dihantar mendakwa akan berlakunya huru-hara di Masai dan Pasir Gudang pada 30 Ogos ini.
"Saya telah mengarahkan kepada semua anggota Pemuda PAS di negeri Johor agar tidak mudah panik dan terpengaruh dengan SMS tersebut. Kebimbangan saya adalah ianya adalah merupakan satu episod yang sengaja direka bagi menimbulkan situasi yang tegang di antara kaum kerana kita telah banyak belajar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang sengaja direka untuk kepentingan politik,"katanya.
Semalam, pihak keselamatan telah pun mengadakan pertemuan tergempar dengan parti-parti politik termasuk PAS, badan bukan kerajaan dan ketua-ketua agama bagi menyampaikan hasrat agar semua pihak dapat mengawal keadaan dan menasihatkan kepada semua ahli agar mengambil sikap bertenang, katanya.
Malam ini, satu taklimat khas yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Roslan Ahmad kepada penduduk-penduduk diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Cendana, Pasir Gudang untuk menenangkan keadaan.
Sehingga kini, keadaan di Johor masih lagi terkawal, tidak seperti yang digembar-gemburkan, katanya.
PAS Johor akan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak keselamatan untuk bersama menegakkan keamanan, katanya.
"Paling utama, saya mengharapkan agar semua pihak dapat bertenang dan tidak mudah menyebarkan maklumat yang diragui kesahihannya. Apa yang mampu kita lakukan ketika ini adalah dengan menghadapinya dengan ketenangan dan berserah kepadaNya agar tidak akan terjadi perkara yang tidak diingini,"ujarnya.
Sehubungan itu beliau mendesak agar isu ini tidak dibangkitkan menjadi isu perkauman. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan