Rakyat Malaysia Menolak Tuah
Rakyat Malaysia seharusnya membuat pilihan parti yang benar-benar mahu membela mereka. Setelah 50 tahun merdeka, rakyat masih dalam keadaan yang mendukacitakan dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan.
Hj. Azhari, dalam ucapannya mengakui golongan kelas rendah di kampung-kampung seperti Kg. Pasir Gudang Baru dan Kg. Plentong Baru kurang mendapat maklumat mengenai isu semasa kesan dari keengganan mereka membaca risalah yang pihak PAS sampaikan ditambah pula dengan propaganda dari media yang dikawal oleh parti politik pemerintah yang sengaja memburuk-burukkan parti pembangkang.
Namun begitu ada beberapa kelemahan yang perlu diperbetulkan oleh PAS sendiri dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang selepas ini.
"Antara kelemahan yang ketara pada petugas PAS ketika di pondok panas adalah dari segi bilangan petugas yang minimum bertugas. Pengundi 'atas pagar' yang melintasi pondok panas akan membuat andaian mengenai kemampuan PAS," jelas beliau.
Sehubungan dengan itu, beliau akan menyiapkan kertas kerja analisis pilihanraya untuk diserahkan kepada UPU-UPU di seluruh Pasir Gudang.
Dalam Pilihanraya kali ini, dilihat terdapat peningkatan sokongan yang mendadak di beberapa UPU dan ini adalah antara bukti rakyat semakin kuat menolak kepimpinan Umno-BN di Pasir Gudang.
Slogan "Pasir Gudang adalah kubu kuat Umno" yang dilaung-laungkan di Tmn. Cendana pada 6 Mac yang lalu sebenarnya telah cair dan tidak lagi relevan.
Berdasarkan data yang diperolehi dari UPU, pihak MTD melihat sokongan Umno-BN adalah majoritinya dari golongan Melayu yang masih percaya bahawa Umno-BN adalah kerajaan yang telus dan boleh dipercayai.
Hakikatnya, rakyat Cina dan India telah beralih arah dengan mengundi Barisan Alternatif setelah Umno-BN gagal meningkatkan ekonomi dan membela rakyat setelah 50 tahun mereka menikmati kemerdekaan.
Pada umumnya, kebanyakan pusat-pusat pengundian mempunyai lebih 50% pengundi Melayu dan ini menyebabkan Melayu masih dominan dalam menentukan kemenangan Umno-BN.
"Rakyat Malaysia sebenarnya menolak tuah dengan terus memberi sokongan kepada Umno-BN," tegas beliau.
Hj. Azhari, Pengarah MTD Pasir Gudang memberi contoh yang mudah difahami berkenaan isu manifesto pakatan BA yang menjaminkan penurunan harga minyak jika BA mendapat mandat memerintah Malaysia.
"Malaysia adalah pengekspot minyak, bila harga minyak dunia di pasaran naik maka kita (Malaysia) akan mendapat untung yang lebih dari hasil jualan minyak. Salahkah jika sedikit keuntungan itu diberikan semula kepada rakyat?".
Ikuti ucapan beliau dalam rakaman video berikut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan