Dua Blok Minyak – Apa yang Tersiratnya?

Tun Dr Mahathir (Tun) menjentik isu Malaysia’s Generosity dalam blognya dengan pendekatan sinikal dan bersahaja. Beliau menulis, “Abdullah Badawi negotiated with the Sultan to get back Limbang in Sarawak. In return he agreed to surrender the two blocks to Brunei”.

Kemudian, dalam ayat yang seterusnya beliau mengutip kenyataan Tun Abdullah (Pak Lah) dalam sebuah akhbar yang menyatakan Brunei telah menggugurkan tuntutan Limbang ke atas Malaysia. Pak Lah pula langsung tidak menyebut mengenai dua blok minyak tersebut.

Asasnya, mengapa Tun cuba mengaitkan Limbang dan dua blok minyak tersebut? Bagaimana Tun boleh menimbulkan keraguan bahawa Pak Lah mendapatkan semula Limbang dengan menyerahkan blok minyak tersebut kepada Brunei?

Tun sebagai Penasihat Petronas mengambil dua laporan akhbar tempatan iaitu The Edge dan sebuah akhbar antarabangsa, The Brunei Times sebagai rujukan asasnya. Ketiga-tiga laporan tersebut mendedahkan mengenai sebuah syarikat yang bertapak di Arkansas, Murphy Oil Corp telah mengumumkan di New York Stock Exchange bahawa kontrak production sharing (PSC) untuk menggali khazanah minyak persisiran pantai yang dikenali sebagai Blok L dan M telah ditamatkan oleh Petronas. Alasannya, kedua-dua blok tersebut bukan lagi milik Malaysia.

Sebelum itu, Malaysia telah meminta Petronas dan menganugerahkan kepada Murphy dua blok minyak iaitu L dan M untuk diusahakan. Namun, ia menimbulkan masalah apabila blok-blok tersebut telah overlapped dengan Blok J dan K yang dimiliki oleh Brunei. Mereka telah memberikan dua blok tersebut kepada syarikat Total SA dan Royal Dutch Shell PLC untuk dibangunkan. Perkara ini dilaporkan oleh media antarabangsa, Oil and Gas Journal. Jadi berlakulah pertembungan.

Bagi menyelesaikannya, maka timbullah isu mengenai perjanjian yang dibuat antara Malaysia dan Brunei atau lebih sinonim ia dinamakan sebagai Letter of Exchange (LoE) pada 16 Mac 2009.

Setakat ini, kita mengetahui bahawa antara faktor berlakunya majlis perjanjian Letter of Exchange itu adalah untuk menyelesaikan isu overlapping blok minyak antara Malaysia dan Brunei. Selain itu, dikatakan ada beberapa isu lama dan tuntutan lain untuk diselesaikan termasuklah isu sejarah tuntutan Brunei ke atas Limbang.

Maka disini Limbang mula dijadikan isu. Awalnya adalah blok minyak kemudian ia meleret kepada Limbang.

Berdasarkan kenyataan bersama yang dibuat oleh Pak Lah dan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 16 Mac 2009, perkara ketiga menceritakan secara umum elemen-elemen utama LoE adalah "final delimitation of maritime boundaries between Brunei Darussalam and Malaysia, the establishment of Commercial Arrangement Area (CAA) in oil and gas, the modalities for the final demarcation of the land boundary between Brunei Darussalam and Malaysia and unsuspendable rights of maritime access for nationals and residents of Malaysia across Brunei's maritime zones en route to and from their destination in Sarawak, Malaysia provided that Brunei's laws and regulations are observed".

Keseluruhan kenyataan bersama yang dbuat antara kedua-dua negara ini langsung tidak menyebut mengenai tuntutan ke atas Limbang. Jadi, bagaimana ia dijadikan isu?

Ia bermula apabila Pak Lah berucap dihadapan media Malaysia ketika masih di Bandar Seri Bagawan lagi pada tarikh 16 Mac 2009. Kenyataan beliau dapat diikuti dalam akhbar The Star pada tarikh yang sama. Beliau menyebut, "Brunei has decided to drop the Limbang issue and as a result, Limbang is part of Malaysian territory". Kenyataan beliau turut disusuli oleh Ketua Menteri Sarawak. Nada dan maksud yang sama iaitu Brunei telah menggugurkan tuntutannya ke atas Limbang.

Bagaimana kedua-dua tokoh negara kita boleh timbulkan tuntutan Limbang ini? Secara pastinya, dalam kenyataan bersama tidak disebut. Adakah ia termaktub dalam Intipati LoE? Atau ia adalah persetujuan lisan antara kedua-dua pihak sepanjang perbincangan itu berlangsung?

Kesan daripada kenyataan Perdana Menteri itu (kini mantan), beberapa pihak di Brunei termasuklah wakil daripada Parti Pembangunan Negara (NDP), Brunei Darussalam menyuarakan kebimbangan dan kepelikan mereka. Dari kenyataan yang disiarkan, mereka meminta supaya Menteri Luar Negeri dan Perdagangan, Pehin Dato' Seri Lim Jock Seng untuk membuat penjelasan mengenai kedudukan tuntutan Brunei ke atas Limbang. Mereka kecewa dan mahukan ketelusan dalam isu ini. Apa yang menariknya ialah, NDP berpandangan isu penyelesaian sempadan dan tuntutan ke atas Limbang adalah dua isu yang berlainan sama sekali. Dalam kenyataannya juga menegaskan, "NDP melihat perjanjian yang baru ditandatangani untuk penyelesaian isu sempadan Brunei dan Malaysia hanya merupakan satu pra syarat ke arah penyelesaian abadi isu tuntutan Brunei ke atas Limbang".

Menteri Luar Negeri Brunei terpaksa membuat satu kenyataan terbuka mengenai isu ini. Beliau menjelaskan bahawa isu Limbang tidak pernah dibincangkan dan dimuktamadkan antara Brunei dan Malaysia. Noktah.

Maka, bagi pihak Brunei mereka masih berazam untuk menuntut Limbang dan dalam kenyataan bersama yang dibuat langsung tidak membincangkan perkara ini. Namun, adakah mereka sendiri cuba untuk menyembunyikan sesuatu daripada rakyatnya? Itu luar daripada pengetahuan kita.

Isu Limbang menjadi tanda tanya. Siapakah sebenarnya yang membuat penjelasan yang betul? Brunei atau Malaysia? Maklumat cukup penting yang perlu diketahui oleh rakyat adalah intipati Letter of Exchange itu. Andaikata, dalam surat tersebut juga tidak termaktub mengenai isu tuntutan Limbang, maka jelaslah bahawa Pak Lah tersilap dalam mengeluarkan kenyataannya. Terdapat beberapa blogger yang membuat spekulasi bahawa Pak Lah misinterpretation.

Pak Lah membuat penjelasan bahawa perjanjian yang termeterai antara Malaysia dan Brunei telah mendapat kelulusan daripada jemaah kabinet pada 11 Februari 2009. Beliau sendiri turut menafikan bahawa penyerahan blok minyak L dan M adalah sebagai usaha untuk mendapatkan semula Limbang. Nafi. Isu persempadanan darat diselesaikan melalui beberapa siri perjanjian yang termeterai antara Malaysia dan Brunei sejak 1920 lagi. Jika kawasan tersebut tiada dalam 5 perjanjian itu, maka ia akan diselesaikan melalui satu jawatankuasa bersama yang telah dibentuk untuk membuat kajian dan pemetaan.

Manakala, hak dua blok minyak itu adalah kepunyaan Brunei. Ia dinyatakan oleh Wisma Putra berdasarkan kepada UN Convention of Law of the Sea (UNCLOS) 1982. Namun sekarang, Petronas dijemput oleh Brunei untuk menjalankan usahasama bagi menerokai minyak di kawasan tersebut yang kini dikenali sebagai CA1 dan CA2. Adakah boleh sekiranya dikatakan, Petronas menamatkan kontrak bersama Murphy pada 7 April 2010 dan kemudiannya bersama dengan Brunei untuk memajukan kawasan tersebut. Berapa banyak dan apakah ganti rugi yang akan diberikan oleh Petronas kepada Murphy?

Berdasarkan maklumat yang ada, terjawablah mengapa dua blok minyak tersebut tidak menjadi milik Malaysia. Ini yang dikatakan oleh Pak Lah dan Najib iaitu win-win situation. Benarkah kita juga menang?

Adakah kita menang kerana Petronas masih lagi mendapat hak explorasi minyak di dua blok tersebut? Semenjak Petronas dan Murphy bekerjasama untuk memajukan kawasan tersebut dari tahun 2003, berapa banyak keuntungan yang diperolehi oleh mereka? Pada masa yang sama, bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee mendakwa penyerahan dua blok minyak tersebut menyebabkan Sabah kehilangan royalti minyak yang dianggarkan RM 16 bilion.

Adakah kita menang kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang? Walhal, Brunei tetap dengan pendirian mereka bahawa Limbang masih berada dalam misi tuntutan mereka.

Disediakan oleh,

Mior Isfandy Mior Azizan
Pemangku Ketua,
Unit Kajian dan Maklum Balas Isu Semasa
Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terdapat ralat dalam alat ini

Diari

Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular