Himpunan ‘Bersih Dua’ Selepas Parlimen Dibubar

Setelah kekalahan teruk Barisan Altenatif(BA) pada tahun 2004, semangat petugas BA khususnya PAS jatuh menjunam bagaikan jet pejuang menyembah bumi. Apatah lagi himpunan dihadapan Suhakam yang disusun sejurus pilihanraya 2004 tidak dapat di jayakan kerana masalah-masalah teknikel. Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat selepas pilihanraya itu meminta PAS berbuat sesuatu atas kekalahan itu, terutamanya kejatuhan Terengganu yang cukup mengaibkan.

Antaranya adalah himpunan besar-besaran untuk mendesak kerajaan memulihkan demokrasi. Ucapan wakil Pemuda PAS Pusat sebagai menyokong usul memulihkan demokrasi pada masa itu menjurus kepada himpunan dan kebertanggunjawapan PAS Pusat terhadap kekalahan pilihanraya. Tetapi malangnya media hanya minat terhadap isu kebertanggungjawapan sahaja kerana ia lebih sensasi. Masih tergiang-giang ditelinga, apabila Presiden memberi nasihat kepada pemuda agar jangan menjadi beruang yang sayangkan tuannya. Kerana sayangnya beruang kepada tuannya maka dipukul muka tuannya sampai pengsan. Itulah nasihat tidak ternilai yang menjadi bekalan untuk pemuda khususnya pembahas pemuda.

Isu himpunan pemulihan demokrasi hilang beberapa ketika kerana serangan wabak kelesuan PAS sudah merebak keseluruh negara. Pakar-pakar tarbiyyah PAS diturunkan keseluruh negara memulihkan kemurungan ini. Alhamdulillah berjaya dan akhirnya jawatankuasa dibentuk di bawah Tuan Haji Mohammad Bin Sabu bagi mengadakan himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Himpunan Bersih’ bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Tuntutan Bersih ada empat iaitu pengunaan dakwat hitam, media yang adil, penghapusan undi POS dan pembersihan daftar pemilih. Himpunan itu berjaya diadakan dengan penuh gemilang sehingga memulihkan semangat petugas seluruh negara setelah lesu lebih dua tahun. Selepas ‘Himpunan Bersih’ wujud himpunan kedua dinamakan ‘Himpunan Hindraf’ yang mendesak kerajaan memberi perhatian kepada masyarakat India di negara ini. Kedua-dua himpunan ini secara senyap-senyap telah menjadi faktor yang penting atas kejayaan pembangkang khususnya PAS, DAP & PKR dalam pilihanraya ke-12 pada tahun 2008. Malangnya isu pemulihan demokrasi menjadi senyap dalam negara sedangkan empat tuntutan Bersih langsung tidak ditunaikan oleh kerajaan. Bukan kerana sudah berpuas hati tetapi tumpuan banyak diberikan kepada isu pentadbiran negeri yang telah dimenangi dalam pilihanraya ke-12. Perlu diingat kemenangan pilihanraya ke-12 sangat mudah dipatahahkan dengan penipuan dalam demokarasi di Malaysia. Kalau fakta Dato’ Sri Anwar Ibrahim kena tumbuk pun boleh ditipu, pemberian lesen judi kepada Ascot Spot pun boleh ditipu apatah lagi undi pilihanraya. Orang jawa kata “PENAK WA’YEER AREK NGAPUSI”.

Selepas pilihanraya ke-12, suatu gerakan rakyat telah ditubuhkan dinamakan Gerakan Mansuhkan Pembelajaran Pendidikan Sains Dan Matematik Di Bahasa Inggeris (PPSMI). Gerakan ini mendesak pihak kerajaan membatalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Dasar ini diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir tetapi telah menjadi beban kepada pelajar-pelajar terutamanya diluar bandar. Tokoh-tokoh besar disebalik gerakan ini adalah Dato A. Samad Said, Dato’ HassanAhmad, Prof Abdullah Hassan, Dr Shahril Mohd Zain dan ramai lagi. Enjin utama gerakan ini adalah pemuda PAS. Mobilisasi seluruh negara dibuat bersama dengan tokoh-tokoh PPSMI akhirnya himpunan rakyat telah di adakan daripada Pusat Perniagaan Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara ke Istana Negara pada 7 Mac 2009. Menariknya tokoh-tokoh PPSMI ini semuanya merasa pedih gas pemedih mata. Atas tekanan-tekanan yang telah dibuat akhirnya pihak kerajaan telah mengumumkan pembatalan dasar PPSMI bermula 2011. Satu kejayaan luar biasa yang dikecapi. Rakyat rasa berbaloi dengan pengorbanan turun ke jalan raya dengan hidangan gas pemedih mata. Selepas PPSMI, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengambil tempat apabila himpunan besar-besaran telah dibuat seumpama Bersih dan PPSMI. Kerajaan juga telah menerima desakan-desakan yang kuat dari dalam dan luar negara. Walaupun kerajaan belum mengumumkan pemansuhan ISA tetapi himpunan ini telah memberi kesan di mana sebahagian besar tahanan ISA telah dilepaskan.

Pada bulan Mei 2010 berlakunya kemelut lesen judi sukan bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan Dato’ Awang Adek Hussin membuat kenyataan bahawa ianya akan diluluskan oleh pihak kerajaan bagi membendung judi sukan tidak berlesen berleluasa dalam negara kita. Kenyataan ini mulanya disokong pula oleh Ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, kemudian Tun Dr Mahathir Mohammad, Dato Nazri Aziz dan ramai lagi. Parti-parti pembangkang telah memulakan rentaknya membantah lesen judi sukan ini. Akhirnya suatu gerakkan rakyat telah ditubuhkan dinamakan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dimana kempen pertamanya adalah untuk memansuhkan lesen judi sukan yang telah diberikan kepada Syarikat Ascot Sport Sdn. Bhd milik Tan Sri Vincent Tan. Kerajaan berdolak dalik samaada telah mengeluarkan lesen judi sukan atau sebaliknya. GMJ telah mengumumkan seluruh negara untuk mengadakan himpunan seumpama Bersih, GMP dan GMI pada sabtu 3hb Julai 2010. Memorandum dihantar ke Parlimen dan Pejabat Perdana Menteri. Belum pun sampai tarikh 3hb Julai 2010 Kerajaan telah mengumumkan pembatalan lesen judi sukan. Kerajaan takut rakyat berhimpun di Istana Negara dalam keadaan kerajaan dilihat sebagai mempertahankan judi sukan. Kerajaan bakal menerima petaka bila himpunan ini diadakan. Suatu kerjayaan kepada perjuangan rakyat. Belum turun jalan raya dah berjaya merubah keputusan kerajaan. Tahniah Rakyat Malaysia.

Berdasarkan sorotan peritiwa di atas, PPSMI dan GMJ telah berjaya merubah dua keputusan kerajaan secara total iaitu Dasar PPSMI dan lesen judi sukan. Walaupun banyak faktor lain tetapi gerakan rakyat ini adalah salah satu faktor kuat keputusan tersebut berubah. GMI juga tidak kurang hebatnya di mana telah mengoyangkan keputusan kerajaan untuk memenjarakan orang-orang politik di negara ini. Tetapi malangnya Bersih belum lagi mencapai matlamatnya dimana pihak kerajaan mendiamkan diri berhubung tuntutannya. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan pilihanraya ke-13 yang luar biasa. Ucapan-ucapan terakhir ini telah memberi isyarat bahawa pilihanraya akan diadakan terlebih awal daripada waktu yang sepatutnya. Memandangkan bahawa pilihanraya di negara kita masih terlalu terdedah kepada manipulasi maka saya mencadangkan bahawa Jawatankuasa Bersih perlu mengadakan ‘Himpunan Bersih 2’. Tarikh himpunan ini dicadangkan pada hari sabtu terdekat selepas Perdana Menteri membubarkan parlimen. Jika pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan ketelusan dalam pilihanraya maka rakyat akan berhimpun di Istana Negara pada tarikh yang ditetapkan. Jika kerajaan tidak mahu melihat rakyat berhimpun di Istana Negara maka kerajaan hendaklah membuang segala ruang manipulasi dalam undi pos, daftar pemilih dan pemalsuan pengundian. Media mestilah memberi jaminan membuat liputan yang adil kepada semua pihak. Pemerhati antarabangsa perlu dipanggil untuk menjadi pemerhati pilihanraya di negara kita.

Alasan tarikh cadangan himpunan selepas pembubaran parlimen adalah kerana pertamanya bagi mempastikan pilihanraya ke-13 akan berlaku dalam keadaan demokrasi pilihanraya telah dipulihkan sepenuhnya. Apa guna pilihanraya diadakan jika pilihanraya terdedah kepada manipulasi. Keduanya, Perdana Menteri perlu membetulkan sistem pilihanraya terlebih dahulu sebelum membubarkan parlimen.Itulah yang dinamakan Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Ketiga, Jika ada pihak yang mengatakan masa tersebut adalah masa yang terlalu sibuk maka suka saya nyatakan rakyat dinegara ini boleh berhimpun di Istana Negara dengan notis 48 jam. Ini kerana rakyat telah 3 kali berhimpun secara besar-besaran. Lagi pun himpunan ini hanya memakan masa 3 jam sahaja dan ia boleh membangkitkan kesedaran seluruh negara untuk turun mengundi. Memberi rangsangan terus untuk bekerja dengan lebih kuat lagi. Tarikh penamaan calon pun berkemungkinan besar belum lagi diumumkan oleh SPR pada masa tersebut. Jika rakyat telah menerima arahan awal untuk berhimpun selepas pembubaran parlimen maka persiapan dari segi mantel dan fizikel telah dibuat awal. Oleh itu himpunan ini tidak menganggu proses kempen. Yang paling penting adalah rakyat Malaysia berhak untuk melihat pilihanraya yang adil dan saksama. Jika Barisan Nasional (BN) menang atau kalau mereka akan berpuas hati. Begitu juga jika Pakatan Rakyat (PR) menang atau kalah mereka akan berpuashati. Jika ada pihak tidak berpuashati terhadap pilihanraya ke-13 dikuatiri keadaan politik negara tidak akan stabil dan ianya akan merugikan rakyat dan negara Malaysia tercinta ini.

Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan PEMUDA PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular