Soalnya, bersediakah Melayu berubah dalam masa 4 tahun ini?

Ahmad Lutfi Othman
Fri | May 16, 08 | 11:05:14 am MYT
Menjelang hari mengundi 8 Mac lalu, kami terpaksa memilih untuk menerbitkan Harakah, sama ada selepas pilihan raya seperti jadual asal ataupun mempercepatkannya, dan pilihan kedua ini bertujuan supaya ia dapat menjadi membantu menjadi bahan kempen terakhir yang berkesan.

Walaupun agak penat, kerana kami juga mengusahakan siri tabloid percuma Kempen, namun akhirnya saya memutuskan untuk menerbitkannya lebih awal, dengan alasan "apa sangat yang kita nak ulas selepas keputusan pilihan raya 2008 diumumkan".

Kebetulan selang masa penerbitan Harakah ketika itu adalah tiga minggu, bukannya dua minggu seperti lazim. Sebenarnya ramai peminat Harakah agak keliru dengan jadual penerbitan kami disebabkan umum mempunyai kefahaman bahawa lidah rasmi PAS ini diterbitkan dua minggu seminggu, walhal ia dibenarkan terbit dua kali sebulan.

Cuba perhatikan baik-baik, dua kali sebulan berbeza dengan dua minggu sekali. Kalau kami terbit dua minggu sekali, bermakna dalam setahun Harakah akan diedarkan sebanyak 26 kali (iaitu 52 minggu bahagi 2), tetapi Kementerian Dalam Negeri hanya mengizinkan dua kali sebulan, iaitu sebanyak 24 kali (yakni 12 bulan kali 2).

Serangan hendap..

Bermain-main dalam kepala saya, keputusan malam 8 Mac itu nanti dipercayai tidak akan membawa apa-apa kejutan, yang bagi seorang wartawan, bukan satu scoop yang perlu diburu. Maknanya, daripada hanya menanti untuk membuat ulasan biasa terhadap result berkenaan, lebih baik kami mencari bahan-bahan terbaik untuk turut membuat "serangan hendap" di minit-minit akhir, paling kurang dapat juga membantu parti mempengaruhi pengundi.

Namun, risiko saya tetap ada. Kalau berlaku kejutan, pembaca terpaksa menunggu tiga minggu lagi untuk mendapatkan Harakah kerana kami telah mengawalkan penerbitannya. Justeru, hidangan Harakah selepas pilihan raya tentulah agak hambar dan tidak panas lagi kerana sekadar menjadi pencatat sejarah.

Pastinya, seperti saya, tidak ramai menjangka tsunami politik melanda malam 8 Mac itu. Tiada petanda awal menunjukkan BN akan ditolak sebegitu rupa. Kawan-kawan di Jitra langsung tidak membayangkan PAS akan mencetuskan kejutan, malah beberapa hari sebelum pilihan raya, ada yang terus bersungut dengan kesungguhan bekerja petugas parti. Rupanya penggiat parti pembangkang belum dapat menghidu satu gelombang besar bakal melanda persada politik negara walhal majoriti rakyat sudah bersedia untuk berubah. Diam-diam berisi.

Tidak setuju tajuk Harakah

Ramai aktivis dan pimpinan PAS (termasuk lapisan tertinggi) juga tidak senang dengan tajuk utama yang saya pilih untuk Harakah yang diterbitkan sempena tahun baru, tidak sampai dua bulan sebelum Parlimen dibubarkan, atas alasan pengundi yang mungkin sudah cenderung untuk memangkah PAS akan memikirkan semula pendirian mereka selepas membaca tajuk Harakah itu.

Ya, apa tajuk Harakah sehingga dilihat boleh "menggerunkan" pengundi? Saya memilih "2008: TAHUN TUKAR KERAJAAN". Saya dapat memahami kerisauan mereka itu. Ramai beranggapan rakyat belum berani untuk menumbangkan kerajaan BN, mereka sekadar mahu menamatkan keangkuhan Umno-BN, sekali gus meletakkan pembangkang pada kedudukan yang kebih kuat.

Bagaimanapun saya tertarik dengan tema "Tahun Tukar Kerajaan" itu bagi menanamkan rasa yakin diri buat petugas parti yang rata-rata dilihat belum bersedia sepenuhnya untuk mengaktifkan gerak kerja kempen pilihan raya sedangkan semua maklum ia boleh diadakan bila-bila masa sahaja. Apa pun segala teguran dan peringatan itu saya terima dengan baik.

Sememangnya ramai beranggapan suasana ketika Parlimen dan Dun dibubarkan berbeza dengan situasi 1999, pilihan raya kali ini, terutama di peringkat awal kempen, seperti "biasa-biasa sahaja". Majoriti aktivis PAS meletakkan target sekadar "mempertahankan Kelantan, menawan balik Terengganu, dan menambah bilangan ahli Parlimen".

Tidak kurang yang meramalkan apakah KeADILan masih boleh survive? Bagaimana dengan nasib Anwar Ibrahim jika partinya kecundang lagi? DAP pula memang dijangka mendapat sokongan lebih ramai pengundi bukan Melayu, tetapi siapa berani mempertaruhkan ia bakal membuat kejutan luar biasa. Justeru, ramai juga pimpinan kanannya yang bertanding dua kerusi, Parlimen dan Dun, sekali gus.

PAS seperti lazimnya masih meletakkan fokus utama di kawasan majoriti Melayu. Justeru, ada calon dipindahkan ke kawasan dianggap selamat (antaranya Naib Presiden, Mohamad Sabu yang berpindah dari Kuala Kedah ke Kuala Terengganu), dengan tanggapan "pengundi Cina mencurigai Parti Islam, dan pengundi India sukar menderhaka kepada BN".

Salah Mahathir juga

Persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilakar Dr Mahathir Mohamad selepas Umno malu besar pada 1999 adalah dengan membanyakkan kawasan campuran, manakala negeri-negeri Melayu langsung tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen. Mahathir lebih yakin dengan pengundi Cina dan India.

Persempadanan gerrymandering di Kedah memang bertujuan untuk "membunuh" antara lain, Mohamad Sabu di Kuala Kedah, Mahfuz Omar di Pokok Sena, Ustaz Nasharudin Mat Isa di Yan, Ustaz Taib Azamuddin di Baling. Ramuannya mudah sahaja. Masukkan lokaliti mengundi yang ramai pengundi Cina dan India ke kawasan Parlimen yang dimenangi tokoh-tokoh PAS itu. Sedangkan formula yang sama juga menikam balik Umno-BN; semua kerusi campuran di Kedah dimenangi PAS dan KeADILan dengan majoriti yang memeranjatkan.

Zam, bekas Menteri Penerangan mungkin mempunyai pengalaman menarik bertanding di Sungai Petani yang boleh dikongsi bersama!

Dalam senyap pengundi Cina padu bertekad untuk menghukum BN. Sesungguhnya mereka memang berazam kuat untuk melakukannya. Pengundi India lebih terbuka meluahkan protes. Kelab Penyokong PAS mendapat sambutan di mana-mana, slogan Makkal Sakhti bergema membelah awam. Dan menariknya ia tidak terbatas di wilayah tertentu sahaja. Mereka seperti sehati sejiwa, sehinggakan perisikan polis cawangan khas (SB) pun tidak menduga keangkuhan BN bakal menuju titik akhir. Saya yakin Anwar Ibrahim sendiri terkejut dengan suara keramat rakyat yang tiba-tiba meletakkannya kembali dekat dengan Seri Perdana.

Rupanya, dalam kamus politik bagi mereka yang mahu membentuk sejarah, tiada istilah putus asa atau kecewa. Lihat saja beberapa tokoh yang sedia bertanding di mana-mana, misalnya Khalid Samad, yang pernah mencuba di Kelantan, Perlis dan Johor, namun akhirnya menang "di halaman" sendiri, Shah Alam.

Khalid Ibrahim, baru beberapa hari diaibkan dan dipersenda di Ijok, diulang tayang bicaranya yang tersasul semasa kempen pilihan raya kecil itu, tiba-tiba beliau menang dua kerusi sekali gus, dan diangkat menteri besar negeri termaju. Begitu juga dengan nasib Lim Guan Eng yang tidak pernah serik didera penguasa sehingga hilang segala pencarian dan lebih mengejutkan, tuah Mohamad Nizar Jamaluddin, yang hampir tidak dikenali sebelum namanya dicalonkan PAS sebagai Menteri Besar Perak, mewakili komponen parti paling kecil yang menang.

Hanya protes

Dalam pada itu, ada pihak mengingatkan bahawa kemenangan tidak terduga ini lebih difaktorkan oleh unsur protes terhadap BN dan kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi, bukannya tanda sokongan jitu buat Pakatan Rakyat. Majoriti pengundi "mahu mengajar Umno-BN dan Pak Lah" yang dilihat mengkhianati mandat besar rakyat pada 2004.

Pengundi Melayu pernah menolak Umno pada 1999 tetapi kembali mengundinya pada 2004. Maknanya, mereka belum "putus kasih" dengan Umno, sekadar mahu mengingatkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan. Dan pada pilihan raya lalu, di banyak kawasan majoriti pengundi Melayu, Umno belum disisihkan.

Di Perak dan Selangor, semua Adun pembangkang kecuali seorang, adalah wakil rakyat Umno, dan jumlahnya mengatasi Adun Melayu PAS dan KeADILan. Malah, PAS turut kalah di beberapa kerusi yang pernah dimenanginya pada 1999, di dua negeri berkenaan, selain Kedah. Saya kira pihak yang melakukan bedah-siasat terhadap keputusan pilihan raya 2008 harus melihat hal ini secara mendalam. Mengapa pengundi Melayu di kawasan tradisi PAS belum bersedia melakukan perubahan menyeluruh?

Justeru, tempoh maksimum empat tahun sebelum pilihan raya ke-13 adalah era kritikal buat Pakatan Rakyat, terutama PAS, bagi memikat hati pengundi Melayu, di samping mengekalkan sokongan pengundi Cina dan India. Dr Mahathir beberapa kali mengingatkan ahli Umno bahawa sekiranya kerajaan lima negeri bukan milik BN itu menunjukkan teladan pemerintahan yang memuaskan hati rakyat, bukan sahaja peluang BN untuk mengambil alih musnah, malah negeri-negeri lain turut jatuh ke tangan Pakatan.

Saya kira motif Mahathir adalah untuk menakutkan ahli Umno agar kepimpinan Abdullah dijatuhkan segera, sedangkan ada pihak lebih bimbang kemampuan kita untuk mempertahankan kemenangan, terutama bagi menarik sokongan Melayu. Keikhlasan dan kejujuran mungkin tidak memadai jika kita kekurangan penggerak strategik yang berwawasan, atau sukar meletakkan posisi paling tepat. Atau terus berfikiran pembangkang walhal tanggungjawab besar kini adalah untuk mengisi kemenangan, dengan keterbatasan tenaga dan sumber yang ada?

Sememangnya kebobrokan pemerintahan Umno-BN terdahulu kian terdedah dan ramai ahli serta penyokongnya berebut-rebut mengisi borang keahlian parti-parti Pakatan Rakyat. Kepimpinan Umno pula terus bercakaran, terutama menjelang persidangan agung hujung tahun ini, tetapi ia tidak semestinya mengakibatkan parti berkenaan lumpuh menyerah kalah. Umno masih mempunyai sumber untuk digemblengkan untuk meraih kembali sokongan jika kita terleka atau tersilap mengatur langkah.

Saya kerap tersasar ketika membuat unjuran mengenai kecenderungan mengundi rakyat Malaysia. Di kala pihak lain meramalkan pengundi bukan Melayu akan "memberontak", saya sukar mempercayainya sehinggalah melihat ceramah Anwar dibanjiri mereka secara luar biasa.

Selalunya pengundi Cina tidak mudah menunjukkan "belang" mereka, tetapi ia berbeza semasa tempoh kempen baru-baru ini. Mereka turun beramai-ramai menunjukkan sokongan, memberikan tepukan bergemuruh dan tidak kurang pula yang berpesan kepada juru kempen PAS: "Tak usah buang masa berkempen kepada kami, pergilah pujuk orang Melayu, bimbang nanti kami saja yang sokong, pengundi Melayu tidak!"

Ketika orang melihat pengundi Melayu mudah dijinakkan selepas Pakatan menguasai negeri, saya tetap bimbang kita tidak berupaya dalam waktu singkat memperkukuhkan jaringan organisasi parti. Bagi saya, lebih baik disuntik sedikit perasaan risau daripada terlena "syok sendiri". Selagi pengundi Melayu belum dapat dipujuk menjadi penyokong kuat PAS-KeADILan, dan menghayati perjuangan kedua-dua parti itu, bagi saya, kedudukan Pakatan masih rapuh.

Bersambung ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular