Taktik kotor menangkan BN di Galas
Tulisan Zulkiflee Bakar (Mingguan Malaysia, 7 November 2010) atas tajuk “Kalah kerana Nik Aziz” adalah disanggah. Rasional sanggahan adalah berpaksikan bahawa bukan sifat sebenar Tok Guru Nik Aziz seperti mana digambarkan oleh penulis tegar Umno itu. Apa yang berlaku di bumi dan sepanjang pengamatan pelbagai pihak (termasuk pengkaji politik) terhadap perjalanan pilihan raya kecil Galas adalah amat ketara bahawa BN mencapai kemenangan disebabkan BN menggunakan kempen taktik kotor.
Nilai kekotoran kempen BN itu boleh dikaji menerusi rancangan dan tingkah laku pasukan kempen Barisan Nasional yang menang di Galas 4 November lalu. Di sini dikemukakan sekurang-kurang 10 jenis taktik kotor, jijik, mual dan bercanggah dengan nilai-nilai demokrasi yang sudah menjadi ‘makan-minum’ parti Melayu Umno pimpinan Mohd Najib.
Pertama, akhbar Utusan Malaysia (28 Nov. 2010) sehari selepas penaman calon telah menyiarkan gambar Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Perdana Menteri menghulurkan sampul surat berisi RM300 kepada seorang warga emas, Alias Junuh. Permualaan kempen dengan sogokkan wang yang adalah bercanggah dengan Sekseyen 10, Akta Kesalahan Pilihan Raya. Namun, pihak SPR diam tanpa komen dan media tidak melaporkannya sebagai sogokan atau rasuah.
Kedua, saban hari tempoh kempen berjalan, media milik Kerajaan Pusat, khususnya Radio dan TV milik Kementerian Penerangan menyiarkan laporan dan pengakuan palsu individu kononnya menjadi mangsa pengambilan tanah untuk projek Ladang Rakyat. Sedangkan penjelasan dari pihak Ladang Rakyat, bahawa tiada projek Ladang Rakyat dalam DUN Galas. Apa yang sebenar ialah sebilangan pengundi DUN Galas telah terpilih sebagai penerima deviden RM200 sebulan diberikan oleh Ladang Rakyat. Tetapi penjelasan pihak Ladang Rakyat tidak disiarkan.
Ketiga, mahkamah telah menerima pendaftaran kes tuntutan wang royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan ke atas Petronas dan tidak sepatutnya ia dijadikan isu kempen. Tetapi apa yang berlaku, pihak BN telah menjanjikan dalam risalah beredar kepada pengundi bahawa royalti akan dipulangkan kepada rakyat Kelantan bila mengundi BN.
Keempat, menyebar fitnah dalam internet ”Umno Online” laman rasmi Parti Umno Malaysia kononnya calon PAS terlibat dengan khalwat dengan seorang wanita yang namanya sama dengan nama ibu calon PAS, Dr. Zulkefli. Penafian Calon PAS telah dibuat sendiri oleh Dr. Zulkefli tetapi laman milik Umno itu terus memutar fitnah itu dengan fitnah baru pula, kononnya Dr. Zulkefli akan bersumpah menafikan isu khalwat di masjid. Pendekatan itu amat serius dari segi agama, mengapa ulama dan mufti tidak menegur fitnah yang jalang begitu.
Kelima, BN didapati amat rakus menggunakan jentera jabatan dan agensi Kerajaan Pusat sebagai jentera kempen BN. Ini dilakukan secara terbuka dan meloyakan. Antara yang paling jelas ialah salah guna Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA). Pihak JHEOA kemudian telah melantik Timbalan Ketua Setiausaha sebagai pegawai bertanggungjawab bagi mempastikan pengundi Orang Asli mengundi BN.
Keenam, menyebar rakaman video ungkapan seorang hamba Allah yang berperangai pelik dinamakan sebagai “Nor Deris” yang mengeluarkan kata-kata kesat dan kotor serta fitnah terhadap Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz. Antara fitnahnya, kononnya Tok Guru Nik Aziz tidak mahu bersalam dengannya. Sedangkan cerita sebenar, “Nor Deris” itulah yang mengaku dia tak mahu bersalam kerana melihat tangan Tok Guru Nik Aziz serupa dengan “tangan syaitan.” Rakaman itu dimuatkan dalam laman Umno Online milik Umno Malaysia yang kemudian disebarluas oleh laman-laman internet pro-Umno.
Ketujuh, media kempen BN termasuk akhbar, risalah, perayu undi dan pemimpin BN bertanggungjawab sepenuhnya menyebar laporan salah tentang kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dalam menyelesaikan permohonan milik tanah penduduk Gua Musang, termasuk melibatkan pengundi Cina di Kampung Pulai, Tanah Putih dan Kampung Baru. Pengakuan yang dibuat oleh mantan Ketua Jajahan Gua Musang, Abdullah Mat Yusoff mengenai beribu-ribu permohonan sejak sepuluh tahun terakhir ini. Malah, menurutnya berlaku kelewatan kelulusan permohonan adalah disebabkan karenah Kesedar yang tak mahu bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. Namun, kenyataan Abdullah itu tidak disiarkan oleh media BN atau Umno Online.
Kelapan, menggunakan kakitangan Special Branch Polis (SB) bagi mendapatkan maklumat dari Bilik Gerakan PAS. Sehingga ada SB itu berjaya dikesan oleh pihak PAS atas perbuatan yang disuruh oleh BN itu. Ia jelas memperalatkan SB sebagai anggota keselamatan awam dan mempalitkan nama buruk pasukan polis atas semata-mata kepentingan BN saat pilihan raya. Jelas pihak BN tidak ada kepakaran sendiri melainkan menumpang jentera kerajaan.
Kesembilan, memfitnah Kerajaan Negeri Kelantan sebagai bertanggungjawab merosakkan punca air bersih bagi kegunaan Orang Asli. Sedangkan tanggungjawab sebenar untuk perawatan dan penjagaan serta pembinaan bekalan air bersih bagi penduduk Orang Asli ialah pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang terletak di bawah menterinya selaku Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Afdal. Sebagaimana dakwaan pihak JHEOA sendiri, tanggungjawab itu gagal dilaksanakan kerana karenah pihak kontraktor yang dikatakan menyeleweng.
Akhirnya, kesepuluh didapati di penghujung kempen, pihak pasukan kempen BN telah mengedar pembohongan berupa sogokan janji pembangunan Projek Mega berjumlah RM3.254 billion. Projek tersebut ialah Berjaya The Park (RM1.5 billion), Permata Timur (RM146 juta), Perumahan Rakyat Galas (RM180 juta), Golf Club dan Country Resort (RM856 juta), Agro Tourism (RM256 juta) dan kampus cawangan Universiti Kelantan (RM316 juta). Sogokan projek mega merupakan taktik kotor/tipu (gula-gula ke atas pengundi) bertujuan memikat pengundi mengundi BN. Apa yang pasti projek mega itu dikatakan bohong kerana tiada satupun tapak projek itu yang mendapat kelulusan tanah, sedangkan semua tanah bagi apa-apa projek sekalipun terlebih dahulu perlu diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Berdasarkan 10 nilai kerja salah laku pihak BN di sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas tersebut, maka amatlah tepat kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz , betapa kemenangan BN itu disebabkan ugutan, sogokan dan tekanan ke atas pengundi.
Mungkin penilaian itu dapat diperkukuhkan lagi dengan hujah bahawa kemenangan BN adalah berkait rapat dengan strategi kotor dan taktik memfitnah ke atas pemimpin dan parti PAS serta pencapaian Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak dua dekad lalu. Apa pun, semoga pengundi Galas tidak terus tertipu selama-lamanya dengan pelbagai aktik kotor BN setiap kali pilihan raya.
http://misabah.blogspot.com/2010/11/taktik-kotor-menangkan-bn-di-galas.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan