Cinta kepada agama mengatasi cinta kepada negara

Terdapat pihak yang begitu ghairah, apatah lagi hampir menjelangnya hari kemerdekaan negara ke 50 pada 31 Ogos 2007, banyak program atau aktiviti yang dirancang bagi memenuhi agenda sambutan kemerdekaan yang disambut saban tahun.

Kalau pada tahun-tahun lalu sebelum mencecah kali ke 50, banyak aktiviti serta program yang diatur memperlihatkan betapa masyarakat masih terikat dengan elemen-elemen jahiliyyah abad ke dua puluh satu yang ditinggalkan oleh para penjajah dalam menyambut kemerdekaan negara.

Kalau pada tahun-tahun lalu sebelum mencecah kali ke 50, banyak aktiviti serta program yang diatur memperlihatkan betapa masyarakat masih terikat dengan elemen-elemen jahiliyyah abad ke dua puluh satu yang ditinggalkan oleh para penjajah dalam menyambut kemerdekaan negara.

Tetapi kali ini sambutan diadakan secara 'grand' iaitu besar-besaran yang melibatkan wang ringgit yang bukan sedikit jumlahnya, masa, tenaga serta pengorbanan banyak pihak untuk menyatakan kesanggupan mereka menyambut kemerdekaan negara.

Ada yang berkonvoi dengan membawa jalur gemilang, tidak kurang yang memanjat gunung walaupun menghadapi kesukaran semata-mata untuk memacakkan jalur gemilang, ada yang berenang merentasi lautan Inggeris berjam-jam di dalam air laut semata-mata untuk menaik serta mengharumkan nama negara, dan bermacam-macam kaedah atau pendekatan lain yang kesemuanya bermatlamat untuk kebaikan negara.

Tetapi mereka lupa hingga meletakkan kecintaan kepada negara mengatasi cinta manusia kepada agama mereka, kononnya ia berpandukan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud : Cinta kepada negara sebahagian daripada iman.

Sesungguhnya kenyataan di atas yang kadang-kadang menjadi sandaran umat Islam di Malaysia termasuk segelintir pemimpin negara, sebenarnya sudah tersasar jauh, kerana kenyataan di atas bukanlah hadis yang pernah diungkapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w, tetapi ia adalah termasuk dalam katagori hadis palsu seperti yang disebut oleh Imam as-Saghoni dan juga disebut oleh Imam a-'Ajluni dalam kitabnya "Kasyf al-Khofa' wa Muzil al-Albas" jilid yang pertama, mukasurat 413, terbitan Dar at-Turath, Mesir, tanpa tarikh.

Walaupun dari segi maknanya bagus, tetapi ia tidak boleh dijadikan sandaran rujukan kerana ianya adalah hadis palsu, apabila ada orang yang mengamalkan hadis palsu, iaitu hadis yang tidak disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w, maka orang yang kata ia sabda baginda, maka orang itu telah melanggar ketentuan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi : Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka akan disediakan untuknya bangku yang panas (diperbuat daripada api neraka) hadis mutawatir yang diriwayatkan lebih daripada dua puluh orang sahabat Nabi.

Waspada adalah kunci kejayaan seorang muslim

Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh muslim/muslimah yang sayangkan agama mereka, memahami lima perkara yang wajib dipelihara, perkara ini ada ditegaskan dalam kitab-kitab ilmu agama Islam, antaranya tulisan Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya "Usul ad-Dakwah" yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh Pak Natsir dengan judul "Dasar-dasar ilmu Dakwah".

Lima perkara yang wajib dipelihara itu ialah agama, akal, jiwa, harta, kehormatan serta keturunan, namun memelihara negara tidak termasuk salah satu daripadanya.
Ini bukan bermakna, sebagai warganegara tidak perlu menjaga negaranya, kerana orang-orang kafir juga bersungguh dalam menjaga negara mereka walaupun yang lain-lain tergadai.
Rasulullah dalam sirahnya juga ada menyebut semasa beberapa ketika sebelum berhijrah ke Madinah menegaskan di hadapan Kaabah : Wahai Makkah, Wahai Kaabah! Engkaulah negara yang paling aku cinta (kerana baginda dilahirkan di situ), tetapi kalau tidak kerana penduduk-penduduk Makkah mengusir aku keluar, aku tidak akan keluar. – sila lihat kitab-kitab Sirah.

Nabi juga sayangkan negaranya, tetapi baginda bertindak mengikut arahan Allah untuk ke Madinah kerana agama Islam tidak boleh berkembang di Makkah, atas dasar agamalah baginda meninggalkan Makkah.

Agama menjadi perkara utama dalam agenda perjuangan Rasulullah s.a.w, justeru matlamat tidak menghalalkan cara, itulah kaedah yang diguna-pakai dalam disiplin ilmu "Usul Fiqh".
Matlamat serta cara baginda memelihara agama adalah selari dan sekata, tidak seperti sambutan kemerdekaan negara yang disambut oleh pelbagai lapisan masyarakat, agama bukan lagi menjadi matlamat untuk dipelihara.

Sambutan disambut hingga awal pagi dengan penganjuran konsert-konsert para artis termasuk artis wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, percampuran para peminat atau pengunjung antara lelaki dan perempuan dikatakan begitu bebas, akhlak tidak lagi dipelihara, terkadang-kadang solat diabaikan, akhirnya kerana mahu menjaga serta mengharumkan nama negara, agama menjadi mangsa tindakan liar sebahagian besar umat Islam.

Inilah yang dikatakan matlamat menghalalkan cara, walaupun caranya menjejaskan hukum-hukum Islam, namun ia tidak lagi diendahkan oleh individu bernama muslim.
Persoalan agama akan ditanya dalam alam kubur sedangkan negara tidak.

Apa yang ingin dijelaskan, bahawa penulis bukan tidak sayang kepada negara, malah berbangga menjadi warganegara Malaysia, bukan sahaja di peringkat kebangssan, malah kalau keluar negara pun penulis akan kata, saya seorang warganegara Malaysia.

Namun biarlah sambutan kepada negara diberi pertimbangan waras, begitu juga persoalan agama, ia sepatutnya diberi slot secara meluas menerusi program-program TV, radio, akhbar-akhbar, dengan iklan yang beradab, bersopan, beretika sesuai dengan Malaysia sebagai pengerusi OIC, bukan sahaja mampu menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, malah menjadi contoh pelaksanaan hukum-hukum yang ada di dalamnya.

Kerana semua itu akan menjadi saksi ketika kita berada di alam kubur, Malaikat akan datang bertanya, apa agama kamu, siapa imam kamu, ketika itu kita akan jawab, bahawa Islam adalah agamaku, al-Quran adalah imamku, tidak sedikitpun ditanya mengenai negara.
Agak-agaknya sudahkah kita bersedia dengan jawaban-jawaban tersebut, ia hanya boleh dijawab oleh amalan kita, bergantung pula kepada sejauh mana amalan yang kita lakukan semasa hidup di dunia, sama ada amalan Islamkah, Sekularkah, Komuniskah atau isme-isme yang lain.

Kita tidak mahu berbangga dengan anak-anak muda yang sanggup berkorban untuk negara pada masa akan datang, tetapi pada masa mengorbankan aspek agama mereka, dan bangga anak-anak muda kita berjaya dalam hiburan atau sukan, tetapi tidak menjaga solat mereka, akhlak, sopan santun, budi bahasa dan lain-lain, yang kesemua itu melambangkan jati diri kita sebagai orang yang beragama.-Az

Ustaz Zainudin Hashim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular