Pakatan Rakyat akan terus bangkitkan isu ISA di Parlimen
Pakatan Rakyat akan terus bangkitkan isu ISA di Parlimen
Salman Hussin Fri | Apr 25, 08 | 12:05:40 pm MYT | |
JOHOR BAHRU, 25 April (Hrkh) - Dengan jumlah anggota Parlimen yang lebih ramai pada penggal kali ini, Pakatan Rakyat akan terus membangkitkan isu tahanan ISA dalam setiap sesi persidangan Parlimen yang akan diadakan kelak. "Usaha untuk menentang akta yang zalim ini akan kita teruskan tanpa henti sehinggalah semua tahanan ini diberi hak untuk membela diri di Mahkamah atau akta ini dimansuhkan sama sekali," kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, di sini. "Kezaliman akta ini bukan sahaja menafikan hak individu yang dituduh bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya, malah, ia turut melibatkan ahli keluarga mangsa terbabit," katanya, semasa menziarahi keluarga mangsa ISA, di Gelang Patah, dekat sini, baru-baru ini. Dr Abdullah Daud, 54, bekas Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, yang dituduh terbabit dengan Jemaah Islamiah (JI), telah ditahan di bawah ISA sejak enam tahun lalu dan beliau sepatutnya dibebaskan pada 28 Februari 2008, bagaimanapun penahanan beliau dilanjutkan selama dua tahun lagi. Menurut isteri Dr Abdullah, Zakiah Mat, yang ditemui memberitahu, maklumat berhubung lanjutan penahanan suaminya itu diberitahu melalui telefon oleh suaminya sendiri. "Saya merasa sungguh terkejut apabila suami saya memberitahu dia akan ditahan lagi selama dua tahun, kami sekeluarga tidak menyangka perkara ini boleh berlaku sebab beliau sepatutnya dibebaskan awal Februari lalu, tetapi apa yang berlaku sebaliknya. "Sudah enam tahun kami dipisahkan, ia suatu tempoh masa yang sangat lama, kami sekeluarga sangat menderita sekarang ini," katanya. Beliau yang tidak bekerja sebelum ini terpaksa menyara 10 anaknya dengan berniaga secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan keluarga sejak penahanan suaminya enam tahun lalu. Empat daripada anaknya sedang menuntut di IPTA, tiga di sekolah menengah (tingkatan satu, tiga dan lima), manakala tiga lagi di sekolah rendah (darjah dua, empat dan enam), hanya seorang anak beliau sudah bekerja. Ustaz Nasharuddin yang begitu terharu dengan nasib keluarga mangsa ISA ini menyeru semua pihak supaya perihatin dengan nasib mereka, "saya menyeru semua pihak sama ada individu, pertubuhan atau badan korporat, bermurah hati menghulurkan sumbangan kewangan bagi meringankan bebanan keluarga mangsa ISA ini. Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menghubungi keluarga berkenaan di talian 07-5272911 (Puan Zakiah). - mns |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan