Musa Hassan tidak beradab, cuba tuduh ibu bapa Nurin cuai!

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Hrkh) - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini diselar tidak beradab kerana cuba menuduh ibu bapa Nurin Jazlin cuai, di kala mereka baru sahaja kehilangan insan tersayang dalam keadaan penuh tragis.


Image

Malah lebih buruk lagi tanpa nada simpati, Musa Hassan berkata jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, ibu bapa mangsa boleh diambil tindakan undang-undang bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak.

"Jika ada kecuaian, kita akan cadangkan kepada Peguam Negara agar tindakan undang-undang diambil ke atas mereka," kata Musa kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Polis yang dipengerusikan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri semalam.



Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar yang begitu kesal dengan kenyataan 'kurang ajar' dan angkuh KPN itu berkata adalah sesuatu yang tidak wajar seorang yang berakhlak, ketika keluarga Nurin ditimpa musibah dilemparkan dengan tuduhan negatif yang begitu menghiris hati apatah lagi di waktu mereka sedang berdukacita.

"Sepatutnya Musa Hassan merakamkan takziah dan simpati atas apa yang berlaku, dan kalau ada sekalipun kelemahan ibu bapa Nurin, ini bukan masanya nak keluarkan kenyataan tidak beradap ini!" katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Saya tidak bersetuju langsung dengan kata Musa yang cuba memberi tanggapan negatif kepada kedua ibu bapa Nurin.

"Tidak ada ibu bapa yang mahu cuai dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anaknya apatah lagi membiarkan anaknya dibunuh kejam. Jangan sekali-kali cuba 'discredit' atau merendahkan peranan ibu bapa ini," katanya.

Dalam pada itu, menurut sebuah laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini, kedua-dua ibu bapa Nurin begitu kecewa dengan beberapa laporan media dan tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka berikutan kematian Nurin ini.

"Kepada sesiapa yang menuduh saya dan isteri saya sebagai keluarga yang cuai, apa yang mampu saya kata ialah - kami terlalu menyayangi keempat-empat anak perempuan kami," kata Jazimin yang dipetik daripada akhbar terbabit.

Mahfuz berkata kenyataan Musa ini juga dilihat cuba menyalahkan pihak lain dan mengalih perhatian masyarakat terhadap kewibawaan polis selama ini yang sehingga Nurin dikebumikan, belum lagi berjaya menangkap pembunuh berhati haiwan ini.

"Inikah KPN yang dipilih oleh Perdana Menteri yang tidak tahu adab dan cuba menyalahkan orang lain pula bila keadaan terdesak?" soalnya.

"Bagaimana pula jika polis juga cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya menjaga keselamatan orang ramai, adakah akan didakwa dan diambil tindakan?" soalnya yang turut merujuk kegagalan polis membanteras kegiatan hampir 17,000 anggota kongsi gelap yang ada di negara ini seperti yang pernah dilaporkan.

Katanya Perdana Menteri mesti menamatkan kontrak atau memecat Musa Hassan dengan segera kerana kegagalannya menangani pelbagai masalah jenayah negara yang semakin meruncing dan kronik sehingga menyebabkan masyarakat semakin bimbang dengan keselamatan mereka apatah lagi mempunyai KPN yang tidak beradab dan tidak menunjukkan rasa ihsannya di atas kejadian yang berlaku sehingga tergamak cuba menuduh keluarga Nurin sebagai 'penyebab' atau 'punca' kematiannya.

Dalam masa sama, Mahfuz merakam ucapan takziah yang tinggi kepada keluarga Nurin atas ujian yang dihadapi dan berharap serta mendoakan agar mereka diberi ketenangan.

"Saya sekeluarga menitis air mata tatkala melihat jenazah Nurin disembahyangkan dan lebih pilu bila imamnya juga menangisi pemergiaan kanak-kanak tidak berdosa ini," katanya yang melihat peristiwa itu di kaca TV.

"Semoga rohnya berada di syurga dan apa jua hasrat dan impian Nurin selama ini, saya harap ibu bapanya akan menunaikan atau menebus kepada anak-anak yang lain," katanya.

Nurin,berusia lapan tahun yang dibunuh kejam setelah diculik sejak 20 Ogos lalu, telah dikebumikan selepas solat Jumaat lepas. - mks.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular