Demo Bantah Konsert Sesat Hadhari Berhampiran Masjid Tmn. Cendana

Program Karnival Tahun Baru Cina yang diadakan di tempat letak kereta sebuah Pasaraya di Tmn. Cendana baru-baru ini menimbulkan kegelisahan penduduk apabila program tersebut bakal dicemari dengan konsert sebuah kumpulan rock terkenal. Yang membimbangkan lagi apabila konsert tersebut bakal diadakan di tapak pesta yang bersebelahan masjid Tmn. Cendana, tempat di mana kuliah agama dan majlis-majlis kebesaran Islam biasa diadakan.

Program Karnival ini dipercayai mendapat restu Umno bilamana perasmi dan VIP jemputan terdiri dari kalangan pimpinan Umno Bahagian Pasir Gudang.


Laporan Polis

Dengan kerjasama Pas Kawasan Pasir Gudang, Dewan Pemuda membuat keputusan untuk membuat laporan polis kerana pihak penganjur dianggap biadap kerana tidak menghormati rumah ibadah orang Islam yang terletak hanya kurang 100 meter dari pentas utama. Laporan polis telah dibuat pada 27/2/2007 jam 6.45 petang di Balai Polis Pasir Gudang.

Protes Senyap

Setelah selesai solat Isya', orang ramai diantara mereka jemaah diminta berkumpul di perkarangan masjid Tmn. Cendana dan kemudiannya bergerak ke tapak pasar malam bersebelahan dengan masjid tersebut. Kelihatan ramai pengunjung sedang menunggu konsert untuk dimulakan. Mereka kelihatan tidak senang dengan kehadiran kumpulan manusia yang berjubah, berkopiah dan berserban yang dengan sengaja mengambil tempat duduk betul-betul di hadapan pentas utama. Keadaan ini telah merungsingkan pihak penganjur yang kemudiannya mengambil jalan berbincang dengan jawatankuasa pemuda pas yang merangkap ketua cawangan Tmn. Cendana, Sdr. Khairul Anwar. Di akhir perbincangan tersebut, pihak penganjur yang juga ketua KRT 42-55 membatalkan konsert tersebut tanpa ada berlaku perkara yang tidak diingini.

Aktivis Pas dan orang ramai sedang berkumpul untuk mendengar penerangan dari Ketua Dewan Pemuda, Sdr. Syed Othman.

Kerusi di bahagian hadapan telah diisi oleh ajk Pemuda Pas dan penyokongnya sebagai pendekatan perang psikologi kepada orang ramai dan penganjur program.


Penganjur akhirnya beralah dan bersetuju untuk membatalkan upacara perasmian penutup dan persembahan konsert tersebut.

Kelihatan anak muda melayu berpakaian kurang sopan masih menunggu di bahu jalan dengan harapan konsert yang dijanjikan pihak penganjur akan dimulakan tidak lama lagi.

Aktivis pas dan penyokongnya juga sedang menunggu di hadapan pentas bagi memastikan tiada lagi usaha untuk melangsungkan konsert tersebut. Kelihatan menara Masjid Tmn. Cendana (Hijau) tidak jauh dari pentas utama.


Kelihatan bekas-bekas botol arak yang masih baru, dicampakkan ke dalam longkang dan sebahagiannya dipecahkan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa dan orang ramai.


Program Karinval ini telah berlaku sejak seminggu yang lalu di mana acara pertandingan karaoke yg bermula dari 20~24/2 seperti yang dijadualkan. Yang peliknya apabila program karaoke diselangi dengan Ceramah Agama? Adakah ini konsep Islam Hadhari yang Umno perjuangkan?


Masyarakat Lemah bila suka berhibur

Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang kesal dengan penganjuran program berbentuk maksiat seperti ini lebih-lebih lagi ianya diadakan dengan membelakangkan sensitiviti umat Islam serta kesan jangka panjang kepada nilai peradaban bangsa di negara yang tercinta ini. Tidak mungkin negara akan maju apabila akhlak dan pemikiran masyarakat berada di tahap yang amat membimbangkan seperti sekarang ini. Kita lihat gejala suka berhibur yang keterlaluan telah membanjiri media massa seperti tv dan radio. Janganlah pula ditambah lagi dengan perkara-perkara seperti ini.

Amar Makruf Nahi Mungkar

Inilah yang dianjurkan oleh Allah dalam al-quran agar menyeru umat manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Bukan seperti sesetengah golongan yang hanya berdakwah di masjid tetapi membiarkan kemungkaran berlaku di sekelilingnya! Inilah kesilapan konsep dakwah yang mereka imani sehingga ada juga imam dan bilal yang menghalang orang ramai dari berkumpul di perkarangan masjid disebabkan kesamaran mereka mengenai fungsi sebenar masjid.

Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang berharap agar masyarakat negara ini khususnya penduduk Tmn. Cendana lebih peka dan sensitif dengan perkara ini agar program-program yang merosakkan akhlak dan nilai diri manusia perlu ditentang habis-habisan. Mereka(pihak penganjur) semuanya kenyang dengan habuan projek-projek sebegini tapi generasi kita semakin hancur akibat kelalaian kita sendiri. Wallahua'lam.

Johor Dilanda Kemarau Pulak

Mengikut maklumat yang kami terima, boleh dikatakan hampir sembilan panggilan kebakaran yang berlaku di persekitaran Pasir Gudang setiap hari berikutan cuaca panas luar biasa akhir-akhir ini.

Pemuda Pasir Gudang Beri Sumbangan Limau Mandarin kepada Masyarakat Cina






Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang pada 17hb Februari yang lalu telah turun ke Tmn. Megah Ria dan Kota Puteri berjumpa dengan masyarakat Cina untuk memberi sumbangan berupa Limau Mandarin dan makan ringan. Langkah ini telah mendapat respon yang amat baik dari masyarakat Cina dan ada dikalangan mereka seperti tidak percaya yang pihak Parti Islam Pas boleh memberi sumbangan seperti ini. Mengulas isu itu, salah seorang dari masyarakat Cina di sini berkata bahawa ini kali pertama dalam sejarah hidup dia masyarakat Islam memberi limau kepada dia dan beliau juga memberi sokongan kepada pendekatan ini agar imej Parti Pas tidak dipandang sebagai parti yang ekstrem dan hanya terkongkong dengan semangat kebangsaan melayu semata-mata."

Rakyat Tagih Janji

Pengguna lebuhraya dan penduduk pasir gudang tagih janji dari wakil rakyat yang setiap kali pilihanraya menjanjikan lebuh raya yang baru. Keadaaan lebuhraya pasir gudang bertambah rumit ketika waktu puncak. Keadaan bertambah buruk apabila berlakunya kemalangan.

Mengikut maklumat daripada JKR, satu hari kenderaan ulang-alik hampir 90,000 kenderaan.
Inilah satu-satunya jalan yang digunakan oleh pengguna lebuh raya ini. Dengan pertambahan bilangan penduduk dan juga taman-taman perumahan dan juga pembinaan kilang perindustrian memberi kesan kepada seluruh pengguna lebuhraya.


Keluhan seorang pengguna yang kami temuramah, sdr. Halim mengatakan bahawa beliau sudah bosan dengan keadaan kesesakan ini. "Bayangkan biasanya saya balik dari tempat kerja di Pasir gudang di Jalan Keluli ke rumah saya Tmn. Rinting yang jaraknya hanya 5 km sahaja kadangkala mengambil masa hampir satu jam setengah ketika berlakunya kesesakan lalulintas. Andainya tiada kesesakan maka saya hanya memerlukan 10minit sahaja. Sekarang ni setiap hari saya tempoh kesesakan. Saya dah bosan. Dulu masa pilihanraya wakil rakyat saya kata nak buat Lebuhraya baru. Dah dua kali saya mengundi tapi mana leburaya yang dijanjikan? Saya pun dulu berkempen untuk menangkan parti saya(umno) tapi kali ni tahula." Ujar beliau melepaskan geramnya.

Bahana Islam Hadhari - Rumah Urut Menjadi-Jadi!

Kebanjiran rumah-rumah urut yang heboh diperkatakan di dada akhbar perdana pada hakikatnya berlaku juga di kawasan Pasir Gudang terutamanya di Permas Jaya yang berselindung di sebalik perkataan Pusat Rawatan Tradisional tetapi hakikatnya mereka menjalankan aktiviti sampingan. Persoalannya, bagaimana pusat-pusat rawatan tradiosional ini mendapat kebenaran beroperasi daripada pihak tertentu yang ketika ini tumbuh bagai cendawan?. Adakah pihak-pihak bertanggunjawab membuat pemantauan di segi pematuhan peraturan dan syarat-syarat kelulusan serta apakah aktiviti yang sebenarnya mereka jalankan?

Kita mempersoalkan bagaimana begitu mudah pusat-pusat ini menjalankan aktiviti mereka tanpa dipantau oleh pihak-pihak tertentu? Menurut satu sumber terdapat juga di kalangan pekerja pusat rumah urut tersebut terdiri dari kalangan gadis-gadis melayu berdasarkan hasil maklumat yang diterima. Bukan hanya setakat rumah urut bahkan hari ini kelab-kelab malam tumbuh bagai cendawan di Permas Jaya yang di mana terdapat juga di kalangan anak remaja melayu turut bekerja sebagai GRO.

Mahathir Ungkit Lagi Isu Jambatan Indah


Tun. Dr. Mahathir sekali lagi membangkitkan isu jambatan indah ketika beliau berucap di satu majlis yang diadakan di Hotel New York, Johor Bahru pada hari Sabtu yang lalu. Dalam ucapannya beliau juga menyentuh sejarah perjuangan Umno dan pengorbanan bekas-bekas perdana menteri yang mempertahankan Umno walaupun Umno diuji berbagai masalah dalaman tetapi Umno kukuh. Menurut beliau antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah penubuhan Parti Semangat 46 yang disebabkan oleh berlakunya perpecahan dalaman Umno. Tetapi Umno tetap menang dalam pilihanraya dan Umno masih disayangi oleh orang Melayu dan juga peristiwa pemecatan bekas timbalan Perdana Menteri sekali lagi, Umno mengalami perpecahan. Begitupun Umno masih disayangi oleh Orang Melayu.

"Saya tetap sayang Umno, saya sayang Umno," kata Mahathir. Menurut beliau lagi, beliau kecewa kerana Jambatan Indah yang dirancang semasa beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri dahulu tidak diteruskan oleh pengganti beliau walaupun ianya tidak mendapat tentangan dari Rakyat Johor sendiri.


Dalam sessi soal jawab, wakil dari NGO bertanya,"Tun, dulu semasa Tun sebagai PM ketika Tun berada di Arab Saudi, Tun mengisytiharkan Malaysia Negara Islam, tetapi apabila Perdana Menteri yang baru mengisytiharkan Islam Hadhari, apa pandangan Tun?".

Tun menjawab bahawa Islam Hadhari tidak betul.

"Islam Hadhari itu tak betul, yang saya tahulah Islam ni ikut Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Tu dia (Pak Lah) sendiri yang buat, " jawabnya sinis.

Soalan kedua dari seorang wakil media, "Adakah Tun menyesal melantik Pak Lah sebagai pengganti?".

"Ya, saya mulanya ingatkan dia Mr. Clean, saya percaya dia, saya serah lah tugas untuk dia tapi lain pulak sekarang ni... dia memperkayakan anak beranak dia. Pasal tulah saya tak bagi anak saya bertanding. Saya tak nak orang kata saya memperkayakan anak beranak saya." Jawab beliau.

Majlis tersebut dihadiri hampir 300 orang walaupun sasaran adalah hampir seramai 600 orang. Ketua Pemuda Pasir Gudang, Syed Othman yang turut hadir di dalam majlis itu telah ditemuramah oleh seorang wartawan mengenai isu jambatan indah yang disebutkan oleh Tun.


"Kita menyokong penuh mengenai isu jambatan yang disebutkan oleh Tun dalam ucapannya. Tetapi kenapa Tun hanya menyerang peribadi Pak Lah sahaja, kenapa beliau tidak bongkarkan masalah dalam Umno sendiri yang diakhir-akhir ini Isu rasuah sedang hangat diperkatakan terutama isu yang melibatkan timbalan perdana menteri sendiri yang didedahkan dalam harakah baru-baru ini. Mengapa beliau tidak bangkitkan isu ini jika benar beliau sayangkan Umno dan membenci amalan rasuah dalam Umno sebagaimana ketika beliau kalah dalam pemilihan perwakilan bahagian Umno baru-baru ini?." demikian persoalan yang dibangkitkan.

Bongkar Isu Semasa dan Panas.. Nantikan kemunculannya..

Dewan Pasir Pas Pasir Gudang akan mengupas segala isu-isu yang terkini dan isu-isu yang melibatkan setempat termasuk isu yang sedang hangat diperbincangkan di media hari ini iaitu isu Rumah urut. Bagi kami khususnya di Pasir Gudang, terutama kawasan Permas Jaya merupakan kawasan yang paling banyak terdapat pusat-pusat rumah urut yang beroperasi secara berleluasa. Di samping itu kami juga akan membongkarkan segala kepincangan kerajaan negeri Johor dan juga pihak berkuasa tempatan. Kami tidak ingin mencari kelemahan atau pun kesalahan mereka semata-mata tetapi atas dasar tanggungjawab kami kepada rakyat marhaen khususnya di kawasan Pasir Gudang dan juga isu gejala sosial serta isu penyelewengan Umno Bahagian Pasir Gudang. Nantikan laporan-laporan yang bakal kami bongkarkan!

Penduduk Tmn. Cendana Gempar Amaran Menyita Rumah


Penduduk taman.cendana gempar apabila Pej. Setiausaha kerajaan negeri johor memberi amaran akan menyita rumah mereka kerana kegagalan membayar sewa bulanan sebanyak RM100 sebulan. Kebanyakan mereka gagal membayar tunggakan sewa bulanan sehingga mencecah 3 tahun. Kebanyakan penghuni rumah ini adalah penghuni yang dahulunya tinggal di kawasan setinggan Kg. Sg. Rinting dan Kg. Bakar Batu. Kesemua mereka adalah di kalangan orang Melayu.

Dalam pertemuan Ketua pemuda dengan seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, beliau menyatakan bukan dia tidak mahu membayar sewa tetapi kerana kerajaan negeri Johor menjanjikan pampasan kepada mereka yang telah dipindahkan daripada kawasan setinggan ke rumah flet yang disediakan. Tetapi hingga kini hampir 3 tahun beliau tidak menerima sebarang pampasan seperti yang dijanjikan. Walaupun beliau telah meneroka tanah setinggan tersebut hampir 15 tahun namun beliau masih tidak menerima geran sehinggalah beliau diarahkan berpindah.


Kelihatan penduduk Flet Tmn. Cenda Blok 43 berpusu-pusu membayar tunggakan sewa rumah mereka.

Bagi Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang, peristiwa ini menunjukkan bagaimana nasib orang melayu yang merempat di tanah air sendiri walaupun di kalangan mereka ini adalah penyokong setia Umno Barisan Nasional. Bayangkan dengan bayaran Rm100 sebulan orang Melayu tidak mampu membayarnya. Ini membuktikan bahawa Umno ternyata gagal untuk membela nasib orang Melayu dan juga untuk membantu meningkatkan ekonomi bangsanya. Walaupun negara kita telah merdeka hampir 50 tahun di mana Umno merupakan parti yang memerintah yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu tetapi pada hakikatnya nasib Melayu jauh kletingglaan dari bangsa dan agama lain. Walaupun banyak dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan tahap ekonomi orang melayu tetapi dasarnya hanya menguntungkan kroni mereka sahaja.

Ceramah Ust. Nasarudin Tantawi


Kehadiran Ust. Nasarudin Tantawi di Pejabat Pas Kawasan Pasir Gudang di Seri Alam, Masai mendapat sambutan yang menggalakkan. Dalam ceramahnya beliau menjelaskan beberapa kekeliruan yang timbul di kalangan orang awam mengenai Parti Pas. Ada yang mengatakan Pas hanya mahu berpolitik malah ada yang melabelkan Pas tidak islamik kerana menyertai pilihanraya. Beliau menyimpulkan bahawa Pas adalah suatu gerakan Islam dan politik hanyalah salah satu dari perkara yang diperjuangkan.

Beliau juga menjelaskan bahawa tindakan barisan pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam akan memberi kesan kepada kedudukan indeks demokrasi negara dan ini pasti membuka mata para pemerhati antarabangsa mengenai sikap sebenar kerajaan terhadap parti pembangkang.



Dalam isu banjir di Johor, beliau berpendapat bahawa bencana ini sedikit sebanyak memberi perubahan kepada penyokong-penyokong Umno yang selama ini sentiasa diberi maklumat yang salah mengenai Pas dalam media. Mereka telah tawar hati dengan Umno bilamana bantuan yang disalurkan melalui Pas lebih efektif dan telus.

Selain dari diberi peluang memberi ceramah sulung di sebuah masjid di Kg. Parit Jawa, beliau perhatikan bahawa terdapat perubahan paradigma ahli-ahli Pas yang dulunya tidak menerima orang yang berfikrah Umno kepada bersifat lebih fleksibel dengan memberi bantuan mencuci rumah-rumah mangsa bencana orang Umno sendiri. Beliau rasakan bahawa bencana banjir di Johor mempunyai hikmahnya tersendiri yang hakikatnya hanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.

Takziah dari kami Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang


Kembalinya anak kepada Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, Ust. Atan Gombang yang bernama Mohd Taufik telah kembali ke rahmatullah pada 26/1/2007 yang lalu. Turut hadir dalam solat jebazah, Ketua Pemuda, YDP dan Wakil Muslimat Pas Kawasan Pasir Gudang serta wakil Pas kawasan-kawasan lain, dan Timbalan Pesuruhjaya Pas, Tn. Hj, Aminulhuda. Jenazahnya beliau dikebumikan di kampung asalnya.


Kelihatan YDP Kawasan memberi ucapan takziah kepada Ust. Atan Gombang. Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang mengucapkan takziah kepada beliau. Semoga roh anaknya ditempatkan bersama dengan roh orang-orang yang soleh.

Usrah Mingguan Pas Kawasan Pasir Gudang

Saya amat tertarik dengan pengisian kali ini yang berkisar mengenai wabak Al-Israf yang memberi maksud pembaziran atau berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh seorang ahli perniagaan yang membeli kereta dalam kuantiti yang dikira lebih dari keperluan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau lebih parah lagi bila dia melakukannya semata-mata kerana hobi.

Antara sebab-sebab berlakunya pemborosan ini seperti yang dihuraikan oleh Ust. Roslan adalah:

1) Suasana awal ia dibesarkan.
Anak yang dilahirkan dalam suasana kemewahan dan keborosan akan mengikut rentak keluarganya. Pepatah 'Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi' menjadi petanda yang jelas bilamana anak-anak tidak dididik menurut acuan Islam yang akhirnya akan melakukan gerak-geri mengikut keinginan nalurinya.

2) Kemewahan selepas kesempitan hidup.
Keadaan ini berlaku apabila seseorang yang dahulunya miskin kemudian mewah dan tidak mampu mengawal keinginannya untuk berbelanja secara berlebihan. Kata-kata 'Dulu susah, sekarang dah senang' boleh menyebabkan seseorang terjerumus dalam aktiviti perbelanjaan yang boros.

3) Mendampingi golongan pemboros.
Manusia biasanya akan terpengaruh dengan akhlak temannya. Dari sini kita faham mengapa Islam menitikberatkan kriteria pemilihan sahabat dan teman. Perkara ini mengingatkan saya dengan kata-kata yang agak popular sewaktu di bangku sekolah dahulu, 'Jika berkawan dengan tukang besi, dapat percikan api, jika berkawan dengan penjual minyak wangi dapat baunya pun jadilah'.

4) Lalai dengan bekalan akhirat.
Berlaku pemborosan disebabkan seseorang itu lupa mempersiapkan bekalan untuk ke akhirat akibat kesibukan mengumpul harta di dunia yang tidak kekal. Kisah-kisah mengenai syurga, neraka, hisab di padang mahsyar dsb. telah jauh terpinggir dari ingatannya.

5) Lupa tentang realiti kehidupan manusia secara umum dan umat Islam secara khusus.
Kesempitan hidup umat Islam amat kritikal di serata dunia. Oleh kerana sifat boros mengejar keduniaan dan kemewahan maka isu-isu kemanusiaan didengari tanpa perasaan dan respon yang sewajarnya. Bilamana umat Islam di ditimpa musibah banjir seperti yang berlaku di negeri Johor baru-baru ini, ia mengambil sikap berdiam diri dengan harapan segalanya akan berakhir dengan baik. Ia lupa akan tanggungjawabnya membantu mereka kerana dia lupa bahawa apa yang dimilikinya sebenarnya adalah hasil dari masyarakat yang mengangkat martabatnya ke tahap yang dikecapinya sekarang.

Kesan-kesan Al-Israf:

1) Badan diserang penyakit.
Akibatnya sesorang akan gagal menunaikan tanggungjawab yang dipikulkan keatasnya.

2) Keras hati.
Akibat terlalu banyak berehat, perut sentiasa penuh dengan makanan, hati akan menjadi beku dan tuannya akan terhenti dari melakukan kebajikan dan ketaatan.

3) Lembab daya pemikiran.
Kecerdasan fikiran seseorang akan berkurang apabila perut sentiasa diisi penuh.

4) Rangsangan melakukan kejahatan dan dosa.
Tenaga yang wujud dari kekenyangan yang tercetus dalam diri manusia akan menggerakkan naluri manusia kepada dosa dan maksiat.

5) Menjadi saudara syaitan.
Manusia yang boros sebenarnya sama dengan sifat syaitan yang suka membazir.

Oleh itu, sama-samalah kita menjauhi sifat boros ini yang secara tidak kita sedari memusnahkan gerakan Islam itu sendiri. Gerakan Islam yang sebenar menghadapi musuh dengan senjata Iman dan apabila lemah Iman disebabkan hidup bermewah, berpoya-poya, bersenang-lenang mengecapi nikmat hidup maka akan hancurlah kekuatan gerakan Islam itu sedikit demi sedikit. Bahkan umat Islam akan kehilangan pembela yang diamanahkan untuk membawa panji-panji perjuangan menegak kalimah Allah di muka bumi ini. Akhir sekali, sama-samalah kita memuhasabah diri dan membuat koreksi demi kelangsungan gerakan Islam sehingga ke waktu yang ditentukanNya.

Rujukan:
1) Wabak Sepanjang Jalan Jilid 1, Dr. Al-Syed Muhammad Noh.

Terdapat ralat dalam alat ini

Diari

Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular