Pemuda, Muslimat, Ulama perlu bertaut erat demi kejayaan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Keseriusan PAS menghadapi pilihan raya terbukti dengan kesungguhan ahlinya menghadiri program dianjurkan Badan Perhubungan PAS dan Kawasan di setiap negeri. Ini terbukti apabila di seluruh negara jentera gerak kerja pilihan raya PAS mula dilancarkan secara berperingkat-peringkat oleh pemimpin parti.

Ingatan demi ingatan selain dorongan semangat terus dilontarkan supaya jentera PAS mempunyai kekuatan minda untuk berhadapan dengan musuh utamanya, Umno.

Berdepan dengan pilihan raya tidak cukup setakat memberi motivasi dan semangat. Lebih penting daripada itu, jentera pilihan raya perlu mempunyai kesediaan fizikal dan mental.

Dalam kesibukan jentera PAS menyusun gerak kerja pilihan raya, kedengaran suara di belakang tabir rasa tidak puas hati dengan kesediaan saf Pemuda di setiap Kawasan dan Negeri.

"Pemuda tidak mahu melakukan kerja-kerja seperti semakan daftar pemilih, semua mengharapkan Muslimat.

"Mereka cuma hendak berdemonstrasi di jalanan, kalau demo sekalipun kerja berkempen, semak daftar pemilih tidak dilakukan boleh menang ke? "luah seorang AJK Muslimat Kawasan.

Ini antara luahan Muslimat Kawasan yang tidak senang dengan alasan Pemuda apabila enggan bekerjasama membuat semakan daftar pemilih.

Desakan itu memang perlu tetapi apa ertinya kelantangan Pemuda mendesak SPR sedangkan kerja mendekati pengundi tidak dilakukan? Bolehkah PAS meraih kemenangan mudah dengan hanya melakukan demonstrasi besar-besaran, tanpa kerjasama Pemuda dan Muslimat untuk menghadapi pilihan raya?

Semua ahli politik dan rakyat Malaysia sedang menghitung hari demi hari. Menunggu pengumuman pilihan raya. Tidak sabar bagaikan menunggu `bayi' pertama dilahirkan.

Ada pihak mendakwa pilihan raya akan dilakukan selepas keputusan perbicaraan model Altantuya Sarriibuu. Ada pula mengatakan awal Oktober, akhir November dan Februari 2008.

Apapun, PAS perlu melakukan gerak kerja pilihan raya dengan cekap tanpa prejudis terhadap sayap kanan dan kiri parti atau individu dalam PAS.

Jangan jadikan masalah dalaman parti sebagai penghalang untuk melakukan gerak kerja pilihan raya. Musuh utama PAS adalah Umno. Bukan Muslimat, bukan Pemuda dan individu dalam PAS.

Bukan saja Pemuda dan Muslimat perlu bergading bahu tetapi Ulama turut bersama melakukan gerak kerja dengan cara berbeza.

Mereka yang pakar ceramah perlu berceramah mendedahkan segala kerakusan dan kebobrokan pimpinan Umno memerintah selama 50 tahun merdeka.

Mereka yang ahli menabur kebajikan perlu diteruskan tanpa mengira bangsa dan agama. Setiap ahli PAS mempunyai peranan masing-masing. Jika peranan itu dilakukan dengan hati terbuka tanpa hasad dengki, insya-Allah kemenangan akan tercapai.

Diakui Muslimat mempunyai jati diri yang kuat tidak mudah lentur walaupun dimaki oleh musuh PAS, jentera Umno.

Mereka sanggup berpanas, berhujan, tinggalkan anak-anak kecil semata-mata mahu melihat kemenangan PAS. Penat berkempen balik ke rumah anak-anak dan suami menanti hidangan.

Itulah realitinya. Ditakdirkan Pemuda tidak mahu bekerjasama dengan Muslimat untuk gerak kerja pilihan raya, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mendekati hati rakyat.

Mungkin tinggal 100 hari menjelang pilihan raya. Terlalu pendek bak kata pepatah, `air dah paras hidung', tak sempat hendak buat apa-apa.

Dengan kesempatan yang sedikit ini, kerja perlu diteruskan. Buangkan segala hasad dengki, tidak mahu bekerjasama, rendah diri dan jangan prasangka buruk terhadap peranan orang lain.

Muslimat, Pemuda dan Ulama perlu bersatu hati bekerja bersama-sama. Jangan menuding jari ke arah orang lain tetapi tudinglah jari ke arah diri sendiri. Baru boleh tahu sejauh mana keberkesanan kerja kita. - lanh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular