Kaum India Johor bertekad buktikan 'Makkal Sakti' pada PRU Ke-12

JOHOR BAHRU, 31 Jan (Hrkh)- Kaum India Johor bertekad untuk merealisasikan 'makkal sakti' atau 'kuasa rakyat' pada Pilihan raya Umum Ke-12 akan datang, setelah kecewa dengan kegagalan MIC dan Barisan Nasional (BN) membela nasib kaum itu di negara ini.

Setelah 50 tahun negara merdeka, kaum India di negara ini mendakwa dinafikan hak mereka sebagai rakyat, bahkan mereka juga mendakwa sebilangan besar kaum India masih dibelenggu kemiskinan dan ini menurut mereka menunjukkan kegagalan MIC membela nasib kaum India di negara ini.

Atas kesedaran ini kaum India khususnya di Johor bertekad untuk melakukan perubahan pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang, mereka yakin dengan 'makkal sakti' bagi merubah nasib kaum India di negara ini.

Hasrat ini dibuktikan dengan kesediaan kaum India di Johor mendekati PAS mutakhir ini, rentetan daripada beberapa siri pertemuan dan perbincangan yang diadakan sebelum ini, bermula dengan sesi dialog beberapa wakil kaum India di Kota Tnggi bersama Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang, serta beberapa pimpinan PAS Pusat beberapa bulan lalu, akhirnya mereka menyatakan sokongan terbuka kepada PAS dan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum akan datang.

Kesungguhan ini direalisasikan dengan penubuhan secara rasmi Kelab Penyokong PAS Johor (India) pada 27 Januari lalu, majlis pelancaran kelab ini telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Hadir sama pada majlis ini, Pengerusi Kelab Penyokong PAS (India) Malaysia, N. Gobalakrishnan, Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Abdullah, Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr. Mahfods Mohamad, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Johor, Dzulkifly Ahmad, serta Pengerusi Kelab Penyokong PAS Johor (India), Logeswaran a/l Rahman.

Semasa berucap melancarkan kelab ini, Salahuddin, yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian Kelantan, sekali lagi mengulangi dua tawaran kepada rakyat sebagai pilihan seperti yang sering diucapkannya sebelum ini.

"Pertama, jika rakyat merasa yakin BA mampu dan layak untuk memerintah negara ini, maka rakyat perlu memberi mandat yang besar kepada BA bagi membolehkan kita memerintah negara ini, dengan kuasa yang diberi rakyat ini BA akan mengkotakan tawaran yang dijanjikan kepada rakyat sebelum ini, iaitu, menurunkan harga petrol dan juga memberi pendidikan percuma kepada seluruh rakyat.

"Kedua, sekiranya rakyat merasakan BA masih belum mampu atau layak untuk memerintah negara ini, maka memadai sekiranya rakyat meningkatkan kekuatan BA dengan memberi lebih banyak kerusi sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun), dengan jumlah suara yang lebih besar ini maka sudah tentu kerajaan akan lebih berwaspada dalam setiap tindakan mereka selain suara pembangkang akan lebih terserlah dalam membangkitkan isu-isu rakyat," katanya.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan kepada sokongan padu serta komitmen yang ditunjukkan kaum-kaum di negara ini terhadap BA akhir-akhir ini, BA yakin keputusan PRU akan datang akan menyaksikan satu kejutan yang besar.

"Selain sokongan padu rakyat, faktor lain yang dilihat mampu untuk menyebelahi kita pada PRU Ke-12 nanti ialah, perbalahan sesama mereka yang sekarang ini sudah tidak dapat disembunyikan lagi, serang menyerang di kalangan mereka dibuat secara terbuka.

"Lobi melobi dan jatuh menjatuh di kalangan pimpinan Umno-BN untuk menjadi calon PRU akan datang membabitkan pucuk pimpinan negara sedang berlaku dengan begitu dahsyat sekarang ini, kesan perbalahan ini akan menyebabkan proses pemilihan calon bagi mewakili BN pada PRU akan datang sudah pasti begitu rumit untuk diselesaikan pucuk pimpinan BN.

"Situasi yang begitu menggawatkan ini memberi isyarat yang cukup jelas kepada rakyat supaya bijak menilai suasana yang sedang berlaku ini dan seterusnya membuat pilihan yang tepat pada PRU nanti," katanya.

Jelasnya, rakyat semua kaum hari sudah dapat melihat dengan jelas segala macam kepincangan serta kelemahan Kerajaan Umno-BN sepanjang diberi amanah memerintah negara ini.

"Kegagalan demi kegagalan ini sudah tidak dapat dilindungi lagi, rakyat sudah dapat melihat bagaimana amalan rasuah yang semakin teruk, kadar jenayah yang terus meningkat, kehidupan rakyat yang terus dibebani kenaikan harga barang keperluan harian yang tidak terkawal, kos pendidikan yang tinggi selain pembaziran wang negara yang begitu melampau," katanya.

Katanya, negara kita begitu kaya dengan segala macam sumber, sepatutnya dengan kekayaan ini seluruh rakyat dapat sama menikmati hasil kekayaan ini secara adil dan saksama, bukan dimonopoli segelintir manusia sahaja, seperti yang berlaku sekarang ini.

Sekiranya kekayaan negara ini diagih secara telus dan adil maka sudah tentu segala tekanan dan bebanan hidup yang menghimpit kehidupan rakyat hari ini tidak akan berlaku, katanya.

Justeru katanya, jika PAS dan BA diberi mandat memerintah negara ini, PAS dan BA akan pastikan kekayaan negara diagih secara adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

"Sebagai kerajaan yang memerintah, kita juga berjanji tanggungjawab untuk membela nasib serta kebajikan seluruh rakyat negara ini akan diberi keutamaan, kita juga akan memastikan seluruh rakyat mendapat hak mereka yang sewajarnya.

"Terpulanglah kepada rakyat untuk membuat pilihan, kita pulangkan janji kita kepada rakyat untuk membuat pilihan kerana kuasa sebenar untuk menentukan kepimpinan negara pada masa depan ada di tangan rakyat, dengan itu gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya, jika rakyat mahukan perubahan maka inilah masa yang terbaik untuk melakukannya, janganlah dipersia-siakan peluang keemasan yang hanya datang lima tahun sekali ini, ujarnya lagi. - Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular