PRK Sibu: Isyarat jelas rakyat tolak Umno BN

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menyifatkan calon Pakatan Rakyat yang menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu semalam sebagai isyarat jelas rakyat telah menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kempen Umno dan BN sebelum ini yang memburukkan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat, namun dengan jelas membuktikan rakyat telah menolak perjuangan mereka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan IT Tayyibah di Balai Islam, Lundang, di sini hari ini.

Katanya, Umno hanya memperjuangkan ketuanan Melayu sebagai wadah penting dalam perjuangan umat namun tidak berjaya mengumpulkan mereka.

“Kempen sebut 1Malaysia, tetapi pada masa yang sama menyebut ketuanan Melayu, usahkan orang Cina, orang Umno sendiripun tak faham bagaimana boleh berlaku dalam satu masa perkara yang berbeza.

Sedangkan, menurutnya Islam mengajar umatnya supaya mencari satu kefahaman yang sama, iaitu menuju ke syurga dan bukannya 1Malaysia.

Tuan Guru juga turut mengucapkan syukur kepada Allah kerana kemenangan PAS di Kelantan telah menyebabkan golongan bukan Islam di negara ini tidak percaya lagi kepada kerajaan Umno dan BN.

Menurutnya, kempen memburukkan Umno terhadap PAS dan Pakatan Rakyat berhubung kerajaan Islam, nampaknya tidak berhasil apabila pengundi di Sibu sudah kenal perjuangan parti itu.

“Saya tahu, Umno dan BN telah memperbesar-besarkan Negara Islam yang akan dilaksanakan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya di Sibu baru-baru ini.

“Kempen yang mengharapkan pengundi bukan Islam takut pada perjuangan PAS nampaknya tidak berhasil dan rakyat telah menolak calon mereka dalam pilihan raya itu semalam,” ujarnya lagi.

Tambah Tuan Guru lagi, kejayaan PAS di Kelantan mentadbir negeri itu sejak 20 tahun lalu, nampaknya benar-benar telah menjadi model yang paling baik untuk masyarakat luar khususnya golongan bukan Islam untuk menerima dasar parti itu.

Tambahnya, golongan bukan Islam sebenarnya telah lama faham Islam bukan sesuatu perkara yang buruk sebagaimana yang digambarkan mereka sebelum ini seperti ganas, ekstrem, tiada kemajuan dan berbagai lagi.

Pada masa yang sama Tuan Guru turut mengucapkan tahniah kepada semua jentera parti dalam Pakatan Rakyat di seluruh negara kerana telah bekerja keras bagi menangkis dakwaan tidak bermoral pihak lawan.

Dalam pilihan raya kecil semalam, calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mengutip 232 undi.

Salmah Mat Husain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular