DEB sah dan terbukti gagal, yang tinggal hanya semangat!

Oleh Subky Abdul Latif

EKORAN gelora polemik semangat Dasar Ekonomi Baru yang terbengkalai setelah dilancarkan 37 tahun dulu cuba dihidupkan semula Umno dan berazam untuk mempertahannya.

Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, bahagian Perdana Menteri, meluluskan sebulat suara usul mendesak kerajaan supaya semangat dasar itu dipertahankan. Usul itu adalah kemuncak dari perbahasan pelbagai pihak bagi menilai semula dasar itu.



Apa yang cuba dipertahankan sekarang nampaknya adalah sekadar semangatnya iaitu penyusun semula masyarakat dan membasmikan kemiskinan Bumiputera.

Secara terbuka semangat itu diakui baik malah semangat itu ikut merangsang PAS membentuk kerajaan campuran Perikatan-PAS tahun 1973 dan pembentukan bersama PAS-Perikatan dalam gagasan Barisan Nasional.

PAS kemudiannya dikeluarkan dari BN. Kerajaan BN menanganinya hingga ia gagal dalam suasana yang amat memalukan.

Setelah tempoh pelaksanaannya selama 20 tahun tamat dalam tahun 1990, pentadbiran Dr Mahathir menggantikan dasar yang gagal dan terbengkalai itu dengan suatu yang tidak bernama bagi tempoh 30 dan akhirnya dasar itu dirumuskan dalam apa yang dipanggil Wawasan 2020.

Pentadbiran Dr Mahathir dan Umno selepas 1990 itu tidak lagi menyebut DEB yang gagal mencapai matlamatnya itu.

Tidak siapa dari kalangan Umno dari atas hingga ke bawah mahu mengira bahawa kegagalan DEB mencapai matlamatnya itu sebagai kegagalan kerajaan BN, kegagalan Umno serta kegagalan para pemimpin Umno dan kerajaan.

Bila-bila masa dan di mana-mana pemimpin Umno dan pemimpin kerajaan terus mendakwa Umno-BN mencapai kejayaan besar dan menjadi negara contoh tanpa rasa malu tentang kegagalan DEB itu.

Hingga hari ini orang Melayu dan Bumiputera terus menjadi golongan yang miskin, tidak memberangsangkan baik dalam ekonomi, pendidikan, bahkan mencemaskan dalam bidang sosial dan budaya.

Pemimpin Umno dan kerajaan masih bergaya seperti dulu dalam meuar-uarkan pembangunan ekonomi. Sebelum DEB dan selepas DEB ke mana-mana saja Tun Ghafar Baba mengumumkan peruntukan berjuta-juta. Ada duitkah tak ada duitkah, tiada siapa tahu, tetapi Ghafar membuat pengumuman projek berjuta-juta.

Sekarang selepas RMK9 dilancarkan Perdana Menteri Abdullah Badawi sudah tidak main juta-juta lagi tetapi bilion-bilion. Apa saja projek dalam WPI harganya bilion. Umum pula pembangunan Koridor Utara yang melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, semuanya bilion belaka.

Tetapi apabila dikaji pencapaian DEB kemajuannya dalam masa 20 tahun dari 1970-1990 bak kata filem Nujum Pak Belalang arahan P.Ramlee ‘sikit, sikit.’

Kebanyakan orang Melayu setuju dasar itu baik. Semua orang Malaysia setuju kejayaannya bergantung pada pelaksanaannya, dan semua orang setuju yang pada dasar itu hanya semangat tetapi bukan pencapaian. Pencapaiannya ‘sikit, sikit.’

Yang Umno cuba bangkitkan tentang kehebatan DEB itu sekadar semangatnya. Yang masing-masing cuba pertahankan hanya semangatnya. Bukan pencapaiannya. Pergi setan dengan pencapaian, yang penting dan yang baik ialah semangatnya.

Kerajaan diminta mempertahankan semangatnya, bukan menuntut kerajaan menjayakan matlamatnya di luar tempohnya. Kerajaan mahu melihat RMK9 dan koridor-koridor berjaya dan di mana dalam pelaksanaan RMK9 itu boleh diselitkan semangat DEB itu?

Abdullah Badawi pernah berkata, kita tak mahu tongkat. Kalau dengan tongkat saja pun kerajaan BN tidak berdaya mencapai matlamat DEB, maka bagaimana pula yang tidak bertongkat.

Kalau cara Umno-BN bekerja seperti yang berjalan di bawah empat Perdana Menteri dulu, maka tidak apa yang dapat dibuat oleh kerajaan yang sudah lama ini.

Suara mempertahankan semangat DEB oleh Umno itu sama seperti mereka memperjungkan nasib orang Melayu. Daripada sebelum Umno ditubuhkan hinggalah sekarang Umno mendakwa memperjuangkan nasib orang Melayu. Tapi yang dibuatnya semuanya tidak menjanjikan masa depan yang baik dan selesa bagi orang Melayu.

Tiada apa lagi yang tinggal pada Melayu selain Raja-Raja Melayu. Penolakan Malayanunion dulu adalah kerana mempertahankan Raja-Raja Melayu. British bagi apa yang Dato Onn dan Umno mahu, iaitu Raja-Raja. Tetapi British faraidkan segala isi dan nilai bumi Tanah Melayu itu kepada orang yang memiliki Malaysia selepas merdeka.

DEB cuba membahagikan 30 peratus dari kek baru selepas DEB dilancarkan kepada Bumiputera. Teorinya begitulah. Tetapi hakikatnya bahagian 30 peratus itu juga diagih untuk semua kerana semuanya adalah sama dan sama-sama berdaulat.

Tidakkah DEB itu sendiri sudah sudah jadi barang lama? Walaupun tempohnya berakhir 17 tahun lalu, tetapi sudah banyak yang baru selepas itu. Maka yang baru 17 tahun berlalu itu seperti memasuki ke alam lama. Tidak terfikirkah mempertahankan semangat DEB – bukan pencapaiannya – seperti menilai brang-barang lama. Barang-barang peninggalan lama dinlai dan dihargai kerana ada nilai kebaikannya.

Penilaian itu bukan untuk dinikmati sebagai barang keperluan semasa, tetapi ia untuk disimpan dalam muzium. Apabila semangat itu dipertahan, dengan menempatkannya dalam muzim, maka orang akan datang dapat mengetahui bahawa yang baik bagi DEB itu ialah semangatnya, bukan pencapaiannya.

Apabila Abdullah mengambil alih pentadbiran, beliau melancar program Islam Hadhari. Katanya, Islam Hadhari bukan agama baru, tetapi adalah program untuk memajukan umat Islam supaya mereka dapat hidup setanding dengan penganut agama lain di dunia.

Ia disokong semua orang walaupun ia ada menggunakan kalimah Islam. Mengikut maksud al-Quran, Yahudi dan Nasara tidak akan reda apa juga yang datang dari Islam kecualilah mengikut kemahuan mereka itu. Islam Hadhari kononnya disokong semua. Kita tidak tahu tentang orang Yahudi di Malaysia, tetapi Nasara memang banyak dan berkembang. Mereka pun tidak membantah Islam Hadhari.

Islam Hadhari adalah untuk memajukan orang Islam. Orang Islam di Malaysia adalah Bumiputera. Kalau Islam Hadhari itu satu konsep mengangkat martabat orang Islam, kira-kira sama dengan maksud dan semangat pelancaran DEB, maka apa perlunya membangkitkan semua isu DEB dan semangat kemurniannya.

DEB dipertikai kaum lain. Tetapi Islam Hadhari tidak dipertikai semua, kecuali PAS saja yang mempertikainya. Apa salahnya Islam Hadhari itu dikembang dan digembleng kiranya ia benar-benar mahu memajukan pembangunan?

Apabila Islam Hadhari sudah ada, hendak dibangkit semua semangat DEB, maka di mana lemahnya Islam Hadhari hinggamemaksa Umno Kepala Batas terpaksa mahu menghidupkan semua semangat DEB? Islam Hadari adalah benda baru. Ia seperti tidak dapat menampung kemahuan dan keperluan orang Melayu. Maka Islam Hadhari juga perlu ditampung DEB?

Atau adakah Islam Hadhari juga sudah tidak boleh sampai ke mana-mana?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular