Judi: Mahasiswa tentang kerajaan perlekeh hukum Allah
Mahasiswa seluruh negara menentang dan sangat tidak bersetuju dengan Kerajaan Malaysia yang cuba dan terus memperlekehkan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT berkenaan dengan judi.
Menurut Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman masih banyak lagi cara dan kaedah yang boleh digunapakai oleh pihak kerajaan untuk mendapatkan keuntungan hasil negara selain ‘menghalalkan’ judi.
Beliau berkata, sewajarnya kerajaan yang mengakui menjalankan pentadbiran dan pemerintahan dengan dasar Islam menimbang kembali kelulusan lesen judi dibenarkan dalam pertandingan bola sepak sempena Piala Dunia 2010.
“Ini bukan isu politik di antara kerajaan dan pembangkang tetapi mahasiswa melihat ini adalah isu agama yang sepatutnya kerajaan mengambil persetujuan bersama di dalam hal ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mahasiswa juga, tambahnya menempelak sikap dan perilaku ‘orang-orang agama’ yang hanya diam seribu bahasa di dalam persoalan lesen judi bola itu.
Sepatutnya, kata beliau ahli agama di dalam kerajaan memberikan nasihat dan pandangan mereka kepada kerajaan berkenaan dengan isu tersebut.
Mahasiswa, ujarnya memandang isu itu adalah isu yang besar dan perlu diperbetulkan oleh Kabinet Kerajaan Malaysia.
Tegasnya, SMM menggesa agar pihak kerajaan menarik balik kelulusan yang dibenarkan berkenaan dengan lesen judi bola itu kerana jelas bertentangan dengan norma-norma kepimpinan Islam dan maruah agama Islam itu sendiri.
Beliau berkata, mahasiswa melalui SMM menuntut agar lesen judi bola ditarik balik serta merta dan mahasiswa akan bersama dalam menentang isu judi itu sehinggalah kerajaan menarik balik semula kelulusan yang dibenarkan.
“Mahasiswa selaku 3 force dalam masyarakat akan bangkit melawan segala tindak tanduk yang tidak tepat di dalam pemerintahan negara,” tegasnya.
Jelasnya, Allah SWT berfirman di dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud: "Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan