Salah Guna Kuasa Pemimpin UMNO


Petikan dari Akhbar Wasilah 22-28 Februari 2009

Sejak 1955, UMNO merupakan parti yang sangat kukuh dan kuat. Amat sukar bagi mana-mana parti politik pembangkang mahu menggugat UMNO. Tokoh terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn amat dikagumi oleh rakyat. Namun kini semuanya telah berubah, tidak lagi seperti dahulu.

Pentadbiran selepas Tun Hussein Onn mula membawa pecah dan rebah kepada UMNO. Dr Mahathir mentadbir negara ini seolah-olah Malaysia mengamalkan sistem satu parti. Wang rakyat dibelanjakan sesuka hati sehingga menegeringkan perbendaharaan.

Penentang-penentangnya di dalam parti ditolak keluar. Terkeluarlah Dato’ Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di dalam tempoh 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri menyaksikan semua bangunan di Kem Tahanan Kemunting menambahkan bilangan penghuni-penghuni. Golongan yang menentangnya dan kerajaannya disumbat ke sanadi bawah undang-undang jahat ISA, dan ahli-ahli politik pembangkang tidak ada yang terlepas dari jaring ISA. Skandal ISA yang paling hebat berlaku semasa Operasi Lalang di mana ratusan ahli-ahli politik pembangkang disumbat ke Kemunting.

Tekanan kecil akan mendapat lantunan kecil. Tekanan besar akan mendapat lantunan besar. Hasil dari lantunan inilah UMNO di bawah Mahathir menjadi parti yang hilang sokongan dan populariti, dan pada pilihanraya terakhir di bawah pentadbirannya, pembangkang berjaya segar di hampir semua negeri.

Abdullah Ahmad Badawi memasuki gelanggang dengan gelaran “Mr Clean”. Rakyat mencubanya dan Abdullah berjaya mengembalikan imej UMNO dan pada pilihanraya pertama di bawah pengendaliannya, UMNO hampir berjaya membuat suatu “clean sweep”. Suatu kejayaan besar untuk UMNO dan Abdullah.

Imej Mr Clean Abdullah tidak kekal lama. Didedahkan satu demi satu betapa business keluarganya diberi keutamaan dan korupsi semakin menjadi-jadi. Indeks korupsi negara meningkat tahun demi tahun dan pentadbiran Abdullah tidka mampu mewujudkan kerajaan yang bersih.

Bukan sahaja tidak berjaya melawan rasuah dan korupsi, kerajaan Abdullah dianggap sebagai lemah.

Beliau gagal memulihkan imej kehakiman yang tercemar, juga memperbaiki sistem pilihan raya yang dipandang tidak demokratik. Beliau gagal menaikkan ekonomi negara dan pendapatan rakyat. Justeru kerana itu, pentadbiran Abdullah dihukum dengan rakyat memberikan undi yang begitu besar kepada pembangkang. BN kalah di lima negeri-Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, dan kalah juga di Wilayah Persekutuan apabila BN hanya memenangi 1 dari 10 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Negeri Sembilan juga hampir jatuh ke tangan pembangkang, BN hanya memenangi hanya dengan majoriti 4 kerusi. Pentadbiran NS adalah rapuh dan boleh tumbang pada bila-bila masa.

Pemimpin-pemimpin UMNO tidak mahu mengambil iktibar sebenar daripada kekalahan di dalam PRU 12. Mereka menjadikan kelehamahan Abdullah sebagai punca utama. Mereka mahu Abdullah dikeluarkan dari pimpinan. Mereka enggan mengkaji kelemahan mereka yang sebenar.

Mereka tidak mahu ambil kira penyebab kelemahan UMNO yang tenat. Mereka tidak mahu ambil tahu kenapa rakyat mahu menolak UMNO. Mereka enggan menerima hakikat bahawa kesemua pimpinan tertinggi UMNO terlibat dengan rasuah dan kronisme. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa pemimpin-pemimpin UMNO berjuang untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni, membeli kedudukan dan melakukan rasuah untuk mendapatkan jawatan di dalam parti.

Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa UMNO bukan lagi berjuang untuk agama, bangsa, negara dan tanah air, tetapi untuk kepentingan pemimpin-pemimpin. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa UMNO sudah menjadi sebuah parti yang mengamalkan sistem kuku besi apabila diadakan sekatan-sekatan untuk pertandingan bebas di dalam parti sehingga membolehkan presiden dan lain-lain jawatan seolah-olah tidak boleh pertandingkan. Apa jua aduan terhadap pemimpin tertinggi parti dilindungi oleh “imuniti”. Kesemua ini membosankan ahli-ahli UMNO, rakyat dan negara.

Kerajaan-kerajaan PR telah menunjukkan arah pentadbiran telus dan bermaruah, berintegriti dan dihormati. Kerajaan PR Perak mendapat sanjungan rakyat negeri itu. Ia berjaya menyelesaikan masalah pemilikan tanah bagi Orang Asli, orang Melayu dan orang Cina, ia menjadi kerajaan yang sangat popular di kalangan rakyat walaupun dibenci oleh segelintir orang-orang kaya. Sultan Perak tentu memahami hakikat ini walaupun hidup di dalam kepungan tembok batu mengelilingi istananya.

Datuk Seri Najib yang tidak sabar-sabar mahu menjadi Perdana Menteri telah melakukan apa yang dibenci rakyat. Beliau dihubung kait dengan beberapa skandal besar, Skandal pembunuhan Altantuya dan kehilangan saksi utama yang mengaitkan beliau dengan skandal itu, dan rakyat bertanya: Di mana Balakrishnan, dan kenapa dia dihilangkan sebaik saja membuat surat sumpah terhadap Najib? Najib juga dikaitkan dengan komisyen besar di dalam pembelian Scorpene dan Eurocopter. Najib juga dilibatkan dalam mengadakan pertuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim, seorang pemimpin rakyat yang diharap dapat menyelamatkan negara ini. Rakyat takut mahu memberikan keyakinan kepada Najib kerana beliau belum berjaya dan tidak mahu membersihkan namanya di dalam skandal-skandal ini.

Skandal-skandal di Perak dengan tawaran berjuta-juta ringgit untuk wakil-wakil rakyat PR menyeberang kepada BN semuanya juga menunjuk ke arah Najib. Mereka hilang dan berada di Pekan dan kemudian di rumah Najib, hanya mengesahkan bahawa perangkap Najib menghulurkan tawaran adalah benar kecuali dapat dibukti sebaliknya.

Rakyat bukan sahaja benci kepada Najib, malah rakyat tidak mahu negara ini ditadbir oleh seorang yang bermasalah dengan pelbagai pertuduhan skandal yang tidak dibersihkan. Dan tindakan Najib yang menggulingkan kerajaan PR yang disayangi di Perak menjadi satu ledakan kebencian kepadanya. Dan dengan beliau melibatkan institusi raja, menjadikan Najib manusia yang paling tidak bermaruah untuk diterima sebagai pemimpin UMNO dan negara ini.

Agenda Najib untuk menjadi Perdana Menteri menjadi sempadan kepada ahli-ahli UMNO dan rakyat untuk menyokong parti itu. Rakyat dengan pantas menukarkan sokongan mereka kepada PR seiring mengucapkan ribuan terima kasih kepada Najib yang berjaya memusnahkan UMNO dengan sekelip mata.

Reputasi MCA dan MIC yang menjadi rakan kongsi utama kepada UMNO, manakala Gerakan dan PPP sekadar tempelan kepada parti itu, terjejas berikutan “kerajaan Najib” di Perak tidak mempunyai perwakilan orang India dan hanya sekadar seorang berketurunan Cina. Adakah kerajaan seperti ini boleh diterima rakyat daripada kalangan kaum Cina dan India? Sekali-kali tidak, dan kesan ini dirasakan di seluruh negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Diari


Google

Promosi

Harakahdaily - Edisi Bahasa Melayu

TKO Versi 12 [TranungKite Online]

Ahli Parlimen PAS

Tadah Kitab

Tips Teknologi

Catatan Popular