Tarik balik surat sekat siar ucapan pembangkang

KUALA LUMPUR 3 Julai – Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menarik balik surat yang menghalang stesen televisyen swasta menyiarkan ucapan ahli Parlimen pembangkang di Parlimen.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, SKMM tidak sepatutnya mengeluarkan surat berkenaan kerana ia bertentangan dengan dasar kementerian.

‘‘Bukan polisi kita mengarah stesen televisyen menghentikan penyiaran ucapan ahli Parlimen pembangkang,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen hari ini.

Pada bulan lalu, Pengerusi SKMM, Datuk Dr. Halim Shafie dilaporkan telah mengeluarkan surat mengarah stesen televisyen menghentikan penyiaran ucapan pemimpin pembangkang di Parlimen.

Keng Yaik berkata, arahan tersebut telah disampaikannya menerusi sepucuk surat semalam dan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menambah, tindakan tersebut mungkin berpunca kerana wujud kekeliruan berhubung soal penyiaran laporan persidangan Parlimen menerusi televisyen.

‘‘Walaupun penyiaran laporan persidangan Parlimen masih tidak dibenarkan kerana persidangan Parlimen belum disiarkan secara langsung tetapi telah menjadi kebiasaan kepada stesen-stesen televisyen awam dan swasta menyiarkan klip-klip persidangan pada rancangan berita atau program Parlimen Hari Ini di TV1,” katanya.

Keng Yaik menambah, beliau sebenarnya tidak mengetahui mengenai surat tersebut kerana berada di luar negara dan hanya mengetahuinya apabila membaca surat khabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular