"Life Begins At Forty" - Analisa Ringkas Perspektif Islam

Sesekali menatap muka di cermin sambil meneliti rambut di kepala, baru terasa bahawa umur sebenarnya sudah menjangkau begitu jauh. Hari-hari yang dilalui begitu cepat. Bangun pagi sehingga tidur semula pada malamnya. Rupa-rupanya sudah berlalu 40 tahun hidup di atas dunia ini.

Orang putih kata: ‘Live begin at forty’ Saya kurang arif apa tafsiran dan huraiannya. Adakah ia bererti tahap kematangan sampai ke kemuncaknya ketika umur menjangkau 40 tahun? Kalau demikian, itulah umur Nabi Muhammad saw ketika diutus menjadi Nabi dan Rasul. Atau ia bermaksud kehidupan sebenar dengan segala tribulasi dan ujiannya dihadapi ketika umur 40 tahun? Pun tidak dapat dipastikan. Atau 40 tahun itu bererti masa untuk mencari ‘kelapa muda’ kerana ‘kelapa tua’ sudah tidak boleh diminum airnya? Banyak tafsiran yang boleh dibuat. Yang jelas dari al-Quran dan hadis ialah huraian seperti berikut:

Di dalam surah al-Ahqaf ayat ke 15, Allah berfirman bermaksud:

“Dan Kami (Allah) mewasiatkan kepada manusia supaya melakukan kebaikan kepada kedua ibu-bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan susah dan melahirkannya dalam keadaan susah. Dan tempoh mengandungnya sampai menceraikan susu ialah tiga puluh bulan sehingga apabila ia sampai ke tahap kekuatan tubuh badannya dan sampai kepada umur 40 tahun, ia berkata: ‘Wahai Tuhanku!’ Ilhamkan kepadaku supaya aku mensyukuri nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kedua ibubapaku, dan supaya aku beramal dengan amalan soleh yang Engkau redhai dan jadikanlah kebaikan itu sehingga kepada zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku termasuk di kalangan orang yang menyerah diri kepada Allah.” Al-Ahqaf:15

Al-Wahidi meriwayatkan dari Ibn Abbas, katanya:

‘Ayat ini diturunkan terhadap Abu Bakar al-Siddik ra. Beliau bersahabat dengan Rasululllah saw ketika umurnya 18 tahun dan Rasulullah saw berumur 20 tahun. Mereka menuju ke Syam untuk berniaga. Mereka singgah di satu tempat yang terdapat pokok cedar. Rasulullah saw duduk di bawah teduhan pokok tersebut.

Abu Bakar menuju kepada seorang rahib di sana bertanyakan tentang agama. Rahib bertanya kepada Abu Bakar: ‘Siapakah lelaki yang berteduh di bawah pokok itu?’ Jawab Abu Bakar: ‘Itulah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib.’ Rahib berkata: ‘Orang ini demi Allah ialah seorang Nabi. Tidak ada seorang yang berteduh di bawahnya selepas Isa bin Maryam melainkan Muhammad Nabi Allah.’ Lalu lahir keyakinan dan membenarkan Nabi dalam hati Abu Bakar.

Abu Bakar semenjak itu tidak pernah meninggalkan Rasulullah saw ketika musafir atau di Mekah. Apabila baginda dilantik menjadi Nabi, umurnya 40 tahun dan Abu Bakar berumur 38 tahun. Beliau masuk Islam dan membenarkan Rasulullah saw. Ketika umur Abu Bakar 40 tahun, beliau berkata: ‘Wahai Tuhanku! Ilhamkan kepadaku supaya aku mensyukuri nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku..’

(AsbabunNuzul, alWahidi al-Naisaburi, ms 216 dan tafsir al-Qurtubi: j 16 ms 194)

Ibn Kathir berkata: Dalam ayat ini petunjuk kepada mereka yang sampai umurnya 40 tahun untuk membaharui taubatnya dan kembalinya kepada Allah dan berazam terhadap taubat tersebut. (Tafsir Ibn Kathir j 4 ms 157)

Ibn Abbas berkata: Ayat ini ‘dan supaya aku beramal dengan amalan soleh yang Engkau redhai dan jadikanlah kebaikan itu sehingga kepada zuriat keturunanku.’ telah diperkenankan oleh Allah. Abu Bakar memerdekakan 9 orang mukmin yang diazab kerana beriman, di antaranya Bilal dan Amir bin Fuhairah. Tidak ada suatu kebaikan melainkan Allah menjadikan Abu Bakar dapat merebut kebaikan tersebut. Tidak ada sahabat Nabi yang kaum keluarga mereka semuanya masuk Islam melainkan Abu Bakar. Kedua ibubapanya, anak-anaknya kesemuanya masuk Islam. Ini menjadi dalil Allah memperkenankan doa Abu Bakar. (Tafsir Munir, Wahbah Zuhaili j 26 ms 38)

Dalam sebuah Hadis Qudsi, Usman bin Affan berkata, Nabi saw bersabda, Allah berfirman, maksudnya:

‘Apabila hambaKu telah mencapai usia 40 tahun, Aku akan jauhkan dia dari 3 macam bencana, iaitu; gila, kusta dan sopak. Dan apabila dia mencapai usia 50 tahun, Aku akan menghisabnya dengan hisab yang ringan. Dan apabila dia mencapai usia 60 tahun, Aku akan dorongkannya supaya suka bertaubat. Dan apabila dia mencapai usia 70 tahun, Aku akan jadikannya dicintai oleh para Malaikat. Dan apabila dia mencapai usia 80 tahun, Aku akan catitkan kebajikannya semata, dan Aku akan tutup mata terhadap kesalahan-kesalahannya. Dan apabila dia mencapai usia 90 tahun, akan berkatalah para Malaikat: Orang ini sebagai tawanan Allah di buminya, maka diampunkanlah segala dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian, dan dibenarkannya mensyafaatkan. Dan apabila dia mencapai usia terlalu tua, Allah mencatitkan baginya semua pahala amalan yang pernah dia lakukan di waktu sihat dahulu, dan kalau dia melakukan kesalahan, tiadalah dicatitkan atasnya lagi.’ Riwayat Tarmizi (Hadis Qudsi, Syed Ahmad Semait, ms 45)

Dari ayat dan sebuah hadis qudsi di atas, kita boleh membuat beberapa kesimpulan:

1. Usia 40 tahun adalah satu usia yang diberi perhatian dalam agama Islam sebagai usia mencapai tahap kematangan dalam kehidupan seseorang. Justru, ia perlu berfikir tentang amal dan bekalnya.

2. Mereka yang berusia 40 tahun, perlu memohon dari Allah paling kurang 3 perkara: mengilhamkan kepadanya supaya mensyukuri nikmat Allah-nikmat hidayah agama, nikmat akal, kesihatan, keselamatan, kesenangan hidup, keprihatinan ibubapanya selama beberapa lama yang membesarkannya; mengilhamkan kepadanya untuk taatkan Allah dan menjadikan kebaikan itu sehingga kepada zuriat keturunannya.

3. Kita diajak memerhatikan kepada peringkat-peringkat umur yang kita lalui. Renungkan diri kita selepas itu, ke peringkat umur manakah kita sedang berada sekarang. Dan apakah tepat seperti apa yang disebutkan dalam hadis di atas. Kalau tepat, berbahagialah kita. Itu tandanya Allah memberikan perhatian kepada kita. Kalau tidak, cepat-cepatlah memperbaiki diri dengan mengatur kerja-kerja kita mengikut suruhan Allah.

Sahabat-sahabat yang seusia dengan saya, sama ada bekas pelajar Sekolah Rendah Sultan Ismail, Kemaman (1974-1979), bekas pelajar Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur (1980-1984), bekas pelajar Matrikulasi UKM Sekolah Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, bekas pelajar Fakulti Sains Gunaan, UKM, bekas pelajar pondok di mana-mana tempat dan bekas pelajar di Jordan, atau sesiapa sahajalah yang sama umurnya dengan saya; kita sebenarnya sedang melewati satu tahap kehidupan yang disebutkan oleh Allah dan Nabi dalam huraian di atas. Barangkali masih ada warisan perangai hodoh lama, akhlak jelek lama, pe’el buruk lama yang menjadi sebahagian dari darah daging kita sehingga saat ini. Terlupa bahawa diri yang sedang dimamah usia ini sedang menunggu saat panggilan dari Ilahi. Justru, apa bekalnya?

Umur sudah empat puluh

Uban sudah penuh

Rumah sudah mengeluh

Kubur sudah menjengah

Sendi sudah lenguh

‘Live begin at forty’

Hidup biar mengerti

Apa yang dicari

Bekal dan amal bakti

Untuk Akhirat nanti

Kerana

Rumah kata pergi

Kubur kata mari

Apa kata dengan semangat ‘live begin at forty’ menurut tafsiran Quran dan hadis di atas kita membina hidup baru dengan ertikata sebenar, hidup bermatlamat sebagai khalifah Allah di bumi ini dan berprinsipkan Islam, hidup yang tahu arah tuju, hidup yang menjadi jambatan Akhirat dan hidup yang tidak berpura-pura. Semoga Allah memberkati kehidupan sebelum umur 40 ini dan selepasnya.

Sumber: TamanIlmu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular