Cegah kejahatan perlu pengorbanan

MANUSIA adalah makhluk Allah yang memiliki fitrah ke arah melakukan kebaikan dan menerima kebenaran. Di sisi yang lain pula manusia sering terjebak dalam kancah kekufuran dan kemaksiatan pula akibat daripada keinginan nafsu syahwat yang lahir daripada godaan dunia dan hasutan syaitan dan iblis.

Kegoncangan jiwa ini bukan saja berlaku kepada mereka yang kufur, malah ia juga boleh berlaku di kalangan umat Islam yang lemah keimanan dan ketaqwaannya.

Sifat manusia itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana sifat bahimiyah (kehaiwanan) yang ada pada diri manusia sering memerangkapnya kepada desakan dan pengaruh nafsu syahwat. Menurut Iman al-Ghazali dari segi fitrahnya sifat bahimiyah ini penting kerana sifat ini mendorong manusia mencapai kesihatan badan melalui keperluan kepada makanan, kediaman, tidur, seks dan perkara yang diperlukan oleh jasad (tubuh badan).

Masalah timbul apabila manusia memperhambakan dirinya kepada tuntutan biologisnya semata-mata didorong pula oleh nafsu syahwat yang tidak dapat dikawal.

Dalam ilmu psikologi Barat berlaku pertentangan di antara Teori Psikoanalisis dengan Teori New Freudian mengenai persoalan tingkah laku manusia. Psikoanalisis menganggap bahawa semua bentuk tingkah laku manusia adalah bertitik tolak daripada keperluan dan tuntutan biologi (jasmaniah) insan yang amat kuat dipengaruhi keinginan seks seperti mana yang diteorikan oleh Sigmund Freud.

Sebaliknya, golongan (aliran) kedua pula menekankan manusia sebenarnya memiliki kebebasan memilih dan berupaya untuk menentukan apa yang diingini serta membentuk masa depannya.

Erick Fromm (lahir 1900) seorang ahli psikologi Jerman aliran New Freudian menolak psikoanalis, yang cenderung menyamakan manusia dengan binatang kerana menurut Fromm, binatang tidak pernah peduli dan mengerti tentang kebebasan.

Fromm yang analisisnya lebih berpusat kepada humanisme percaya manusia adalah makhluk yang menghitung dan memiliki kebebasan untuk menentukan masa depan dirinya. Psikologi Islam pula melihat manusia dalam realiti kehidupannya adalah makhluk yang memiliki ‘sistem nafsani’ yang terdiri dari qalb, fitrah, `aql, ruh dan bashirah.

Keseluruhan sistem ini mampu melahirkan tingkah laku, sikap, perangai, cara berfikir dan perasaan (emosi) pada diri insan. Justeru manusia memiliki kecenderungan ke arah melakukan sama ada perkara yang ma’aruf atau perkara mungkar.

Jika kita melihat kepada dimensi rohani, maka manusia sebenarnya boleh digerakkan kepada kesedaran dan tanggungjawab yang mampu mengangkat martabat kemuliaannya sebagai insan. Di sinilah pentingnya aktiviti dan gerakan dakwah dilaksanakan oleh umat Islam bagi menyeru amal maaruf nahi mungkar.

Mungkar adalah sesuatu perkara atau perbuatan yang tidak disukai dan diingkari hati nurani atau jiwa manusia. Ia bermaksud kejahatan, kederhakaan kepada Allah SWT atau perbuatan yang dibenci syarak. Maaruf pula berasal dari istilah ma’rifah adalah segala sesuatu yang disukai oleh hati dan apabila melakukannya ia membawa kepada ketenteraman dan kedamaian hati serta diredha Allah SWT.

Sifat orang mukmin ialah mengerjakan yang maaruf dan pada masa sama meninggal yang mungkar.

Kewajipan melaksanakan amal maaruf nahi mungkar adalah satu kewajipan yang telah dipikulkan kepada umat Islam sebagaimana terkandung dalam surah Ali-Imran, ayat 104 yang bermaksud, “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh membuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”.

Amal maaruf nahi mungkar adalah bersifat mencegah iaitu mencegah berlakunya mungkar (kejahatan) secara terbuka. Ia dorongan kepada manusia untuk membangkitkan iman dalam hati supaya manusia menjauhi apa juga bentuk kemungkaran. Dalam usaha mulia ini kekuatan rohani manusia dibangunkan agar terarah dan suka kepada yang maaruf dan membenci kemungkaran dikembangkan melalui kekuatan iman dan taqwa.

Melalui perintah dalam surah Ali-Imran, ayat 104 itu, maka wujudlah aktiviti “ad-dakwah ila al-khair”, iaitu ajakan atau seruan kepada melakukan kebaikan. Inilah semangat yang dibangkitkan oleh al-Quran kepada umat Islam agar melaksanakan tugas menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kejahatan.

Mukmin lelaki dan perempuan adalah bertanggungjawab dan bantu membantu dalam melaksanakan amal maaruf nahi mungkar selari dengan maksud yang terkandung dalam surah At-Taubah, ayat 71, “Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian daripada mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar”.

Sebaliknya orang munafik lelaki dan perempuan itu menjadi penolong sesama mereka dalam perkara mungkar, “Orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh berbuat mungkar dan melarang membuat makruf” (At-Taubah:67),

Sayyib Qutb dalam Fiqh Dakwah menyatakan al-Quran itu adalah kitab dakwah yang memiliki ruh pembangkit. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Dasar-Dasar Ilmu Dakwah menegaskan bahawa tugas dakwah menjadi perkara yang dituntut ke atas setiap Muslim sama ada secara individu atau secara berorganisasi.

Golongan da’i (pendakwah) adalah golongan yang diberikan kemuliaan oleh Allah SWT kerana pengorbanan mereka melaksanakan kerja dakwah: ”Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada mengesakan dan mematuhi perintah Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang Islam yang berserah bulat-bulat kepada Allah” ( Al-Fussilat:33)

Dakwah satu tugas mulia dan suci yang perlu dijalankan dengan penuh hikmah dan bijaksana melalui contoh teladan (akhlak) yang baik oleh para da’i.

Ini amat perlu diperhatikan oleh pendakwah kerana dirinya menjadi pusat perhatian mad’unya dan masyarakat amnya. Dakwah itu sendiri memiliki sasarannya iaitu “hati” manusia kerana hatilah tempat masuknya hidayah Allah SWT.

Secara skala kecilnya, seruan dakwah boleh diamalkan dalam konteks menyuruh dan mengajak kalangan ahli keluarga, jiran dan sahabat handai melakukan kebaikan atau menunaikan amal ibadat. Dakwah dalam skop dan skala yang lebih besar ialah melaksanakan amal maaruf nahi mungkar sehingga tertegaknya Daulah Islamiyah.

Dakwah jenis ini biasanya digerakkan melalui organisasi Islamiah yang memiliki uslub dan manhaj yang lebih teratur dan bersistematik. Pelbagai pendekatan dan bentuk dakwah wujud adalah disebabkan timbul berbagai bentuk atau ragam pemahaman terhadap kalimat, kaedah, sasaran dan matlamat dakwah itu sendiri.

Berdasarkan hadis diriwayatkan Muslim ada tiga cara seseorang itu mampu bertindak apabila melihat sesuatu kemungkaran berlaku di depan matanya iaitu mengubah kemungkaran itu sama ada dengan tangannya (kuasanya), dengan lidahnya (lisan) dan membenci dalam hati.

Apa yang mesti difahami ialah usaha dakwah tidak boleh dibuat melalui uslub “keganasan” kerana cara ini adalah di luar daripada ajaran Islam. Dakwatul haq (dakwah yang benar) mestilah bersumberkan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW bukannya berasaskan hawa nafsu dan fikiran semata-mata.

Sebagai kesimpulan, usaha menarik manusia kepada amal maaruf nahi mungkar bukannya kerja yang senang kerana ia penuh dengan ujian serta memerlukan pengorbanan dan komitmen cukup tinggi.

Usaha ini perlu dilakukan dengan bijaksana dan berhikmah menepati apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Jalaluddin Rachmat menyenaraikan lima tanda yang boleh dijadikan panduan kepada para da’i mengenai dakwah yang dibuatnya adalah efektif (pada hakikatnya pemberian taufiq dan hidayah adalah hak Allah juga).

Kelima-lima tanda itu ialah: Ia dapat menimbulkan kefahaman (pengertian) kepada mad’u; Ia dapat menimbulkan rasa senang (tidak menyakit atau menyulitkan); Ia mampu mempengaruhi sikap mad’u; Ia mampu membina hubungan yang baik dan mesra dengan mad’u dania mampu menimbulkan tindakan atau perubahan sikap atau tingkah laku.

-Penulis ialah lulusan Sarjana dari UIAM dan kini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular