Pembunuhan kejam menjadi-jadi kerana tolak hukum Allah
Apa kena mengena cadangan mewujudkan sekolah satu sesi bagi menyelesaikan masalah jenayah? Walaupun tempoh persekolahan dilanjutkan sehingga jam 4 petang, apakah ia boleh menjamin tidak ada lagi pembunuhan, perogolan khususnya terhadap kanak-kanak perempuan?
Cadangan itu lahir daripada pelaksana Islam Hadhari, PM Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau berkata, langkah itu jika dilaksanakan akan memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bekerja kerana mereka berpeluang menjemput sendiri anak-anak pulang dari sekolah.
Mungkin cadangan itu lahir setelah PM melihat penderitaan melalui wajah gadis sunti comel, Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang tersiar di akhbar dan media elektronik sehingga mengundang kepiluan seluruh rakyat negara tanpa mengira bangsa dan agama.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Setiap kali berlaku kes seperti ini pelbagai cadangan dibuat.
Ekoran tragedi Nurin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Shahrizat Abd Jalil mencadangkan supaya tindakan mahkamah diambil terhadap ibu bapa yang cuai menjaga anak-anak.
Sebelum kes tragis Nurin, pada 22 Disember 2004, Siti Syazwani Ahmad Dasuki, 9, dibunuh selepas dirogol di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Rhu, tidak jauh dari rumahnya.
Pada 17 Januari 2004, Nurul Huda Abdul Ghani, 10, dirogol dan dibunuh di pondok pengawal stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.
Harirawati Saridi, 10, pula ditemui dibunuh dengan kainnya tersingkap di kawasan semak di kampung Rantau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah. Tragedi itu berlaku pada 8 Januari 2004.
Nor Shakila Ramli Choo, 6, dirogol sebelum dibunuh di kawasan perumahan terbiar dekat Taman Tasik Permai, Ampang pada 1 April 2002.
Pada 3 Julai 2001 pula seorang pelajar tingkatan empat, Nurul Hanis Kamil dirogol dan dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Taman Koperasi Risda, Serkam Darat, Merlimau, Melaka.
Manakala Nor Shuhada Borak, 6, dipercayai dibunuh selepas dirogol. Mayatnya ditemui di loteng sebuah rumah di Selayang Baru, Selangor pada 21 Oktober 2000.
Di Sandakan pula, Siti Nadirah Budah, 5, mati dibunuh selepas dirogol di kampung Sibugal Besar, Batu 10, pada 5 Julai 2001.
Ini merupakan sebahagian tragedi ngeri yang menimpa keluarga mangsa dan tidak mungkin dapat dilupakan. Belum lagi kes remaja perempuan yang dirogol dan dibunuh, wanita, isteri, ibu dan nenek yang turut dirogol, diliwat dan dibunuh.
Beginilah nasib malang kanak-kanak, remaja dan wanita di negara yang telah merdeka dan baru saja menyambutnya selama 50 tahun. Amat malang kerana nasib kanak-kanak, remaja dan wanita yang tinggal di bawah naungan Islam Hadhari hidup dalam ketakutan dan `trauma' untuk keluar bersendirian.
Sekali air bah, sekali pantai berubah
Apabila tragedi bunuh dan rogol berlaku di kawasan semak atau belukar, kerajaan mengarahkan supaya penduduk bergotong royong membersihkan kawasan tersebut.
Secara tidak langsung keluar amaran terhadap pemilih tanah yang membiarkan tanah mereka semak.
Begitu juga jika pembunuhan dan perogolan itu berlaku di kawasan sunyi, perumahan tinggal maka riuh la janji-janji manis pihak polis untuk meronda dan memastikan kawasan tersebut selamat dilalui.
Tetapi setakat mana tindakan itu diambil? Apakah janji atau membersihkan kawasan semak, memantau, membuat cadangan, menukar akta, menyiasat dan sebagainya itu diambil apabila isu sedang panas?
Apakah selepas isu sejuk,rakyat lupa, ibu bapa mangsa senyap, penjenayah tidur sekejap pimpinan BN juga terus lena tertidur?
Memang ada lojiknya cadangan PM untuk melanjutkan tempoh sekolah satu sesi bagi memberi peluang ibu bapa menjemput anak-anak dari sekolah.
Tetapi penjenayah tidak terikat pada waktu dan hari. Bagaimana pula dengan cuti sekolah atau hari tidak sekolah? Apakah penjenayah hanya menjalankan tugasnya pada hari persekolahan saja?
Perlu diingat, tragedi rogol dan liwat juga berlaku di rumah sendiri seperti haruan makan anak, tetapi isu ini tidak mendapat perhatian kerana mungkin ramai pihak yang tidak berani untuk mendedahkannya.
Undang-undang Islam penyelesai masalah
Rentetan tragedi ngeri itu disebabkan tidak ada usaha pimpinan BN untuk melaksanakan undang-undang Islam. Undang-undang Islam yang didakwa kolot sebenarnya memberi penyelesaian pada apa sahaja masalah yang berlaku dari dulu hingga kini.
Jika penjenayah yang merogol dan membunuh Nor Shuhada Borak pada tahun 2000 telah dijatuhi hukuman rejam sampai mati di khalayak ramai dan mayatnya dibiar menjadi tontonan, insya-Allah tragedi ngeri itu tidak berulang.
Sudah pasti ramai kanak-kanak dan gadis sunti terselamat daripada dibunuh, diliwat dan dirogol oleh `jantan' gila tidak berotak.
Undang-undang Islam bukan menghukum tetapi memberi pengajaran kepada orang ramai. Menyelamatkan bukan saja umat Islam tetapi seluruh insan di negara Islam Hadhari ini.
Inilah padahnya jika pimpinan Umno tidak mahu melaksanakan undang-undang Islam. Penulis yakin ramai pimpinan Umno yang mengakui undang-undang Islam saja yang boleh menyelamatkan negara tetapi disebabkan ego mereka terlalu tinggi, mereka takut PAS mendapat sokongan rakyat, jadi mereka terpaksa berusaha mengadakan pelbagai cadangan dan menukar akta.
Pimpinan kerajaan jangan lepas tanggungjawab dengan menyoal siasat bapa Nurin, Jazimin Abd Jalil, 33, kononnya cuai menjaga anak dan ada kes dengan ‘ah long’.
Daripada pihak polis menyoal siasat ibu bapa Allahyarham Nurin bukankah lebih berfaedah polis meluaskan penyiasatan dan gerakan mencari semua penjenayah yang tidak berotak itu.
Percayalah...selagi undang-undang Islam tidak terlaksana tragedi ngeri yang sama akan berulang. Tak caya...tunggu!!! - lanhSumber: Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan