Amanah dalam Jamaah: Tanggungjawab atau sambil lewa?
Oleh: Ketua L. Tarbiyyah & Kepimpinan Pemuda Kawasan
Pertama-tamanya sekalung ucapan Tahniah dan takziah! kepada Kepimpinan PAS yang baru dilantik samada Peringkat kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Semoga amanah yang disandarkan ini mampu dilakukan dengan sebaik mungkin demi penerusan dan kelangsungan perjuangan menegak Agama Islam ini. Nukilan ini sekadar untuk memberi peringatan bersama.
Sewaktu Nabi s.a.w mengiklankan satu jawatan untuk diis oleh para sahabat. lalu datanglah Abu Zar al- Ghifari memohon jawatan tersebut. Melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu Nabi menyatakan:" Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti pada hari akhirat engkau akan dukacita dan menyesal, melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanah tersebut.
Lihatlah begitu kasih dan sayangnya Nabi kepada para sahabat, terutamanya kepada sahabat yang lemah dan tidak mampu memikul amanah, dibimbangi amanah tersebut menjadi penyebab kepadanya masuk neraka Allah swt. Hadis ini memberi 'ibrah atau pengajaran kepada kita bahawa setiap amanah adalah satu tanggungjawab yang perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab bukan sekadar sambil lewa atau sekadar untuk mendapat nama untuk dibangga-banggakan.
Alhamdulillah, dalam PAS perebutan jawatan dalam keadaan terkawal kerana kefahaman dan tarbiyyah yang dipupuk kepada ahli-ahli yang melihat amanah atau jawatan adalah suatu perkara yang akan dipersoal oleh Allah swt diakhirat kelak, sehingga setiap ahli merasa berat untuk menerima jawatan tersebut. Walaubagaimanapun seperti yang diingatkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam.
Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah saw. Antara lain baginda mengingatkan sesiapa yang ummah mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahat mereka, lalu ia melarikan diri(enggan menerima) maka aku tidak ingin berjumpa dengan nanti di padang mahsyar". Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada antara takut dan harap. Takut Rasulullah saw murka dan harap Allah bantu dengan amanah ini.
Justeru itu, menjadi tanggungjawab kepada kepimpinan yang baru dilantik meneliti dengan kefahaman dan tarbiyyah yang ada, menolak sentimen dan emosi, meletak kepentingan Jamaah di hadapan agar amanah yang disandarkan dapat dilakukan sebaiknya. Insyaallah Allah akan permudahkan usaha kita dalam membantu agamanya.
Kepada semua peringkat kepimpinan yang baru sama ada kepimpinan peringkat kawasan, dewan pemuda, dewan muslimat serta cawangan-cawangan ingatlah akan doa Sayyidina Umar al- Khattab:
"Ya Allah, Engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat didunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat di akhirat".
Semoga amanah ini menjadi wasilah/jalan untuk mencari keredhaanNya seterusnya meni'matilah syurgaNya..insyaallah, amin. salam perjuangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan