Selepas 50 tahun sepatutnya Melayu lebih maju

Sudah 50 tahun kita merdeka. Andai kata satu peratus kegiatan ekonomi dapat diusahakan orang Melayu, dengan penambahan satu peratus setiap tahun, maka pada tahun ini, 50 peratus lanskap niaga negara adalah pada orang Melayu.

Tetapi tidak, sepanjang-panjang rumah kedai di seluruh negara menyaksikan kegiatan ekonomi bukan Melayu. Tidakkah itu satu kegagalan?


Anak Melayu terpaksa berebut-rebut hendak bekerja dengan perkhidmatan awam kerana sektor swasta begitu sempit bagi mereka. Pendidikan tinggi yang diperoleh dengan susah payah oleh anak Melayu dilihat tidak kompetitif serta tidak dapat menampung keperluan swasta. Tidakkah itu satu kegagalan?

Bukan saja kerajaan terpaksa mengorbankan bahasa Melayu daripada digunakan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik tetapi diperkenalkan pula universiti Apex, yang terbuka untuk dunia, dan pastinya tidak akan menjadi tumpuan pelajar Melayu.

Sedangkan pembentukan Malaysia digerakkan atas agenda Melayu. Semangat kemerdekaan yang diperjuangkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) adalah untuk membela kehidupan orang Melayu. Begitu juga apabila Dato Onn menggerakkan usaha menentang Malayan Union dan menubuhkan Umno atas slogan Hidup Melayu.

Islam hanya dikenali sebagai sistem perbankan

Di samping disebut kejayaan usaha membela orang Melayu melalui Felda dan Mara, dalam 50 tahun merdeka, banyak juga kegagalan. Bank Bumiputera sudah tidak ada. Kini muncul CIMB, yang dijenakakan dengan nama Cina, India, Melayu Bank.

Dahulu, daripada Bank Bumiputra, muncul Bank Islam. Malah logonya disesuaikan daripada simbol Bank Bumiputera. Kalau logo Bank Bumiputera merupakan simbol Melayu, maka logo Bank Islam menjadi simbol yang dipadankan daripada lambang Bank Bumiputera tetapi bercorak Islam. Baru-baru Bank Islam mengubah imejnya, hilanglah logo yang pernah disesuaikan dengan Bank Bumiputera.

Hakikatnya Bank Islam sudah jauh ketinggalan. Sebaik Bank Bumiputera hilang, ibu pejabatnya yang merupakan mercu tanda seni bina Melayu menjadi bangunan Bank Muamalat, sebuah lagi bank Islam. Tetapi kedua-dua bank Islam ini dilihat kecil dengan bank-bank lain yang turut memperkenalkan produk perbankan Islam.

Kini kehadiran bank-bank Asia Barat memeriahkan lagi sektor perbankan Islam di negara yang muncul untuk hab. Akhirnya Islam dikenali bukan sebagai agama tetapi sebagai suatu sistem perbankan.

Dalam zaman globalisasi dan liberalisasi, pelaburan asing ditarik untuk masuk ke dalam negara khususnya dari negara Arab. Ia akan menyumbang kepada peningkatan kedudukan ekonomi orang Islam, tetapi ia tidak semestinya dapat dimanfaatkan orang Melayu.

Tidakkah lebih wajar semua kegiatan ekonomi bersifat melangkaui kaum dan agama? Maknanya, nama bank tidak wajar dikaitkan dengan nama kaum. Justeru, tidak harus bukan saja ada Bank Bumiputra, tetapi bank-bank yang didirikan dengan nama kaum turut tidak patut ada, begitu juga atas nama agama. Bila merosot ia tidak patut dikaitkan dengan nama Islam.

Kelahiran Bank Islam (BIMB) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah antara agenda Islam pada awal 80-an sebagai sebahagian tuntutan kebangkitan Islam sedunia.

Kini hakikat ini sering diketepikan kerana pihak berkuasa enggan mengaitkannya dengan Anwar Ibrahim. Sering dikatakan sejak awal merdeka Malaysia atau Malaya mempunyai agenda Islam dalam bidang ekonomi.

Sejarah membuktikan agenda Islam tidak digerakkan Umno

Dikatakan bahawa asas ekonomi Islam di negara ini adalah Tabung Haji. Maka ia berkembang menjadi Bank Islam dan hari ini, dikaitkan pula dengan usaha menjadikan Malaysia hab kewangan Islam.

Mahu rakyat melupakan Anwar Ibrahim dan seringkali menegaskan Bank Islam dan UIA adalah hasil usaha Dr Mahathir atas evolusi perkembangan Islam sebagai sebahagian perjuangan Umno.

Sejarah menunjukkan, walaupun terdapat agenda Islam dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, ia bukan dilakukan Umno. Agenda Islam dilakukan gerakan Kaum Muda, termasuk Syed Sheikh Al-Hadi dan majalah Al-Imam. Kalau perjuangan nasionalis dikenali melalui Utusan Melayu, perjuangan agenda Islam dilakukan Al-Imam.

Dari segi organisasi, agenda Islam diperjuangkan Hizbul Muslimin, Abu Bakar Baqir, Majlis Tertinggi Agama (Mata) dan tokohnya ialah Dr Burhanuddin Al-Helmi. Ia kemudian dilahirkan melalui sayap ulama Umno yang menjadi PAS.

Bukanlah Umno tidak berusaha untuk agenda Islam tetapi ia dibuat dalam konteks agenda Melayu, kerana orang Melayu itu beragama Islam. Justeru penubuhan Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) , Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan gagasan Islam Hadhari mesti dilihat daripada konteks ini.

Agenda Melayu dan Islam seringkali berbaur, maka dapat dilihat betapa PAS memperjuangkan agenda Melayu semasa kepimpinan Dato' Asri Muda.

Bagaimanapun, Tabung Haji yang disebut institusi pertama kewangan Islam di Malaysia adalah sebahagian agenda sosialis Melayu. Ia dicadangkan Ungku Aziz untuk menyelamatkan tanah orang Melayu yang miskin daripada tergadai kerana mahu menunaikan haji.

Perlu diingat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan di kalangan orang Melayu, tiga agenda ini saling berkait, membantu antara satu sama lain dan ada ketikanya bertembung. Agenda Melayu, agenda Islam dan agenda sosialis merupakan sebahagian perjuangan menuntut kemerdekaan negara.

Utusan Melayu memperjuangkan agenda sosialis

Dari segi akhbar, Utusan Melayu yang menjunjung agenda Melayu turut memperjuangkan agenda sosialis kerana ramai wartawan berfahaman sedemikian pada awal perjuangan. Dari segi organisasi, agenda sosialis diwakili PKMM dan kemudiannya Parti Rakyat Malaya (PRM).

Bagaimanapun dalam era kebangkitan Islam, dengan sendirinya agenda Islam lebih menyerlah dan popular, tokoh utamanya ialah Anwar Ibrahim. Diikuti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang. ABIM menjadi organisasi pertama memperjuangkan agenda Islam pada zaman awal kebangkitan itu, dituruti PAS, IRC dan lain-lain jemaah pada zaman itu.

Tetapi Umno juga terpengaruh dengan agenda Islam era kebangkitan Islam. Maka Islamisasi Malaysia yang menghasilkan Bank Islam dan UIA merupakan hasil kerjasama Mahathir-Anwar.

Hakikatnya ekonomi bukan segalanya. Tetapi ekonomi yang betul-betul mantap pula bergantung ketangkasan pemikiran. Iaitu bukan semata-mata pendidikan formal tetapi keupayaan mental yang mesti berteraskan kemerdekaan berfikir.

Dari awal lagi sebelum merdeka, dapat difahami, pejuang kemerdekaan baik dari kalangan KMM, PKMM atau Umno kemudiannya faham bahawa soal ekonomi dan pendidikan menjadi asas. Untuk ekonomi ia harus berasaskan pendidikan. Golongan profesional mesti dilahirkan bagi meningkatkan kedudukan ekonomi. Pendidikan juga satu pelaburan yang kelak akan menjadi teras ekonomi.

Terdapat salah faham mengenai ekonomi. Difikirkan ekonomi hanya dalam bentuk pemilikan saham dan kegiatan korporat. Sedangkan ia harus meliputi semua spektrum kegiatan ekonomi, daripada industri kecil dan sederhana (IKS) mahupun peniaga kecil.

Bukannya pemimpin Umno tidak faham perkara ini. Mereka menggunakan Mara untuk melahirkan usahawan Bumiputera di seluruh negara. Selepas 50 tahun, kejayaannya dianggap kecil. Sebenarnya apa yang menjadi masalah ialah mental orang Melayu.

Akta universiti kongkong kemerdekaan berfikir

Perkara ini turut disedari Umno. Sebab itu ada Revolusi Mental. Tetapi kejayaan tidak diraih. Dr Mahathir Mohamad sedar, dan beliau selalu menekankan masalah minda Melayu. Mulanya beliau mahu menekankan tentang perniagaan kecil tetapi kemudian percaya melalui usaha korporat besar akan mempercepatkan keperkasaan ekonomi Melayu.

Namun akhirnya beliau kecewa kerana kegagalan ini. Teknologi baru yang diperkenalkan untuk memberi peluang kepada orang Melayu terlepas begitu. Hinggalah kereta nasional yang juga menjadi asas penyertaan Melayu ke dalam industri berat begitu mengecewakan.

Dari sebelum merdeka lagi, termasuk ketika mula Utusan Melayu diterbitkan, 1938, minda Melayu hendak diubah untuk menjadi lebih progresif. Pendidikan sering ditekankan.

Tetapi apabila merdeka, khususnya selepas Tun Razak melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pelajaran Kebangsaan, pendidikan menjadi seperti proses untuk mengisi industri. Ia bukan benar-benar melatih pemikiran baru.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), institusi simbolik bagi era ini menjadi seperti kilang untuk melahirkan siswazah Melayu yang boleh mengisi pasaran. Begitu juga universiti-universiti lain.

Hakikatnya, kongkongan terhadap mahasiswa untuk aktiviti berbentuk fikiran merdeka telah dihalang. Akta Universiti dan budaya kongkongan menghalang kemerdekaan berfikir. Pendidikan yang sepatutnya menggalakkan percambahan ilmu secara bebas dan meriah disekat, dan dalam suasana ini sudah tentu ia gagal melahirkan warga berminda cemerlang.

Dominasi pemerintah lahirkan iklim korupsi

Daripada Umno Dato' Onn hingga menjadi Perikatan-BN, parti utama politik negara ini menjadi lebih menyempit dan korup. Siapa dapat menafikan politik wang. Di mana silapnya? Daripada bas terbabas dan kehadiran imigran tak sah yang begitu ramai hingga mencambahkan jenayah dan pengangguran di kalangan anak tempatan merupakan manifesatasi masyarakat korup ini.

Silapnya terletak pada iklim demokrasi yang tidak mantap di negara ini. Tidak ada imbangan periksa balas di antara kuasa. Umno terlalu dominan hingga melanggar keutuhan institusi demokrasi.

Bolehkah percaya semua pilihan raya yang dilakukan sepanjang 50 tahun benar-benar bersih dan adil? Apabila pembangkang ditekan, pastinya imbangan tidak berlaku. Pembangkang menjadi lemah dan tidak berupaya membentuk kerajaan sebagai alternatif. Akhirnya dominasi pemerintah melahirkan iklim korupsi.

Masalah bermula dengan usaha menentang pengganas komunis terutama undang-undang Darurat yang menyekat banyak kebebasan politik. Negara ini mencapai kemerdekaan ketika masih di bawah Darurat. Pembangkang kiri menjadi mangsa kerana kaitannya dengan fahaman komunis.

Tetapi dari segi jangka panjang, kelemahan gerakan kiri menjadi imbangan kuasa politik tidak seimbang. Umpamanya, nada perkauman dan keagamaan tidak diimbangi kuasa sekular dan bersifat universal.

Kebebasan politik bertambah sempit

Pilihan raya selepas merdeka dilangsungkan pada 1959, semasa negara masih darurat dan tentunya banyak undang-undang yang menyekat kebebasan. Tetapi sepatutnya setelah Darurat berakhir pada 1960, undang-undang Darurat ditamatkan dan kebebasan penuh dikembalikan. Tetapi tidak, walaupun Darurat tamat, undang-undangnya dikekalkan hinggalah ISA digunakan bukan saja untuk pengganas tetapi juga pembangkang.

Begitu juga apabila Konfrontasi dilancarkan Indonesia terhadap Malaysia. Pembangkang menjadi mangsa dan setelah berakhir konfrontasi pada 1966, sepatutnya pihak pembangkang tidak lagi ditekan.

Kebebasan politik tambah menyempit apabila berlaku 13 Mei. Parlimen digantung dan semasa Mageran, banyak dasar baru diperkenalkan yang terpaksa diterima parti-parti politik yang tentunya sedang hidup dalam ketakutan.

Walaupun bagi orang Melayu, ia disambut baik tetapi ia menyemai bibit-bibit tidak puas hati di kalangan bukan Melayu. Setelah demokrasi dipulih, sepatutnya kebebasan diberi kembali kepada rakyak, kongkongan makin ketat. Banyak faktor yang menyebabkan 13 Mei tetapi ia bukan kerana kebebasan politik.

Pukulan paling dahsyat berlaku selepas demonstrasi mahasiswa 1974. Akta Universiti mengongkong pelajar untuk mengekspresi diri dan menjadi pengimbang kuasa politik pemerintah.

Akhirnya pemikiran di menara gading juga disekat dan kini menjadi kilang bagi agenda Melayu semata-mata. Sekatan ke atas universiti adalah legasi Tun Razak dan Dr Mahathir. Tidak hairanlah mahasiswa hanya sibuk membicarakan kerjaya yang bakal mereka raih, gaji, kereta, telefon bimbit, sementara kesedaran politik bukan prihatin mereka.

Penyertaan politik khususnya melalui Puteri dan Pemuda Umno lebih banyak berkait kepada keistimewaan yang akan mereka peroleh sebagai ahli korporat Bumiputera.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular