Demo Bantah Konsert Sesat Hadhari Berhampiran Masjid Tmn. Cendana
Program Karnival Tahun Baru Cina yang diadakan di tempat letak kereta sebuah Pasaraya di Tmn. Cendana baru-baru ini menimbulkan kegelisahan penduduk apabila program tersebut bakal dicemari dengan konsert sebuah kumpulan rock terkenal. Yang membimbangkan lagi apabila konsert tersebut bakal diadakan di tapak pesta yang bersebelahan masjid Tmn. Cendana, tempat di mana kuliah agama dan majlis-majlis kebesaran Islam biasa diadakan.
Program Karnival ini dipercayai mendapat restu Umno bilamana perasmi dan VIP jemputan terdiri dari kalangan pimpinan Umno Bahagian Pasir Gudang.
Laporan Polis
Dengan kerjasama Pas Kawasan Pasir Gudang, Dewan Pemuda membuat keputusan untuk membuat laporan polis kerana pihak penganjur dianggap biadap kerana tidak menghormati rumah ibadah orang Islam yang terletak hanya kurang 100 meter dari pentas utama. Laporan polis telah dibuat pada 27/2/2007 jam 6.45 petang di Balai Polis Pasir Gudang.
Protes Senyap
Setelah selesai solat Isya', orang ramai diantara mereka jemaah diminta berkumpul di perkarangan masjid Tmn. Cendana dan kemudiannya bergerak ke tapak pasar malam bersebelahan dengan masjid tersebut. Kelihatan ramai pengunjung sedang menunggu konsert untuk dimulakan. Mereka kelihatan tidak senang dengan kehadiran kumpulan manusia yang berjubah, berkopiah dan berserban yang dengan sengaja mengambil tempat duduk betul-betul di hadapan pentas utama. Keadaan ini telah merungsingkan pihak penganjur yang kemudiannya mengambil jalan berbincang dengan jawatankuasa pemuda pas yang merangkap ketua cawangan Tmn. Cendana, Sdr. Khairul Anwar. Di akhir perbincangan tersebut, pihak penganjur yang juga ketua KRT 42-55 membatalkan konsert tersebut tanpa ada berlaku perkara yang tidak diingini.
Aktivis Pas dan orang ramai sedang berkumpul untuk mendengar penerangan dari Ketua Dewan Pemuda, Sdr. Syed Othman.
Kerusi di bahagian hadapan telah diisi oleh ajk Pemuda Pas dan penyokongnya sebagai pendekatan perang psikologi kepada orang ramai dan penganjur program.
Penganjur akhirnya beralah dan bersetuju untuk membatalkan upacara perasmian penutup dan persembahan konsert tersebut.
Kelihatan anak muda melayu berpakaian kurang sopan masih menunggu di bahu jalan dengan harapan konsert yang dijanjikan pihak penganjur akan dimulakan tidak lama lagi.
Aktivis pas dan penyokongnya juga sedang menunggu di hadapan pentas bagi memastikan tiada lagi usaha untuk melangsungkan konsert tersebut. Kelihatan menara Masjid Tmn. Cendana (Hijau) tidak jauh dari pentas utama.
Kelihatan bekas-bekas botol arak yang masih baru, dicampakkan ke dalam longkang dan sebahagiannya dipecahkan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa dan orang ramai.
Program Karinval ini telah berlaku sejak seminggu yang lalu di mana acara pertandingan karaoke yg bermula dari 20~24/2 seperti yang dijadualkan. Yang peliknya apabila program karaoke diselangi dengan Ceramah Agama? Adakah ini konsep Islam Hadhari yang Umno perjuangkan?
Masyarakat Lemah bila suka berhibur
Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Gudang kesal dengan penganjuran program berbentuk maksiat seperti ini lebih-lebih lagi ianya diadakan dengan membelakangkan sensitiviti umat Islam serta kesan jangka panjang kepada nilai peradaban bangsa di negara yang tercinta ini. Tidak mungkin negara akan maju apabila akhlak dan pemikiran masyarakat berada di tahap yang amat membimbangkan seperti sekarang ini. Kita lihat gejala suka berhibur yang keterlaluan telah membanjiri media massa seperti tv dan radio. Janganlah pula ditambah lagi dengan perkara-perkara seperti ini.
Amar Makruf Nahi Mungkar
Inilah yang dianjurkan oleh Allah dalam al-quran agar menyeru umat manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Bukan seperti sesetengah golongan yang hanya berdakwah di masjid tetapi membiarkan kemungkaran berlaku di sekelilingnya! Inilah kesilapan konsep dakwah yang mereka imani sehingga ada juga imam dan bilal yang menghalang orang ramai dari berkumpul di perkarangan masjid disebabkan kesamaran mereka mengenai fungsi sebenar masjid.
Dewan Pemuda Pas Pasir Gudang berharap agar masyarakat negara ini khususnya penduduk Tmn. Cendana lebih peka dan sensitif dengan perkara ini agar program-program yang merosakkan akhlak dan nilai diri manusia perlu ditentang habis-habisan. Mereka(pihak penganjur) semuanya kenyang dengan habuan projek-projek sebegini tapi generasi kita semakin hancur akibat kelalaian kita sendiri. Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan