Umno bunuh DEB, WPI jadi tanah perkuburannya

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengingatkan Umno supaya menghentikan pembohongan mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana Umno sendiri yang sedang membunuh dasar itu berperingkat-peringkat dan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor menjadi tanah perkuburan kepada dasar membantu golongan miskin itu.

Beliau juga menyifatkan dakwaan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di Kuala Krai semalam sebagai tindakan orang yang sudah hilang ingatan.

Khairy menuduh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berusaha menggagalkan agenda Melayu terutama untuk menerapkan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan meningkatkan taraf hidup ekonomi orang Melayu.

"Berhentilah membohongi rakyat. Khairy tidak perlu cakap lagi mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana dasar itu sedang dibunuh berperingkat-peringkat oleh kerajaan bapa mertuanya dan fasa pertama pembunuhan yang kejam terhadap golongan miskin yang majoritinya orang-orang Melayu itu bermula di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Kerajaan bapa mertua Khairy, katanya, bukan sahaja membunuh DEB malah memperjudikan keselamatan negara dengan sikapnya yang fanatik untuk mempertuhankan pasaran.

"Dalam keghairahan untuk dilihat dan dipuji sebagai kerajaan yang bersifat pro-perniagaan, kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) bukan sahaja menendang DEB ke tanah perkuburannya malah tidak memberikan keutamaan yang sewajarnya kepada soal keselamatan negara walaupun syarikat-syarikat strategik di negara ini akhirnya akan dikuasai oleh pihak luar terutama dari negara yang sentiasa dicurigai sebagai mempunyai niat jahat terhadap negara ini.

"Jika keselamatan negara pun tidak menjadi perkiraan utama, tidak perlu cakaplah mengenai DEB yang sudah berada di tanah perkuburannya di WPI ," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin mengulangi penegasan bahawa PAS menyokong apa sahaja dasar untuk membantu golongan miskin tidak kira agama, bangsa dan kecenderungan politik termasuk DEB yang dicanangkan untuk membantu golongan miskin.

"Tetapi, itu tidak bermakna PAS akan berdiam diri dan bersekongkol dengan penyalahgunaan DEB dan PAS telah membuktikannya", kata beliau.

Beliau mempersoalkan mengapa parti-parti bukan Melayu dalam Barisan Nasional berdiam diri terhadap penyalahgunaan DEB.

"Adakah mereka dapat habuan sama?" tanya beliau.

Salahuddin menyeru seluruh rakyat bersungguh-sungguh menentang Umno dan Barisan Nasional yang membunuh DEB kerana hendak membuka laluan kepada cita-cita jahat negara jiran yang menjadi tuan kepada keluarga yang menjadi agen asing untuk memusnahkan negara ini.

Mengenai dakwaan Khairy kononnya PAS Kelantan berpecah, Salahuddin meminta Khairy menjelaskan apakah maksud seruan beliau kepada Umno di peringkat bahagian-bahagian agar tidak melihat Pergerakan Pemuda Umno sebagai pengancam keutuhan Umno bahagian, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai penyelamat kepada pemimpin bahagian dalam usaha membina kekuatan parti itu.

"Apa maksud seruan Khairy itu? Pemuda PAS tidak perlu pun membuat seruan sedemikian," kata Ketua Pemuda PAS itu.

Sumber: Harakah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular