WPI: Apabila Singapura seronok sangat ...
Antara yang paling menonjol dalam RMK9 ialah projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Kalau tidak ada WPI seolah-olah tidak adalah RMK9 yang menjadi agenda besar Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi.
Kalau Tun Razak ada Dasar Ekonomi Barunya, Tun Dr Mahathir ada Wawasan 2020nya, maka Dato' Seri Abdullah Badawi seolah-oleh WPI itu Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020nya.
Di zaman Tun Razak dulu siang malam DEBlah dicanang dan dalam era Dr Mahathir pula Wawasan 2020lah yang dijaja ke sana ke mari. Sekarang yang dimasyhurkan ialah Wilayah Pembangunan Iskandar.
Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir tidak pernah mengenepikan DEB dalam pentadbiran masing-masing, tetapi ternyata matlamat serampang dua matanya tidak tercapai.
Wawasan 2020 tetap diteruskan oleh pentadbiran selepas Dr Mahathir, malah RMK9 iaitu rancangan lima tahun pertama Abdullah Badawi, adalah juga rancangan pelengkap kepada Wawasan 2020.
Belum dipastikan ia berjaya atau matlamatnya tidak dicapai. Tetapi Dr Mahathir amat bimbang kiranya ia tidak tercapai. Antara yang mendorong Dr Mahathir mengkritik kepimpinan dan pentadbiran Pak Lah ialah ragu Wawasan 2020 tidak menemui sasarannya.
Wawasan itu kurang disebut sekarang. Yang disebut selalu ialah RMK9 yang penting di dalamnya ialah WPI. Pelaksanaannya dipercayai mengisian sebahagian dari matlamat Wawasan 2020.
Ketika Perdana Menteri menumpukan segala usaha mempromosikan WPI itu, maka pada ketika yang sama kebanyakan komen dari publik ialah bimbang pembangunan itu akan lebih menguntung Singapura dari Malaysia sendiri.
Semua menyangsikan bahawa sebarang pencapaian besar WPI nanti akan menguntungkan Malaysia dan rakyatnya, tetapi kebanyakan suara itu mengira apa yang dinikmati oleh Malaysia dan rakyatnya nanti kiranya berjaya ialah kuah dan isinya lebih memihak kepada Singapura.
Semuanya merasakan begitu. Amat sikit yang mengiranya suatu yang positif bagi negara.
Tun Musa Hitam mungkin dilihat sebagai pemikir dan pengaruh penting dalam melonjakkan semangat Perdana Menteri. Itulah yang dirasakan sejak sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi.
Dalam pandangan awalnya ketika WPI itu baru disebut dulu, dilontarkannya suara supaya WPI lebih terbuka dalam mencapai kejayaannya, tidak perlu acuan Dasar Ekonomi Baru itu ditekankan sangat. Acuan DEB itu mungkin memayahkan aliran kemasukan modal asing.
Sebelum sempat lontaran Tun Musa Hitam itu dijelaskan, ia telah dibantah oleh setengah pihak termasuk individu Umno Johor. Seoleh-oleh ia tidak merangsang matlamat memberi untung kepada orang Melayu seperti yang disasarkan oleh DEB.
Selepas itu Tun Musa diam.
Isu sekarang bukan lagi apa orang Melayu Johor boleh perolehi daripada pembangunan raksaksa WPI itu tetapi sebanyak mana yang rakyat Malaysia dari semua kaum boleh dapat dari pembangunan itu dibandingkan dengan apa yang boleh diperolehi oleh Singapura.
Apa jua yang dibuat oleh Perdana Menteri tentang WPI, maka anggapan orang-orang yang bersuara, ia menguntungkan Singapura. Perdana Menteri bertemu dengan Perdana Menteri Singapura di Langkawi baru-baru ini, tiada diketahui sangat apa yang mereka bincang. Tidaklah ditolak isu WPI itu dibincangkan.
Malah ada persetujuan membentuk satu jawatankuasa bersama mengenai WPI. Tetapi terus pengkritik mempertikai keupayaan Perdana Menteri untuk mendapatkan persetujuan menang-menang dalam perundingannya. Hatta jawatan kuasa yang dibentuk tentang WPI tadi dirasakan lebih berpihak kepada Singapura.
Sebelum apa yang kedua Perdana Menteri itu hendak bincang, pengkritik telah terasa Perdana Menteri Singapura lebih berupaya dari Perdana Menteri Malaysia. Apa lagilah bapa Perdana Menteri Singapura yang masih menjadi sebahagian dari pengaruh pentadbiran Singapura, yang sememangnya amat berwibawa, maka sebelum apa-apa lagi sudah orang terasa yang gagah dan yang menang adalah Singapura.
Sememangnya Singapura yang dibangunkan oleh Lee Kuan Yew itu selama-lamanya tidak dapat dikawal oleh mana-mana pemimpin Malaysia, tetapi dengan persetujuan membangunkan projek WPI itu orang membuat persepsi pemimpin Malaysia sudah masuk dalam poket pemimpin Singapura.
Dalam semua perkara Sikngapura tidak pernah tunduk kepada kemahuan Malaysia, hatta air dan kawasan takungan air miilik Singapura di Johor itu seolah-olah wilayah Singapura yang tidak boleh disentuh oleh kedaulatan Malaysia. Tidak ada yang dapat dilihat Malaysia menang dalam apa jua kerja dua hala dengan Singapura.
Maka orang terasa Singapura tidak akan ghairah dengan apa saja rancangan Malaysia yang boleh menguntung dan menguatkan ketahanan dan kemajuan Malaysia. Sebarang yang boleh menguntung dan menguatkan Malaysia, tidak dikira elok untuk Singapura.
Dan apabila Singapura seronok sangat dengan projek WPI itu, dan bersedia untuk membantu Malaysia memaju dan menjayakannya, maka terpaksalah Malaysia berhati-hati apa pula yang menguntungkan Singapura hingga ia begitu galak untuk mengambil bahagian.
Singapura memang tidak punya kawasan yang cukup untuk dibangunkan. Ia memerlukan kawasan untuk dibangunkan bagi menyokong kekuatan dan kestabilannya.
Bagaimana Sir Stanford Raffles membangunkan Singapura yang dibelinya dari Johor hampir 200 tahun lalu hingga kedaulatan Johor dan Tanah Melayu hilang dari Singapura, maka dengan semangat itulah pemimpin-pemimpin baru Singapura cuba membantu jiran-jirannya yang terdekat membangunkan wilayah masing-masing.
Jiran-jiran tidak cukup modal, maka ia boleh membantu jirannya membangun, tetapi kuasa Singapura kalau pun tidak leblih, ia mesti sama dengan kuasa jirannya. Ia melabur seperti Portugis melabur atas tanah seluas sebidang kulit lembu yang dibeli dari Raja Melaka. Kuasa Portulis mesti lebih besar dari kuasa kerajaan Melaka atas tanah itu.
China berjaya membangunkan kawasan tanah besar yang bersempadan dengan Hong Kong hingga lebih pesat dari kejayaan Hong Kong. Baik Hong Kong dan tanah besar di sempadan Hong Kong adalah milik Tanah Besar China.
WPI yang dibangun bagi menyaingi Singapura, tidak mungkin dapat disamakan dengan Singapura kerana Singapura bukan milik Malaysia. Apabila Singapura menyertainya, ia cuba memastikan WPI tidak boleh menggugat kesejahteraan Singapura.
Semua teguran itu adalah bertujuan supaya Malaysia tidak menjadi makanan penguasa Singapura.
Sumber: Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan