WPI perlu dihalang kerana tidak untungkan rakyat - Salahuddin

PASIR GUDANG, 20 Okt (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, memberi kata dua kepada rakyat Johor dalam usaha untuk menghalang projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) daripada terus dilaksanakan.

"Beri mandat kepada PAS untuk mentadbir negeri ini atau hantar lebih ramai wakil Barisan Alternatif (Ba) di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran buku kecil berkaitan WPI oleh Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, di Taman Saujana Masai, dekat sini, baru-baru ini.

Katanya, sekiranya rakyat Johor memberi mandat kepada PAS untuk memerintah negeri ini maka kita akan mengkaji semula projek WPI ini, sama ada ianya perlu diteruskan atau dibatalkan sama sekali.

"PAS tidak sekali-kali menolak pembangunan sebaliknya jika pembangunan itu tidak menguntungkan rakyat dan negara maka ianya tidak wajar dilaksanakan.

"Lebih-lebih lagi jika disebabkan kerana hendak mengejar pembangunan yang belum tentu menguntungkan rakyat dan negara sedangkan pada masa sama kita terpaksa menggadai maruah dan kedaulatan negara semata-mata untuk mengejar pembangunan ini," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian Kelantan, mengharapkan supaya rakyat Johor dapat menghantar lebih ramai wakil dari Barisan Alternatif di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor.

"Kalaupun PAS tidak diberi mandat untuk memerintah negeri ini tetapi dengan adanya wakil yang ramai di dalam Dun Johor maka sudah tentu suara kita akan menggerunkan mereka," katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar rakyat di kawasan yang terbabit dengan projek WPI ini supaya tidak memberi undi kepada BN pada Pilihanraya Umum akan datang.

"Ini sebagai tanda protes bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap projek WPI ini, rakyat terutama orang Melayu perlu bijak menggunakan kuasa undi mereka untuk menyatakan bantahan melalui undi semasa pilihan raya diadakan," katanya.

Justeru katanya, rakyat Johor khususnya yang berada di kawasan yang terbabit dengan projek WPI mestilah berani menyatakan bantahan semasa pilihan raya nanti. - Harakahdaily.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular