Amal Jama'ie

Bismillahirohmanirrohim..

Kekuatan organisasi Islam / Jamaah

Apabila membicarakan tentang kekuatan sesebuah organisasi Islam atau jamaah ia akan menyentuh soal asas pembinaan organisasi / jamaah tersebut dan anggota individu yang melibatkan diri di dalamnya. Setiap anggota hendaklah memberi ketaatan dan kesetian kepada pemimpin atau pemerintahan Islam yang diasaskan oleh organisasi Islam / jamaah. Mereka merasakan lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam daripada musuh (al-Maududi 1985:26). Kekuatan akan berupaya selagi mana asasnya masih teguh dan utuh. Faktor utama yang berhubung dengan organisasi atau jamaah ialah (Harun Taib 1991:78)

1. Kekuatan dari sudut tarbiyah

Ia meliputi semua ahli yang terlibat dengan organisasi Islam / Jamaah. Tumpuan utama yang menjadi perhatian dan perhintungan masyarakat ialah kepada para pemimpin jemaah. Pemimpin yang mempunyai pentarbiyahan yang sempurna akan dapat pula mentarbiyahkan ahlinya dengan baik seterusnya akan membawa kepada kekuatan jemaah itu sendiri. Tanggungjawab yang paling besar dan berat ialah memastikan tarbiyah anggota rohiyyah (kerohanian) telah sampai kepada setiap anggota jemaah. Kelemahan tarbiyah boleh mengancam dan merobohkan benteng kekuatan perjuangan Islam.

2. Meletakkan seseorang di tempat yang sesuai.

Organisasi Islam/jamaah yang kuat dan matang ialah yang mengetahui keupayaan anggotanya serta kecenderungan mereka. Berdasarkan pengenalan inilah ia memilih dan memberi tugas yang sesuai dengan kemampuan seseorang. Dari sini seseorang yang ditugaskan itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Keadaan ini akan memantapkn lagi organisasi/jamaah tersebut. Tugas yang diberikan bersesuaian dengan kealiman, pengetahuan, pengalaman dan disiplin seseorang. Tanggungjawab kepimpinan pula mengikut kewibawaan, kewarakan, kejujuran, amanah dan berkebolehan memimpin serta mempunyai pengaruh dikalangan masyarakat. Manakala kedudukan pegawai dan pekerja pekerja Islam lain ditentukan mengikut kebolehan, pengalaman dan kesanggupan untuk meneruskan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.

3. Mengambil berat tentang hal anggotanya.

Organisasi Islam / jamaah yang mantap ialah yang mengambil berat tentang hal ehwal anggotanya. Ini mencerminkan keperihatinan terhadap ahli. Ia akan membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul. Tindakan ini akan mengelakkan anggotanya dari meninggalkan organisasi Islam / jamaah. Ia sentiasa memastikan kebajikan ahlinya. Segala keperluan asaas dalam organisasi Islam / jamaah disediakan untuk kemudahan bersama. Faktor kedua pula ialah yang berkaitan dengan anggota individu dalam sesebuah organisasi Islam / jamaah (Yakan 1987:169):

i) Tabie yang tetap
Seseorang anggota yang telah beriltizam dengan sesuatu organisasi Islam / jamaah itu hendaklah mengekalkan keiltizaman dan kedudukannya tanpa tergugat oleh mana-mana sebab atau situasi yang boleh menyebabkan ianya keluar dari organisasi Islam/jamaah tersebut. Jangan pula mudah terpedaya dan merajuk lantaran kerana terpengaruh dengan situasi dan persekitaran atau oleh nilai kebendaan. Sebagai pengajarannya, kita dapati para sahabat di zaman Rasulullah saw tidak sedikitpun berganjak dari kebenaran Islam walaupun terpaksa menerima berbagai ancaman dan azab yang tidak terperi. Para ulama yang memimpin organisasi Islam/jamaah tidak pernah luntur keiltizaman mereka walaupun terdapat beberapa kepincangan di dalam organisasi atau jamaah tersebut. Mereka tetap berusaha memperbaiki dan memperteguhkan kelemahan yang sedang dialami oleh organisasi/jamaah.

ii) Daya ketahanan jiwa yang tinggi.
Setiap manusia tidak sukakan kejahatan dan tidak sanggup menghadapi permasalahan. Akan tetapi di dalam memperjuangkan hakikat kebenaran Islam, setiap anggota pejuang tidak boleh lari dari permasalahan. Kadang-kala permasalahan menyebabkan perasaan lemah semangat dan kabur harapannya. Oleh itu untuk mengatasi masalah ini, setiap anggota yang terlibat dengan organisasi / jamaah hendaklah mempunyai ketahanan jiwa yang kuat, berbekalkan iman dan ketakwaan kepada Allah swt. Amalan-amalan sunat, amalan-amalan mulia (Fadhail al A'mal) dan sentiasa mengingati Allah (Zikrullah) adalah perkara-perkara yang boleh membantu memperteguhkan jiwa. Anggota jamaah yang sentiasa bertaqqarub kepada Allah swt tidak boleh bersifat putus asa, lemah semangat dan putus harapan.

iii) Tidak melampau
Kemampuan anggota hendaklah dikenalpasti sendiri oleh setiap anggota tersebut. Kawalan dalam diri perlu diutamakan supaya tidak bertindak luar kemampuan atau secara emosi. Sikap melampau ini akan mengakibatkan seseorang itu mudah berputus asa dan menerima risiko yang berat. Oleh itu setiap anggota jamaah haruslah berwaspada, berhati-hati dan bersikap sederhana dalam menegakkan islam atau memimpin organisasi/jamaah. Tuntutan Islam tidak boleh hendak dicepatkan mengatasi kemampuan ummah, kerana ia perlu kepada masa yang lama serta perjalanan yang jauh. Ini tidak bermaksud terpaksa leka atau sengaja melambat-lambatkan dan mencari alasan supaya tuntutan Islam tidak dilaksanakan. Pemimpin dan ulama hendaklah peka terhadap sikap setiap ahli. Mereka bertanggungjawab mengawasi anggota jamaah dan membuat penilaian dari semasa ke semasa agar setiap arahan dan tindakan akan diambil tidak menimbulkan reaksi buruk. Firman Allah swt:

"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapaati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh) nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata " Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengang sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang - orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)". (Surah at-Taubah:42)

Kekuatan sesbuah organisasi / jamaah bergantung kepada pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap orang mukmin. Pengorbanan yang merangkumi dua skop utama iaitu pengorbanan yang dapat dinilai dan pengorbanan yang tidak dapat di nilai. Pengorbanan pertama yang dapat dinilai ialah pengorbanan masa, harta benda dan diri atau kekuatan fizikal. Pengorbanan keduda pula ialah pengorbanan, nyawa, buah fikiran, budi pekerti, kasih sayang kekeluargaan, persaudaraan serta perasaan (Khurasam Murad 1987:12). Pengorbanan ini mestilah dibentuk dalam disiplin diri, rohani, mental, organsisasi serta sosial. Asas ini akan menjamin kestabilan dan kelancaran pertadbiran organisasi Islam / jamaah.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular