Dakwah PAS di tengah lubuk maksiat


aSEBUAH bangunan tujuh tingkat, gagah di tengah-tengah kotaraya. Dari satu sudut di belakang bangunan itu, kita dapat menyaksikan bangunan PWTC. Kedua-duanya mewakili kuasa politik orang Melayu. Bangunan pertama terletak di Jalan Raja Laut itu adalah pejabat baru PAS, manakala PWTC sudah lama dikenali sebagai bangunan Umno.

PAS sebagai sebuah parti politik utama negara, membuktikan kesungguhannya menawan hati rakyat Malaysia dengan kehadiran bangunan di tengah kota itu. Khabar yang bertiup, PAS membelanjakan RM7 juta untuk memiliki dan mengubahsuai bangunan itu.


Ramadan lalu, KLpos.com dijemput ke majlis berbuka puasa bersama pimpinan PAS di situ. Jemputan jam 6.30 petang, tapi saya dan seorang teman, Jeff, tiba awal. Kami letak kereta betul-betul di belakang bangunan PAS.

aKemudian baru saya sedar, rupa-rupanya ibu pejabat parti Islam itu amat hampir dengan Lorong Haji Taib. Kawasan pelacuran kelas bawahan yang terkenal. Kononnya di lorong-lorong gelap itu, para pelacur kelas ketiga di Kuala Lumpur berkumpul mencari rezeki.

KERANA masih awal, saya merayau di sekitar Jalan Raja Laut, ada semacam gerai yang dibina untuk menjual pakaian dan barang-barang murah lainnya. Seperti pasar malam sebelah menyebelah. Orang ramai, dalam sesak itulah, seorang lelaki menghampiri saya, "Bang nak perempuan," saya tercengang, "Melayu pun ada," tambahnya lagi.

Kawan saya, Jeff segera menarik tangan dan kami berlalu. Ketika itu bulan Ramadan, tapi bapak ayam tetap mencari pelanggan.

Ada ironiknya di sini, sebuah bangunan yang dimiliki oleh parti Islam sebagai markaz utamanya dan satu lorong yang jadi tumpuan para penzina seluruh Malaya!

Saya terfikir tentang dakwah di situ, dalam diam saya membayangkan, jika ada di antara aktivis PAS, berkunjung dari pintu ke pintu lorong gelap itu untuk menyampaikan mesej dakwah dan politik.

Barangkali pejabat PAS itu boleh menjadi wadi di tengah gurun kepada mereka yang memerlukan bantuan, bukan sahaja jasmani, barangkali bantuan rohani.

Dakwah di lubuk maksiat, sudah tentu nilainya lebih tinggi berbanding dakwah di tepi pagar masjid!

PAS di kampung saya

KETIKA PAS menawan Kelantan tahun 1990, saya masih bersekolah, ayah seorang ahli PAS sejak tahun 1960 lagi. Di kawasan kami tinggal, Sungai Layar Sungai Petani Kedah, tidak ramai yang menyokong PAS.

Tapi saya masih ingat, bagaimana depan rumah kami, dilekatkan poster Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Betapa malunya saya ketika itu, disindir rakan-rakan yang hampir semuanya dari keluarga penyokong kuat Umno.

Tapi ketika saya pulang berhari raya lalu, keadaan sudah jauh berubah, PAS di Sungai Layar menjadi parti yang dominan. Ada markas hasil dari tanah wakaf seorang penyokong, bahkan kata orang kampung, surau dan masjid di kawasan itu juga didominasi oleh penyokong dan ahli PAS.

Bahkan rakan-rakan saya yang dulu penyokong Umno, kini aktivis dan ahli PAS di situ. Mereka mengerakkan PAS cawangan Sungai Layar bersama ahli-ahli lama. Sepakat dan bersatu tenaga.

Rata-rata mereka bekerja sendiri, bersawah, berniaga, dan macam-macam lagi. Mereka tidak boleh diugut kerana tidak bergantung dengan ehsan pemerintah.

Ada juga yang jadi kakitangan kerajaan, mereka menyokong dalam diam. Boleh dikatakan di setiap lorong di kawasan perumahan dan kampung Sungai Layar ada penyokong dan ahli PAS.

Harta PAS seluruh negara

DULU di Kedah, pejabat PAS di tengah pekan Alor Setar, kini saya diberitahu, pejabat PAS Kedah sudah berpindah ke Kota Sarang Semut, di atas tanah sawah yang ditimbus dan di dirikan bangunan, luas tanah itu lebih sembilan ekar. Terletak di kawasan strategik iaitu laluan dari Sungai Petani ke Alor Setar.

Boleh dikatakan hampir di semua tempat begitu. PAS sebagai parti akar umbi memperlihatkan pengaruhnya dengan membina markas kekal di tanah-tanah wakaf yang disumbangkan oleh ahli dan simpatisan.

Ketika bangunan Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut itu dirasmikan, dalam buku cenderamata yang dihadiahkan kepada wartawan, ditulis bahawa Bendahari Agung PAS Dr Hatta Ramli, kini bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Aset PAS.

Barangkali tugas Dr Hatta adalah mengesan dan menilai harta-harta parti Islam itu di seluruh negara. Yang dalam fikiran saya, barangkali mencecah ratusan juta ringgit.

Semoga PAS terus berkembang dan menjadi kuasa pengimbang politik orang Melayu di Malaysia.


b
Penulis di hadapan bangunan PAS

- klpos.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular