PR Anjur Dialog Antara Agama
Pakatan Rakyat akan menganjurkan dialog antara agama menjelang Tahun Baru Cina ini bagi meredakan ketegangan antara agama di negara ini sekarang. Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di ibu pejabat PKR dekat sini.
PR berpendapat, pemimpin Umno yang memimpin negara sekarang tidak tegas dalam menangani isu ini dan berubah-ubah pendirian mereka bergantung kepada siapa yang bercakap.
Demikian dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat PR di pejabatnya.
Dalam mesyuarat itu, PR juga bersetuju agar anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin PKR ekoran laporan polis yang dibuat beliau terhadap anggota Parlimen Shah Alam, Khalis Samad.
Anwar juga menegaskan, JK Displin juga akan bersidang segera bagi mengambil pendirian terhadap beberapa pimpinan PKR yang membuat kenyataan negatif terhadap pimpinan PR yang lain termasuk Datuk Zaharin, pemimpin PKR dari Pulau Pinang.
Dalam mesyuarat hari ini juga, PR mengambil keputusan untuk mengadakan Konvensyen PR yang kedua Mac depan. Ia akan diadakan di Pulau Pinang,
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut serta dalam sidang media itu berkata, adalah tidak wajar semua perkara yang berlaku dalam kerajaan yang diperintah PR dipersalahkan kepada PR.
Ini kerana, PR hanya baru sekejap memerintah sedangkan BN sudah sekian lama memerintah termasuk di peringkat pusat.
Selain Anwar dan Ustaz Hadi, turut serta dalam sidang media hari ini adalah timbalan presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Hazayani Zakarria
Tiada ulasan:
Catat Ulasan