Selepas 50 tahun: Merdekakah kita?

31 Ogos 2007 membawa makna besar kepada rakyat Malaysia tahun ini. Ia tarikh keramat bagi sebuah negara kerana mencapai usia 50 tahun merdeka. 50 tahun bagi seorang manusia ialah usia matang menuju usia emas. Tentunya pengalaman yang banyak dalam hidup selama ini menjadikan ia lebih matang dan sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan dirinya dalam segala aspek kehidupan. Demikianlah sepatutnya yang berlaku kepada sebuah negara selepas 50 tahun meniti usia. Negara sepatutnya lebih ‘matang’ selepas berpengalaman cukup lama dalam ‘hidupnya’.

Soalan yang berlegar di kepala ialah sudahkah kita benar-benar merdeka dalam ertikata yang sebenarnya selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan? Kemerdekaan itu sendiri apa maksudnya? Dan apa sebenarnya pengisian yang patut diberi kepada sebuah kemerdekaan? Apa pula acara yang sepatutnya dibuat sempena menyambut kemerdekaan? Soalan-soalan yang mesti dijawab, bukan hanya dengan lisan dan tulisan tetapi perlaksanaan. Bukan hanya berteori tetapi amalan. Bukan dengan slogan tetapi tindakan.

Soalan pertama ialah sudahkah kita benar-benar merdeka?

Kalau merdeka itu bermakna bebas dari penjajah dan penjajahan, ia mungkin. Tetapi penjajah tidak mudah menyerahkan negara yang sudah ditaklukinya dengan susah-payah kepada penduduk asal negara tersebut melainkan mempunyai agenda tertentu terhadap negara tersebut. Tentunya ia akan menyerahkan negara itu kepada mereka yang boleh meneruskan cita-cita dan keinginan yang sama dengannya. Penjajahan pula sekarang lebih canggih dari cara konvensional. Penjajahan bukan hanya terhadap tanah, tetapi penjajahan bentuk baru yang di antaranya pemikiran, ekonomi dan politik. Soalnya, bebaskah kita dari bentuk-bentuk penjajahan ini? Kita kadang-kadang membaca tulisan seorang Islam, tetapi yang dihidu dari tulisan itu ialah terjajahnya pemikiran si penulis. Kita melihat budaya sesuatu masayarakat umat Islam, tetapi yang nyata kepada kita, budayanya budaya penjajah. Kita berpolitik, tetapi sistem politiknya ialah sistem warisan penjajah. Kita membuat sistem ekonomi, tetapi yang menonjolnya ialah sistem bukan Islam. Justru, penjajah dan penjajahan rupanya masih berlaku kepada kita, secara sedar atau tidak.

Soalan kedua: Kemerdekaan itu sendiri apa maksudnya?

Pelbagai pandangan, perspektif dan pendapat yang boleh diberi. Dalam sejarah Islam, Rub’i bin Aamir, seorang panglima Islam pernah berkata kepada Rustam, di antaranya: “ Islam mengeluarkan kami dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan Akhirat, dari kezaliman agama kepada keadilan Islam..”

Worldview cukup jelas tentang hakikat kehidupan dari seorang panglima Islam. Demikian juga seperti kata Umar al-Khattab: “Bagaimana kamu boleh memperhambakan manusia sedangkan dia dilahirkan merdeka oleh ibunya.”

Dr Muhamad Said Ramadhan al-Buti, seorang sarjana Islam kontemporari menulis sebuah buku kecil bertajuk Hurriyyatul Insan fi Zilli ubudiyyatihi lillah (Kemerdekaan manusia di bawah perhambaan diri kepada Allah). Konsep kemerdekaan menurut perspektif Islam cukup jelas seperti yang disebut oleh Umar, Rub’i dan Muhammad Said Ramadhan. Kemerdekaan ialah membebaskan hati, akal, minda, pemikiran, budaya, cara hidup dari segala bentuk penjajahan lain dari perhambaan kepada Allah.

Bagaimana pula dengan pengisian yang patut diberi kepada sebuah kemerdekaan?

Cukup mudah untuk disebut. Pengisian kemerdekaan ialah pengisian seperti yang dituntut oleh Allah dan Nabinya. Tetapi perlaksanaannya tentulah cukup sukar. Namun dengan komitmen tinggi dari semua pihak terutamanya pembuat dasar dalam sesuatu negara, ia boleh berlaku. Soalnya, berlakukah ia?

Apa pula acara yang sepatutnya dibuat sempena menyambut kemerdekaan?

Juga cukup mudah untuk disebut. Acara-acara yang sepatutnya dibuat sempena merdeka ialah acara yang boleh membawa rakyat dan warganegara menjadi rakyat yang merdeka dari nafsu, sifat-sifat jahiliah, kebendaan dan perhambaan diri selain Allah. Bentuk program? Fikirkanlan sendiri. Kalau penganjur adalah orang yang merdeka jiwanya, ia akan berusaha mengadakan program yang bersifat demikian, tetapi jika penganjur itu belum merdeka mindanya, jiwanya, nafsunya, maka program-program yang dibuat sudah tentu mengarah kepada bentuk perhambaan kepada selain Allah.

Ustaz Nik Muhammad Nasri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular