PAS bangga keberanian sukarelawan kemanusiaan Gaza

PAS berbangga dengan keberanian dan semangat kental yang ditunjukkan sukarelawan bantuan negara ke Gaza walaupun dikepung dan dipenjarakan di Israel namun semangat mereka tetap kental dan percaya pengalaman tersebut boleh dimanfaatkan kepada rakyat negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa (gambar) semasa ditemui selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan Sunshine Square Bayan Baru pagi tadi menegaskan, apa yang mereka korbankan demi menyelamatkan rakyat Gaza di Palestin amat dihargai walaupun gagal untuk meneruskan perjalanan kerana diserang dan dikepung oleh tentera rejim Israel di laut antarabangsa.

Katanya, kepulangan mereka dianggap satu pengorbanan yang cukup besar dan bakal menambah semangat rakyat Malaysia untuk terus membantu dan menghantar misi bantuan sekerap mungkin.

"PAS ucap tahniah dan berbangga dengan semua aktivis sukarelawan yang telah mewakili berbagai agensi, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup berhadapan dengan ancaman tentera Yahudi," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Menurut beliau lagi, semua pengalaman tersebut akan dipersembahkan kepada rakyat yang cintakan keamanan di samping menerangkan saat-saat genting ketika berhadapan dengan tentera zionis.

Apa pun tambahnya, semasa pertemuan di meja bulat Majlis Pakatan Rakyat, Jumaat lepas beliau mencadangkan supaya misi bantuan ke Gaza dijadikan agenda tahunan bukan setakat melaksanakannya mengikut keperluan.

Ini kerana, ujarnya rakyat Malaysia khususnya amat prihatin apabila menyebut soal Palestin di mana mereka sanggup memberikan apa sahaja demi maruah umat Islam di sana.

"Memandangkan umat Islam di Malaysia prihatin terhadap kesengsaraan penduduk di Palestin, maka menjadi kewajiban kita teruskan usaha murni menghantar bantuan beserta dengan sukarelawan ke sana walaupun diancam keganasan Yahudi laknatullah," ujarnya.

Sementara itu, 12 sukarelawan negara ini yang ditawan oleh tentera rejim Israel pagi Isnin lepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.45 pagi ini.

Mereka yang berlepas dari Istanbul, Turki adalah aktivis dan wakil media yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel itu.

Mereka terdiri daripada ketua misi daripada HaluanPalestin, Noorazman Mohd Samsuddin bersama empat rakannya, Dr Mohd Arbai’e Syawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Al-Hami Husain Suhaimi dan Mohd Nizam Mohd Awang.

Selain mereka ialah Hasanuddin Mohd Yunus (Aqsa Syarif), Jamuliddin Elias (Yayasan Amal), Dr Selamat Aliman (JIM), Abdul Halim Mohd Redzuan (Muslim Care), Mustafa Mansur (Mapim) serta wartawan dan jurukamera Astro, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latif.

Mohd Sabri Said

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terdapat ralat dalam alat ini

Diari

Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular