Usrah Mingguan Pas Kawasan Pasir Gudang
Saya amat tertarik dengan pengisian kali ini yang berkisar mengenai wabak Al-Israf yang memberi maksud pembaziran atau berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh seorang ahli perniagaan yang membeli kereta dalam kuantiti yang dikira lebih dari keperluan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau lebih parah lagi bila dia melakukannya semata-mata kerana hobi.
Antara sebab-sebab berlakunya pemborosan ini seperti yang dihuraikan oleh Ust. Roslan adalah:
1) Suasana awal ia dibesarkan.
Anak yang dilahirkan dalam suasana kemewahan dan keborosan akan mengikut rentak keluarganya. Pepatah 'Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi' menjadi petanda yang jelas bilamana anak-anak tidak dididik menurut acuan Islam yang akhirnya akan melakukan gerak-geri mengikut keinginan nalurinya.
2) Kemewahan selepas kesempitan hidup.
Keadaan ini berlaku apabila seseorang yang dahulunya miskin kemudian mewah dan tidak mampu mengawal keinginannya untuk berbelanja secara berlebihan. Kata-kata 'Dulu susah, sekarang dah senang' boleh menyebabkan seseorang terjerumus dalam aktiviti perbelanjaan yang boros.
3) Mendampingi golongan pemboros.
Manusia biasanya akan terpengaruh dengan akhlak temannya. Dari sini kita faham mengapa Islam menitikberatkan kriteria pemilihan sahabat dan teman. Perkara ini mengingatkan saya dengan kata-kata yang agak popular sewaktu di bangku sekolah dahulu, 'Jika berkawan dengan tukang besi, dapat percikan api, jika berkawan dengan penjual minyak wangi dapat baunya pun jadilah'.
4) Lalai dengan bekalan akhirat.
Berlaku pemborosan disebabkan seseorang itu lupa mempersiapkan bekalan untuk ke akhirat akibat kesibukan mengumpul harta di dunia yang tidak kekal. Kisah-kisah mengenai syurga, neraka, hisab di padang mahsyar dsb. telah jauh terpinggir dari ingatannya.
5) Lupa tentang realiti kehidupan manusia secara umum dan umat Islam secara khusus.
Kesempitan hidup umat Islam amat kritikal di serata dunia. Oleh kerana sifat boros mengejar keduniaan dan kemewahan maka isu-isu kemanusiaan didengari tanpa perasaan dan respon yang sewajarnya. Bilamana umat Islam di ditimpa musibah banjir seperti yang berlaku di negeri Johor baru-baru ini, ia mengambil sikap berdiam diri dengan harapan segalanya akan berakhir dengan baik. Ia lupa akan tanggungjawabnya membantu mereka kerana dia lupa bahawa apa yang dimilikinya sebenarnya adalah hasil dari masyarakat yang mengangkat martabatnya ke tahap yang dikecapinya sekarang.
Kesan-kesan Al-Israf:
1) Badan diserang penyakit.
Akibatnya sesorang akan gagal menunaikan tanggungjawab yang dipikulkan keatasnya.
2) Keras hati.
Akibat terlalu banyak berehat, perut sentiasa penuh dengan makanan, hati akan menjadi beku dan tuannya akan terhenti dari melakukan kebajikan dan ketaatan.
3) Lembab daya pemikiran.
Kecerdasan fikiran seseorang akan berkurang apabila perut sentiasa diisi penuh.
4) Rangsangan melakukan kejahatan dan dosa.
Tenaga yang wujud dari kekenyangan yang tercetus dalam diri manusia akan menggerakkan naluri manusia kepada dosa dan maksiat.
5) Menjadi saudara syaitan.
Manusia yang boros sebenarnya sama dengan sifat syaitan yang suka membazir.
Oleh itu, sama-samalah kita menjauhi sifat boros ini yang secara tidak kita sedari memusnahkan gerakan Islam itu sendiri. Gerakan Islam yang sebenar menghadapi musuh dengan senjata Iman dan apabila lemah Iman disebabkan hidup bermewah, berpoya-poya, bersenang-lenang mengecapi nikmat hidup maka akan hancurlah kekuatan gerakan Islam itu sedikit demi sedikit. Bahkan umat Islam akan kehilangan pembela yang diamanahkan untuk membawa panji-panji perjuangan menegak kalimah Allah di muka bumi ini. Akhir sekali, sama-samalah kita memuhasabah diri dan membuat koreksi demi kelangsungan gerakan Islam sehingga ke waktu yang ditentukanNya.
Rujukan:
1) Wabak Sepanjang Jalan Jilid 1, Dr. Al-Syed Muhammad Noh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan