Rakyat terima baik WPI dan NCER, kayu ukur mana PM guna?

Ucapan Bajet 2008 Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbulkan persoalan indikator atau kayu ukur mana digunakan untuk mengistiharkan bahawa projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) diterima baik oleh rakyat jelata.


Sedangkan ramai yang mengkritik malah termasuk pandangan tajam bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang melihat WPI seolah-olah akan menjejaskan kedaulatan negara di samping memberi keuntungan yang berlipat ganda kepada Singapura yang akhirnya merugikan negara.

Malah kewujudan pelbagai koridor dilihat ramai pihak, perancangan yang tidak tersusun, merugikan rakyat tetapi lebih kepada menghebahkan dasar-dasar survival politik di kala menjelang pilihan raya akan datang.

Abdullah dalam ucapannya tadi menyebut dalam fasa 79 ucapan bajet 2008 yang dipetik daripada Kementerian Kewangan, bahawa:"Satu agenda terpenting Kerajaan adalah untuk mempastikan pembangunan tersebar luas ke seluruh negara. Ke arah ini, pembangunan koridor ekonomi terus dipergiatkan, bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Saya bersyukur kedua-dua rancangan besar ini telah diterima baik oleh rakyat. Seterusnya, Wilayah Ekonomi Pantai Timur serta Koridor Sabah dan Koridor Sarawak akan dilancarkan dalam masa terdekat."

Dalam pada itu ramai yang menonton TV khususnya di kalangan kakitangan swasta yang sedikit kecewa kerana kerajaan tidak menyatakan tentang penyelarasan tuntutan gaji minima kakitangan swasta yang dituntut Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) sebanyak RM900 bagi gaji asas dan Elaun Sara Hidup (Cola) RM300.

Abdullah dilihat lebih menghargai kakitangan awam apabila menyatakan kerajaan menghargai peranan penting anggota perkhidmatan awam dan akan terus memberi perhatian kepada prestasi dan kebajikan kakitangan awam.

"Saya telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 7.5 peratus hingga 42 peratus di samping penambahan COLA. Ini melibatkan tambahan perbelanjaan lapan bilion ringgit setahun.

"Saya yakin kenaikan gaji dan elaun ini akan mendorong kakitangan awam untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja." katanya yang dipetik dalam ucapannya di bawah fasa 120. - mks.

Sumber: Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular