Bersifat Adillah: Rakyat Kini Lebih Bijak

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

Saya amat tertarik dengan laporan berita berikut :-


Statistik Bagus



KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yang memenangi 140 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) kelmarin, terus mengungguli undi popular dengan memperoleh 50.28 peratus undi daripada keseluruhan 8.1 juta pemilih yang keluar mengundi di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Umno, parti yang menjadi tonggak BN mencatatkan 29.59 peratus undi popular berbanding pesaing terdekatnya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendapat 18.05 peratus daripada 49.71 peratus undi yang diraih parti pembangkang.

Di kalangan parti komponen BN lain, MCA mendapat 10.21 peratus undi, MIC (2.21 peratus), Gerakan (1.99 peratus) dan PPP (0.20 peratus).

Bagi parti pembangkang lain, Pas yang memenangi 23 kerusi Parlimen dalam pilihan raya kali ini hanya mendapat sokongan 14.05 peratus pengundi, DAP (13.72 peratus), Parti Rakyat Malaysia (PRM) (0.21 peratus), SNAP (0.04 peratus), Bersekutu (0.01 peratus), manakala calon Bebas meraih 1.04 peratus undi.





Bagaimanapun, jika dibandingkan prestasi BN itu dengan pilihan raya umum sebelum ini, undi popular yang diperoleh paling rendah sejak pilihan raya 1959.

Sebagai contoh, pada pilihan raya umum 1990, BN mencatat undi popular sebanyak 52 peratus, 1995 (63.2 peratus), 1999 (56.53 peratus) dan pada 2004 pula, 63.68 peratus.

Kemerosotan dalam undi popular BN kali ini sebahagian besarnya disebabkan kekalahan teruk dua parti komponennya iaitu MIC dan Gerakan. MIC hanya menang tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN yang ditandingi.

Di Negeri Bawah Bayu, BN memperoleh undi sebanyak 295,743 daripada keseluruhan undi iaitu 513,178 manakala pembangkang pula terdiri daripada Pas, PKR, Bersekutu dan Bebas memperoleh hanya 201,767 undi.

Daripada jumlah undi 295,743, Umno memperoleh 163,686 undi; PBS (35,046); UPKO (57,887); SAPP (30,827) dan LDP (8,297).

Di Sarawak pula, BN terus mencatatkan penguasaan kukuh apabila memperoleh 336,562 undi daripada keseluruhan 530,723 undi. Daripada jumlah itu, PBB memperoleh 131,243 undi diikuti SUPP, 119,264; SPDP (52,645) dan PRS (33,410).

Pembangkang pula yang terdiri daripada Pas, DAP, PKR, Snap dan Bebas hanya sekadar mendapat 186,965 daripada keseluruhan undi yang diterima.

Sumber berita : Metro

Inilah statsitik yang saya nantikan sejak malam keputusan Pilihanraya Umum ke-12 disiarkan.

Secara mudahnya, dari statistik ini dan berbekalkan keputusan pilihanraya ke-12 yang lalu, saya amat amat berharap akan dapat melihat perkembangan politik negara kepada tahap yang lebih baik, antaranya seperti berikut : -

1) PEMIMPIN & RAKYAT : Semua parti yang menang dan memerintah samada di peringkat negara dan kerajaan negeri mestilah mengingati bahawa jumlah sokongan kepada parti BN dan pembangkang (alternatif) adalah hampir sama;

Justeru selepas ini, janganlah mana-mana pihak menafikan suara dan cadangan yang baik untuk rakyat tidak kiralah datang dari mana-mana pihak pun. Sebelum ini kita mendapati, setiap cadangan yang datang dari pembangkang sering diambil ringan oleh pucuk kepimpinan, namun dengan keputusan ini mesej jelas diberikan oleh 49.71 %.

Jika ia ingin ditolak cadangan yang baik, setiap penolakan mestilah disertai dengan rasional yang boleh diterima dan bukannya ditolak sinis, prejudis, penuh kebencian yang hanya bersandarkan hujah kebudak-budakkan lagi hingusan.

Sudah ramai rakyat Malaysia yang bijak serta mampu menilai sejauh mana bijaknya pemimpin peringkat negeri dan negara dalam menangani setiap teguran dan cadangan yang membina lagi baik. ‘Memperbodohkan' intelek rakyat berpelajaran adalah satu ketidakcerdikan nyata.

Perkara yang sama juga mestilah diambil kira oleh kerajaan baru Penang, Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan. wakil-wakil BN yang menjadi pembangkang di sana juga adalah mewakili sekumpulan besar penyokongnya. Justeru jika cadangannya baik dan tidak bertentangan dengan Islam. Ia amar wajar diterima.

2) MEDIA : Media perlu sedar, mereka bukan sahaja bertanggungjawab memberi info telus boleh dipercayai untuk rakyat yang menyokong satu parti, tetapi kepada rakyat yang menyokong pelbagai parti.

Sikap prejudis dan berat sebelah perlu disedari memualkan rakyat terutama pihak pembangkang yang disokong 49.71 % rakyat. Semua rakyat berhak mendapat informasi yang lebih bijak dan matang serta first class, bukan lagi informasi yang mempunyai tahap laporan tahun 1960 an atau zaman Jepun dan tertutup serta tidak dinyatakan dengan hujah rasional tetapi hanya dengan lontaran ‘dungu'.

Informasi dan aktiviti kebaikan dari pelbagai parti yang memerintah samada Negara dan negeri mestilah diberi secara baik dan membangun bukannya asyik ‘berat sebelah'.

Anda tidak boleh menyamakan permintaan ini dengan akhbar ‘harakah' kerana akhbar tersebut adalah akhbar yang dikeluarkan khas untuk ahli parti PAS. Sudah tentu mereka tidak akan memuatkan laporan positif tentang parti yang ditentangnya.

Namun siaran televisyen dan akhbar awam yang tidak dikeluarkan khas untuk ahli mana-mana parti mestilah lebih profesional dan bijak untuk semua parti-parti di Malaysia.

Mereka perlu ingat bahawa sebarang laporan yang menaikkan satu pihak sahaja sudah tidak lagi diterima oleh 49.71 % rakyat lagi. Kemuakkan ini perlu dilihat sewajarnya.

Nasihat yang sama buat pihak pembangkang (alternatif) yang mungkin selepas ini akan mengawal apa jua media yang bersifat neutral terutamanya di Selangor. Adapun media khas parti masing-masing, ia terpulang kepada mereka untuk menetapkan corak pemberitaannya.

3) PERUNTUKAN : Sebarang peruntukan kepada negeri-negeri yang diperintah oleh alternatif perlu diberi seperti biasa kerana di belakang mereka adalah 49.71 % rakyat Malaysia yang semuanya membayar cukai dan bayaran perlu di dalam Negara. Semua rakyat di setiap daerah di Malaysia berhak menikmati kumpulan wang negara tanpa mengira siapa yang memerintah negeri mereka.

Janganlah apa pihak yang merasakan bahawa jika dilumpuhkan peruntukan sesebuah negeri maka pentadbiran mereka akan lumpuh hingga menyebabkan rakyat menyesal dan akhirnya kembali menyokong mereka.

Itu mungkin boleh dipakai di zaman dulu namun tidak lagi sekarang di tahun 2008 ke atas. Sebarang kegagalan ini akan dilihat oleh rakyat yang semakin bijak berfikir ini dan mereka pastinya akan lebih meluat dengan mereka yang menyekat dan bukan mereka yang disekat. Sebabnya mudah sahaja, kerana mereka juga berhak mendapat kenikmatan hasil cukai kumpulan dari hasil rakyat negeri mereka

Ucapkan Selamat Tinggal Politik Kebudakkan

Akhirnya, dengan gaya fikir dan intelektual pengundi muda, lanskap politik Negara semakin meriah. Untuk itu semua yang terlibat perlu menaikkan tahapnya dari tahap budak-budak yang suka main ugut dan ancam kepada jenis politik minda dan hujjah serta kerja kemas lagi bersih.

Tinggalkanlah politik ancam orang yang tidak sekepala, budaya ugut dan rasuah, marilah kita kepada politik berteraskan kerja berdasarkan merit kualiti, bersih dari seleweng rasuah, efisyen berlandaskan hujjah bijak, nescaya Malaysia akan semakin gemilang.

Tinggalkanlah menggunakan hujah dan fakta kurang rasional, antara contoh yang meragukan adalah peratusan keluar mengundi di parlimen Jerlun iaitu 99.85 %. Saya secara peribadi dan menurut logik aqal merasakan ia agak pelik dan luar biasa. Wallahu'alam.

Ramai masih menunggu keputusan siasatan polis berkenaan dakwat undi yang dilaporkan diseludup beli dari negara asing sehingga menyebabkan batalnya pengundian menggunakan dakwat. Apakah ceritanya kini? Tanpa penjelasan wajar dan mantap, rakyat dan pengundi bijak akan mengangkat kening dan mencebik bibir tanda sesuatu kesimpulan telah bersarang di mindanya. Demikian juga hal ehwal video tape lingam dan banyak lagi.

Sebarang Kesilapan Pemerintah Baru

Bagi kerajaan negeri baru yang memerintah seperti Selangor, Kedah, Perak dan Penang. Saya kira mereka dalam keadaan sangat mencabar serta getir kerana mereka MESTI membuktikan:-

"apa yang lainnya mereka dari kerajaan sebelum ini"

Semua 'spot light' sedang menyuluh ke arah mereka, dari segenap penjuru samada pemimpin dan ahli parti BN, ahli akademik (termasuk saya), pelabur, rakyat yang mengundi, rakyat yang menolak dan lain-lain. Setiap cakap mereka akan dilihat, gaya wajah mereka, pertuturan mereka akan diteliti, memek wajah semasa menjawab soalan, cara berpakaian, kereta yang digunakan dan lain-lain. Jika pemimpin BN berfikir dua kali sebelum bercakap, pemimpin baru ini perlu berifkir empat ke lima kali sebelum memberi komen sepatutnya.

Sebarang kesilapan, kegelojohan, tidak toleransi, kegagalan dan kelembapan pengurusan akan menyebabkan mereka jatuh tersungkur pada pilihanraya akan datang (ke-13) dan mungkin akan berterusan kalahnya, amat sukar bangkit kerana tiada apa lagi yang boleh dijadikan hujjah untuk pengundi yang semakin boleh berfikir waras di ketika itu. Hasilnya akan kalah kumpulan ini buat 50 tahun akan datang.

Amat baik kiranya semua pemimpin baru Barisan Alternatif membuktikan ketelusan mereka dengan mengistiharkan aset peribadi masing-masing di media secara terbuka bermula dari tempoh pegang jawatan dan dibuat setiap tahun bagi membuktikan jawatan yang mereka pegang tidak menambahkan harta asal mereka. Jika ia mampu dibuat, Ini barulah lain dari yang lain dan menawan jiwa.

Sebarang kejayaan mereka pastinya akan memantapkan politik Malaysia kerana semua parti politik akan selepas ini meletakkan piawaian merit kualiti, bersih tulen dalam pentadbiran dan cekap tanpa rasuah, mesra rakyat bukan sombong sebagai target setiap parti politik akan datang, hasilnya amat baik buat rakyat keseluruhannya.

Sekadar itu ulasan ringkas saya, saya bukanlah ahli politik tetapi ahli akademik yang merasakan punyai hak untuk berkongsi pendapat dengan pelawat di web saya (http://www.zaharuddin.net/) ini dan lain-lain pembaca yang sudi membacanya.

Yang baik dari Allah dan untuk Allah, mari kita usahakan yang terbaik.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

10 Mac 2008



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular