Usrah di sekolah mekanisme penyelesai kebejatan moral pelajar
Pendedahan demi pendedahan yang dibuat tentang masalah remaja dizaman penghujung usia dunia ini jelas memperlihatkan peningkatan yang menakutkan. Semakin kita mengejar detik ketamadunan yang ingin kita julang kembali, semakin menular kemaksiatan yang dibuat oleh bakal pengemudi dunia Melayu di era akan datang.
Dada akhbar harian hari ini membentangkan graf peningkatan yang sama antara kemajuan fizikal dengan kehancuran moral remaja.
Sewaktu dunia di sebelah barat berlumba-lumba untuk kembali kepada suatu ajaran yang mampu mengimbangi teknologi semasa (merujuk kepada nama-nama besar yang memeluk agama Islam mutakhir ini), remaja kita pula sedang sibuk belajar dan berusaha untuk menjadi 'pengikut setia' budaya negatif barat yang semakin tiada penapisannya.
Jelas sekali satu pelan bertindak perlu segera dirangka dan dilaksanakan agar tapak tamadun yang sedang dibina sekarang tidak disediakan kepada generasi yang bakal meruntuhkan nama baik bangsa dan agama.
Rentetan sukarnya membendung masalah disiplin pelajar yang kini mendominasi iklim persekolahan, tumpuan sekolah sebagai pusat melahirkan intelektual dalam masyarakat tergendala.
Lebih merisaukan apabila guru-guru yang ingin membentuk peribadi pelajar menjadi semakin tertekan dan terkadang melepasi had atas alasan yang sepatutnya semua pihak sedar bahawa lebih wajar menyalahkan pendidik yang hanya masuk ke kelas memberi ilmu tanpa menghiraukan peribadi penerima ilmu tersebut (murid).
Ibarat membiarkan pisau (ilmu) berada pada tangan orang yang tidak dikenali, apakah natijah akhirnya bermanfaat atau memudharatkan.
Perkataan 'USRAH' mungkin sekali agak janggal dalam kalangan pelajar yang menuntut di sekolah harian biasa bahkan juga mungkin tidak terlalu mesra bagi sesetengah pelajar sekolah aliran agama.
Apa yang pasti bagi kebanyakan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan beberapa sekolah berasrama penuh (SBP), mekanisma inilah yang telah sekian lama menjadi tunjang bahkan benteng kukuh serta jalan penyelesaian kepada kes-kes disiplin juga masalah sahsiah.
Justeru, kami merasa terpanggil untuk berkongsi usaha dalam agenda mengurangkan gejala negatif khususnya dalam kalangan remaja sekolah.
Proses usrah merupakan satu pertemuan yang dibuat dalam kelompok kecil sekitar tujuh hingga sepuluh orang pelajar dengan dipimpin oleh seorang ketua dipanggil naqib atau naqibah.
Lazimnya satu pertemuan akan dibuat seminggu sekali dengan perbincangan aspek keimanan, ibadah dan akhlak dipandu oleh naqib/naqibah.
Istimewanya, setiap naqib dan naqibah ini terlebih dahulu dipimpin oleh ustaz, ustazah dan guru-guru sebagai pembimbing (murabbi) sebelum berjalannya usrah.
Keunikan usrah ini adalah hubungan rapat (melepasi jangka waktu pertemuan) bagi setiap lapisan pembimbing samada naqib dengan ahli usrah atau naqib dan murabbi dalam berkongsi dan menyelesaikan masalah.
Dengan pelaksanaan sistem usrah ini, hirarki disiplin lebih tersusun bahkan melibatkan semua pihak di sekolah. Kes bebanan kerja (khususnya terhadap warden yang berkorban seluruh masa dan tenaga kepada anak-anak pelajar) pada pandangan saya mampu diatasi.
Setidak-tidaknya sumbangan yang sedikit oleh semua pihak termasuk pelajar sendiri, apabila disistemkan dan diatur dengan bentuk usrah ini, mampu membentuk persekitaran sekolah yang lebih terkawal.
Keselarasan dan keberkesanan sistem usrah ini diiktiraf dengan adanya Buku Panduan Usrah yang diiktiraf penggunaannya oleh Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran Malaysia untuk digunakan oleh semua SMKA seluruh negara.
Dengan adanya teks panduan yang seragam ditambah nilai tanggungjawab pembimbing yang berbentuk piramid ini (satu individu membimbing kelompok yang kecil), kami menanam keyakinan pada Allah s.w.t. bahawa usaha ini adalah wajar dilaksanakan secara serius dan seragam dalam memastikan nilai intelektual dan sahsiah pelajar muslim kembali kepada landasan sebenar seterusnya mampu merealisasikan agenda modal insan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan